Uraian Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady

April 24, 2018 by Mujahid Yusof Rawa


Para pemikir, yang dalam tradisi Islam dikenal sebagai Mujtahid, telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan peristiwa besar dan perubahan dalam sejarah di setiap belahan  dunia. Jangkauan pengaruh mereka menerobos melangkaui generasi, dan cetusan yang dinyalakan dalam tulisan-tulisan mereka telah mengilhamkan perdebatan yang kritis dan kajian akademik yang bertahan sampai hari ini.

Apa yang membuatkan penalaran mereka yang bebas, atau Ijtihad, begitu dinamik adalah sifat polemiknya yang telah merintis perdebatan dan diskusi daripada kedua-dua kubu – pendukung dan penghujatnya – yang telah bertahan selama berabad. Ini menjadikan salah satu kriteria bagi seseorang untuk dikenal sebagai Mujtahid, kerana idea-idea mereka harus menjelajah melewati masa dan kekal relevan lama setelah kewafatan mereka sendiri. Syed Shaykh al-Hadi telah dengan jelas memenuhi semua kriteria tersebut dan telah memastikan tempat sebagai salah seorang Mujtahid yang terulung dalam sejarah tanah air ini; seorang lelaki yang mempunyai akar yang kuat dalam tradisi Islam dan kejelasan yang mendalam tentang kondisi sosio-politik masyarakatnya.

Syed Shaykh al-Hady hidup dalam period di mana kedudukan hegemonik puak Tradisionalis Islam dalam masyarakat Melayu-Islam dicabar oleh modernisasi. Ulama’ tradisionalis menganggap kemodenan sebagai musuh ideologi; tetapi sebaliknya Syed Shaykh al-Hady bergerak dan menyeru ke arah suatu sintesis antara keduanya. Beliau percaya bahawa Islam dan modernisasi tidak berbentur antara satu sama lain. Sebaliknya, keduanya adalah gabungan yang berguna untuk menghidupkan semula pendekatan rasional dan saintifik dalam diskusi Islam justeru menjadikannya cukup menarik kepada generasi yang lebih muda pada masanya. Dan malah sehingga hari ini, Syed Shaykh al-Hady kekal sebagai sosok yang mengilhamkan dan ikon bagi pelbagai gerakan reformis Islam kontemporer yang telah melanjutkan perjuangan islah dan tajdid bagi pembaikan masyarakat Islam.


Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa adalah tamatan daripada Universiti al-Azhar, Kaherah dan kesarjanaan PhD dalam Siyasah Syar‘iyyah daripada Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara dan mantan Ahli Parlimen Malaysia.