Azzam Tamimi dan Rachid Ghannouchi: Demokrasi, Muslim Demokrat dan Mogok Lapar Tahanan ISA
February 28, 2018

Saya menulis catatan ringkas berkenaan buku ini dengan cara yang tersendiri. Bagi saya buku ini adalah suatu yang istimewa. Saya menilai buku ini istimewa di atas empat faktor. Pertama; di mana dan dari siapa saya mendapat buku ini, kedua; siapa penulisnya, ketiga; apakah subjek dan topik utama yang menjadi tumpuan penulis dan keempat: dalam keadaan bagaimana saya memulakan dan menghabiskan membaca buku ini.

Saya terima buku ini ketika saya ditahan di Kem Kamunting di bawah akta zalim ISA. Penulisnya, Azzam Tamimi yang menetap di London mengetahui daripada media berkenaan penahanan saya dan lima lagi aktivis Reformis yang secara kejam dipenjarakan tanpa bicara. Dalam satu kesempatan Dr Azzam diundang untuk membentangkan kertaskerja dalam persidangan Islam antarabangsa di Kuala Lumpur di atas tajuk demokrasi, hak asasi manusia dan Islam, beliau menziarahi keluarga saya lalu menyerahkan buku ini. Di bahagian kulit dalam buku tersebut Dr Azzam Tamimi menulis:

Bismillahir-Rahmanir-Rahim.To Br. Saari Sungib with my best wishes and du’a for you to remain steadfast.

May Allah reward you and provide you with pleasant deliverance
Azzam Tamimi

31/3/2002

Pada ketika buku ini diterbitkan oleh Oxford University Press, Dr Azzam Tamimi sudah pun terkenal sebagai salah seorang daripada segelintir di kalangan tokoh, pakar dan autoriti dalam bidang demokrasi, hak asasi manusia, pluralisme dan pemikiran politik Islam di dunia Barat. Nama-nama besar seperti Professor John Keane dan Professor John Esposito yang pada mulanya adalah guru-gurunya, dengan terbitnya buku ini telah menempatkan Dr Azzam Tamimi sebarisan dengan tokoh-tokoh pemikiran politik Islam di peringkat antarabangsa.

Begitu teruja saya apabila menerima buku karya hebat beliau dan bertambah yakin saya bahawa sebagai seorang autoriti dalam bidang pemikiran Islam beliau bukan hanya seorang penyelidik akademik yang bersifat arm-chair da’i.  Dr Azzam Tamimi bukan hanya seorang pemikir Islam tetapi beliau juga seorang aktivis dan pejuang.

Dr Azzam Tamimi adalah pengarah Liberty for the Muslim World iaitu sebuah NGO yang beribu pejabat di London. Liberty menumpukan usahanya memantau dan memperhatikan kes-kes pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di negara-negara umat Islam. Premis yang dijadikan sandaran oleh Liberty ketika itu demokrasi adalah sesuai dan sepadan dengan Islam. Untuk itu melalui Liberty, Dr Azzam Tamimi menjalankan engagement serta penyelidikan untuk cuba membuktikan demokrasi adalah bersepadanan sepenuhnya jika diletakkan di atas asas-asas, kerangka dan matlamat Islam. Itulah sebab pertama bagi saya kenapa buku ini istimewa ini.

Saya mula mengenali Azzam Tamimi pada tahun 1977 semasa menghadiri perkhemahan musim panas di Manchester dan seterusnya di Birmingham. Beliau ketika itu sedang belajar dalam tahun dua sarjana muda di Sunderland Univerity di bahagian utara England. Beliau memang akrab dan bergaul rapat dengan pelajar-pelajar Malaysia di Sunderland. Sebagai seorang Arab Palestin yang berasal daripada keluarga berwarga negara Jordan, beliau adalah seorang yang amat fasih bercakap dalam bahasa Inggeris dan Arab. Dengan itu menjadikan kami senang dan selesa dengan beliau.

Dalam perkhemahan tersebut tugas rasminya adalah menyampaikan tafsir Al-Qur’an yang diperuntukkan baginya selama satu setengah jam setiap hari. Kami tidak pernah jemu hadir ke sesi-sesi tafsir beliau. Oleh itu kami meminta beliau mengisi waktu-waktu malam dengan sesi-sesi tafsir tambahan. Apa yang masih segar dalam ingatan saya bersama beliau adalah saya telah mempelajari tafsir surah-surah An-Nur, An-Ali-Imran, Nisa’, At-Taubah, Al-Anfal, Al-Ahzab, Al-Fath, Muhammad, Al-Hujurat, As-Saff, Al-Munafiqun dan tafsir bagi semua surah dalam Juzu’ Amma. Sesi-sesi tafsir Azzam Tamimi yang dijalankan secara halaman demi halaman berdasarkan Tafisr Ibn Kathir dan Fi Zilal Al-Quran oleh Sayyid Qutb itu telah benar-benar melonjakkan kefahaman kami terhadap Islam itu sendiri. Azzam Tamimi adalah guru kami dan beliau juga adalah sahabat kami. Apa yang penting beliau adalah seorang pejuang. Azzam adalah qudwah hasanah bagi kami. Saya ketika itu baru sahaja tamat tahun pertama A Level di Southampton Technical Collage.

Menariknya, ketika itu kami semua berkongsi satu kefahaman bahawa demokrasi adalah ideologi yang dilahirkan oleh Barat dan bertujuan untuk mengukuhkan nilai-nilai dan cara hidup masyarakat Barat. Kami berfahaman ketika itu bahawa ideologi Barat mendukung segala usaha untuk menjauhkan manusia daripada kehidupan beragama dengan kefahaman materialisme dan sekularisme. Ketika itu Azzam Tamami sendiri amat keras pendiriannya terhadap demokrasi. Masih saya ingat lagi ketika itu antara lain beliau sering berkata: “My dear brothers! Be aware of politics, remember democracy is from syaitan”!. Tetapi itu lebih dari 40 tahun yang lalu.

Tatkala saya menerima buku tulisan Dr Azzam Tamimi yang berjudul “Rachid Ghannouchi: A Democrat within Islamism”, kefahaman kami sudah tentu jauh kehadapan disebabkan pendedahan dan pengalaman kami dalam dakwah dan politik. Melalui terjemahan karya-karya ulama progresif, aktivis serta pengamal dakwah yang menghuraikan bahawa demokrasi bukanlah satu ideologi seperti yang difahami pada tahun 1970-an. Tokoh-tokoh besar yang mempengaruhi pemikiran saya sendiri tentang demokrasi berlandaskan prinsip dan acuan Islam antaranya adalah Dr Hassan At-Turabi, Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Dr Ibrahim As-Sanusi, Dr Muhammad Salim Al-Awa dan Dr Azzam Tamimi sendiri apabila beliau berjaya mengangkat ketokohan dan pemikiran Sheikh Rachid Ghannouchi ke pentas antarabangsa.

Sempena genap setahun dipenjarakan tanpa bicara di bawah akta zalim ISA, saya dan lima orang tahanan Reformasi telah membuat keputusan untuk menjalankan mogok lapar. Pada masa itu mogok lapar akan kami mulakan pada 10 April 2002 dan kami akan melancarkan total hunger strike pada hari kelapannya.

Buku kiriman Dr Azzam Tamimi saya terima selepas ia melalui proses penapisan selama 9 hari di Kem Kamunting. Buku tersebut ditanda sebagai masuk pada tarikh 9 April 2002. Untuk menghargai nilai buku yang menghuraikan erti demokrasi, persahabatan saya dengan penulisnya serta tokoh yang menjadi subjek kajian serta pengalaman serta pemikiran Sheikh Rachid Ghannouchi yang akibatnya beliau sendiri telah meringkuk beberapa tahun dalam penjara Tunisia.

Sebab ketiga istimewanya buku ini adalah kerana subjeknya, iaitu Sheikh Rachid Ghannouchi sendiri adalah seorang pejuang demokrasi atas dasar bahawa demokrasi adalah: dari rakyat untuk rakyat demi rakyat.

Sebab keempat buku ini istimewa adalah keputusan yang saya buat untuk membaca hanya buku ini sahaja sepanjang kami menjalani mogok lapar. Mogok lapar itu adalah saat paling getir dan paling mendebarkan yang pernah saya lalui dalam hidup saya. Ketika itu saya tidak tahu berapa lama akan kami jalankan mogok lapar tersebut. Entah hidup entahkan mati! Sempat atau tidak sempat habis membaca buku ini.

 


YB Saari Sungib adalah Ahli Dewan Negeri Selangor, Kawasan Hulu Kelang dan mantan Presiden, Jamaah Islah Malaysia (JIM). Buku Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat dalam Wacana Islamisme ini akan di lancarkan oleh YB Nurul Izzah Anwar pada tanggal 10 March, 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022