Kata Pengantar “Golongan Islam Pertama: Sejarah dan Memori

July 11, 2018 by Saari Sungib


Buku ini memberi beberapa sudut pandang tentang sejarah dan warisan kenangan yang berkadar dengan keupayaan dan tujuan praktikal para pembaca. Keupayaan ini jika diukur di segi luasnya pembacaan atau tahap yang amat tinggi dan pengamatan pembaca terhadap dasar dan prinsip pensejarahan dan hadharah Islamiyah. Hal ini bermakna sekiranya seseorang itu memahami secara baik kitab-kitab tafsir al-Qur’an, kitab-kitab hadith sahih dan juga kitab-kitab syarah hadith sahih pada masa yang sama secara berterusan meneliti kitab-kitab sïrah nubūwwah, maka bolehlah dikatakan bahawa semua yang tercatat dalam buku ini adalah tema-tema utama.

Di mana dengan berpandukan dengannya dapatlah golongan Muslim dan juga bukan Muslim yang hidup pada hari ini sedar bahawa Islam itu adalah satu ajaran dan cara hidup yang praktikal, mudah serta membibitkan mawaddah dan rahmah, meluaskan lantas membumikan dalam masa yang sama mengukuhkan ukhūwwah dan mahabbah. Benar dan tepat sekali bahawa Islam adalah cara hidup yang bertujuan menyebarkan rahmah. Islam tegak di atas prinsip-prinsip kedamaian, keamanan, keselamatan dan ta‘ārufjuga ta‘āwun untuk semua. Islam adalah cara hidup yang dipenuhi dengan rahmah. Diterapkan dalam sifat-sifat mulia mu’min berasaskan hablum minallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama manusia).

Buku ini bermula dengan lakaran ringkas tetapi padat tiga generasi Muslim yang dikenali dalam ummah ini sebagai as-salāf as-sālih. Generasi pertama adalah generasi para sahabah, iaitu mereka yang beriman dan berjuang bersama-sama Rasulullah. Generasi kedua adalah generasi at-tābi‘ïn, iaitu mereka yang hidup sezaman dengan para sahabah selepas kewafatan Rasulullah. Para at-tābi‘ïn adalah mereka yang memahami, menghayati dan memperjuangkan Islam bersama-sama para sahabah. Generasi ketiga adalah at-tābi‘ at-tābi‘ïn iaitu pengikut para tābi‘ïn.

Buku ini juga mengupas bahawa golongan as-salāf as-sālih ini adalah dari segi iktikad, kefahaman, amalan dan ilmu bersandarkan kepada al-Qur’ān dan as-Sunnah telah menjadikan terbinanya asas-asas kekuatan Islam hingga ke hari ini. Penggunaan kalimah as-salāf as-sālih diambil daripada hadith Rasulullah ketika merujuk kepada sifat-sifat unggul seorang sahabah yang telah meninggal dunia dengan kalimah salāfina as-sālih al-khyr. Di sinilah benar-benar terserlah kepakaran penulis, Asma Afsaruddin seorang yang pernah menjawat Profesor Madya dalam Pengajian Bahasa Arab dan Islam di University of Notre Dame, Indiana, USA dan kini sebagai Professor di Indiana University, Bloomington, USA. Pengkhususannya adalah dalam bidang sejarah leluhuran Arab tulen dan campuran.

Oleh itu, sebagai contoh, dengan menempatkan seorang Muslim yang sedang mendalami sejarah dan peradaban Islam, maka buku ini bolehlah dijadikannya sebagai panduan penting untuk melihat peristiwa dan naratif yang kritikal bagi memahami dan menginterpretasi konsep-konsep penting daripada latar sejarah yang ada bagi diiktibari atau dimanfaati bagi konteks semasa.

Pada masa yang sama, jika ditempatkan pula seorang penyelidik atau pengkritik ilmiah yang sudah berpengalaman yang boleh dikatakan hampir menguasai beberapa latar utama sejarah dan peradaban Islam, maka buku ini sah boleh dijadikan catatan dan nota-nota kritikal dalam mewacanakan huraian yang mendalam dan naratif yang pastinya cukup panjang dan mendalam dengan isu, konteks serta pencerahan dalam realiti lampau dan semasa.

Penampilan yang segar pada asal-usul dan perkembangan Islam, demikian ini merupakan rekonstruksi semula era pembentukan masyarakat Islam yang menarik. Menggunakan banyak sumber bahasa Arab klasik, ia menceritakan kehidupan Rasūlullah, para sahabatnya dan dua generasi umat Islam berikutnya, bersama-sama dikenali satu golongan dipanggil sebagai as-salāf as-sālih.

Buku ini melihat dengan jelas bibit-bibit awal masyarakat Islam dan menerangkan kesannya terhadap perkembangan Islam dan kepercayaan semasa. Satu pandangan yang segar pada asal-usul dan perkembangan Islam. Hal ini merupakan pembinaan semula yang menakjubkan pada era tiga generasi pertama umat Islam.

Dengan membuat analisis yang mendalam ke atas keadaan kontemporari umat Islam awal sebagai dalil atau asas yang kukuh bagi menerima sesuatu sandaran agama mahupun politik, beliau cuba untuk menentukan di mana simpati mereka benar-benar terletak. Sesungguhnya ia berupa bacaan penting bagi sesiapa yang berminat pada permulaan Islam, dan buku yang penting ini akan memikat para pembaca dan pelajar umumnya.

Buku itu mungkin agak terlalu sepintas. Dan mungkin juga buku ini akan ditanggapi oleh sesuatu pihak sebagai gagal untuk membuktikan kepelbagaian tradisi Islam yang dapat menggambarkan masa penyusunan pemikiran Islam itu sendiri. Namun terdapat pernyataan yang agak menarik yang dibuat oleh penulis di dalam buku ini dalam melihat beban khazanah silam yang digarap semula oleh aliran-aliran yang berlainan dalam menghadapi tantangan abad ini. Dan sudah tentu ia boleh dibahaskan dan diwacanakan lagi.


YB Saari Sungib adalah ADUN Hulu Kelang. Beliau juga adalah Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM). Buku Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori ini akan diluncurkan pada 21 Julai 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.