Uraian Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi

November 28, 2017 by Dr. Fadzilah Din


Buku Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi ini adalah hasil terjemahan ringkasan tesis PhD oleh penulisnya Ahmad Nabil Amir bertajuk Muhammad Abduh’s Contribution to Science and Technology pada tahun 2015 yang diterbitkan di Jerman dan diedit oleh Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa. Ia adalah sebuah terbitan ilmiah dan akademik yang penting dalam menyumbang kepada pencerahan ke arah masyarakat sivil bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Nusantara bagi tujuan mempromosi idea reformasi Islam modernis untuk pembaharuan yang dinamis.

Buku ini mengetengahkan sumbangan Abduh dalam bidang Sains dan Teknologi, bukan sahaja dalam bidang Teologi, kerana ramai yang masih belum jelas tentang usaha keras Imam Muhammad Abduh yang berusaha untuk mendakyahkan penemuan saintifik dan pemakaian daya intelek, kesanggupan untuk berfikir, dan menolak pembenturan mazhab dan menafikan ikutan melulu tanpa sebarang dalil substansif dan jelas. Mesej pentingnya ialah bahawa kemajuan saintifik tidak mungkin tercapai tanpa kekuatan akal.

Pada zaman Abduh, mesej saintifik adalah amat revolusioner kerana ia dinyatakan ketika agama Islam berada pada tahap yang amat lemah dan menderita akibat kolonialisme dan kemudiannya berundur kepada spiritualiti yang didominasi oleh kepercayaan karut dan tahyul. Abduh memang terkesan dengan tuduhan Ernest Renan bahawa kemunduran secara amnya disebabkan oleh agama, maka kerana itulah umat Islam mudah didominasi. Renan seakan menyatakan bahawa seseorang itu perlu meninggalkan agama untuk menjadi moden. Demi menyangkal kenyataan Renan itu, Abduh mengetengahkan idea pembaharuan dan reformasi yang intrinsik daripada agama Islam itu sendiri.

Terdapat banyak maklumat penting yang terkumpul di dalam buku ini terutama tentang sumbangan Abduh dan fakta-fakta sejarah serta pekembangan idea dalam satu naskhah memjadikannya sebagai sebuah buku academik yang amat bermanafaat bagi para penyelidik terutama sekali dalam bahagian Pemikiran Islam. Mesej utama buku ini ialah Islam berpijak pada kedua-dua wahyu dan juga akal. Abduh dan para penggerak Islam modenis mahu menghidupkan agama dengan kekuatan dan semangat rasional dengan mengambil idea-idea modern dan liberal yang menyumbang kepada perubahan paradigma sosial, budaya, pendidikan, dan politik. Inilah sebenarnya agama yang hidup dan dinamis.

Penulis juga mengutarakan bagaimana Abduh mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an secara rasional dan saintifik supaya pembaca boleh memahami dengan jelas metodologi tafsir ‘ilmi (saintifik) Imam Muhammad Abduh yang amat penting dibaca oleh lebih ramai umat Islam. Hal ini adalah kerana natijah interpretasi dan pemahaman ayat al-Qur’an amat berbeda dengan tafsir-tafsir tradisional yang dogmatik.

Buku ini adalah sebuah sumbangan akademik yang bermakna kepada memahami hubungan keserasian antara al-Qur’an dan Akal, atau dalam kata lain Islam dan Sains, yang dipelopori oleh Abduh. Ia juga menjelaskan bagaimana genre tafsir ‘ilmi yang menyulami kedua-dua tafsir al-ma’thur yang sahih dan tafsir al-ma‘qul (aqliah) yang sarih (jelas) terbentuk oleh pengaruh Imam Muhammad Abduh dan menggalakkan pemikiran saintifik Islam yang dapat melahirkan tamadun yang moden lagi progresif.


Dr. Fadzilah Din
Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia