Memugar Pemikiran Reformis

March 27, 2017


Ahmad Farouk Musa || 27 Mac 2017

 

Sesungguhnya Kami telah taruhkan amanah ini kepada langit, bumi dan gunung-ganang, namun semuanya tak sanggup memikul amanat itu dan mereka takut mengkhianatinya, tetapi manusia menyanggupinya, lantaran mereka itu zalim dan jahil”.
[Surah Al Ahzab, 33:72]

oie_14182214ndrdydb7Ramai pentafsir mendefinisikan makna yang pelbagai dari istilah ‘amanah’ yang tercantum pada ayat ini; namun makna yang mungkin paling hampir menerangkan dengan jelas tentang maksud ‘amanah’ itu – sebagai keterangan Muhammad Asad dalam tafsirnya ‘The Message of the Qur’an’ – ialah ia berupa ‘akal’ atau ‘intelek’, dan ‘keupayaan atau daya akliah yang dapat membedakan’. Demikian itulah antara sebab paling utama dari keunggulan intelek atau daya akliah yang sanggup membedakan itu. Dan ‘akal’ dan ‘intelek’ inilah yang menjadi asas yang membezakan kita dari semua makhluk Tuhan yang lain termasuk para Malaikat.

Malaikat pernah diperintahkan sujud kepada Adam lantaran keunggulan akal yang diberikan pada makhluk yang bernama manusia dan tidak pada lainnya. Dalam hal ini, Muhammad Asad, yang amat terkesan dengan pandangan Muhammad Abduh telah terang-terang menyatakan kepentingan ‘akal’ dalam perbahasannya pada ayat:

Dan Dia menzahirkan kepada Adam nama setiap benda”.
[Surah al Baqarah, 2: 31]

Istilah “ism” (nama) menunjukkan menurut pandangan ahli filologi, suatu ekspresi “menyampaikan pengetahuan (tentang sesuatu). Menurut Muhammad Asad, dalam terminologi falsafah, ia menandakan makna suatu “konsep”.

Ayat-ayat yang seterusnya menunjukkan berdasarkan pemberian ilmu yang diraihnya daripada Tuhan berupa “nama” atau konsep pemikiran itu, maka manusia adalah, dalam sesetengah keadaan, lebih tinggi darjatnya daripada Malaikat. “Nama” adalah ekspresi simbolik kepada kekuatan untuk memaknakan ungkapan, kekuatan untuk menghuraikan pandangan yang merupakan ciri yang unik kepada manusia dan yang memungkinkannya, dalam pernyataan al-Qur’an, untuk menjadi Khalifah Allah di bumi ini.

Maka justeru itulah, matlamat dan tekad perjuangan Islamic Renaissance Front adalah untuk meremaja atau memperbaharui pemikiran Kaum Muslimin atau dalam makna lain, memperjuangkan keunggulan akal atau ‘the rise of reason’. Alhasil tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa ia merupakan penjelmaan semula pemikiran dan aliran rasionalisme Kaum Muktazilah di dunia Islam masani. Sesungguhnya demikianlah amanah yang paling besar yang dibebankan ke atas pundak manusia dan inilah juga tanggungjawab yang telah diabaikan selama ini.

maxresdefaultMaka persoalan yang sering juga ditanya, bagaimana dengan iman? Adakah ia juga membutuhkan akal untuk mengecapinya? Dalam hal ini, Imam Muhammad Abduh berkata iman tidak sempurna selagi mana ia bukan berdasar kepada akal fikiran. Kerana pada pandangan Ustazul Imam, hanya akal-lah sumber kepada keimanan itu. Kerana dengan akal-lah manusia dapat mengenal tanda-tanda kekuasaan Ilahi, bukannya dengan keyakinan yang hanya melulu, ikut-ikutan.

Tantangan-tantangan

Sesungguhnya segala tantangan yang kita hadapi pada masakini adalah merupakan tantangan yang sama yang dihadapi oleh golongan reformis masa lalu iaitu kebekuan intelektual. Dan sesungguhnya akibat daripada lenyapnya rasionalisme daripada pemikiran Kaum Muslimin inilah yang mengakibatkan kereputan yang kita saksikan di dunia Islam pada masakini.

Sedangkan kita adalah umat yang pernah berbangga dengan peradaban yang agung di kala Barat masih di zaman kegelapan. Kita pernah mempunyai ribuan saintis, ahli fizik, matematik, kimia, astronomi, perubatan dan berbagai lagi kepakaran yang kesemuanya bertapak di Baitul Hikmah semasa era Kaum Muktazilah. Tetapi kesemuanya itu hanya tercatat dalam lipatan sejarah.

Kaum Muktazilah pada ketika itu percaya bahawa salah satu sifat Tuhan yang paling utama ialah keadilan. Hal ini termaktub dalam usulul khamsah atau salah satu usul yang lima dalam doktrin Muktazilah. Lantaran Tuhan itu adil, maka manusia mestilah mempunyai daya ikhtiar. Manusia harus sanggup menggunakan akal yang dikurniakan Tuhan agar ia dapat membezakan kebenaran dari kebatilan dan berusaha sedaya upaya untuk menegakkan keadilan.

islamic_golden_ageDan bagi Kaum Muktazilah, lantaran Tuhan itu Maha Adil, nescaya Tuhan tidak akan membalas perbuatan baik atau buruk dengan sewenang-wenangnya. Manusia akan menerima pembalasan dari Tuhan baik nikmat kehidupan di syurga atau siksaan api neraka akibat daripada pilihannya sendiri atas dasar ikhtiyar mereka.

Maka dengan kerana itu, barangsiapa yang percayakan Tuhan yang Maha Adil, akan menerima hakikat bahawa manusialah yang mencipta tindakannya sendiri. Dan dengannya, dia bertanggungjawab terhadap apa jua balasan daripada Tuhan akibat perbuatan tangannya sendiri.

Hal ini sudah pastinya bertentangan dengan apa yang dinukilkan dari kalam kaum Asha’irah. Kerana bagi golongan Asha’irah, Tuhan itu Maha Berkuasa; yang dengan kekuasaanNya, Ia boleh mencampakkan seorang yang taat ke dalam neraka dan menempatkan seorang yang zalim ke dalam syurga. Kerana itu adalah hakikat kekuasaan Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.

Tetapi apa yang jelas, Tuhan dalam pandangan Kaum Muktazilah, adalah Tuhan yang adil, dan bukannya Tuhan yang bersifat diktator; dan inilah punca permasalahan teologis yang wujud suatu ketika dulu. Dan inilah apa yang kita warisi sejak zaman berzaman.

Bagaimana Tuhan Berinteraksi Dengan Kita?

Sesungguhnya Tuhan yang Maha Perkasa itu menyampaikan perutusan kepada kita makhluknya dengan dua kaedah yang utama, iaitu dengan perantaraan KitabNya yang diperutuskan (Revealed Book) atau kitabNya daripada alam semesta (Book of the Universe).

Termaktub di dalam kitabNya yang diutuskan, iaitu al-Qur’an, akan ayat:

Sesungguhnya al-Qur’an itu memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus
[Surah al-Isra’, 17: 9]

Akan tetapi kita sering lupa bahawa Tuhan juga berbicara dengan kita melalui alam semestaNya. Bukankah di dalam Surah al-Imran ada disebutkan:

Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat sesungguhnya pesan bagi semua yang dikurniakan dengan pencerahan. [Dan] yang mengingati Tuhan ketika mereka berdiri, dan ketika mereka duduk, dan ketika mereka berbaring untuk tidur dan [justeru] merenungkan tentang penciptaan langit dan bumi: “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak menciptakan [apa jua dari] ini tanpa maksud dan tujuan. Tak terhingga Engkau dalam keagunganMu! Selamatkan kami, lalu, dari azab api neraka!
[Surah al-Imran, 3: 190-191]

Lantaran itulah, bagi Imam Muhammad Abduh, seseorang itu tidak mungkin benar-benar beriman dengan Tuhannya, melainkan dengan kerahan akal fikiran dan daya inteleknya untuk memikirkan segala ciptaan Tuhan yang Maha Agung.

Rasionalisme Kaum Muktazilah ini juga membuat mereka menyimpulkan, bahawa Tuhan, dan cakerawala ciptaanNya itu, harus beroperasi menurut hukum-hukum yang rasional, yang Dia sendiri telah ciptakan. Pendirian yang sedemikian inilah yang telah berjaya membawa umat Islam ke arah penyelidikan saintifik dan puncak keunggulan dalam sains yang bermacam dimensi.

Alam ini beroperasi menurut sistem yang tetap lagi teratur, yang kesemuanya harus berjalan dalam keadaan yang tersusun, daripada sekecil-kecil zarah atom, proton, neutron dan elektron; kepada sebesar-besar planet dan bintang-bintang yang beredar menurut orbit masing-masing. Kesemuanya bergerak dalam keadaan yang tersusun rapi menurut peraturan Ilahi. Kesemua hukum-hukum alam ini adalah begitu jitu, dan kebanyakan daripada mereka mempunyai ciri matematika. Air akan mendidih pada suhu 100°C dan akan membeku pada 0°C. Segala sesuatu yang dijatuhkan dari atas akan mendarat ke tanah kerana tarikan graviti. Kesemuanya ini adalah hukum alam yang diciptakan Tuhan. Hanya apabila kita memahami dan mengkaji hukum-hukum alam ini, barulah kita akan memahami bagaimana sesuatu perkara itu berlaku berdasarkan ilmu sains, ilmu yang asasnya daripada Tuhan sendiri. Dan dengan mendalami dan memperlengkapkan diri kita dengan ilmu sains tersebut barulah kita memacu kemajuan membentuk tamadun baru.

Kaum Muktazilah pada masa itu adalah golongan yang amat memahami segala hukum-hukum alam ini. Mereka mengkaji pelbagai khazanah ilmu pengetahuan dari Timur dan Barat, menterjemahkan idea-idea saintifik dan menambah-baik akan idea-idea tersebut tanpa menganggap bahawa khazanah yang mereka perolehi itu adalah khazanah daripada bangsa yang tidak beriman dengan Tuhan. Dengan kerana itu, mereka mendahului dalam segenap bidang ilmu yang kemuncaknya adalah dengan terbangunnya Baitul Hikmah. Mereka adalah umat yang berpegang pada teori rasional ini bahawa segala sesuatu yang berlaku mestilah mengikut peraturan hukum alam yang telah ditetapkan oleh Tuhan, yang dalam bahasa modennya, pengetahuan ilmu sains.

Tetapi umat pada hari ini yang terpengaruh dengan doktrin Asya’irah, menganggap bahawa Tuhan yang Maha Berkuasa itu boleh melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan hukum alam. Kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Berkuasa. Maka kekuasaanNya itu tidak mengharuskan Dia mengikuti apa-apa hukum alam yang telah Ia ciptakan, sepertimana Dia berkuasa mencampakkan seorang yang taat ke dalam neraka, atau menempatkan seorang yang adil ke dalam syurga.

Bedah batin 3Pemahaman sebeginilah yang telah menghasikan begitu ramai para dukun yang mengaku boleh melakukan pelbagai pembedahan batin bagi membuang batu karang hempedu dan bermacam pembedahan batin yang lain. Dan pemahaman sebegini jugalah yang menyemarakkan perkembangan pelbagai pseudoscience atau sains palsu yang hanya menggunakan serapah jampi kerana asas kepada kepercayaan sedemikian ialah kerana Tuhan yang Maha Berkuasa itu boleh melakukan apa saja yang menyanggahi hukum alam.

Problematika Masakini

Masalah pseudoscience hanyalah satu daripada masalah yang timbul dalam kalangan umat Islam yang menghalang keupayaan mereka untuk maju dalam bidang sains. Akan tetapi apa yang lebih parah adalah dalam isu politik dan kenegaraan. Apa yang jelas adalah hasil daripada anggapan bahawa al-Qur’an itu adalah untuk dilaksanakan dan tiada ruang bagi memikirkan kemakhlukan al-Qur’an yang dengannya juga membawa implikasi bahawa al-Qur’an itu harus dipandang dari sudut historisitasnya yang memungkinkan ia untuk berhadapan dengan isu-isu yang amat mendesak pada abad ini termasuk isu-isu hak asasi manusia, demokrasi, dan pluralisme.

Pandangan yang begitu tegar dan literal dalam memahami al-Qur’an ini membuatkan umat Islam terperangkap dalam konsep Negara Madinah ataupun dalam menguna-pakai istilah Prof Tariq Ramadan dalam bukunya “Radical Reform”, suatu obsesi tentang model daripada prinsip-prinsipnya. Sesungguhnya untuk kita berupaya maju dan membuktikan bahawa agama Islam ini adalah agama yang sesuai dan selaras dengan hak-hak asasi manusia dan konsep-konsep moden dalam kenegaraan, maka agama Islam ini mestilah selaras dengan logika yang waras.

Sehinggalah kita mampu untuk mencapai kesepakatan dalam memberikan akal dan daya intelek kita kedudukan yang sewajarnya dalam menghadapi perubahan masa dan pelbagai tantangan zaman, kita tidak akan mampu membebaskan diri kita daripada belenggu dan bebanan generasi masa silam demi untuk maju dan membangun semula tamadun gemilang yang telah hilang.

Jalan Penyelesaian

Sesungguhnya Tuhan tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah kondisi dalaman mereka sendiri” [Surah ar Ra’d, 13: 11],

Muhammad Asad dalam mengungkapkan bahawa ini adalah ilustrasi kepada aturan wahyu tentang sebab dan akibat (sunnatuLlah). Aturan wahyu ini meliputi kehidupan individu dan masyarakat. Dan menjadikan kebangkitan dan kejatuhan tamadun bergantung pada kualiti moral manusia dan perubahan dalam “diri mereka sendiri.

Lantaran itu umat Islam tidak boleh mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdo’a dan mengharap mukjizat akan berlaku. Mereka mempunyai kepercayaan yang salah bahawa setiap urusan di dunia ini telah ditentukan untuk mereka sepertimana kalam Asha’irah bahawa takdir ketetapan adalah sesuatu yang pasti dan ikhtiyar hanyalah satu ilusi. Tidak kira betapa keras mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan tidak akan berubah. Maka dengan itu, umat Islam menjadi ini menjadi umat yang paling terkebelakang dan tidak produktif dalam sumbangan mereka terhadap sains dan teknologi.

joseph-wright-lectureGenerasi Muslim terawal tidak hanya duduk menantikan al-Mahdi datang untuk menyelamat dan memandu mereka. Kerana itulah kita melihat ahli sosiologi dan sejarawan ulung, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqaddimah’nya amat menentang keras perihal Imam Mahdi serta menolak segala kemungkinan hal itu daripada berlaku lantaran hal sedemikian itu hanya menjadikan umat Islam sebagai umat yang pasif.

Sesungguhnya memahami al-Qur’an telah meledakkan tanah Arab, dan mengeluarkan umat daripada belenggu pertelingkahan antara kabilah. Dalam tempoh beberapa dekad, al-Qur’an telah menyebarkan pandangan dunianya melangkaui sempadan tanah Arab dan melahirkan komuniti berideologi yang pertama dikenal dalam sejarah manusia, melalui desakannya terhadap kesedaran dan ilmu. Ia telah menyemarakkan di kalangan pengikutnya semangat pencarian aqliah dan penyelidikan yang bebas yang berdasarkan rasionalisme dan hukum alam yang berakhir dengan era yang memukau dalam kajian dan penerokaan saintifik yang telah mengangkat dunia Islam di puncak ketinggian budayanya.

Budaya yang dipelopori Kaum Muktazilah ini telah menembusi dengan berbagai cara dan jalan ke dalam fikiran Eropah zaman pertengahan. Ia akhirnya mencetuskan kebangkitan budaya Eropah yang kita ungkapkan sebagai Renaissance, dan kemudiannya dalam peredaran waktu berperanan besar dalam melahirkan apa yang digambarkan sebagai “zaman sains” di era di mana kita hidup pada masa ini.

Dan inilah yang menjadi harapan kita masakini agar dapat dicetuskan semula budaya berfikir dan penyelidikan berdasarkan sains dan teknologi yang akan mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan ummah ini.

 


AFMusaDato’ Dr. Ahmad Farouk MusaWPR III.FrontCover merupakan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), iaitu sebuah badan pemikir yang menggerakkan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal. Esei ini merupakan ucapan sempena pelancaran Wacana Pemikiran Reformis – Jilid III yang diadakan di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur pada hari Ahad, 26 Mac 2017.