Iqbal dan Pemikiran Reformis – II
October 13, 2013

3226_MainMuhammad Nazreen Jaafar

Iqbal menyeru ke arah reinterpretasi semula ajaran agama untuk mewujudkan institusi politik dan sosial bersesuaian dengan respon dan tuntutan zaman. Beliau percaya dengan proses modenisasi Islam adalah keperluan tunggal ke arah kemajuan umat Islam. Pada cerminan yang lain, pemikiran yang dianjurkan Iqbal bersesuaian untuk memandu kesejahteraan umat Islam menghadapi cabaran kontemporari kala ini.

Iqbal juga membeza tuntutan syariah kepada dua bahagian. Bahagian pertama merujuk kepada tuntutan yang dhawabit (kekal) dan tidak boleh diubah-ubah. Sebagai contoh, amalan ibadat yang ditetapkan di dalam Islam. Manakala, tuntutan kedua pula adalah rumusan dan interpretasi para ulama terdahulu yang dinamik dan berubah mengikut keperluan. Keperluan mu’taghayyirat (fleksibel) bagi Iqbal perlulah setara di dalam memahami masalah umat pada masa kini.

Konsep Ulama’ menurut Iqbal adalah proses para cendikiawan terdahulu menyelesaikan masalah perundangan pada zaman berkenaan dengan saranan daripada perundangan Islam. Jadi, ruang ijtihad di dalam urusan muamalat dan siyasah bagi Iqbal adalah bersifat dinamik yang memungkinkan perubahan sosial berlaku. Iqbal percaya bahawa umat Islam perlu senantiasa memperbaharui “weltanschauung” atau cara pandang mereka terhadap agama supaya ianya dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian masyarakat.

Iqbal dan Ijtihad
Pandangan Iqbal terhadap konsep Ijtihad memperlihatkan sisi pandang beliau yang percaya bahawa cara untuk meningkatkan kesedaran dan celik intelek umat Islam adalah dengan seruan pembaharuan. Iqbal menyangka kemunduran umat Islam diakibatkan oleh sikap konservatif sebahagian besar daripada mereka. Kedegilan mereka untuk berpegang kepada tradisi yang rigid dan reaksionari tanpa merujuk kepada keperluan zamaniyah (masa) dan makaniyah (tempat) adalah kesilapan yang berlaku semasa zaman pemerintahan Khalifah terdahulu.

Tauseef Ahmad Partay (2011) menjelaskan ide Iqbal yang bermaksud:

“Di dalam mencari keperluan interpretasi dan kodifikasi semula terhadap Fiqh Islam, Iqbal menekankan keperluan kritikal umat Islam kontemporari untuk berijtihad. Kesilapan yang berlaku di dalam peristiwa sejarah umat Islam adalah mereka kehilangan unsur dinamika terhadap peradaban, di bawah tekanan situasi pensejarahan, seperti kemusnahan Baghdad oleh kaum Mongol sekitar 1258. Keadaan sejarah ini terjadi akibat doktrin terhadap pintu Ijtihad yang ditutup di dalam teologi Muslim tradisional.”

3226_imagesIqbal beranggapan bahawa kesedaran golongan ulama yang mempertahankan konsep Ijtihad seperti Ibn Taymiyyah (1263 -1328) dan Shah Waliyullah ad-Dahlawi (1703-1762) membangkitkan keperluan untuk umat Islam sama-sama memimpin pembaharuan dan modenisasi di dalam lebenswelt (dunia kehidupan) mereka terhadap agama. Iqbal dipengaruhi pemikiran ulama seperti Muhammad ibn Ali Asy-Syaukani (1760-1839), ulama reformis yang menyeru ke arah islah dan pembaikan kondisi masyarakat yang dibendung gejala taqlid.

Malah, Iqbal mencabar doktrin penutupan pintu ijtihad dengan berseru, “ Did the founders of our school ever claim finality for reasoning and interpretation? Never!!” – Adakah para pembina asas pemikiran Islam menuntut kata akhir untuk penalaran dan pentafsiran? Tidak sama sekali!.

Malahan, Muhammad Iqbal turut menyatakan pendirian lebih jauh daripada itu, dia mengatakan tuntutan golongan pemikir progressif seperti Syeikh Rifaat at-Tahtawi (1801-1873), Qasim Amin (1863-1908) dan Ali Abdul Raziq (1888-1966) bahawa keperluan reformasi politik dan ideologi adalah bersandarkan kepada kehendak dan tuntutan masa itu adalah jelas terbukti.

Walaupun Iqbal tidaklah menyatakan sokongan terbuka terhadap fikrah golongan liberal-progressif seperti Qasim Amin dan Ali Abdul Raziq, namun medan intelektual yang dihamparkan oleh pemikir seperti Muhammad Iqbal dan Syeikh Muhammad Abduh menyediakan peluang kepada para pemikir Islam mencabar dogma lama. Malahan, hamparan intelektual yang disajikan Iqbal juga membolehkan mereka muncul dengan bentuk ijtihad-ijtihad baharu – terutamanya di dalam urusan siyasah dan muamalat.

Iqbal dan Demokrasi
Iqbal di dalam eseinya “Islam as a Moral and Political Ideal” menjelaskan bahawa nilai-nilai demokrasi adalah aspirasi politik yang paling mutakhir di dalam Islam. Iqbal melihat kepentingan aspek pendemokrasian yang perlu diadakan di dalam Islam, dimana nilai sebegini adalah bertujuan untuk mendidik manusia ke arah etika dan moral yang menyeluruh.

Iqbal menghargai tiga teras utama di dalam nilai demokrasi yakni – kebebasan, kesaksamaan dan pilihan. Bagi beliau juga, pusat agama bagi perkembangan hubungan manusia adalah masyarakat dan institusi sosial. Sekiranya, manusia hanya bersifat individual dan hubungan agama mereka semata-mata bersifat ketuhanan – manakala nilai-nilai kemanusiaan dipinggirkan, manusia tidak mungkin mengecapi kebebasan menurut anjuran Islam. Demikian, Iqbal menjana suatu pandangan yang melihat kepentingan demokrasi sebagai wasilah utama di dalam mengejar tasawwur Islam itu sendiri.

3226_road2MeccaMuhammad Asad atau dahulunya Leopold Weiss pernah menulis di dalam biografinya, The Road to Mecca tentang pengalaman beliau semasa bertemu Muhammad Iqbal pada tahun 1934 di mana Asad menceritakan tentang kearifan dan kehebatan intelektual Iqbal semasa berguru di India. Malahan, Asad juga menceritakan tentang Iqbal yang mengajak beliau supaya kekal di India. Akhirnya Asad menetap selama lebih limabelas tahun di India untuk bersama-sama menuntut kefasihan terhadap konsep “Negara Islam”. Asad begitu terpesona dengan “weltanschauung” atau pandangan alam Muhammad Iqbal terhadap falsafah Islam. Kehebatan ilmu dan kesarjanaan Islam yang dimiliki Muhammad Iqbal, akhirnya menyebabkan Asad terpanggil untuk membicarakan lanjut berkenaan konsep tatakelola dan kerajaan dalam Islam.

Pada tahun 1961, Asad menulis buku “Principles of State and Government in Islam” atas inspirasi bawaan Muhammad Iqbal yang bersungguh-sungguh mencorak paradigma baru dalam pemikiran Islam. Semasa Asad berkunjung ke Lahore, untuk menziarahi Iqbal, mereka sempat juga berdebat meliputi aspek politik, falsafah dan agama. Dalam perdebatan panjang dua tokoh pemikir ini, sempat juga terselit diskusi tentang hala tuju Negara Islam Pakistan. Atas semangat penghargaan, Iqbal berusaha memujuk Muhammad Asad untuk tinggal di Lahore dan menawarkan jawatan pengerusi di fakulti Pengajian Islam di salah sebuah kolej tempatan. Namun Asad menolak tawaran itu atas alasan yang tidak dapat dielakkan. Begitulah hubungan baik kedua-dua sarjana hebat ini.

Syed Husin Alatas, di dalam bukunya “Islam dengan Sosialisme” (1976) turut mendakwa Iqbal selain mempunyai bakat sebagai penyair dan kesarjanaan yang besar telah turut menghasilkan karya-karya yang bercirikan sosialisme dan merakyat. Malah ujar Syed Husin Alatas lagi, karya Iqbal berjudul “Javad Nama” atau “Book of Eternity” – merujuk terjemahan AJ Arberry yang terbit pada tahun 1932 selain daripada memiliki puisi-puisi spiritual – karya tersebut turut memuatkan seruan yang menjana keperluan hak asasi dan kemanusiaan buat semua.

Pandangan Syed Husin Alatas mungkin tidak dikongsi semua. Para penterjemah yang menterjemahkan karya Iqbal ke dalam bahasa Inggeris, seperti Arthur J. Arberry, “Book of Eternity” atau Annemarie Schimmel ke dalam bahasa Jerman, iaitu “Dschavidnma: Das Buch der Ewigkeit” dan terjemahan ke dalam bahasa Itali oleh Alessandro Bausstani sebagai “ll poema Celeste” pula berpandangan bahawa “Javed Nama” atau “Book of Eternity” terinspirasi daripada karya Dante, “Divine Comedy” – yang didokongi penyair Virgil. Manakala, Iqbal yang menggunakan pseudonim ‘Zinda Rud’ mengakari rapat pengaruh kesyairan Maulana Jalaludin ar-Rumi.

Iqbal dan Kesusateraan
Membedah sisi-sisi kesusasteraan Muhammad Iqbal ini bukanlah tanggungjawab yang remeh. Malahan percubaan untuk meneroka hasil kerja filasuf Islam yang ulung ini merupakan amanat yang wajib untuk dituruti.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan syarahan pada sesi ucaptama German Council on Foreign Relation di Berlin bertarikh 30 September 2010 telah mengangkat sosok Muhammad Iqbal sebagai penghubung kepada dua pujangga besar Barat dan Timur. Maulana Jalaludin ar-Rumi di sebelah kirinya, manakala Johann Wolfgang Von Goethe di sebelah kanannya pula.

3226_rumiIqbal di dalam puisinya – Payam-I-Mashriq merakam pertembungan Rumi dan Goethe seumpamanya mereka sedang bersidang di alam syurga. Ketika menulis Payam-I-Mashriq, Iqbal sendiri terpengaruh daripada karya Faust, nukilan Goethe yang berjudul West-ostlischer Diwan – West-Eastern Diwan, sepertimana diinspirasikan daripada penyajak Parsi, sekitar abad ke 14 bernama Hafez Shirazi. Malah “Al-Diwan Sharqi lil Muallif al Garbhi” diungkapkan oleh Goethe di dalam naskahnya yang asal. Hal ini membuktikan betapa Iqbal selain daripada seorang tokoh pemikir yang disegani, beliau juga memiliki citarasa kesusasteraan yang bermutu.

Iqbal juga berkesampingan menulis puluhan, malah ratusan naskah kesusasteraan yang menampilkan puisi yang ditulis beliau. Buku puisi pertama Iqbal, Asrar-E-Khudi – Secret of The Self, yang siap diterbitkan pada tahun 1915 memperlihatkan kehebatan Iqbal di dalam ranah kepujanggaan beliau. Menurut RA Nicholson, penterjemah Asra-e-Khuddi ke dalam bahasa Inggeris, gaya bahasa dan metafora yang disampaikan Iqbal mengandungi unsur-unsur ketaqwaan dan spiritual ketuhanan yang tinggi. “Khuddi” dirujuk sebagai keperibadian, dimana perkataan khuddi sinonim terhadap perkataan ruh yang diungkap di dalam al-Quran. Syair ini bertemakan hubungan manusia dan masyarakat yang menekankan persoalan eksistensialisme di dalam kesusasteraan.

Malah, Iqbal sering dibandingkan bersama-sama sang pujangga besar India, juga pemenang anugerah nobel kesusasteraan pada tahun 1913, Rabindranath Tagore (1861-1941) yang menulis Gitanjali, magnum opus-nya yang menampilkan kompilasi seratus lima puluh tujuh syair-syair Tagore dan diterbitkan oleh Indian Society of London pada Ogos 1910. Selain daripada Asrar-e-Khudi, Iqbal menghasilkan karya-karya kesusasteraan Parsi seperti Rumuz-I-Bhekudi (1918), Zabur-I-Ajam (1927) dan kesusasteraan Urdu seperti Bang-I-Dara (1924), Bal-I-Jibril (1936) dan Zarb-i Khalim (1936). Lantaran itulah beliau juga digelar “Iqbal of Lahore” hasil daripada kerja-kerja kesusasteraan yang dilakukan beliau.

Iqbal Sang Reformis
Sememangnya Iqbal merupakan ahli falsafah, penyair, mujaddid dan reformis Islam yang telah banyak berjasa di dalam membangunkan naratif yang progresif di dalam korpus pemikiran Islam. Sesungguhnya, jasa Allamah Muhammad Iqbal yang mendepani cabaran intelektual moden, di satu sisi bertindak dengan penggerak modenisme Islam yang kritikal terhadap modeniti barat. Tambahan pula, kehebatan beliau di dalam mengarang karya-karya kesusasteraan menyebabkan Muhammad Iqbal sangat dihormati di Timur dan juga Barat. Lantaran itu jugalah pengkaji Islam John Esposito pernah menulis suatu esei sebagai penghargaan kepada Muhammad Iqbal bertajuk “Iqbal The Reformer” atau “Iqbal Sang Reformis”.


Muhammad Nazreen Jaafar adalah mahasiswa jurusan ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak dan juga Intern di Islamic Renaissance Front.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022