Muhammad Asad: Pencari Millat Ibrahim
June 15, 2017

Terjemahan oleh Ahmad Nabil Amir

 

1.Para1Sesungguhnya yang terpenting daripada apa terungkap dalam kehidupan Muhammad Asad yang panjang dan pengembaraan spiritualnya yang kaya adalah beliau merupakan seorang ahli fikir Yahudi yang kental dalam pencariannya terhadap agama Ibrahim, sehingga mendapatinya terumus sempurna dalam Islam, tidak dicampur aduk oleh kebiadapan sejarah atau dikacaubalau oleh tangan-tangan zaman ini. Kemudiannya beliau terus menjadi pembela risalah Islam, setulusnya untuk umatnya sepanjang tempoh usianya yang panjang.

Muhammad Asad dilahirkan pada tahun 1900 di bandar Lvov, Ukraine, yang pada masa itu masih merupakan sebahagian daripada empayar Austria (al-Nimsawi). Bapanya menamakannya (Leopold Weiss) dan itu adalah nama yang dikenal dengannya sehingga beliau memeluk Islam. Keluarganya berasal dari keturunan Yahudi yang kuat berakar dalam tradisi Taurat dan Talmud, dan di antara datuknya terlingkung dari para Rabbi yang terkenal dengan penguasaan mereka dalam agama Yahudi. Justeru Asad mendapat pendidikan yang mendalam dalam kepercayaan Yahudi mengikut warisan keagamaan keluarganya, dan mendalami bahasa Ibrani dan Aramaic sejak kecil. Kemudiannya beliau berhijrah ke Vienna dalam usia yang dini untuk mendalami pengetahuan seni dan falsafah. Dan ketika berusia dua puluh tahun beliau berhijrah ke Berlin dan bekerja sebagai wartawan di salah sebuah agensi suratkhabar German.

Pada tahun 1922, Asad bermusafir untuk menziarahi pakciknya di Palestin, dan di sana beliau menjadi reporter luar bagi akhbar Frankfurter Zeitung yang terkemuka, yang memungkinkannya untuk menjelajah ke Timur Arab, dan menyingkapkan kepada Barat aspek-aspek yang tidak diketahui dari kehidupan bangsa di Timur dan khazanah kebudayaannya. Dan beliau telah menghimpunkan sebahagian dari rencananya dalam bukunya (Unromantisches Morgenland, The Unromantic Orient) yang diterbitkan pada tahun 1924, yang setakat ini belum diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sejauh yang saya tahu.

2.Para4.RightDi Palestin, Asad mula menyikapi dan menemukan agama Ibrahim dan warisannya. Sesungguhnya beliau melihat – sebagai seorang Yahudi Eropah – perbezaan yang besar antara penduduk Yahudi yang berhijrah ke Palestin dari Eropah dan penduduk asal Baitul Maqdis dari bangsa Arab, dan mencatat bahawa beliau mengenali – dan beliau menilik wajah manusia dan mengamati kehidupan mereka di lorong-lorong al-Quds yang kuno – bahawa peribadi Ibrahim (AS) termanifestasi di wajah orang-orang Arab dan bawaan dan watak mereka, lantaran mereka adalah anak Ibrahim yang sebenar, adapun bangsa dari kulitnya sendiri dari penjajah Yahudi bangsa Eropah mereka hanya orang asing yang berlagak, telah tumbuh hubungan antara mereka dan antara Ibrahim (AS) sejak abad yang panjang…dan dari orang kebanyakan di Palestin dan Mesir itu telah memberinya pengalaman dengan timur Arab, dan kecintaan nya pada Arab yang berpanjangan.

Jalan ke Makkah

Meskipun dengan warisan keagamaan Yahudi yang mendalam yang diwarisi dalam keluarganya, namun Muhammad Asad tidak mendapati ruh kemanusiaannya yang bergelora selari dengan kerangka yang sempit dari agama Yahudi. Dan beliau melihat bahawa Yahudi menasionalisasikan agama bagi mendukung keunggulan suku yang mereka tersedut darinya, sehingga fikrah penciptaan alam yang tinggi berubah dalam kebudayaan mereka kepada fikrah kebangsaan semata-mata. Makanya Tuhan dalam kebudayaan Yahudi tidak mengindahkan selain “dengan nasib satu bangsa dari bangsa-bangsa manusia, yakni bangsa Ibrani, bahkan Tuhan alam berubah menurut mereka menjadi “Tuhan kabilah, mengacukan nasib seluruh ciptaan menurut keperluan dari kewujudan satu kaum yang terpilih” mengikut ungkapannya. Kemungkinan ketidakpuasan dari kecenderungan kabilah yang sempit dalam akidah Yahudi ini lah yang mendorong Asad untuk mencari makna kehidupan dan nilai kemanusiaan yang universal dalam Islam.

3.Para6Islam masuk ke lubuk hati Asad pada tahun 1926 ketika berada di Berlin, saat beliau membaca terjemahan surah al-Takathur, dan telah mencatatkan impresinya setelah membaca surah tersebut: “ini bukan hikmah dari seorang lelaki yang hidup di jazirah Arab pada kurun yang lampau…sesungguhnya suara al-Qur’an lebih besar dari sekadar suara Muhammad (SAW)”. Asad bepergian untuk mengerjakan haji setelah pengIslamannya, ditemani isterinya yang pertama Elsa yang memeluk Islam bersamanya, di mana tak lama berselang ruhnya menemui Penciptanya setelah beberapa hari mereka menunaikan ibadah haji. Tetapi Asad memutuskan untuk tetap bersama di tengah saudara-saudaranya seagama, dan berikhtiar untuk membela akidah yang telah menyentuh hati nuraninya, dan mengangkat umat yang dibangsakan kepadanya dengan penuh kerelaan.

Bukanlah Islam Muhammad Asad itu kerana taqlid atau terpesona dengan romantisme timur pada momen yang gelap dari sejarah Arab, dan Asad sesekali bukanlah pria yang romantis, dan disebabkan itu muncul bukunya yang pertama tentang timur berjudul The Unromantic Orient. Sebaliknya beliau adalah pria yang berbudi halus yang mencari makna kehidupan dan keutamaannya yang lahiriah, yang ditemukannya dalam agama Islam. Lantas beliau mengimaninya dengan mendalam, dan pada ciri-ciri orang Arab itu beliau menaruh kecintaan yang tulus. Sesungguhnya pengIslamannya adalah satu keputusan yang dihayati dengan sedar yang berpijak atas kefahaman tentang erti dan makna kehidupan. Asad telah menulis tentang hal itu dengan katanya:

4.Para8“Saya tidak menjadi Muslim kerana hidup dalam tempoh yang panjang di tengah orang Islam, tetapi ia malah sebaliknya, yakni kerana saya memutuskan untuk hidup di tengah mereka lantaran saya telah memeluk Islam” (The Road To Mecca, 20)

Dan demikianlah Asad berkelana di jazirah Arab selama enam tahun, memperdalam dalam tempoh itu pengetahuannya tentang bahasa Arab dan takluknya dengan kebudayaan Islam, dan beliau telah menggambarkan dengan penanya yang menakjubkan pengembaraannya mengharungi padang pasir Nufud yang melelahkan dan lainnya dalam bukunya The Road to Mecca yang kita rujuk di sini dengan terjemahannya yang berjudul Al-Tariq ila al-Islam. Dan Asad sempat mengenali Raja Saud bin Abd al-Aziz, dan puteranya al-Amir (setelah itu menjadi raja) Faisal, dan menikah dengan isterinya dari Saudi Arabia (Munira) yang melahirkan puteranya Talal Asad, ahli antropologi yang kenamaan dan profesor di Universiti New York.

Asad Bersama Singa Padang Pasir

Antara pemandangan yang mendebarkan dan singkapan tentang syaksiah Muhammad Asad yang kental dan keimanannya yang mendalam pada iktikadnya dan ummah Islamnya, adalah perjalanannya yang berat dan merbahaya dari Hijaz ke Libya, untuk bertemu dengan pejuang gerilya dan syeikh al-mujahidin ‘Umar al-Mukhtar. Asad telah mengenali sepanjang menetap di Hijaz Sidi Ahmad al-Sharif, Syeikh gerakan Sanusiah yang terusir di tanah al-Haramayn, dan hatinya tertawan dengan keluhuran dan keutamaannya. Asad telah menulis tentang Sanusi, katanya:

5.Para11“Di seluruh tanah Arab tiada orang yang lebih kucintai melebihi Sayyid Ahmad, kerana tiada orang yang telah mengorbankan dirinya dengan sepenuhnya dan dengan begitu tak mementingkan diri kerana suatu cita-cita [ideal]…seorang yang terusir pada siapa jalan pulang ke tanah asalnya di Cyrenaica (Libya) telah ditutup setelah bertempur tiga puluh tahun…tiada nama lain yang lebih menyebabkan banyak malam yang tidak nyenyak tidur kepada para pemerintah kolonial di Utara Afrika (The Road to Mecca, 253-254).

Syarif Ahmad al-Sanusi telah meminta Muhammad Asad untuk pergi ke Libya dan bertemu dengan ‘Umar al-Mukhtar, dan melihat dengan dekat tentang ehwal gerakan jihadnya yang aktif pada hari-hari tuanya, dan mengemukakan khittah dan usul bagi kebangkitan dan penyatuannya. Dan Asad merasakan ketulusan maksudnya, kerananya beliau tidak teragak-agak, dan menulis setelah itu bahawa pasukan Umar Mukhtar berjuang dengan nyawa mereka demi kebebasan dan kehidupan Islamiyah sebagaimana dilakukan para Sahabah pada pertama kali “Untuk menolong mereka dalam perjuangan mereka yang sukar dan pahit, bagaimana tak menentu sekalipun akibatnya, adalah persis secara peribadi wajar kepada saya sebagaimana pada solat.”  (The Road to Mecca, 268).

Dan setelah mengharungi petualangan yang getir membelah Laut Merah dengan menumpang perahu dayung yang usang, dan menempuh padang pasir Mesir dan Libya yang terik di atas belakang unta, sampailah pertemuan yang bersejarah dengan Sidi Umar al-Mukhtar, yang dicatatkan oleh Asad, dengan katanya: “dan kemudian dia datang, menunggang kuda yang kecil yang telapaknya dibalut dengan kain. Dua orang lelaki berjalan di kedua-dua sisi dan beberapa lagi mengiringinya. Apabila dia sampai di batuan di mana kami sedang menunggu, salah seorang anak buahnya membantunya untuk turun, dan saya melihat dia bergerak dengan kepayahan (setelah itu saya mengetahui bahawa dia tercedera dalam suatu pertempuran kecil sepuluh hari sebelumnya). Dari cahaya purnama yang cerah saya kini dapat melihat sosoknya dengan jelas; seorang lelaki yang bersaiz sedang, tulang otot yang kuat; janggut putih-seperti salju, yang pendek, membingkai wajahnya yang suram, dengan garis-garis yang mendalam; matanya terletak jauh ke dalam rongganya; dari kerut di sekelilingnya, seseorang dapat mengagak bahawa dalam keadaan yang berbeza ia mungkin pernah tertawa, tetapi sekarang tiada dalamnya selain kegelapan dan penderitaan dan keberanian. (The Road to Mecca, 275)

6.Para14Sesungguhnya idea al-Sanusi dan Asad adalah kebangkitan gerakan jihad yang lesu di Libya, melalui penekanannya di wilayah Kufra, kemudian membekalkannya dengan senjata dan keperluan dari Mesir. Tetapi ketika Asad sampai di Libya wilayah Kufra telah diduduki, dan tentera Fasis Italia telah mengetatkan jebakan di perbatasan Mesir Libya, dan merentangkan kawat berduri di sepanjangnya. Asad menghabiskan bersama Sidi Umar al-Mukhtar selama dua hari bertukar fikiran tentang jalan untuk menyelamatkan harakat jihad, namun tidak berhasil.  Dan tampak bahawa Umar al-Mukhtar lebih tahu tentang nasib harakat jihadnya yang hampir malap, walaupun ia tidak lenyap dari dadanya, atau melemah dari iltizamnya, ujar syaikh al-Mujahid kepada peziarahnya Asad:

“Engkau dapat melihat, anakku, kami telah sesungguhnya mendekati waktu kami yang ditentukan…kami berperang kerana kami harus berjuang untuk agama dan kebebasan kami sehingga kami dapat menghalau penjajah atau kami sendiri yang terkorban. Kami tak punya pilihan. Dari Tuhan kami datang dan kepadaNya kami kembali” (The Road to Mecca, 277).

Setelah Asad mengetahui bahawa pertempuran bersenjata di Libya telah menjadi sesia dan merugikan di masa mendatang, beliau membayangkan kepada Sidi Umar al-Mukhtar untuk mengungsi bersamanya ke Mesir bagi menyelamatkan nyawanya sementara jalan masih terbuka, dan dari sana menyusun kekuatan dengan mengumpulkan pelarian dari Cyrenaica dan membina harakat jihad yang lebih efektif, dan berusaha membina hubungan dengan penjajah Inggeris di Mesir mengingat tentang ketegangan mereka dengan Italia…tetapi Sidi Umar tetap berkeras untuk hidup di Libya di tengah pengikut-pengikutnya dari kalangan Mujahidin sehingga dapat membela perjuangannya atau beliau sendiri tewas…dan Asad harus pulang melalui jalan yang ditempuhnya ketika datang, dan jalan pulang yang terbentang itu laluannya getir, kerana terpaksa merempuh kawat penghalang dan titik kawalan yang diawasi tentera Italia. Dan dia telah bertembung dan menghadapi penggempuran dan penyerangan pasukan Italia, beserta sekelompok Mujahidin Umar Mukhtar yang bersamanya, tetapi mereka berhasil lolos setelah kehilangan lima orang pejuang yang syahid di medan tempur. Dan setelah lapan belas bulan dari kunjungannya asy-Syahid Umar Mukhtar tewas dan tertawan, dan terbunuh di tangan Fasis Italia.

Kembali ke Barat Islam  

Dan setelah Asad mengerahkan harga yang mahal untuk membela Islam di jazirah Arab dan Timur Afrika, beliau beralih untuk membantu kaum Muslimin di benua kecil India, berpergian ke Timur Islam, mengunjungi Iran dan Afghanistan dan India (sebelum pemisahan) di mana beliau bertemu dengan pujangga dan filasuf Islam Muhammad Iqbal yang menyingkapkan kegeniusan fikrahnya dan iltizamnya yang mendalam dengan isu-isu Islam…yang telah meyakinkannya untuk tinggal di sana bagi membantunya “menjelaskan premis intelektual bagi masa depan negara Islam”, Republik Pakistan. (The Road to Mecca, 14).

7.Para18.RightSetelah kewafatan Muhammad Iqbal dan terbentuknya negara Pakistan, Asad memperoleh hak kerakyatannya, dan bekerja di kantor (Department of Islamic Reconstruction) dan melakarkan idea tentang konstitusi (dustur) Islam yang dikehendaki negara, dan idea ini terhasil dari penelitian teoretikal yang direncanakan dalam tulisannya Islamic Constitution Making.

Kemudian Asad menjabat sebagai pembantu menteri luar negeri untuk urusan Timur Dekat di Kementerian Luar Pakistan dalam menata hubungan Pakistan dengan dunia Arab, dan kemudian menjadi perwakilan tetapnya (Pakistan’s Minister Plenipotentiary) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.  Dan apa yang tersingkap sejak beberapa tahun belakangan bahawa Israel memikirkan untuk cuba melobi Muhammad Asad ketika itu sewaktu menjadi duta Pakistan pada awal tahun 50-an, menyangka buruk bahawa mereka bisa mengeksploitasi latar belakang Yahudinya, sungguhpun mereka mengetahui akhirnya bahawa beliau telah menyerahkan kesetiaannya yang mutlak pada Islam, dan tiada sebarang kemungkinan untuk mengekploitasinya.

Pada tahun 1952, Asad berhenti daripada pekerjaannya sebagai perwakilan tetap Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menumpukan pada penulisan bukunya The Road to Mecca, dan bagaimana berkahnya penarikan itu yang telah membuahkan kitab tersebut!

Kemudian Asad berpindah ke Sepanyol pada tahun 1955 untuk menghabiskan sisa hayatnya bersama isterinya asal Amerika Pola Hamida Asad, menyiapkannya untuk pekerjaan seumur hidupnya yang terpenting, iaitu terjemahan al-Qur’an dan komentarnya dalam bahasa Inggeris, yang terealisasi dalam kitabnya The Message of the Qur’ān yang merupakan terjemahan yang akurat terhadap al-Qur’an, berserta dengan nota kaki yang ekspresif tentang keluasan pengetahuan pengarangnya, dan penguasaannya tentang makna al-Qur’an dan rahsia bahasa Arab. Telah bersandar Majlis Perhubungan Islam-Amerika (Council on American-Islamic Relations (CAIR) di Washington atas terjemahan ini, dan ia mengedarkannya hari ini dalam kempennya untuk mendistribusikan berjuta naskhah dari terjemahan al-Kitab al-Karim.

19184432_10155443937773739_970974654_nSetelah melalui usia yang panjang menjangkau lebih 90 tahun Muhammad Asad akhirnya wafat pada tahun 1992, dan dimakamkan di Granada, negeri yang dipilihnya untuk menghimbau dan menjejak semula warisan peradaban Islam, sehingga beliau hidup di penghujung usianya di tanah asalnya di Eropah. Pada tahun 2008, perbandaran Vienna menamakan salah satu jalannya yang utama– yakni jalan yang bertentang dengan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – dengan nama Muhammad Asad Platz, dan menganggapnya sebagai anaknya, seorang warga global, yang berusaha membina jambatan antara Timur dan Barat.

Dua Alaf yang Hidup dalam satu Watan

Muhammad Asad tidak mengusung dikotomi insan dalam kebudayaan Eropah antara rohani dan jasmani, dan lisanul-halnya bersenandung bersama Jalal al-din al-Rumi dalam al-Mathnawi:

Tiada hijab antara ruh dan tubuhku

Kerana keduanya dua alaf yang hidup dalam satu watan

Sebagaimana dia tidak membawa jiwa yang berunsurkan kebencian yang mendominasi di Eropah pada awal kurun kedua puluh, dan berakhir dengan muktamad di bawah pemerintahan Nazi di German. Maka beliau mencari penawar terhadap dua penyakit ini, maka didapatnya dalam Islam penyatuan dari dua bahagian kewujudan manusia, dan realisasi dari persaudaraan insan, dan itulah rahsia tarikannya kepada agama ini.

8.Para24Pada permulaan kehidupannya di Timur Islam sebagai koresponden akhbar pada awal kurun kedua puluh Asad mula mengenali ruh Islam secara beransur, seraya menulis menzahirkan tentang kesan keberadaannya di Timur: “dan sejak kali yang pertama tumbuh dalam diri saya simpati terhadap konsep kehidupan yang lebih tenang – saya harus sebaliknya menyebut, lebih manusiawi -, berbanding dengan cara hidup yang serba terburu-buru dan mekanistik di Eropah. Simpati ini beransur-ansur membawa saya kepada penyelidikan tentang sebab dari perbezaan tersebut, dan saya menjadi berminat dengan ajaran agama orang-orang Islam. Dalam masa ini, minat tersebut masih belum cukup kuat untuk menarik saya untuk memeluk Islam, tetapi ia membuka bagi saya suatu pandangan yang baru tentang masyarakat manusia yang progresif, teratur dengan konflik dalaman yang minimum dan rasa persaudaraan sebenar yang maksimum.” (Muhammad Asad, Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 16)

Dan dengan peredaran tahun dan pengalaman bergulet dengan kebudayaan Timur Asad menginsafi bahawa dalam Islamlah apa yang dicarinya dari kesatuan Pencipta dan kesatuan insan, dan memahami bahawa “Islam membawa manusia kepada penyatuan terhadap semua aspek kehidupan” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 102) dan sesungguhnya ia adalah “kanun moral dan praktikal, individu dan sosial” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 98)

Dalam tinjauannya tentang arti ibadah dalam Islam Asad mendapatinya suatu syari’at yang asli yang tersusun daripada penyucian ruhani dan pengaturan masyarakat: “bahawa idea Islam tentang ibadah merangkumi tidak hanya semata-mata tugas-tugas ibadat tetapi sebenarnya keseluruhan hidup kita. Tujuannya adalah penyatuan diri spiritual dan material kita ke dalam satu entiti yang tunggal.” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 106).

Demikianlah sesungguhnya ciri-ciri Islam yang terkhusus dan rahsia kekuatan, kesatriaan dan daya tarikannya yang abadi “adalah keharmonian yang sempurna antara aspek moral dan material dari kehidupan manusia. Hal ini adalah satu daripada alasan mengapa Islam dalam masa keagungannya berhasil dengan jaya di manapun ia muncul. Ciri yang menonjol dari Islam ini menjelaskan mengapa Nabi (SAW) kita, dalam misinya sebagai penunjuk kerasulan kepada umat manusia, begitu mengambil berat dengan kehidupan manusia dalam kedua-dua kutubnya sebagai fenomena spiritual dan material.” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 90).

9.Para33Adapun persaudaraan umat manusia yang dilihat Muhammad Asad diinjak-injak di Eropah dengan taksub perkauman, maka didapatinya utuh terjelma dalam Islam juga, di mana beliau menginsafi bahawa “kekuatan dalaman dan keutuhan sosial dunia Islam adalah lebih unggul dari apa jua yang umat manusia pernah alami melalui organisasi sosial. (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 39). Maka mana-mana peradaban purba tidaklah mengenal percampuran ras lebih banyak dari yang dikenal dalam tamadun Islam, dan hal ini tidak terlindung dari Asad sebagai pengkaji yang gigih tentang sejarah dua peradaban Romawi dan Yunani.

 Kebangkitan Dunia Islam

Dan antara hal yang terpenting yang dibawa Muhammad Asad di sampingnya adalah keperluan terhadap pembaharuan spiritual dan pemikiran di dunia Islam, dan mengkhususkan itu dalam dua bukunya (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq – Islam at the Crossroads,) dan (Minhaj al-Islam fi al-HukmThe Principles of State and Government in Islam). Di mana beliau menyeru pada “penilaian terhadap saranan Islam harus disemak semula berasas kepada pemahaman kita sendiri tentang sumber-sumber asal dan bebas dari lapisan tebal dari tafsiran konvensional yang telah tertumpuk sejak berabad dan didapati tidak memadai pada masa sekarang.” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 118).

Asad membenci kemalasan akal yang mencengkam di tengah kebobrokan taqlid yang menghalang umat dari menyumbang kepada harakat islah dan tajdid, kerana “kerana kemalasan fikiran tidak kurang hakiki dari kemalasan badan” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 107).

Sebagaimana Asad membenci kedangkalan yang menjadi ciri sebahagian kaum Muslimin yang menerima pendidikan Barat, yang mengambil dari kebudayaan Barat tolok ukur universal tanpa kesedaran tentang zaman dan tempat. Asad telah mengingatkan “Ilmu pengetahuan itu sendiri bukanlah Barat atau Timur: ia adalah universal – sebagaimana kenyataan-kenyataan tabii adalah universal. Tetapi sudut pandang dari mana kenyataan dapat ditanggapi dan dibentangkan berbeza mengikut tabiat budaya bangsa.” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq 73).

Dan yang paling keras dihukum oleh Asad terhadap kaum yang kebarat-baratan ini adalah mereka tidak mengetahui kebesaran risalah Islam dan keabadiannya, dengan menulis: “idea bahawa beberapa pengarahan al-Qur’ān dimaksudkan hanya kepada masyarakat Arab jahiliyah pada waktu penurunan wahyu, dan bukan kepada lelaki yang bertamadun pada kurun kedua puluh…pada pangkalnya terletak sikap pandang rendah yang buruk tentang peranan yang sebenar seorang Nabi bangsa Arab. (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 90-91).

10.Para38Dan rahsia daripada sikap yang mengalah dan mundur dari kelompok ini, serta kecenderungan untuk meniru peradaban asing – pada pandangan Asad – adalah akibat daripada lemahnya kepercayaan pada diri dan rasa rendah diri, di mana beliau melihat bahawa “Bagi mencapai kebangunan semula dunia Islam, umat Islam harus, sebelum mengambil sebarang langkah pembaharuan, membebaskan diri mereka sepenuhnya daripada semangat bermaaf bagi agama dan struktur sosial mereka.  Seorang Muslim harus hidup dengan kepalanya tegak meninggi.” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 85), sebagaimana beliau mengamati bahawa “Tiada peradaban dapat berkembang, atau malahan wujud, setelah hilang kebanggaan dengan dirinya dan hubungan dengan zaman silamnya sendiri” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 86).

Asad menyimpulkan dari pengalamannya yang piawai dengan dua kebudayaan Timur dan Barat bahawa umat manusia bagaimana sekalipun meningkat dalam jenjang peradabannya ia tetap akan mendapati dalam risalah Islam jawaban yang sempurna dan urapan yang menyembuhkan: “Tiada tanda yang terlihat bahawa umat manusia – dalam kedudukannya sekarang – telah mengatasi Islam. Ia tidak mampu untuk menghasilkan sistem etika yang lebih baik dari yang diekspresikan dalam Islam” (Al-Islam ‘ala Muftaraq al-Turuq, 114).

Semoga Allah merahmati Muhammad Asad, sang pencari millat Ibrahim.

_____________________________________________________________________

Mochtar ShinqitiMohamed El-Moctar Shinqiti adalah Profesor Madya dalam Etika Politik di Research Centre of Islamic Legislation and Ethics (CILE) (Pusat Penyelidikan Perundangan dan Etika Islam) dan kini mengajar sejarah dan falsafah agama di Fakulti Pengajian Islam Qatar (QFIS), Hamad Ben Khalifa University, Doha, Qatar. Beliau adalah pengulas dan kolumnis tetap di siaran TV Al-Jazeera dan laman sesawangnya, di mana beliau telah menerbitkan lebih 400 makalah yang analitis dalam bahasa Arab dan Inggeris. Esei asal ini dalam Bahasa Arab bertajuk: Muhammad Asad al-Bahith ‘an Millat Ibrahim:

الشنقيطي يكتب : محمد أسد.. الباحث عن ملة إبراهيم

Pautan asal

https://www.4nahda.com/article/1467

http://essirage.net/archive/index.php/portrait/9836-2012-11-09-21-26-35.html

http://archive.al-watan.com/viewnews.aspx?n=8908C12C-D387-4B7F-A1D0-3B7D267C12F6&d=20120806

NabilDr Ahmad Nabil Amir adalah Sarjana PhD dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin. Beliau juga adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022