Kata Pengantar Editor “Wacana Pemikiran Reformis: Jilid III”

February 5, 2017 by Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa


5 Februari 2016
Ahmad Farouk Musa

“Penutupan pintu ijtihad adalah suatu rekaan yang sebahagiannya ditimbulkan daripada kebekuan pemikiran dalam Islam, dan sebahagiannya juga akibat daripada kelesuan intelektual yang terutamanya berlaku di zaman kebangkrutan spiritual; yang dengannya mengakibatkan para ulama’ yang agung dinobatkan sebagai berhala yang dipuja.” [Muhammad Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam]

1.Para2Maka tidak dapat disangkal lagi bahawa tiada sebab lain yang telah mengakibatkan kelesuan dan kebekuan umat Islam selain daripada sikap mereka yang mengenepikan kekuatan akliah. Perlu ditegaskan bahawa tragedi ini berlaku berkurun sebelum Imperialisme Barat menjajah dunia Islam. Ketakutan yang sering dipasak dalam benak setiap Muslim adalah akal itu akan melemahkan iman. Dan ketakutan itu begitu mencengkam jiwa mereka hingga ke hari ini. Kerana itu apa yang dilihat pada hari ini, bukan saja kebobrokan dan ketidakupayaan umat Islam untuk berfikir dengan bebas dengan kemampuan sendiri, tetapi juga mereka menaruh gerun dan takut terhadap pena’kulan.

Untuk memahami punca utama terhadap keadaan yang mereput ini, kita perlu memahami apa itu pencerahan dan bagaimana sangkut pautnya dengan semangat keransangan sesuatu masyarakat itu. Kita perlu mempelajari untuk mengenal situasi yang menunjukkan ada atau tidaknya pencerahan itu. Mungkin ada baiknya jika kita bermula dengan memahami apa yang diungkapkan oleh Immanuel Kant dalam eseinya yang diterbitkan di dalam “Berlinische Monatsschrift” yang dikarang pada tahun 1784 bertajuk: “Suatu Jawapan kepada Persoalan: Apakah Itu Pencerahan?”. Di dalam esei ini Kant, salah seorang filasuf teragung di Zaman Pencerahan, telah mendefinasikan pencerahan sebagai “Penjelmaan manusia daripada ketidak-matangan yang di reka sendiri”. Seorang yang tercerah menurut Kant adalah “seorang yang sanggup untuk menggunakan kefahamannya sendiri”. Mungkin dalam terma Islami, ia adalah keupayaan untuk berfikir dengan daya intelek yang bebas atau berijtihad.

2.Para4.RightKant ingin membebaskan akal manusia daripada belenggu tradisi keagamaan yang telah mengikat kebebasan akal mereka. Beliau mengeluh kerana lantaran ketakutan dan keteledoran maka sebahagian besar manusia berada dalam keadaan ketidak-matangan dan menggantungkan daya pemikiran mereka kepada keupayaan orang lain. Bagi Kant, ketidak-matangan itu adalah apabila seseorang individu tidak sanggup untuk berfikir dengan kekuatan fikirannya sendiri. Kant berhujah selanjutnya bahawa sesuatu masyarakat itu hanya dapat keluar daripada keadaan sedemikian sekiranya “mereka memiliki kesanggupan dan kemerdekaan untuk menggunakan akal secara bebas dalam semua perkara.”

Sesungguhnya analisis Kant ini amat bermakna bagi umat Islam di zaman moden ini. Ummah pada ketika ini terperosok dalam keadaan ketidak-matangan yang tak tertandingi. Bukan sahaja keupayaan untuk berfikir secara bebas ini hampir malap, tetapi ia juga telah menjadi suatu yang dihalang. Sebarang usaha untuk mendemokrasikan maupun menginstitusikan semangat ijtihad ini pasti menimbulkan bibit keresahan di dalam masyarakat dan membangkitkan kemarahan, kebencian, dan penentangan daripada kalangan alim ulama’. Para ulama’ yang mengusung wacana yang menumpulkan akal dan kebebasan berfikir telah mengakibatkan umat tidak sanggup untuk menetapkan pendirian sendiri. Mereka hanya tahu satu perkara sahaja; iaitu taqlid, atau mengikut secara membuta tuli. Masyarakat Islam hanya berusaha samada untuk mengikuti Barat, ataupun menuruti zaman lampau kaum Muslimin terdahulu. Malangnya kita gagal memahami bahawa walaupun untuk membawa kesan dalam peniruan tersebut, ia membutuhkan inisiatif dan kreativiti.

Keadaan ketidak-matangan ini begitu mengakar dengan meluas hinggakan alim ulama’ sendiri telah menjadi tidak-matang, mereka mengundur daripada menggunakan akal mereka yang rasional, dan hanya bergantung kepada pendapat yang telah dikanunkan dan disakralkan daripada ulama’ yang terdahulu. Lantaran itu kesarjanaan ugama itu telah diturunkan darjatnya kepada hanya menghafal dan mengulang semula pendapat-pendapat ulama’ dahulu kala. Ulama’ masani hanya akan di hargai jika mereka dilihat cuba menghidupkan semula dan memperbaharui pendapat ulama’ silam. Namun mereka yang berusaha untuk memperbaiki atau mereformasi pegangan umat ini pasti dipandang dengan penuh rasa sinis dan curiga.

Maka jadilah kita suatu tamadun yang enggan dan takut untuk berfikir, hanya mengikuti mereka yang jahil dan tertutup. Dan dengan ketiadaan keleluasan pikiran yang menyegarkan itu, maka meratalah fenomena yang Kant ungkapkan tadi, iaitu ketidak-matangan.

3.Para8Kita tidak nafikan bahawa usaha islah dan tajdid itu telah dikerahkan oleh sebahagian ulama’ reformis pada abad ke-duapuluh ini demi mengubah dan menyedarkan masyarakat daripada lenanya yang panjang seperti Imam Muhammad Abduh, Rasyid Redha, Jamaluddin Al-Afghani, Malik Bennabi, Badiuzzaman Said An-Nursi, Syed Shaykh al-Hady, Ahmad Dahlan, A. Hassan dan seumpamanya; namun kita mungkin akan kehilangan momentum yang telah dicetuskan oleh para reformis ini. Kegusaran ini timbul daripada persepsi bahawa walaupun kebebasan berfikir ini adalah sesuatu yang mengkagumkan, namun ia mungkin bersifat episodik atau berkala; dan sungguhpun ia bersifat revolusioner, ia tetap jarang dan langka.

Maka, bagaimana untuk menjadikan kenyataan, supaya umat Islam ini keluar daripada kelembapan dan ketidak-matangan kepada suatu zaman yang mengilhamkan pencerahan? Kita percaya hal ini mungkin terhasil sekiranya umat keluar secara kolektif daripada pemikiran yang membungkam dan menzahirkan tekad dan keberanian untuk menggunakan akal anugerah Tuhan untuk berfikir. Kita mesti merangsang penggunaan daya akliah kita yang selama ini dibayangi ketakutan, walaupun kita punya kebebasan, akibat daripada kurangnya keyakinan diri. Kita perlukan keyakinan dan kemandirian dalam upaya untuk memahami, menafsir, dan meletakkan Islam dalam konteks kita. Kemasyghulan kita bukanlah dalam kebebasan untuk menggunakan akal, tetapi kebebasan untuk menggunakan teks-teks Islami secara langsung. Kita harus keluar daripada rasa rendah diri terhadap mereka yang terdahulu daripada kita, kerana masalah yang kita depani sekarang, adalah permasalahan yang tidak wujud pada zaman mereka.

Mereka adalah rijal, dan kita juga rijal!

Para ulama’ harus berhenti daripada mempamerkan konon merekalah `pembela dan pemelihara’ Islam. Posisi seperti ini hanya akan melahirkan pemikiran yang konservatif. Tanggungjawab untuk membela dan memelihara Islam itu adalah peranan Tuhan, dan perkara ini telah ditegaskanNya.

4.Below Para11 Above12

“Sesungguhnya Kamilah yang menurukan al-Qur’an, dan Kamilah yang bertanggungjawab memeliharanya” [Surah al-Hijr: 9].

Kegusaran bahawa Islam akan menjadi tidak asli lagi, diseleweng atau disalah-tafsir oleh Muslim masa kini, yang semestinya lebih inferior daripada mereka yang terdahulu, harus dibuang. Umat Islam harus berhenti daripada mengambil peranan Tuhan untuk memelihara risalah agama ini sebaliknya menjalankan tugas manusiawi dalam memahami dan bertindak atas risalah tersebut. Para ulama’ pula harus cuba merubah jiwa umat Islam dengan memfokuskan perhatian mereka daripada Apa itu Islam kepada Apa yang patut Muslim kerjakan.

Kesan daripada memisahkan Islam daripada Muslimin telah mengakibatkan umat Islam mempunyai agama yang terbaik, tetapi dengan pengikut yang paling jelek. Satu-satunya perkara yang dapat menghalang hal ini daripada berlaku adalah dengan mendekonstruksi mitos keunggulan Islam sebaliknya berhujah bahawa Islam adalah apa yang dilakukan oleh si-Muslim dan menekankan untuk memanifestasikan Islam kepada aksi manusia dan jauh daripada kesakralan teks semata. Kita harus sedar bahawa peradaban Islam, secara total, termasuk yang terbaik mahupun yang terburuk, adalah juga penafsiran terhadap al-Qur’an. Lantaran itu adalah tidak bermakna sekiranya idea yang diagung-agungkan itu seputar teks semata. Kesemuanya tidak mendatangkan sebarang makna sehingga ia direalisasikan dalam kehidupan duniawi.

Kita harus ingat bahawa umat Islam pada hari ini, adalah umat yang Allah telah percayakan untuk bertindak sendiri tanpa ada jasad seorang Rasul yang membimbingnya. Akan tetapi berbeza dengan umat para Rasul yang terdahulu, Allah menjanjikan bahawa Dia akan memelihara agama ini. Maka kita harus hidup dengan kepercayaan yang diamanahkan kepada kita. Dan kita tidak akan sanggup untuk melakukannya sehinggalah kita mampu bertindak sendiri mengikut pertimbangan kita sendiri, dan sehingga kita berani dan pantas untuk memahami dan mengaplikasi risalah Tuhan pada zaman kita ini. Kematangan dan pencerahan pada satu tahap, bererti kehidupan kita pada masa ini. Kita harus dapat melepaskan diri daripada autoriti silam, ataupun kegemilangan masa lampau, dan menfokuskan pada apa yang ada pada diri kita sekarang. Secara mudahnya, kita harus lebih matang dan bertanggungjawab.

5.Para16Jadilah manusia yang tercerah dan bergeraklah dengan penuh kematangan. Untuk meraih akhiran yang mulia ini, kita harus mengasak dalam apa jua cara, keyakinan bahawa kita mampu memahami dan merealisasikan kehendak maqasid dan membenihkan budaya yang toleran dikalangan yang berani untuk berfikir. Sebarang projek muluk dan megah ke arah pembangunan demokrasi dan jama‘i, atau ke arah pengiktirafan dan pemerkasaan kebebasan – kebebasan beragama dan kebebasan untuk melakar matlamat sendiri – tidak akan tercapai sama sekali selagi mana kondisi ketidak-matangan yang dikenakan sendiri ini tidak dilenyapkan.

Sehingga setiap individu Muslim serta golongan intelek dan ulama’ kita berani memutuskan penyelesaian dalam masalah yang kita hadapi pada hari ini, dan menilai khazanah yang kita warisi daripada zaman dahulu dengan pandangan dan perspektif yang kritis, tanpa membiarkannya untuk membebankan kita; selagi itulah kebebasan berfikir dan kebebasan bertindak itu – yang merupakan elemen terpenting dalam masyarakat Islam – tidak akan sama sekali tergarap.

Maka disebabkan itu, hampir keseluruhan esei-esei dalam Wacana Pemikiran Reformis – Jilid III ini mengajukan mesej yang sama iaitu pencerahan dan pemerkasaan akal di samping meninjau pemikiran angkatan mujaddid dan reformis silam yang telah mengerahkan segenap ikhtiar mereka untuk mengembalikan kegemilangan umat ini. Mudah-mudahan segala jasa bakti dan perjuangan mereka untuk mengangkat harakat dan mertabat akal yang dikurniakan Tuhan akan meraih balasan yang setimpal daripada Tuhan Rabbul Jalil.

“Mereka itu umat yang telah lalu, bagi mereka apa yang mereka usahakan; bagi kamu apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan dipertanggung-jawabkan atas apa yang telah mereka kerjakan.”
[Surah al-Baqarah: 234]


AFMusaDato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Direktur Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang memperjuangkan pemberdayaan akal dan mempromosikan agenda Islah dan Tajdid.