Reformasi Radikal Dan Tariq Ramadan
August 14, 2017

 

1.Para1Apa yang mungkin jelas terhadap minda yang perseptif daripada ramai Muslimin yang rasional adalah cabaran yang mendepani umat Islam ketika ini adalah tidak sekadar dalam merumuskan semula prinsip demokrasi dalam paradigma Islam, tetapi juga dalam memperbaharui dan menyesuaikan panduan etika dan perundagan Islam dengan praktik demokrasi. Kira-kira seabad yang lalu, prospeknya tampak memberi harapan bahawa Islam akan menemukan jalan bagi merangka sistem antara agama dan kemodenan.

Ulama’ Islam yang besar seabad yang lalu seperti Imam Muhammad Abduh berhujah bahawa, manakala sebahagian aspek daripada agama kekal tidak berubah terutamanya hal-hal yang menyentuh urusan ibādah dan aqīdah; isu-isu tentang tatakelola kerajaan harus ditangani dengan akal manusia kerana ia jatuh dalam lapangan al-mutaghaiyyirāt (perkara yang berubah). Ia adalah agenda reformis Abduh dan rasionalismenya ketika itu, dengan penekanannya terhadap nalar (‘aql) dan keadilan Tuhan (‘adl), yang tampak seakan ia berupaya melantarkan dinamika teologi Islam yang mampu dan berhasil menjawab cabaran kemodenan. Malangnya, percubaan yang amat berani dan menjanjikan ini digagalkan dengan kebangkitan kaum Salafi yang literal beserta percambahannya.

Ath-thawābit (perkara yang tetap) dan al-mutaghaiyyirāt (perkara yang berubah)

2.Para3.RightSalah seorang sarjana dan cendekia Islam yang paling menonjol yang tampil di garis depan dalam memerangi kaum literalis tidak lain daripada Tariq Ramadan, cucu kepada pengasas Ikhwan al-Muslimun, Hasan al-Banna. Tariq Ramadan dalam bukunya Radical Reform menekankan bahawa pendekatan literalis semasa memperlihatkan tiga penyusutan atau kekeliruan, yang membataskan tafsiran dan akibatnya menjadikannya mustahil untuk memberi jawapan yang memadai kepada cabaran-cabaran kontemporeri.

Penyusutan yang pertama adalah kegagalan untuk membezakan antara apa yang, dalam Wahyu, adalah tetap (ath-thawābit) dan apa yang tertakluk kepada perubahan menurut perkembangan duniawi dan perubahan lingkungan (al-mutaghaiyyirāt). Sementara perintah dan larangan mungkin mutlak dan tetap dalam dirinya, implementasinya yang konkrit mungkin mengambil bentuk yang berlainan atau berubah mengikut keadaan persekitaran.

Pada peringkat sosial dan budaya umpamanya, ketika prinsip kesopanan dan kesusilaan beserta aturannya ditegakkan dalam etika Islam, pelaksanaannya dalam mana-mana masyarakat sentiasa harus mengambil kira budaya tempatan dan kelaziman. Dengan kegagalan untuk membezakan secukupnya antara yang tetap dan yang berubah, kaum literalis kontemporeri menerapkan siri kekeliruan yang lain yang melibatkan konsekuen yang besar.  

Antara Prinsip dan Model

Kesan daripada kekeliruan ini membawa kepada penyusutan kedua yang melibatkan kegagalan untuk membezakan antara prinsip dan model. Sementara prinsip tidak dapat berubah, mutlak, dan kekal; tetapi pelaksanaannya dalam waktu atau dalam sejarah – model sejarah – adalah relatif, bertukar dan terus menerus berubah. Lantaran itu, prinsip keadilan, kesetaraan, hak asasi dan persaudaraan bangsa manusia yang memandu Rasulullah sesungguhnya kekal sebagai rujukan yang melangkaui julat sejarah; tetapi model kota Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad pada kurun ketujuh adalah realisasi historis yang terkait dengan realiti dan keperluan pada waktunya.

Maka, ketika kita cuba untuk terus berpaut pada prinsip-prinsip tersebut, kita tidak boleh hanya meniru, menghasilkan semula, atau menyalin model sejarah yang layak pada suatu masa yang khusus tetapi tidak lagi menjawab keperluan dan tuntutan semasa pada zaman kita ini.

3.Para8.RightKehendak yang sama ini dapat ditemui dalam sebahagian tren Salafi kontemporeri yang menganjurkan komitmen politik yang hampir eksklusif, dengan cuba ingin kembali kepada struktur politik sejarah yang spesifik yang mengakibatkan kepada ketersampingan prinsip yang mengatur komuniti tersebut.

Tariq Ramadan menekankan bahawa intisari daripada kepatuhan yang sebenarnya kepada Nabi dan para sahabatnya bukannya dengan menuruti tinadakan-tindakan mereka secara semberono, atau cuba menghasilkan semula pencapaian sejarah mereka yang telah usang, tetapi ia terletak dalam penawanan semula kekuatan spiritual dan dinamisme intelektual mereka untuk mencapai model sosial yang paling koheren bagi zaman kita, sebagaimana yang telah mereka lakukan untuk zaman mereka. Namun ia bukan untuk mengulangi bentuknya tetapi untuk memahami intipati, semangat dan tujuannya.

Antara Aqidah atau Ibadah dan Mu ‘amalah

Penyusutan ketiga menurut Tariq Ramadan adalah kegagalan untuk membezakan antara metodologi hukum yang terkait dengan aqīdah dan ibādah; dengan yang berhubung dengan urusan mu‘āmalah.  Sementara dalam dua lapangan daripada aqīdah dan ibādah itu, kita berhadapan dengan ajaran yang ditentukan oleh Wahyu; akan tetapi lapangan mu‘āmalah adalah sama sekali berbeza, di mana segala sesuatu itu diizinkankan, melainkan apa yang secara eksplisit ditegah oleh Wahyu.

4.Para12Prinsip yang asas, dalam urusan sosial, adalah harus (al-asl fil-ashyā al-ibāha), justeru membuka ruang kepada manusia kepada medan rasionaliti, kreativiti dan penyelidikan. Selama mereka kekal setia kepada prinsip, sebarang penghasilan sosial, ekonomi atau politik bukanlah bid‘ah (pembaharuan yang tercela dari sudut pandang agama) tetapi sebaliknya harus dilihat sebagai pencapaian bagi kebajikan manusia.

Kekeliruan dan penyusutan tiga kali lipat ini mempunyai konsekuen yang utama ke atas pemikiran Islam kontemporeri dan cenderung untuk membendung sebarang bentuk reformasi dalam pembacaan, pemahaman dan implementasi terhadap teks dalam konteks sejarah yang baru. Secara umumnya, ia berakibat daripada terlalu mempermudahkan pesan Islam dan akhirnya menyanggahi matlamatnya yang abadi lagi tidak terbatas oleh waktu.

Peranan Ijtihad

Sejarah telah menunjukkan bahawa, sejak saat ketika ulama’ memutuskan untuk ‘menutup pintu ijtihād’ sekitar kurun ketiga belas, dunia Islam telah menjadi senuah peradaban yang statik, terbatas kepada penjabaran yang hanya menuruti idea-idea mereka yang terdahulu, lalu membikin setiap langkah kecil ke hadapan itu satu perjuangan yang maha besar.

Islah dan Tajdid telah dirintang di bumi Islam dan para reformis dan pemikir Islam telah sama ada difitnah atau dianiaya, yang secara efektif menyekat reformasi yang akan menampung agama dan penganutnya kepada kemodenan. Di sinilah di mana Tariq Ramadan menekankan keperluan terhadap ijtihād dalam melanjutkan agenda reformasi. Menurutnya, ijtihād sentiasa merangkul upaya untuk menzahirkan pembacaan teks yang kritis ketika ia terbuka kepada interpretasi dan penafsiran, atau ketika teks tidak menangani hal dan keadaan yang tertentu, atau ketika konteks harus diambil kira dalam menerapkan teks, walaupun ketika teks kelihatan telah muktamad dan qat‘i (eksplisit). Keabsahan dan keperluan terhadap pembacaan yang kritis seperti ini jarang dipersoalkan, kecuali tentunya oleh mereka yang menuruti tren pemahaman literalis yang sempit.

Hubungan dialektika antara teks dan konteks menuntut akal manusia untuk mencari jalan bagi beriltizam melalui dua paduan daripada tahap pengetahuan, iaitu yang berlandaskan prinsip yang kekal berkait dengan praktis ibadah dan akhlak, dan yang berkait dengan realiti kehidupan yang sentiasa berubah dalam masyarakat manusia.

Reformasi: Adaptasi atau Transformasi

Semua mazhab para reformis bersetuju bahawa ahli hukum Islam harus berfikir menerobosi lohong sejarah dan menimbangkan semula fiqh berdasarkan cabaran baru pada zaman mereka. Ijtihād dianggap, sebagaimana yang Muhammad Iqbal ajukan, sebagai instrumen yang semulajadi, yang ditawarkan oleh tradisi hukum Islam, untuk mencapai pengubahsuaian dan pembaharuan itu. Kerana rempuhan globalisasi, fuqahā’ kini dilanda dengan persoalan yang terkait dengan kesinambungan preskripsi Islam dalam era baru ini.

Dunia terus mara dan bergerak akan tetapi para fuqahā’ terus tertinggal di belakang kemajuan yang terus memecut itu yang tampaknya terluput daripada mereka. Kerana itu, Tariq Ramadan mengusulkan, pendekatan transformatif ketimbang daripada pendekatan adaptif. Perubahan transformasi, menurutnya adalah lebih mencabar, di mana ia menambah langkah yang lanjut, dan syarat, kepada keseluruhan proses. Ia bertujuan untuk merubah urutan perkara di atas nama etika yang ia cuba untuk berpaut padanya. Dengan perkataan lain, untuk menambah langkah yang lanjut yang berangkat daripada teks semata kepada konteks; untuk bertindak di atas konteks itu dan memperbaikinya, tanpa sama sekali menerima kekurangannya sebagai akibat daripada takdir semata-mata.

Reformasi Radikal

Langkah yang lebih lanjut ini menuntut pensyaratan yang fundamental untuk dipenuhi, yakni memperoleh pengetahuan yang mendalam tentang konteks, dan menguasai sepenuhnya menguasai semua bidang pengetahuan termasuk sains kemanusiaan. Jadi reformasi radikal menyasarkan untuk merubah dunia, dan menyuguhkan pembacaan yang baru terhadap teks, tidak hanya bergantung ke atas ulamā’ an-nusus (pakar teks) semata, tetapi menuntut integrasi yang penuh dan setara terhadap semua pengetahuan manusia yang ada.

Dalam hal ini, keperluannya adalah mendesak untuk memperluaskan lingkaran keahlian dan membutuhkan ulamā’ al-waqi (pakar tentang konteks yang termasuk di dalamnya para Pakar Perubatan, Arkitek, Insinyur, Ahli Sains, Sejarah, Geologi, dan seumpamanya) dan tidak lagi hanya pakar teks atau ulamā’ an-nusus.

6.Para21Reformasi radikal adalah seruan untuk menimbangkan semula sumber kepada perdamaiannya yang wajar dengan dunia, evolusinya dan pengetahuan manusia. Justeru mendamaikan hati nurani dengan sains adalah imperatif. Pasti ada ruang untuk diperdebat, dan pasti akan ada pertentangan. Tetapi dhamir Muslim kontemporer harus mentransformasi pergolakan daripada pertemuan dan percanggahan idea ini kepada suatu tenaga perdebatan, pembaharuan dan kreativiti yang menghasilkan kepatuhan serta koherensi yang tenang di tengah kekalutan era moden kita ini beserta cabaran-cabarannya.

Martin Luther Islam

Tariq Ramadan telah tampil sebagai satu suara yang terkehadapan daripada para reformis Islam. Keyakinannya berteraskan manhaj yang integratif, yang menyatukan pendekatan teologi yang bertenaga, berteraskan-nilai dengan pemahaman spiritual yang realistik tentang permasalahan semasa adalah merupakan resepi yang penting bagi pembaharuan yang sebenar. Dan penekanannya bahawa sebagaimana dunia terus berubah, terdapat keperluan bagi pandangan kedua terhadap al-Quran dan teks-teks Islam yang lain adalah konsisten dengan semangat Islah dan Tajdid.

Seruannya kepada pembacaan semula terhadap teks-teks Islam ini lantaran banyak kekeliruan di dalam komuniti Islam, sedikit sebanyak menyamai klaim Luther untuk kembali kepada yang dikatakan “teks asli”, yang bebas daripada banyak salahtanggapan yang terkumpul padanya.

Bagaimanapun, sementara pembacaan semula Luther membebaskan kitab suci Kristian daripada monopoli gereja dan membuka gelanggang bagi terjemahannya ke dalam semua bahasa Eropah, usaha Tariq Ramadan masih belum sepenuhnya didakap oleh umat Islam sendiri, yang kebanyakannya masih terperangkap dalam polemik dan wacana antara golongan tradisionalis-salafi-modernis.


AFMusaDato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Direktur, Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang menganjurkan Islah dan Tajdid dalam pemikiran Islam. Dan buku terjemahan Bahasa Melayu, Radical Reform akan diterbitkan oleh IRF pada bulan July 2018, InsyaALlah.

Esei ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front daripada esei asal Radical Reform and Tariq Ramadan.

Pautan: http://irfront.net/post/articles/articles-english/radical-reform-and-tariq-ramadan/

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022