Kata Pengantar Edisi Melayu Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat dalam Wacana Islamisme
March 2, 2018

Buku Rachid Ghannouchi – Seorang Demokrat Dalam Wacana Islamisme terjemahan saudara Muhammad Syamil Dzulfida dan Ahmad Nabil Amir, terbitan Islamic Renaissance Front, tentunya punya pelbagai sisi istimewa. Menjadi lebih menarik kerana hanya Tunisia, negara tunggal yang mampu mempertahankan kehendak rakyatnya, tujuh tahun selepas ‘Arab Spring’ atau ‘Thaurah Sya‘biah’ pada Disember 2011. Sheikh Rachid Ghannouchi dan Partinya, Ennahdah atau Kebangkitan (Renaissance) amat sentral dalam naratif kebangunan semula negara Tunisia.

Dan buku terbitan Oxford University Press (OUP) ini berbicara tentang Sheikh Rachid Ghannouchi melalui kalam Dr Azzam Tamimi, rakan baik saya semasa sama-sama menuntut di peringkat ijazah pertama di United Kingdom. Peranan Azzam penting untuk  memaknakan pelbagai pengalaman Ghannouchi untuk tatapan umum dan khasnya generasi penerus pendukung perjuangan.

Saya bertuah berada di London menyambung pelajaran ketika Ghannouchi mendapat suaka politik di UK, bermula pada tahun 1989. Beliau mengelak daripada dipenjara lagi setelah partinya diharamkan sejurus selepas menang dalam pilihanraya umum pada tahun 1988. Menghimbau sedikit awal pendidikannya, Ghannouchi merakamkan alma-maternya daripada Universiti Ez-Zitouna, kebetulan universiti Islam pertama di dunia (737 Masihi) yang dakwa beliau menganjurkan sudut pandang Islam yang dinamik serta responsif kepada perubahan kehendak masyarakat. Etos itu penting dalam pembentukan pemikiran beliau sehingga kini.

Penting untuk dirakamkan di sini, Ghannouchi pernah terlibat dalam aktivisme golongan kiri semasa menuntut di Syria. Beliau terdedah dengan pemikiran kiri Nasserisme dan Baathisme dan pernah terlibat dalam Parti Sosialis ketika menyambung pelajarannya di Universiti Damsyik, Syria dalam bidang falsafah dan graduasi pada 1968, di peringkat ijazah pertama.

Terdahulu, daripada itu, beliau dan pelajar-pelajar Tunisia disingkir daripada pengajian di Universiti Cairo, Mesir dan kemudian Damsyik. Ghannouchi juga berkesempatan mengikuti kajian pasca-ijazah dalam bidang falsafah di Universiti Sorbonne, Paris sebelum akhir kembali ke Tunisia meneruskan aktivismenya. Beliau mengakui, di tahap awal, dipengaruhi pemikiran gerakan Al-lkhwan Al-Muslimun terutamanya pengasas Ikhwan sendiri, Imam Hassan Al-Banna dan Dr Mustafa Siba‘i, Murshid al-Ikhwan al-Muslimun di Syria.

Ghannouchi memulakan aktivismenya dengan penubuhan ‘Harakah Al-Ittijah Al-Islami’ bersama-sama Syeikh Abdul Fattah Moro atau dengan singkatan MTI (Islamic Tendency Movement) pada April 1981, yang kemudiannya menjadi Harakah Ennahdah semasa era autokrat Ben Ali mengambil dan akhirnya kini menjadi sebuah hizb atau parti. Di lihat pada susur-galur perkembangan perjuangan dari usia mudanya, Ghannouchi tidak punya kelainan yang ketara berbanding ramai pimpinan gerakan Islam yang seangkatan dengan beliau yang berpangkalan di negara Timur Tengah dan Afrika Utara (Middle East & North Afrika) atau dengan singkatan MENA oleh para akademik.

Namun, keistimewaan keintelektualan dan garapan realiti Ghannouchi menyerlah ketika penekunan kritis dibuat bagi menelusuri evolusi pemikirannya. Hal ini lebih ketara ketika berada ditampuk pemerintahan kini. Kini pemasyhuran peralihan atau anjakan kepada paradigma dan konstruk pemikiran ‘Muslim Demokrat’ semakin menyerlah. Lebih penting beliau melahirkan kefahaman mengapa ‘ijtihad politik’ itu diambilnya sejak awal lagi. Walaupun risiko besar dituduh ‘heretical’ atau  melakukan ‘inhiraf’ (penyimpangan) dalam ‘kamus haraki’ gerakan Islam khasnya jalur pemikiran al-Ikhwan al-Muslimin, beliau tetap lakukan apa yang beliau rasa patut lakukan.

Perkara ini bukan kali pertama dan rasanya bukan juga terakhir beliau akan menggemparkan pemikiran ‘jalur lkhwani’. Pernah seawal tahun 80-an, Ghannouchi menyarankan kepada Sheikh Omar at-Telmisani, Murshid al-Ikhwan ketika itu, untuk menubuhkan al-Ikhwan sebagai sebuah parti dan mewujudkan tahaaluf (kerjasama) dengan parti lain. Beliau telah ditempelak secara spontan oleh Murhid al-Ikhwan itu. Tetapi akhirnya saranannya terbukti diguna pakai tiga tahun kemudian, ketika al-Ikhwan al-Muslimun mengadakan kerjasama atau tahaaluf dengan Hizbul Wafd, sebuah parti nasionalis di Mesir.

Sekali lagi, komunikasi peribadi saya dengan Ghannouchi, mengesani bahawa syor beliau tentang pendekatan dan penyelesaian krisis kepada mantan Presiden Morsi dan pimpinan tertinggi Ikhwan, pada saat-saat getir sebelum rampasan kuasa militer di Mesir oleh rejim as-Sisi, tidak begitu difahami atau pendeknya, tidak diambil tindakan oleh rakan-rakan Ikhwannya. Kini kesemuanya sudah menjadi sejarah. Ternyata dari sisi dan perspektif pemikiran, beliau berada dalam kelas atau liganya yang tersendiri. Ghannouchi nyata tidak punya peers atau ‘gandingan’ kontemporari kecuali dalam pendekatan non-konvensional pemimpin Parti AK di Turki, yakni Recep Tayyib Erdogan.

Sheikh Rachid Ghannouchi jelasnya, bukan daripada golongan pemimpin gerakan Islam yang konvensional atau ‘stereotype’, yang lazimnya ‘predictable’ dari segi gerak-tindak politik, pemikiran dan polisi-dasar mereka. Beliau nyata tidak terperangkap dalam satu ‘time-warp’ naratif gerakan Islam, pasca-kolonialisme, yang meskipun beliau sendiri pernah terlibat suatu ketika dahulu. Beliau merakamkan peristiwa di penjara pada tahun 1981 hingga 1984 telah banyak mengizinkan dirinya membuat pelbagai introspeksi dan pengunjuran trajektori ke depan. Ketika itu juga, beliau menziarahi kembali khazanah perjuangan pelopor perubahan Tunisia seumpama al-Tunisi, Tahtawi, ath-Tha‘labi, Al-Fasi dan Abduh. Pemikiran ‘Maghrib’ yang rata-rata tidak disenangi pemikiran Salafi dari Mashriq lebih besar mempengaruhi Ghannouchi.

Lebih khusus lagi, beliau mendapat inspirasi daripada pemikir sebelah Barat Negara Arab (Al-Maghreb Al-Arabi) seperti ahli falsafah Algeria, Malek Bennabi dan salah seorang tenaga pengajar Universiti Ez-Zitouna sendiri, Syeikhul Islam, Muhammad At-Tahir ibn ‘Asyur (1879-1973), tokoh yang mentajdidkan bidang Maqāsid Syari‘ah hampir 700 tahun selepas Imam Al-Shatibi (720–790H, 1320–1388) menggagas penulisan ulungnya Al-Muwāfaqaat fi Usul as-Syari‘ah.

Selanjutannya Ghanouchi menghasilkan tulisan seminalnya ‘Demokrasi dalam Islam’ atau ‘ad-Dimuqratiyah fil Islam’ yang merupakan terjemahan dan lanjutan tesis syarahan Malik Bennabi ‘Kebebasan Umum Dalam Negara Islam’ (Al-Hurriyah al-ammah fi al-dawlah al-islamiyah). Seluruhnya bernuansakan ‘Karamah Insaniyah’ atau ‘Dignity of Man’ yang mesti dibela dan diperjuangkan. Pemikiran ini yang menjadi teras penulisan tentang Ghannouchi dalam buku karangan Azzam ini. Pengungkapan intipati yang berkisar soalan-soalan besar fahaman kebebasan, tatakelola, pembahagian kuasa, sistem multi-parti, dasar dan falsafah politik Islam atau siyāsah syar‘iyyah.

Berdepan dengan cabaran realiti politik Tunisia (realpolitik), beliau dan pimpinan Ennahdah secara berani dan komited membuktikan mereka berupaya mengemudi laluan sukar menempuh kesemuanya. Tanpa mendetil langkah-langkah politik yang mereka ambil dalam mengharungi cabaran realpolitik Tunisia; semasa, selepas pilihanraya dan selepas menang, berkoalisi, setelah menyerahkan kuasa selepas menang, seluruhnya membuktikan keanjalan, inklusiviti, ketangkasan dan keutuhan pemikiran politik Ennahdah dan Ghannouchi.

Anjakan besar Ennahdah pada Kongres ke-10 yang berlangsung pada 21 Mei, 2016 di Olympic Hall, Rades, Tunisia amat besar ertinya. Pengisytiharan bahawa Ennahdah telah meninggalkan status ‘Political Islam’ (Islamist Democrat) dan graduate kepada ‘Muslim Democracy’ (Muslim Democrat), sekaligus meletakkan Ennahdah dan Sheikh Rachid Ghanoucchi sebagai tokoh dan gerakan politik yang bakal mempelopori trajektori perjuangan yang unik dan menyegarkan.

Pada hakikatnya, buku terjemahan ‘Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat Dalam Wacana Islamisme’ ini, jelasnya sudah melepasi perjuangan Ghannouchi dan Parti Gerakan Ennahdahnya atau Hizb Harakah An-Nahhah. Ya, sekaligus buku ini menjadi testimoni evolusi pemikiran Ghannouchi yang pantas dan responsif kepada situasi, sekiranya cuba diukur dan dinisbahkan dengan anjakan posisi Ennahdah semasa kongres Ennahdah ke-10.

Sayugia juga disebut di sini, buku Anne Wolf, ‘Political Islam in Tunisia: a History of Ennahda and the Tunisian Exception’ (2017), berusaha menggarap seluruh perkembangan perjuangan Ennahdah dan Sheikh Rachid Ghanoucchi sehingga kini. Pun begitu, buku terjemahan ‘Rachid Ghanoucchi: Seorang Demokrat dalam Wacana Islamisme’ ini tetap merupakan sumbangan intelek yang baik untuk tatapan semua; yang mencintai perjuangan Islam dan yang ingin menyaksikan kebangunan semula tamadun manusia.

 


Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH). Buku Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat dalam Wacana Islamisme ini akan di lancarkan oleh YB Nurul Izzah Anwar pada tanggal 10 March, 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022