Uraian Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan 
December 25, 2017

Seperti biasa dengan suara yang lantang tetapi dengan nada yang tenang, Tariq Ramadan menyeru terutamanya para ulama’ dan fuqaha’ agar terlibat secara interaktif dengan realiti sebenar masyarakat Barat. Tariq melihat sikap dan pendekatan tidak inklusif penganut Islam adalah antara sebab kenapa wujudnya pemisahan seperti ini. Bahkan di atas prinsip menempatkan teks sebagai panduan tertinggi dalam apa sahaja keadaan sekali pun, secara tidak disedari, penganut Islam telah menjauhkan masyarakat Barat daripada Islam itu sendiri.

Menjadi lebih parah lagi apabila golongan literalis teks menegaskan bahawa Islam tidak mungkin boleh dibangunkan dalam suatu suasana dan negara yang paksi kekuatannya hanyalah bertujuan untuk memajukan sebuah masyarakat sains dan teknologi serta sistem politik di atas nama demokrasi. Memanglah merupakan suatu yang amat wajar apabila para ulama’ dan fuqaha’ mempertahankan teks, iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun teks tersebut perlu diteliti dalam konteks sejarah asbabnya dan dalam konteks semasa serta unjurannya ke hadapan. Mempertahankan teks semata-mata atas sebab ia perlu dipertahankan secara literal, maka pada hakikatnya bukanlah suatu yang wajar lagi namanya.

Pendekatan literal dalam mempertahan teks mestilah turut berpandukan perkara-perkara ath-thawābit, iaitu perkara-perkara yang tetap dan tidak berubah dan juga perkara-perkara yang dipanggil sebagai al-mutaghaiyyirāt iaitu sering berubah.Dengan pendekatan integratif disokong oleh asas-asas etika yang mantap barulah reformasi yang bersifat transformational dapat dilahirkan. Apa yang diperlukan bukan reformasi yang bersifat adaptational. Inilah yang dikatakan sebagai reformasi radikal dalam pembaharuan undang-undang Islam oleh Tariq Ramadan.


YB Saari Sungib adalah ADUN Hulu Kelang dan Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022