Daripada Islam Politik Kepada Muslim Demokrat
June 12, 2017

Diterjemahkan oleh Muhammad Thufail Sayuti || 11 Jun 2017

1.Para1Parti Gerakan Ennahdah (Hizb Harakah An-Nahdah) merupakan salah sebuah parti politik yang paling berpengaruh di Dunia Arab dan merupakan tonggak utama yang memainkan peranan penting Tunisia sebagai sebuah negara demokrasi, di mana ia telah mengumumkan satu peralihan yang bersejarah baru-baru ini. Parti ini telah bergerak menjangkau asal-usulnya sebagai sebuah “Parti Islam” dan menganut sebuah identiti yang baharu secara keseluruhannya, iaitu sebagai parti “Muslim Demokrat”. Gerakan yang saya asaskan bersama pada tahun 1980 ini tidak akan lagi bergerak sebagai sebuah parti politik dan sebuah gerakan sivil sekaligus. Ia juga telah membuat keputusan untuk menghentikan kesemua aktiviti kebudayaan dan keagamaan, dan memberi fokus sepenuhnya hanya dalam bidang politik.

Perubahan Ennahdah ini sebenarnya mencerminkan pergerakan sosial dan politik Tunisia yang lebih luas. Parti ini yang pada awalnya lahir sebagai “Gerakan Penentangan Islami” (Harakah Al-Muqāwamah Al-Islāmiyyah) yang muncul sebagai reaksi kepada penindasan dan penganiayaan yang dilakukan oleh regim authoritarian sekular terhadap kebebasan rakyat untuk beragama dan hak mereka untuk bebas bersuara dan berpersatuan. Selama beberapa dekad, para diktator berbangsa Tunisia ini telah menghalang segala bentuk wacana politik dalam negara dengan melakukan pemaksaan terhadap gerakan-gerakan yang mempunyai matlamat politik untuk beroperasi hanya dalam lingkungan organisasi sivil dan kebudayaan sahaja. Tetapi revolusi yang meletus pada tahun 2010 dan 2011 telah berjaya menamatkan pemerintahan rejim autoritarian dan membuka ruang untuk persaingan politik yang lebih terbuka, bebas dan bersih.

Perlembagaan baru Tunisia yang telah diluluskan pada tahun 2014 –  yang mana ahli-ahli parlimen Ennahdah merupakan sebahagian daripada mereka yang membantu dalam penyusunan drafnya – telah meletakkan asas kepada demokrasi serta melindungi kebebasan politik dan agama. Di bawah perlembagaan yang baru ini, segala hak rakyat Tunisia untuk mengamalkan ritual keagamaan, mengekspresi keyakinan dan kepercayaan mereka, begitu juga dengan hak untuk membentuk identiti Arab Muslim telah terjamin, justeru itu Ennahdah tidak lagi perlu menumpukan usaha dan fokusnya untuk memperjuangkan isu-isu yang sebegini.

2.Para4.RightOleh sebab itulah, parti ini sudah tidak lagi menerima pakai label “Islamisme” sebagai penerangan kepada pendekatan yang dibawanya – di mana konsep ini sebenarnya telah disalahgunakan oleh para pengganas beberapa tahun kebelakangan ini. Pada fasa demokrasi baru dalam sejarah Tunisia ini, persoalan yang berbangkit bukan lagi sekitar “sekularisme melawan agama”, kerana negara tidak lagi memaksakan sekularisme dengan cara yang menindas. Oleh yang demikian, tidak perlu lagi bagi Ennahdah atau mana-mana aktor lain untuk melindungi dan mempertahankan agama sebagai komponen teras dalam aktiviti kepolitikannya.

Sudah tentu sebagai Muslim, nilai-nilai Islam masih lagi menjadi panduan dan orientasi gerak kerja kami. Meskipun begitu, kami tidak lagi menganggap perdebatan ideologi lama berkaitan “Islamisasi” atau “sekularisasi” masyarakat sebagai suatu keperluan ataupun masih relevan. Pada masa ini, rakyat Tunisia sudah kurang peduli akan peranan agama berbanding dengan pembinaan sistem pemerintahan yang demokratik dan inklusif, yang mampu memenuhi cita-cita mereka bagi kehidupan yang lebih baik. Sebagai rakan kongsi junior dalam kerajaan pakatan Tunisia, Ennahdah bercita-cita untuk memberikan penyelesaian kepada isu-isu yang menjadi perhatian bagi semua rakyat dan penduduk di negara ini.

Evolusi Ennahdah ini sebenarnya adalah hasil daripada tiga-puluh lima tahun melakukan penilaian kendiri serta introspeksi yang berterusan. Kebelakangan ini, selama dua tahun lebih, kami telah melakukan renungan yang intensif serta dialog dan perbincangan di peringkat akar umbi. Hasilnya, pada Kongres Parti Gerakan Ennahdah yang berlangsung pada bulan Mei tahun 2016, lebih daripada 80% perwakilan telah mengundi menyokong peralihan yang formal ini walaupun tampaknya, tidaklah menunjukkan perubahan yang besar daripada kepercayaan yang telah lama berakar. Penting juga untuk disebutkan di sini bahawa prinsip kami ini adalah selaras dengan cita-cita demokrasi dan kepercayaan teras kami tidak berubah.

Apa yang berubah sebaliknya adalah persekitaran di mana kami beroperasi. Tunisia pada akhirnya, telah berubah menjadi sebuah negara demokrasi daripada sebuah pemerintahan kedidaktoran. Hal ini juga menunjukkan bahawa Ennahdah akhirnya mampu menjadi parti politik yang memberi tumpuan kepada agenda dan visi ekonomi yang lebih praktikal berbanding menjadi sebuah gerakan sivil yang berjuang menentang penindasan dan kediktatoran. Pada masa di mana negara-negara Timur Tengah sedang bergelut dengan ketidakstabilan dan keganasan, yang kadangkala dirumitkan lagi dengan pertembungan berkaitan keharmonian antara agama dan politik, evolusi Ennahdah perlu tampil sebagai bukti bahawa Islam sebenanrya memang serasi dengan demokrasi dan gerakan-gerakan Islam yang lain mampu untuk memainkan peranan yang konstruktif dan penting dalam mempromosikan peralihan demokrasi yang tuntas.

Penentangan dan Kebangkitan

3.Para8Pada tahun 1970, saya bersama-sama dengan Syeikh Abd Al-Fattāh Mōrō telah mengasaskan “Harakah Al-Ittijāh Al-Islāmī” (Islamic Tendency Movement) atau singkatannya MTI yang kemudiannya menjadi Ennahdah. Kami berdua merupakan graduan Universiti Ez-Zitouna, iaitu universiti Islami pertama di dunia yang diasaskan pada tahun 737 Masihi dan galak mempromosi sudut pandang Islam yang dinamik serta responsif kepada perubahan kehendak masyarakat. Pendekatan kami terbentuk hasil perhubungan kami dengan kumpulan pemikir Islam dan reformis yang pelbagai. Pada peringkat awal, kami banyak dipengaruhi oleh pemikir-pemikir dari Mesir dan Syria terutamanya yang mempunyai hubungan dengan kumpulan “Al-Ikhwān Al-Muslimūn” seperti pengasasnya di Mesir, Hasan Al-Bannā dan ketua cawangan Syria, Mustafā As-Sibā’ī.

Seiring dengan perkembangan MTI, membuatkan kami semakin mendapat inspirasi daripada para pemikir sebelah Barat negara Arab (Al-Maghreb Al-‘Arabī) seperti ahli falsafah daripada Algeria, Mālek Bennabī dan Muhammad At-Tāhir bin ‘Āsyūr, salah seorang tenaga pengajar di Universiti Ez-Zitouna yang terkenal sebagai salah seorang pengasas kepada “Al-Manhaj Al-‘Aqlānī” atau pendekatan rasional dalam menafsirkan Al-Qur’ān Al-Karīm, yang memberi penekanan akan peri pentingnya “Maqāsid As-Syarī’ah”, iaitu objektif dan matlamat akhir kepada syari’ah itu sendiri.

Saat itu, Tunisia telah mengalami pelbagai pergolakan sosial dan politik disebabkan ketidakpuasan hati rakyat yang semakin memuncak terhadap regim autoritarian pimpinan Presiden Habib Bourguiba dan tindakan kerasnya terhadap kebebasan awam dan politik, serta dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang lembab, rasuah yang berleluasa dan ketidaksetaraan sosial yang berpanjangan. Rasa tidak puas hati ini mencapai kemuncaknya dalam satu siri rusuhan yang tercetus pada tahun 1976 dan 1978. yang memuncak dalam sebuah mogok umum yang berlangsung pada 26 Januari tahun 1978, pada hari yang dikenali di Tunisia sebagai Hari “Khamis yang Gelap”. Pada hari tersebut, puluhan demonstran mati dibunuh oleh rejim, ratusan yang lain cedera dan lebih seribu yang lain ditahan atas tuduhan menghasut.

Di saat persepakatan yang semakin meningkat akan keperluan bagi reformasi demokratik, MTI menyatupadukan rakyat Tunisia yang menentang rejim Bourguiba, di saat mereka merasakan mereka telah dikecualikan daripada sistem urustadbir negara, terutama sekali disebabkan pencabulan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap sebarang ekspresi keagamaan, sama ada di ruang awam mahupun peribadi. Menarik untuk dicatatkan di sini bahawa pada ketika itu, anggota MTI telah pun menubuhkan perbincangan berkumpulan, penerbitan jurnal-jurnal, dan menyusun mahasiswa-mahasiswa di kampus-kampus.

4.Para12.RightPada bulan April tahun 1981, rejim Bourguiba berkenan meluluskan pendaftaran bagi parti-parti politik yang lain. MTI telah mengemukakan permohonan untuk membentuk parti yang komited kepada demokrasi, pluralisme politik, perkongsian dan pertukaran kuasa secara aman, pilihanraya yang bebas dan bersih sebagai satu-satunya sumber legitimasi politik, mempertahankan keilmuan agama yang moderat serta menggalakkan satu bentuk pemodenan yang diharmonikan dengan nilai-nilai Tunisia dan warisan budayanya. Akan tetapi, permohonan ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Berdepan dengan meningkatnya seruan ke arah reformasi, rejim ini melancarkan operasi penangkapan secara besar-besaran yang menyaksikan penahanan kira-kira 500 orang anggota MTI termasuk saya. Sepanjang tahun 1981 sehingga tahun 1984, saya berada dalam tahanan bersama dengan ramai daripada rakan saya. Tidak lama selepas kami dibebaskan, ramai di antara kami telah ditahan semula, dituduh menghasut kepada keganasan dan “berusaha untuk mengubah lanskap negara ini”. Ramai daripada kalangan ahli Ennahdah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah melalui pengadilan palsu. Dalam waktu yang sama, rejim ini berterusan bahkan semakin melampau dalam melakukan penindasan dan kezaliman.

Kebangkitan kuasa Zine el-Abidine Ben Ali dalam pemerintahan selepas penggulingan Bourguiba dalam peristiwa kudeta pada tahun 1987 seolah-olah memberi petanda akan potensi kepada keterbukaan politik. Pada tahun berikutnya, Ben Ali memberi pengampunan beramai-ramai kepada semua tahanan politik serta mengumumkan permulaan era baru kepada demokrasi multiparti. MTI sekali lagi memohon untuk mendapat pengiktirafan sebagai parti politik yang sah dan mengubah namanya kepada “Parti Gerakan Ennahdah”. Walau bagaimanapun, permintaan itu sekali lagi diabaikan terutamanya ketika rejim Ben Ali kembali berpaut kepada politik yang menekan seperti yang telah diamalkan pada era Bourguiba dahulu. Selepas pilihanraya negara yang berlangsung pada tahun 1989, yang menatijahkan kemenangan calon bebas yang mempunyai hubungan dengan Ennahdah sebanyak kira-kira 13% daripada keseluruhan jumlah undian (bahkan menurut sumber yang lain, sebanyak 30% undian yang dimenangi di beberapa kawasan bandar utama), rejim Ben Ali membuat keputusan untuk membubarkan Parti Gerakan Ennahdah.

Pada masa itu, puluhan ribu ahli Ennahdah ditangkap, dipenjara, diseksa, disenaraihitamkan daripada peluang pekerjaan dan pendidikan, dan terdedah kepada gangguan daripada pihak polis. Sementara itu, ramai daripada kalangan anggota parti termasuk saya terpaksa menempuh kehidupan dalam buangan.

Dalam tempoh dua dekad setelah itu, Tunisia semakin merana di bawah penindasan. Ennahdah pula terpaksa bergelut untuk terus hidup sebagai gerakan bawah tanah yang diharamkan. Satu titik perubahan akhirnya datang pada bulan Disember tahun 2010 apabila seorang remaja penjaja di jalanan yang bernama Mohamed Bouazizi membakar dirinya di hadapan sebuah pejabat kerajaan tempatan sebagai protes terhadap gangguan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap dirinya sehingga ia menderita.

5.Para17Tindakan Bouazizi itu berjaya menarik perhatian masyarakat awam. Dalam tempoh kurang daripada sebulan, tercetusnya bantahan secara besar-besaran di seluruh negara yang memaksa Ben Ali melarikan diri ke luar negara. Bertitik-tolak daripada protes inilah berlakunya revolusi demi revolusi di seluruh negara Arab. Pada ketika itu, ahli-ahli Ennahdah juga turut serta dalam protes ini bersama dengan rakyat Tunisia yang lain tetapi tidak membawa lambang parti. Hal ini sebahagiannya bertujuan supaya rejim tidak menjadikan ini sebagai modal untuk menekan dan menindas para demonstran dengan alasan bahawa demonstrasi ini adalah ciptaan kumpulan pembangkang yang berusaha untuk merampas kuasa daripada mereka.

Dalam pilihanraya kali pertama buat sejarah Tunisia yang berjalan dalam keadaan bebas dan bersih pada bulan Oktober tahun 2011, disebabkan rangkaian akar umbi Ennahdah yang kuat serta rekod prestasinya menentang pemerintahan diktator, ia membantu Ennahdah dalam memenangi sebahagian besar undi dengan margin yang besar. Setelah itu, Ennahdah bergabung dengan dua buah parti sekular sebagai usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dan menetapkan pendahuluan penting dalam politik Arab kontemporari.

Pada era pasca revolusi di Tunisia, ketika berlakunya ketegangan yang mengancam struktur demokrasi yang rapuh di negara ini, Ennahdah didorong untuk berkompromi dan berdamai, bukannya melakukan penyingkiran atau membalas dendam. Semasa rundingan mengenai perlembagaan yang baharu, ahli-ahli parlimen Ennahdah telah membuat satu siri persetujuan yang penting, iaitu bersetuju untuk menggunapakai sistem Presiden – Parlimen campuran (padahal Ennahdah pada asalnya menyokong sistem berparlimen yang eksklusif), dan bersetuju bahawa perlembagaan negara tidak akan memetik Syari’ah sebagai salah satu sumber perundangan. Hasil daripada kesediaan Ennahdah untuk berkompromi dan berkerja dalam lingkungan sistem ini, maka terhasillah perlembagaan baru yang memperuntukkan mekanisme demokrasi, kedaulatan undang-undang dan komitmen kepada hak-hak agama, sivil, politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan alam sekitar.

Pada tahun 2013, puak salafī pelampau melancarkan beberapa siri serangan dan pembunuhan yang berunsurkan politik. Hal ini telah mencetuskan ketidakstabilan dalam negara dan protes dalam tempoh tertentu. Dalam masa yang sama, banyak pihak yang cuba untuk menjatuhkan Parti Gerakan Ennahdah dengan cara mengaitkannya dengan jenayah yang ekstrim ini. Hal ini membuatkan sebilangan ahli parlimen menggantung penyertaan mereka dalam menggubal perlembagaan. Sebagai tindak balas, Parti Ennahdah dan rakan sekutunya menjalin sebuah persepakatan berbanding menulis dokumen perlembagaan di tengah-tengah kegawatan.

Untuk mengekalkan keabsahan proses itu, kerajaan yang diterajui oleh Ennahdah telah melakukan sesuatu yang belum pernah disaksikan di rantau ini, iaitu melakukan pengunduran dan perletakan jawatan secara sukarela, dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan teknokrat yang berkecuali. Keutamaan kami bukanlah untuk kekal memegang tampuk pemerintahan tetapi hanyalah untuk memastikan Majlis Perlembagaan Negara (Al-Majlis Al-Watanī At-Ta’sīsī) iaitu badan perwakilan yang tertinggi, dapat melengkapkan tugas-tugas merangka perlembagaan yang akan mengukuhkan lagi asas politik Tunisia yang demokratis.

6.Para22Selepas pilihanraya tahun 2014, Ennahdah akur dengan kekalahannya – bahkan sebelum keputusan rasmi lagi – kepada Parti “Nidaa Tounes”, iaitu sebuah parti berhaluan tengah-kanan yang diasaskan pada tahun 2012. Sejak daripada itu, Ennahdah berkerjasama dengan Nidaa Tounes sebagai rakan kongsi yang paling muda dalam kerajaan campuran. Sekalipun kedua-dua pihak tidak bersepakat dalam menangani semua isu, tetapi pakatan ini kekal utuh, dan natijah daripada gabungan perlembagaan yang tersusun rapi dan kerjasama politik yang baik telah menghasilkan persekitaran yang sesuai bagi Ennahdah untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanannya ke arah demokrasi Muslim.

Pemisahan Antara Masjid (Agama) dan Negara

Pada kongres parti ke-10 yang berlangsung pada bulan Mei tahun 2016, Ennahdah telah mengumumkan satu siri perubahan dalam bentuk keputusan rasmi iaitu untuk memberi tumpuan secara eksklusif terhadap bidang politik serta meninggalkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kebudayaan dan agama. Beberapa tahun kebelakangan ini, Ennahdah telah meninggalkan kegiatan-kegiatan tersebut secara beransur-ansur dengan menyedari bahawa kegiatan sebegini perlu diletakkan bawah bidang kuasa organisasi masyarakat sivil yang bebas, bukannya di bawah parti atau mana-mana entiti yang berkaitan dengannya. Perubahan seperti ini menunjukkan bahawa kader-kader parti ini tidak lagi boleh mengajar di masjid-masjid serta tidak boleh memegang tampuk kepimpinan dalam mana-mana NGO seperti persatuan keagamaan atau persatuan kebajikan.

Objektif kami adalah untuk memisahkan antara ruang politik kepartian dan ruang agama. Kami percaya bahawa tidak ada parti politik yang mampu atau harus mendakwa bahawa mereka mewakili agama kerana bidang agama ini perlu diuruskan oleh institusi yang bebas dan neutral. Secara ringkasnya, agama itu mestilah non-partisan. Apa yang kami inginkan adalah masjid menjadi ruang untuk orang ramai berkumpul bersama-sama, bukannya menjadi tempat masyarakat berpecah-belah. Imam masjid juga tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, bahkan mereka ini sepatutnya dilatih untuk menjadi pakar dalam bidang mereka bagi memperoleh kemahiran dan kredibiliti yang diperlukan sebagai pemimpin agama. Malangnya sehingga hari ini, hanya 7% sahaja daripada imam di Tunisia yang telah menjalani latihan tersebut.

Kongres parti juga telah meluluskan satu strategi yang komprehensif dan menyeluruh untuk mengatasi cabaran utama yang dihadapi oleh Tunisia, iaitu dengan memberikan tumpuan kepada pengukuhan prosedur perlembagaan, berusaha dalam peralihan kuasa yang lebih adil, melakukan pembaharuan dalam institusi-institusi negara, menggubal pembaharuan dalam ekonomi bagi merangsang pertumbuhan, menghasilkan pendekatan pelbagai dimensi dalam perjuangan menentang keganasan serta mempromosikan urustadbir yang baik dalam institusi agama.

Ennahdah yang kini bukan lagi difahami sebagai gerakan Islam (Harakah Islāmiyyah), tetapi sebagai sebuah parti “Muslim Demokrat” (Al-Muslim Ad-Dimuqrati). Kami berusaha untuk mewujudkan penyelesaian kepada masalah seharian yang dihadapi oleh rakyat Tunisia berbanding mengajarkan mereka tentang Hari Akhirat. Secara keseluruhannya, prinsip dan nilai Islam sentiasa memberi inspirasi kepada Ennahdah dan ia akan sentiasa membimbing kami. Tetapi kini, Ennahdah (atau mana-mana pihak lain) tidak lagi perlu berjuang untuk mencapai kebebasan beragama kerana di bawah perlembagaan yang baharu ini, semua rakyat Tunisia menikmati hak yang sama, sama ada mereka ini beragama, agnostik mahupun ateis. Pemisahan agama dan politik ini sebenarnya dapat menghalang pihak berkuasa daripada menunggang agama dengan tujuan memanipulasi orang ramai. Pemisahan ini juga akan memulihkan kebebasan institusi agama, di mana agama tidak lagi akan menjadi tebusan kepada politik seperti keadaan yang berlaku sebelum revolusi iaitu apabila kerajaan melakukan campur tangan dan menekan aktiviti-aktiviti keagamaan.

7.Para27.RightPemisahan ini juga akan membantu Tunisia mempersiapkan diri untuk memerangi ekstrimisme. Apabila agama ditindas, institusi keagamaan pula dipaksa tutup dan dihentikan selama beberapa dekad, golongan muda Tunisia dibiarkan tanpa ada tempat rujukan agama bagi mereka untuk menemukan pemikiran Islam yang mainstream dan moderat; ramai daripada mereka mula mempercayai tafsiran-tafsiran menyimpang yang ditemukan dalam internet. Untuk berdepan dengan keganasan, ia menuntut kepada kefahaman ajaran Islam yang sebenar; yang menolak pandangan hitam-putih serta membuka ruang untuk tafsiran-tafsiran baharu bagi menampung keperluan dalam kehidupan moden. Pemisahan yang tulen antara masjid dan negara serta keberkesanan urus tadbir institusi-institusi agamalah yang akan memudahkan dalam memberi pendidikan agama yang lebih baik di samping memperkenalkan semula “pemikiran Islam moderat” (al-Fikr al-Islami al-Mu’tadil) kepada Tunisia.

Teguran Kepada Para Penzalim dan Pengganas

Tunisia telah mencapai kemajuan politik yang signifikan dalam tempoh lima tahun yang lalu. Untuk mengukuhkan kedudukan ini, kerajaan haruslah mengutamakan pembangunan sosial dan ekonomi. Ia mestilah bergerak menjangkaui pembangunan institusi demokratis dan melaksanakan reformasi ekonomi yang akan memenuhi keperluan pekerjaan dan pertumbuhan yang mendesak. Untuk mencapai tujuan ini, Ennahdah menyeru kepada dialog ekonomi nasional yang komprehensif dengan mengambil pendekatan partisipasi semua bagi melakukan pembaharuan berdasarkan visi “kapitalisme penyayang” – sebuah pendekatan yang mengimbangkan antara kebebasan perusahaan dengan cita-cita keadilan sosial dan peluang yang sama rata.

Untuk meningkatkan pertumbuhan, kerajaan perlu membuka jalan bagi penyambungan semula pengeluaran dalam beberapa sektor strategik seperti industri fosfat yang telah berkurang sejak revolusi disebabkan oleh perbezaan pendapat antara kesatuan pekerja dengan pengeluar berkaitan gaji dan kondisi pekerjaan. Ennahdah juga sangat menyokong pembaharuan dalam sektor perbankan yang akan memudahkan lagi syarikat-syarikat dan individu untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan. Pembaharuan sebegini akan membawa banyak ekonomi tidak formal ke dalam arus perdana. Parti ini juga telah berjaya mendesak kenaikan bantuan kerajaan kepada para peniaga kecil-kecilan serta para petani. Di samping itu, kerajaan mesti mempelbagaikan hubungan perdagangan Tunisia serta meningkatkan kadar eksport Tunisia ke negara-negara jiran dengan membuka peluang-peluang baru di Afrika, Asia dan Amerika Latin, dan memajukan lagi rundingan yang sedang berlangsung berkenaan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah (EU).

Mewujudkan budaya keusahawanan merupakan langkah yang kritikal bagi kejayaan Tunisia. Rakyat Tunisia telah terbiasa dengan pemikiran “negara adalah majikan utama negara ini”, dan budaya rasuah dalam zaman rejim terdahulu telah meletakkan banyak halangan dalam usaha rakyat yang bakal menjadi usahawan. Ennahdah ingin menyeru kepada peralihan daripada kebergantungan ini, yang telah memberi ruang kepada negara untuk memonopoli sumber negara dan mengagihnya dengan cara yang tidak telus dan klientelistik. Ennahdah menyokong usaha berterusan daripada kerajaan bagi menggalakkan keusahawanan dalam kalangan generasi muda. Menteri Latihan Vokasional dan Pekerjaan yang merupakan anggota Parti Ennahdah, Zied Ladhari, telah memperkenalkan satu pembaharuan yang bercita-cita tinggi dan amat diperlukan, iaitu melancarkan program baru untuk melatih lebih daripada 600,000 rakyat Tunisia yang menganggur, mengubahsuai pusat latihan kerja serta mewujudkan autoriti nasional sebagai panduan kerjaya.

8.Para31Ennahdah juga menyokong pembaharuan yang akan memberi kemudahan untuk menubuhkan kerjasama awam-swasta dan untuk memulakan perniagaan baru. Kerajaan yang diterajui oleh Ennahdah pada tahun 2011 sehingga 2014 telah memperkenalkan undang-undang baru bagi mengawal perkongsian seperti itu dan telah pun diguna pakai pada baru-baru ini. Program baru seperti yang dicadangkan oleh Ladhari itu akan mempromosikan perniagaan-perniagaan baru dengan mewujudkan program mentor sebagai permulaan, dan dengan menyokong usahawan-usahawan melalui latihan, sistem pembiayaan yang fleksibel serta “one-stop shop” bagi prosedur pentadbiran untuk mengurangkan birokrasi.

Akan tetapi, pembangunan ekonomi tidak dapat maju ke hadapan tanpa perubahan ketara dalam sistem pendidikan, yang telah terpisah daripada realiti pasaran pekerjaan di Tunisia, di mana kadar pengangguran secara keseluruhan kini berlegar sekitar 15%. Pendidikan harus menjadi jalan untuk mendapatkan kerja, bukan menjadi jambatan menuju pengangguran. Ennahdah berusaha ke arah pembaharuan yang akan membantu institusi pendidikan untuk memenuhi keperluan pasaran, termasuk dengan memberi tumpuan yang lebih kepada “soft skills”, menyediakan ruang yang lebih besar untuk skim latihan teknikal, dan menghubungkan pelajar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan dalam sektor awam mahupun swasta.

Pengukuhan transformasi politik Tunisia yang dramatik serta penerusan kemajuan dalam pembangunan ekonomi juga memerlukan kepada perubahan sosial, terutama apabila bercakap tentang peranan wanita dalam kerajaan dan perniagaan. Penyertaan dan kepimpinan wanita Tunisia – dalam bidang politik, badan kehakiman dan masyarakat sivil – amat penting bagi peralihan demokrasi di negara ini. Pada hari ini, 60% daripada keseluruhan graduan universiti adalah wanita, namun kadar pengangguran yang dihadapi oleh wanita lebih tinggi berbanding di kalangan lelaki (21.5% berbanding 12.7% pada tahun 2014). Pembangunan demokrasi di negara ini sebenarnya bergantung pada usaha-usaha membuang halangan-halangan yang dihadapi oleh wanita dalam semua bidang, menggalakkan partisipasi yang sama rata, dan melindungi hak-hak wanita. Bagi mencapai tujuan ini, Ennahdah menyokong perwakilan secara sama rata antara dua gender terhadap semua senarai parti dalam pilihanraya tempatan yang diadakan pada bulan Mac tahun 2017. Ahli Parlimen Ennahdah juga telah mencadangkan supaya dipanjangkan lagi tempoh cuti bagi ibu yang bersalin demi melindungi wanita daripada diskriminasi serta memberi mereka fleksibiliti kerjaya yang lebih besar.

Menaungi semua isu-isu di atas sudah tentu berkenaan dengan soal keselamatan. Cabaran untuk menjaga keamanan warga Tunisia dalam kawasan yang tidak stabil sudah pasti menguji daya ketahanan sistem demokrasi baru di negara ini. Kerajaan mestilah melindungi rakyat di samping memastikan ia juga menghormati hak individu serta kedaulatan undang-undang.  Ennahdah telah berjaya mendesak supaya undang-undang anti keganasan dipinda bagi memastikan suspek mendapat akses kepada nasihat perundangan. Kami juga telah menyeru kepada perangkaan strategi keselamatan negara yang lebih komprehensif, yang dapat mengenal pasti dan menangani punca berlakunya ekstrimisme yang agak kompleks. Strategi menganggani keganasan secara pintar (Smart Counterterrorism) dapat mengelakkan daripada reaksi yang tidak produktif dan akan memerlukan kepada anjakan budaya di pihak institusi keselamatan Tunisia, ke arah menghormati keluhuran undang-undang serta melindungi kebebasan individu, kumpulan masyarakat sivil dan media. Peruntukan yang digubal pada baru-baru ini bertujuan melindungi hak-hak tahanan serta penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Penderaan Negara (National Anti-Torture Commission) merupakan satu langkah yang tepat.

9.Para35Satu-satunya cara yang meyakinkan untuk mengalahkan kumpulan ekstrimis seperti ISIS adalah dengan menawarkan alternatif yang boleh diharapkan kepada jutaan anak muda umat Islam di seluruh dunia. Dalam dunia Arab, orang ramai telah menghadapi peningkatan pengecualian sosial, kurang peluang pekerjaan serta penindasan oleh tangan-tangan autokrat. Kekecewaan mereka ini telah dieksplotasi oleh kumpulan-kumpulan pelampau seperti ISIS yang berusaha menyemai huru-hara dan kacau-bilau serta menerapkan kezaliman dalam bentuknya yang tersendiri di rantau ini. Dengan menunjukkan bahawa demokrasi Muslim boleh menghormati hak-hak individu, mempromosikan peluang sosial dan ekonomi, serta melindungi identiti dan nilai-nilai Arab yang Islami, maka kejayaan mengukuhkan demokrasi di Tunisia bakal bertindak sebagai satu teguran kepada para penzalim sekular dan kepada puak pelampau bersama-sama.

Peralihan kuasa oleh Ennahdah baru-baru ini akan menjadikan kejayaan yang seperti ini bakal muncul lagi. Kami berharap, ia dapat memberikan inspirasi supaya lebih banyak perdebatan dalam dunia Muslim berhubung kesesuaian Islam dengan demokrasi, apa ertinya menjadi sebuah parti politik yang inklusif, dan bagaimana untuk membina sistem demokrasi yang mempromosikan pluralisme dan menghormati hak untuk berbeza. Persekitaran politik Tunisia sudah pasti berbeza dengan negara-negara di rantau lain. Negara-negara Arab yang lain seperti Mesir, Iraq dan Syria masih lagi menderita di bawah pemerintahan diktator dan tentera, atau terus terperangkap dalam konflik etnik dan mazhab (sektarian). Semakin rumit situasi dalaman sesebuah negara, semakin tinggi harga perubahan yang akan berlaku dan semakin lama ia memakan masa. Yang pastinya, perubahan pasti akan tiba sama ada akibat daripada perang saudara, revolusi aman mahupun perubahan secara beransur-ansur. Dan apabila ia tiba, Tunisia dan Ennahdah diharapkan dapat menjadi sebuah model yang berharga.

 


Thufail_Sayuti

Esei ini diterjemahkan oleh Muhammad Thufail Sayuti, mahasiswa Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front daripada tulisan asal bertajuk: Min al-Islam as-Siyasi Ila ad-Dimuqratiyah al-Islamiyah – من الإسلام السياسي إلى الديمقراطية الإسلامية

Pautan: http://www.noonpost.org/content/13567

Pautan Inggeris: https://www.foreignaffairs.com/articles/tunisia/political-islam-muslim-democracy

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022