Prakata Edisi Terjemahan Melayu – The First Muslims

July 16, 2018 by Asma Afsaruddin


Saya berbesar hati untuk menulis Prakata ini khusus bagi terjemahan Melayu buku saya The First Muslims. Karya ini adalah usaha yang dibikin dari rasa cinta yang ditulis untuk menyampaikan kepada kalangan yang ahli dan bukan ahli tentang signifikasi yang tak berakhir dari sejarah awal Islam bagi kaum Muslim kontemporer dan semua kalangan yang hidup dengan mereka. Terjemahan Melayu ini akan membolehkan karya ini diakses kepada khalayak pembaca yang besar, terutamanya di dunia Islam, yang telah lama menjadi salah satu dari impian saya.

Salah satu sebab buku ini ditulis adalah untuk memulakan perbincangan di kalangan orang Islam sendiri tentang kepentingan sejarah awal Islam dan pelbagai makna yang kita dapat garap, tidak hanya daripada kehidupan Nabi Muhammad, tetapi juga daripada kehidupan para Sahabatnya dan mereka yang mengikuti mereka dalam generasi yang berikutnya. Kita mempunyai sumber-sumber yang kaya dan berlimpah di mana ulama Islam sejak selepas zaman Nabi mula mencatatkan kesan mereka tentang keutamaan kehidupan umat Islam yang terawal – kaum salaf– dan tentang inspirasi yang kita dapat tarik dari legasi moral, spiritual dan intelektual mereka.

Hari ini perkataan salaf sering disalahfahami dan kadang kala memberi putaran balik yang negatif dalam lingkungan yang tertentu kerana kurangnya pemahaman sejarah tentang kepentingan konsep ini dan konotasinya yang berubah. Untuk cuba mengikuti contoh daripada kaum Muslimin yang pertama sebenarnya adalah perkara yang terpuji – tetapi kita harus mampu untuk membaca sumbernya dengan berhati-hati dan bijaksana dan tidak membungkamnya dengan persepsi kita sendiri.

Hal inilah apa yang saya cuba untuk lakukan dalam buku ini. Dengan membandingkan dan mempertentangkan pandangan mereka yang saya panggil Muslim liberal dan modernis dengan pandangan mereka yang saya panggil Islamis garis-keras, saya memperlihatkan bahawa kedua-dua kumpulan ini tidak hanya membaca sumber dengan cara yang agak berlainan tetapi mereka juga membaca sumber-sumber yang berlainan dalam rangka untuk merekonstruksi masa lampau.

Berdasarkan kajian saya, saya menyimpulkan bahawa golongan Muslim liberal dan modernis menekankan sumber yang terawal yang tersedia kepada kita atas dasar mana mereka berupaya untuk membela nilai kesetaraan antara lelaki dan wanita, Islam dan bukan-Islam, yang lahir daripada keturunan yang tinggi dan yang rendah. Sumber terawal juga memberitahu kita bahawa terdapat pada inti pengalaman sosial Islam dorongan demokratik yang asli yang mengiktiraf hak rakyat unuk memilih pemerintah mereka sendiri dan untuk memutuskan hal ehwal umum mereka berlandaskan perundingan. Sebaliknya, kelompok Islamis garis keras sering mengutamakan sumber yang terkemudian yang ditulis ketika zaman Mamluk (dari kurun ketiga belas ke atas) pada masa kekacauan yang besar di dunia Islam ketika ia diserang oleh tentera salib Eropah dan juga oleh bala tentera Mongol. Pada masa krisis, banyak masyarakat yang berundur dan takut dengan perubahan dan “yang lain” yang dapat mengancam status quo.

Justeru kita mendapati di zaman Mamluk masyarakat menjadi lebih patriarki di mana wanita dianggap sebagai warga kelas kedua. Selain itu disebabkan serangan oleh orang luar yang agresif, orang bukan Islam sering ditanggapi dengan penuh curiga dan autoritarianisme politik menjadi leluasa. Tetapi, sebagaimana buku ini tunjukkan, perubahan ini melambangkan pengkhianatan terhadap legasi kaum Muslimin yang pertama, yang kehidupan mereka dan nilai yang mereka pertahankan dapat digunakan hari ini sebagai unsur-unsur bagi masyarakat moden yang demokratik dan egaliter.

Untuk mengikuti kaum salaf seperticara yang Muslim liberal lakukan adalah usaha yang sangat positif dan membebaskan. Saya harap ini merupakan mesej yang ramai orang Melayu akan mendapatinya menyenangkan ketika mereka, sebagaimana orang Islam di tempat lain, mencari jawapan dalam situasi semasa mereka dalam tradisi Islam yang kaya dan rencam. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Islamic Renaissance Front dan pengarahnya yang penuh inisiatif dan pintar, Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa dan koleganya yang cekap kerana menerbitkan buku saya dalam bahasa Melayu dan memungkinkan saya untuk mencapai khalayak yang penting ini. Harapan saya yang tulus mudah-mudahan ia dapat menyumbang kepada perbincangan yang telahpun berjalan di Malaysia tentang masa depan ummah sejagat kita.


Profesor Asma Afsaruddin ialah Profesor Pengajian Islam dan mantan Pengarah Department of Near Eastern Languages and Cultures di School of Global and International Studies di Indiana University, Bloomington. Beliau juga adalah profesor madya di Department of Religious Studies dan profesor di Department of Gender Studies. Beliau menerima Ph.D. beliau dalam bidang Pengajian Timur Dekat daripada Johns Hopkins University pada 1993 dan pernah mengajar di Universiti Harvard dan Notre Dame. Buku Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori ini akan diluncurkan pada 21 Julai 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.