Kata Pengantar Penterjemah Religion vs. Religion oleh Ali Shariati
April 2, 2017

Ahmad Nabil Amir || 2 April 2017

2.Para9.RightBuku ini mengetengahkan tesis yang luar biasa bahawa dalam sejarah kemanusiaan, pertembungan yang berlaku adalah antara agama dengan agama; dan bukan dengan yang bukan-agama seperti yang disangka.   Yakni, tauhid, agama yang mempercayai KeTuhanan yang Esa, atau din al-hanif,  sepanjang sejarah, sentiasa bergelut dengan agama yang menafikan terdapat Satu Tuhan atau percaya bahawa tiada Tuhan (kufr, kafir, mulhid) atau terhadap agama yang mempercayai bahawa terdapat banyak tuhan (shirk, politeisme, multiteisme), yang membawa kepada kesyirikan dan keberhalaan.

Menurutnya, agama sebagai ideologi, merupakan: “suatu keyakinan yang dipilih secara sadar untuk menjawab keperluan-keperluan yang timbul dan memecahkan masalah-masalah dalam masyarakat. Ideologi diperlukan, menurut Shariati, untuk mengarahkan suatu masyarakat atau bangsa dalam mencapai cita-cita dan wahana perjuangan. Ideologi dipilih untuk mengubah dan merombak status quo secara fundamental.”

Buku ini melakarkan idea yang signifikan tentang tauhid sebagai asas daripada perjuangannya untuk membawa kebebasan dengan menolak kesyirikan dan penyembahan berhala dan menggantungkan keyakinan dan penyerahan yang mutlak kepada Tuhan. Iktikad ini membebaskan manusia daripada kepercayaan agama yang palsu, khurafat, tahyul, dan berhala psikologi yang mengikat kebebasan dan pengabdian pada Tuhan. Hal ini diungkapkannya dengan jelas menzahirkan bentuk daripada berhala psikologis ini:

“Apakah ia? Pangkatmu? Kemasyhuranmu? Kedudukanmu? Pekerjaanmu? Kekayaanmu? Rumahmu? Kebunmu? Keretamu? Kekasihmu? Keluargamu? Pengetahuanmu? Pangkatmu? Senimu? Kerohanianmu? Pakaianmu? Nama baikmu? Bakatmu? Jiwamu? Kepemudaanmu? Kecantikanmu?

Aku sama sekali tidak tahu. Hanya kamu yang sedar tentangnya…daku hanya boleh memberikan tanda-tandanya: Apa jua yang melemahkanmu dalam urusan kegamaan. Apa saja yang menghela dan menyekat pergerakanmu. Apa saja yang menyusupkan keraguan kepada tanggungjawabmu. Apa jua yang mengikatmu dan menahan dan menghalang kemajuanmu. Apa saja yang kamu cita-citakan yang mematri hatimu dari mendengar dan menerima pesan Kebenaran. Apa jua yang menyebabkanmu mundur. Apa jua yang mendorongmu untuk memberikan alasan, melegitimasi, dan mengkompromi-penafsiran teks yang berat sebelah yang menjadikanmu buta dan tuli.”

2.Para6.RightHal ini bererti kepercayaan yang batil dan agama yang songsang itu bukan hanya tugu, patung yang diukir, tetapi juga kejahilan dan ideologi yang dipertahankan.

Sesungguhnya teori teologi pembebasan – liberation theology – yang dibawa Shariati ini melakarkan idealisme pembaharuan dan pembebasan yang radikal berdasarkan prinsip kesatuan dari dimensi spirituil dan fizikal peri kemanusiaan. Dialektika Tauhid yang dirumuskannya, menekankan keyakinan terhadap keesaan Tuhan yang revolusioner yang dengan sendirinya menolak segala bentuk kesyirikan dan, sebarang idealisasi apa jua yang lain daripada Tuhan baik berupa materi, harta kekayaan mahupun kekuasaan.

Kemanusiaan yang sebenar adalah kesedaran tentang nilai moral, agama dan budaya dan fitrah azali yang menjadi asal usul dan pangkal kemanusiaan itu sendiri. Dan sebuah masyarakat sosial itu wujud dengan setara berdasarkan keyakinan tauhid yang dapat menjelmakan kesatuan, kesetaraan dan keadilan, dan menyerlahkan keesaan Tuhan yang satu berdasarkan pada prinsip kesatuan yang membungkam ketidakadilan kelas dan kasta, dan menolak penindasan golongan aristokrat (mala’) dan kelompok yang rakus dan tak pernah puas (mutrif) dan ‘ibadut taghut yang menekan dan memeras golongan bawahan yang daif dan tertindas.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Buku Agama Lawan Agama oleh Ali Shariati ini akan diluncurkan oleh YB Saari Sungib, Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada hari Sabtu, 8 April 2017 di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022