Uraian Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan
December 25, 2017

Apabila aku berpura-pura menjadi kuat, tiada siapa yang melihat air mataku yang tersembunyi melainkan Allah. Apabila aku sedih dan perlu bahu untuk menangis di atasnya, tiada siapa yang menyokongku tetapi Allah. Menyenangkan hati manusia adalah sangat susah, menyenangkan Allah adalah yang paling mudah. Kadangkala manusia menghukumku untuk kesilapan yang tidak aku lakukan, Namun Allah mengabaikan dan memaafkan atas apa yang telah aku lakukan. Dialah Allah, Yang Maha Besar Maha Kuasa, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, dan segala puji hanya bagi Allah.”
[Tariq Ramadan]

 

Demikian itulah Tariq Ramadan, seorang filasuf, penulis, dan ahli akademik yang lahir di Geneva, Switzerland pada 26 Ogos 1962. Beliau adalah putera Ustaz Said Ramadhan dan Wafa al-Banna, yang merupakan puteri sulung Imam Hassan al Banna, yang pada tahun 1928 mendirikan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Ayahnya adalah seorang tokoh terkemuka di Ikhwanul Muslimin dan diasingkan oleh Gamal Abdul Nasser dari Mesir ke Switzerland, di mana Tariq dilahirkan.

Buku Reformasi Radikal yang ditulisnya ini merupakan ‘ground-breaking’ dan juga mercu-tanda kesarjanaan Tariq Ramadan di dalam bidang pemikiran Islam moden. Tariq Ramadan bukan sekadar mengutarakan paradigma baru di dalam usaha pemugaran ijtihad kolektif, malah telah membuka dimensi segar agar ruang pembentukan hukum Islam dapat disertai oleh pemegang taruh daripada kalangan pakar pelbagai bidang, dan bukan hanya di monopoli oleh para fuqaha’ (sarjana atau ulama’ perundangan Islam) semata-mata. Kehidupan umat Islam yang ingin berpegang kepada akar umbi sistem kepercayaan mereka di zaman pasca-modernisme yang begitu kompleks dan rumit memerlukan penyelesaian komprehensif dan tuntas. Buku Reformasi Radikal ini merupakan panduan ‘mesti milik’ kepada Muslim progresif yang mahu kekal dengan fundamental nilai kepercayaan, tetapi inklusif di dalam pendekatan kehidupan.

Tariq Ramadan sering menekankan keperluan terhadap ijtihād dalam melanjutkan agenda reformasi. Menurut beliau, ijtihād sentiasa merangkul upaya untuk menzahirkan pembacaan teks yang kritis ketika ia terbuka kepada interpretasi dan penafsiran, atau ketika teks tidak menangani hal dan keadaan yang tertentu, atau ketika konteks harus diambil kira dalam menerapkan teks, walaupun ketika teks kelihatan telah muktamad dan qat‘ie (eksplisit). Keabsahan dan keperluan terhadap pembacaan yang kritis seperti ini jarang dipersoalkan, kecuali tentunya oleh mereka yang menuruti tren pemahaman literalis yang sempit. Hubungan dialektik antara teks dan konteks menuntut akal manusia untuk mencari jalan yang menetapkan iltizam melalui dua paduan daripada tahap pengetahuan, iaitu yang berlandaskan prinsip yang kekal berhubung dengan praktis ibadah dan akhlak; dan keduanya, yang berkait dengan realiti kehidupan yang sentiasa berubah dalam masyarakat manusia.

Apabila kita berbicara tentang islah atau tajdid, seseorang harus memahami bahawa intipati daripada pemikiran reformis itu berakar daripada prinsip untuk tidak mengubah umat Islam hari ini menjadi pentaqlid umat Islam terdahulu. Dengan berpegang teguh pada prinsip, kita harus menemui bagaimanakah caranya untuk hidup pada zaman kita sendiri.  Reformasi radikal ini menuntut sebagai keperluan yang pertama, pengetahuan tentang risalah Islam yang komprehensif, prinsipnya yang universal, dan alat yang tersedia untuk membantu umat manusia menyesuaikan diri dengan masyarakatnya, dan juga untuk mengubah dunia.

Ia juga menuntut revolusi intelek yang sebenar yang memungkinkannya untuk berdamai dengan kesyumulan nilai-nilai Islam, untuk membangunkan pemikiran yang kritis, untuk membuat pilihan dengan menggunakan akal, dan istiqamah dengan tidak bertaqlid sama ada kepada yang telah lampau, atau yang pada masakini. Sesungguhnya ia menuntut penyesuaian dan penyatuan nilai yang tidak berbentur dan menjadikannya milik kita sungguhpun jika ia berasal daripada luar lingkungan Islam.  Demikian inilah reformasi radikal yang sebenar.


Dr Maszlee Malik adalah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022