Antara Kuasa dan Kebebasan: Cabaran terhadap Masa Depan Feminisme Islam
October 3, 2011

Ia merupakan suatu kenyataan, walau sering dinafi dan digelapkan, kenyataan bahawa sejarah Islam dan tradisi inteleknya mengemukakan senarai yang impresif daripada kelompok pemikir dan sosok wanita yang penting. Al-Qur’an sendiri menempatkan “wanita yang beriman” dalam skop perbincangan dan pernyataannya. Contoh yang lebih awal telah dirakamkan oleh kepimpinan A’isyah dan lakaran sejarah yang signifikan tentang Fatimah. Daripada sudut spirituil, kelompok lelaki Muslim yang paling konservatif sekalipun telah mengambil dan menyematkan teladan Rabiah al-Adawiyah dalam dhamirnya.

Qasim Amin: Kebebasan terhadap lelaki dibarengi oleh perhambaan terhadap wanita, pendidikan bagi lelaki diimbangi dengan kejahilan kaum wanita. Lelaki membina rasional dan kekuatan mentalnya, dengan menyingkirkan wanita terperosok dalam kebodohan dan kerencatan…seluruh dunia adalah untuk lelaki, manakala wanita hanya menempati tepian dan sudut yang gelap.

Pandangan dunia yang inklusif terhadap perjuangan memperkasa wanita ini berkembang dengan lebih komprehensif dalam era moden feminisme Islam seperti digagaskan oleh Imam Muhammad Abduh. Sangat berpengaruh dan menarik watak dakwah dan perjuangannya mengangkat persamaan dan keadilan gender sehingga telah mengilhamkan ikatan dan jaringan global yang kukuh di kalangan pelajar dan aktivis, termasuk Syed Sheikh Al-Hady di Malaya dan Qasim Amin di Mesir. Dalam Tahrir al-Mar’ah [Pembebasan Wanita] Amin mengeluh tentang kebobrokan budaya Muslim di mana “kebebasan terhadap lelaki dibarengi oleh perhambaan terhadap wanita, pendidikan bagi lelaki diimbangi dengan kejahilan kaum wanita. Lelaki membina rasional dan kekuatan mentalnya, dengan menyingkirkan wanita terperosok dalam kebodohan dan kerencatan…seluruh dunia adalah untuk lelaki, manakala wanita hanya menempati tepian dan sudut yang gelap.”

Kenyataan bahawa idealisme bagi mengangkat sosok kewanitaan ini telah berakar dalam tradisi Islam adalah pesan daripada Dr. Ahmad Farouk Musa sebaik beliau memulakan forum tentang “Masa Depan Feminisme Islam” di ISTAC pada 18 September 2011. Forum tersebut menyaksikan kehadiran yang baik dari pelbagai audiens, yang memperlihatkan hadirin di ruang utama auditorium telah mencapai kapasiti yang maksimum.

Zainah Anwar menekankan peri pentingnya umat Islam menerima realiti perubahan dalam dunia kontemporer

Zainah Anwar, pengasas Sisters in Islam dan kini pengarah pertubuhanMusawah, sebuah pergerakan global yang memperjuangkan kesamaan dan keadilan dalam Keluarga Islam, merupakan pengucap pertama di antara tiga panelis. Beliau menekankan kepentingan masyarakat Islam untuk menerima realiti perubahan dalam dunia kontemporer. Umat Islam tidak mungkin lagi berupaya menolak kenyataan bahawa kini hak kemanusiaan, persamaan dan kebebasan telah bergabung membentuk, walaupun tidak cukup meyakinkan, suatu paradigma politik yang sah.

Untuk bersikap pasif terhadap kenyataan tersebut seolah menzahirkan kelekaan terhadap realiti. Sekiranya Islam ingin dipugar untuk meraih kedudukannya yang sebenar sepertimana seharusnya, yakni, sebagai sumber inspirasi dan pencerahan kepada semua, daripada sekadar menjadi satu baris dakwaan untuk mengesahkan hukuman dan penguasaan oleh sesegelintir, maka adalah sangat mustahak untuk kita menangani cabaran yang mendepani masyarakat Muslim selaras dengan perkembangannya di zaman mutakhir dan terkini, bukan sepertimana ia ditangani di ketika dan waktu yang lalu.

Ia adalah bertolak dari rasa sensitiviti yang tajam kepada realiti perubahan sosial di mana Zainah Anwar menekankan kepentingan memanfaatkan kemampuan fakulti pemikiran manusia untuk menginterpretasi dan mengupas al-Qur’an dan Sunnah. Penerimaan dan interaksi kita dengan hukum Islam tidak berlaku dalam kekosongan, yang terpisah daripada pertimbangan sejarah dan kultural yang spesifik. Setiap generasi akan menempuh jalan yang berlainan untuk menyatakan penghargaan terhadap Islam ketika mengungkapkan cabaran dan masalah yang bergolak dalam konteks zamannya. Sehinggakan kelompok konservatif yang mempertahankan bahawa al-Qur’an harus dibaca sebagai suatu yang tetap dan tidak berubah menurut kondisi, tidak akan memberikan nilai sekiranya tidak mampu mempengaruhi situasi yang spesifik yang bergejolak ketika itu sewaktu penentangan itu dicetuskan.

Dr. Ahmad Farouk Musa (dua dari kanan) mempengerusikan majlis

Mengimbau kembali kisah Imam Ali menghadapi golongan Khawarij sepertimana yang dihuraikan oleh Imam asy-Syaukani di dalam Nailul Authar, Zainah mengingatkan akan kisah di mana Imam Ali menyuruh mereka berkumpul bersama beliau, lalu membawa sebuah al-Qur’an yang besar lalu menyentuhnya seraya mengarahkannya untuk berkata-kata tentang hukum Allah. Alangkah terkejutnya mereka lalu berkata kepadanya: “Apa yang anda lakukan ini? Sesungguhnya al_Qur’an tidak boleh berkata-kata, kerana ia bukan manusia!.” Lantaran mendengar perkataan ini, lalu Imam Ali menegaskan bahawa yang sedemikian itulah tujuannya. Al-Qur’an tiadalah melainkan hanya tinta dan kertas, dan ia tidak boleh berkata-kata dengan sendirinya. Melainkankan manusia-lah yang memberi maksud kepadanya berdasarkan penilainan dan pemikiran mereka yang terbatas.

Apa yang akan menggugat reputasi atau masa depan Islam dan Muslim selanjutnya adalah bergantung kepada setangkas mana keputusan yang kita ambil dan terima (atau tidak) dalam proses menghadam dan menelaah semula undang-undang dan sejarah kita. Berdasarkan realiti ini, kita harus mengerahkan seluruh kekuatan yang terdaya untuk memastikan perwakilan kita terhadap Islam dipertahankan di atas landasannya yang sebenar yang menuntut keadilan bagi semua. Inilah sebabnya mengapa, menurut Zainah Anwar, kita patut menimbang untuk mengenengahkan istilah yang lebih tepat dengan “Feminisme Muslim”, berbanding “Feminisme Islam”. Pada akhirnya Muslim, dengan basis dan cita-cita perjuangannya yang jujur yang akan mengusung agenda perubahan atas nama Islam.

Giliran Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady tampil sebagai panel mungkin merupakan detik perbahasan yang paling kompleks daripada kesemuanya, kerana penyampaiannya diasak dengan rujukan yang ketara kepada al-Qur’an dan Julia Kristeva, antara lainnya. Kiranya berpada untuk dinyatakan, bagaimanapun, bahawa intisari asas daripada mesejnya adalah ingatan kepada kelompok feminis Muslim untuk berhati-hati terhadap tradisi intelek yang mereka sandarkan dalam aktivisme mereka.

Dr el-Muhammady: Islam tidak berkompromi dalam soal yang berkait dengan keadilan, hak asasi dan kebebasan. Bagaimanapun, kita harus berwaspada terhadap rangka epistemologi yang memberikan definisi terhadap kategori tersebut, khususnya, elemen konstruktivis sosial yang kuat mendominasi pemikiran feminis barat di abad ke 20

Dr. el-Muhammady mengulangi penegasan dan dakyahnya bahawa Islam tidak berkompromi dalam soal yang berkait dengan keadilan, hak asasi dan kebebasan. Bagaimanapun, kita harus berwaspada terhadap rangka epistemologi yang memberikan definisi terhadap kategori tersebut, khususnya, elemen konstruktivis sosial yang kuat mendominasi pemikiran feminis barat di abad ke 20. Manusia, digarap dalam terma Islam, pertamanya adalah makhluk Allah, yang dikurniakan hak selaras dengan naluri penciptaannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Khalifah di muka bumi.

Berdasarkan gambaran ini, keadilan berakar kepada pemberian autoriti moral oleh Tuhan yang merupakan sumber terpenting dan arkitek terhadap seluruh ciptaan. Hal ini secara fundamental bertentangan dengan idea manusia sekular yang mana pembawaan jantina dan seksnya ditentukan oleh norma sosial. Keadilan, menurut pandangan hidup yang duniawi dan sekular ini, tidak didikte oleh wahyu tetapi hanyalah hasil pemerhatian akan gugatan dan ketimpangan sosial.

Siapa dan apa yang kita rujuk kerana idealisme yang terpaut dalam sanubari akan mencorakkan kemungkinan yang dapat kita capai dan jangkakan. Menurut Dr. el-Muhammady, sekiranya kita lebih digerakkan oleh keadilan yang dimaknai dan dilahirkan dalam tradisi Barat, maka idealisme yang kita usung hanya akan mengarah pada kondisi yang tidak sebenarnya Islamik sebagaimana diharapkan. Yang lebih parah, kecenderungan tersebut memecahkan jemaah Islam dan mengasak tradisi kita kepada posisi yang rapuh untuk dieksploitasi oleh anasir luar dan golongan orientalis.

Dr Farish Noor: Hakikatnya sebarang perbincangan tentang masa depan feminisme Islam tidak akan berhasil tanpa mengaitkannya dengan kenyataan sekarang bahawa sebarang bentuk aktivisme yang progresif dalam dunia Islam adalah sebahagian dari rangka pergelutan kuasa yang lebih besar, dan meresahkan, yang didepani oleh umat Islam sejagat.

Farish Noor, panelis yang ketiga dan terakhir, tidak menzahirkan banyak penambahan terhadap definisi Feminisme Islam. Sebaliknya, dan lebih tepat lagi, beliau menfokuskan untuk melihat perdebatan ini dalam percaturan konteks geopolitik yang lebih luas. Hakikatnya sebarang perbincangan tentang masa depanfeminisme Islam tidak akan berhasil tanpa mengaitkannya dengan kenyataan sekarang bahawa sebarang bentuk aktivisme yang progresif dalam dunia Islam adalah sebahagian dari rangka pergelutan kuasa yang lebih besar, dan meresahkan, yang didepani oleh umat Islam sejagat.

Dengan mengungkapkan nama “Muslim” dan “Islam” saja telah membangkitkan rasa gerun yang automatis daripada kalangan bukan Islam dan berkocak prasangka, justeru tidaklah menghairankan ramai kalangan Muslim yang ratanya tidak bersedia untuk membahaskan isu feminisme, dan cenderung melihatnya sebagai salah satu “ancaman” lain daripada bukan Islam dalam pergelutan zaman. Sebarang percubaan untuk menyusun strategi dan rencana bagi menuntut perubahan yang progresif bagi masyarakat Islam harus menyematkan hal ini dalam fikiran.

Farish Noor menekankan, bagaimanapun, bahawa perubahan pasti berlaku sama ada kita senang atau tidak dan perubahan akan menyaksikan peningkatan dan pemberdayaan terhadap status wanita (sebagai misal, pada waktu ini umumnya tren di dunia Islam membuktikan lebih ramai wanita yang mengikuti pengajian tinggi berbanding lelaki). Tetapi sama ada atau tidak ini akan dicapai dengan aman atau pada waktu yang terdekat, dan sama ada atau tidak ia akan dirintangi oleh penentangan, adalah sukar untuk diputuskan dengan pasti pada waktu ini.

Sidang hadirin sedang asyik mendengar hujah panelis.

Sesi soal jawab seterusnya adalah cukup menyegarkan sebagaimana yang dijangkakan. Pada hakikatnya, apa yang diutarakan oleh kebanyakan yang membangkang adalah berlatarbelakangkan keasyikan untuk mempertahankan nilai yang autentik dan kebimbangan terhadap pengaruh asing. Kesemua panelis bersetuju dan menekankan – dengan penekanan yang agak berlebihan – bahawa Islam secara jelas dan tuntas menitikberatkan kebajikan kaum hawa.

Tetapi sumber mana – contoh mana, figur dan peristiwa, tradisi falsafah dan literasi yang mana – melangkaui Hadith dan Qur’an, yang harus kita sandarkan, untuk kita temukan inspirasi untuk mencari keadilan dalam situasi dunia yang bertambah rumit dan tak menentu ini, adalah sesuatu yang tidak dapat ditentukan. Sejauh mana projek feminis Islam dapat terus menerobos? Sejauh mana untuk ditempuh dan apakah harganya untuk dibayar? Bagaimana kita dapat kekal mempertahankan kesetiaan dan komitmen terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan Sunnah di samping terus bersikap terbuka terhadap perubahan yang tak menentu di hadapan kita?

Dihadiri oleh pelbagai kaum agama..

Persoalan ini adalah mustahil untuk dijawab dalam satu petang tetapi kita hanya perlu melacak kepada tradisi sejarah untuk menemui pembayang tentang bagaimana untuk meneruskannya: Ia memperlihatkan sosok Ibn Rushd, pada abad ke 14 di Andalusia yang mengklaim bahawa wanita harus “mempunyai kedudukan yang setanding dengan lelaki” supaya “akan lahir di kalangan mereka patriot, filasuf, pemerintah dan yang lainnya”. Beliau mengemukakan kenyataan ini bukan dalam tafsir atau dalam treatis prolifiknya tentang Shariah, tetapi dalam komentarnya terhadap karya Plato, Republic, sebuah teks yang bersarang dengan faham mitologi dan paganisme.

Sama juga, kita hanya perlu menghimbau sejarah bahawa Islam diasaskan dalam persekitaran budaya dan agama yang rencam dalam kurun ke 6 di Mekah, di mana kelompok Muslim yang terawal harus berinteraksi dengan kritis, dan menimbang dengan serius, perhatian dan tuntutan jirannya daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Sabean, antara lainnya. Intipati pentingnya di sini adalah untuk menyatakan bahawa telah cukup perbandingan dalam Islam untuk mengingatkan kita bahawa momen terbaik dan mengilhamkan dalam sejarah sebahagian besarnya adalah lantaran kesediaan kita untuk menanggapi secara kreatif, BUKAN keresahan kita untuk mengekalkan nilai autentik.


Abduh Study Group (ASG), Islamic Renaissance Front (IRF)

Grup Studi Abduh, adalah salah satu sayap penting dalam gerakan IRF, yang ditubuhkan bagi meneruskan cita-cita IRF untuk merekonstruksi pemikiran Islam, mereformasi budaya, meneruskan perjuangan dakwah, dan memimpin kebangkitan dan nahdah. ASG memikul peranan utama dalam IRF untuk menterjemah dan mengupas karya-karya tafsir (klasik dan kontemporer) dan melakarkan rencana-rencana penting seputar nuansa politik dan dakwah dan menggarap idealisme yang digagaskan oleh pemikir dan reformer Islam seperti – Jamaluddin al-Afghani, Imam Muhammad Abduh, Syaikh Muhammad Rasyid Rida, Rashid Gannouchi, Prof Tariq Ramadan dan sepertinya. Falsafah dan kerangka fikir yang mencorakkan metode diskusinya yang kritis adalah berteraskan mazhab pemikiran Syaikh Muhammad Abduh. Grup ini akan bergerak bersama dengan sayap-sayap lain dalam IRF bagi meneruskan matlamat pembaharuan ini.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022