Negara Demokrasi Sekular: Negara yang adil dan berkebajikan

August 20, 2013 by Ahmad Farouk Musa


Negara Demokrasi Sekular: Negara yang adil dan berkebajikan
Ahmad Farouk Musa
Monash University

Abstrak

imagesSalah satu daripada tren yang sedang bangkit yang mungkin mempengaruhi arah politik Islam kontemporer adalah penyerbuan aliran Islam Literal. Jelas tren yang membimbangkan ini dapat dilihat dengan lebih ketara dengan cetusan Musim Semi Arab walaupun kaum literalis bukan pada awalnya memicu di garda depan. Mereka menganjurkan kebangkitan semula Islam yang tulen dan penubuhan negara Islam berteraskan undang-undang Shariah. Bentuk-bentuk lain daripada sistem politik atau perlembagaan disingkirkan sebagai tidak-Islamik dan merupakan satu manifestasi daripada neo-kolonialisme Barat.

Cengkaman mereka terhadap kuasa politik dapat dirasai sejauh Maghribi di Barat dan merentang ke Malaysia di Timur. Walaupun projek ini dapat dikesan balik daripada rempuhan era Islamisme kaum fundamentalis, ide tersebut dipugar semula dengan kejatuhan banyak kuasa diktator ketika Musim Semi Arab.

Keseluruhan pandangan yang fundamental daripada projek Islamis berakar pada ide tentang kedaulatan Tuhan. Sebarang bentuk kerajaan lain asasnya hanya merupa upaya manusia untuk merampas kedaulatan Tuhan oleh manusia. Sekiranya dua garis harus dilukiskan, bentuk horizontal dan vertikal, maka titik pergeseran adalah tatkala dua garis itu bertemu. Kalangan yang percaya dengan definisi yang tegar tentang negara Islam cuba untuk menyela relasi vertikal mereka dengan Tuhan ke dalam ruang horizontal awam sebagai suatu cara bagi mengatur urusan manusia.

Keseluruhan ide ini adalah berdasar kepada faham bahawa agama mendakwa memiliki kebenaran yang universal. Ketegaran ideologi yang sering terkait dengan kepercayaan ini telah menjejaskan prinsip toleransi, pluralisme, dan mengkompromi seluruh aspek yang penting daripada politik demokrasi liberal. Dan kerana posisi penting yang ditempati Shariah dalam penguasaan diskusi kalam-perundangan Islam, hudud atau hukuman Tuhan, telah diangkat ke status “holy grail” oleh kebanyakan gerakan Islam.

Itu adalah alasan utama mengapa terdapatnya keperluan terhadap pemisahan agama daripada politik. Agama bersifat eksklusif kerana ia menetapkan batas antara orang beriman dan tidak beriman, padahal kerakyatan tidak harus bersandar pada kepatuhan kepada Tuhan sebaliknya berdasarkan keahlian dalam masyarakat politik. Dan agama juga melemahkan orde sekular dalam masyarakat yang amat diperlukan untuk mengekalkan keamanan demokrasi. Ia pada dasarnya merobohkan perbedaan antara paksi vertikal dan horizontal, dan menarik Tuhan daripada ketinggian samawi dan masuk ke tengah perdebatan awam.

Harus ditekankan di sini bahawa tuntutan untuk mendirikan sebuah negara sekular sama sekali tidak sama dengan tuntutan untuk mensekularkan masyarakat. Negara harus menjadi sekular dalam pengertian ia bersifat neutral terhadap semua doktrin agama yang berbeza. Ia tidak bermaksud pengasingan agama daripada kehidupan sosial masyarakat. Salah tanggapan yang terbit daripadanya, adalah salah satu sebab ramai umat Islam lebih cenderung berseteru pada konsep itu.

Screen Shot 2013-08-20 at 9.09.50 AMSekiranya Islam masih harus dilihat memainkan peranan dalam tata urus, maka tugas pokok adalah baginya untuk menjadi penjamin terhadap maruah manusia. Ia harus memastikan keselamatan fizikal terhadap setiap rakyat, hak mereka untuk melindungi keluarga mereka, keselamatan harta mereka, kesaksamaan dalam kerjaya mereka dan penyertaan penuh mereka dalam masyarakat madani.

Ia tidak harus menjadi katalis untuk membangun suatu “komuniti berideologi”, untuk mendirikan apa yang dikata negara Islam, atau untuk melaksanakan undang-undang Islam dan aturan moral. Islam bukan lagi penyelesai kepada semua permasalahan atau “al-Islam huwa al-hal”. Slogan seperti itu hanya semata-mata retorik. Fokus utamanya harus memicu kepada keadilan, keserataan dan kebebasan.

Satu-satunya jalan ke hadapan adalah untuk membuka suatu ruang bagi wacana intelek dan untuk menghormati hak-hak agama dan kebebasan naluri dan ekspresi. Islam dan keagamaan yang hakiki dapat berkembang dengan lebih baik dalam sebuah negara sekular yang memecahkan monopoli terhadap kebenaran agama. Ia adalah suatu ruang yang diperlukan bagi seorang Muslim untuk menjalani kehidupan berdasarkan kemahuannya sendiri yang bebas dan keyakinan yang sebenar dan bukan kerana kerahan negara.

Harus dinyatakan juga bahawa sementara agama bersifat eksklusif, demokrasi adalah inklusif secara lahirnya, egalitarian dan tidak mendiskriminasi. Tiada manusia dapat memegang monopoli sebagai jurubicara bagi pihak Tuhan. Kesejajaran atau ketidaksejajaran suatu agama – termasuk Islam – dengan demokrasi bukan sekadar suatu spekulasi falsafah, tetapi suatu perjuangan politik.

Ia bukan sangat persoalan tentang teks tetapi lebih tentang perjuangan terhadap kuasa antara kalangan yang mahukan agama yang demokratik dan kalangan yang mencari versi otokratik. Dan hanya dalam sebuah negara sekular yang demokratik, semua rakyat, yang beriman mahupun yang tak beriman, malahan orang-orang beriman dari berbagai mazhab, Sunni dan Shia keduanya, akan mempunyai dasar alasan yang sama untuk mendakap hak terhadap kebebasan beragama. Mereka akan mempunyai kebebasan yang mutlak daripada sebuah kerajaan yang cuba bertindak sebagai pendamai terhadap kebenaran sesuatu agama atau lebih buruk lagi, sebuah kerajaan yang menzahirkan kuasa kerahannya untuk memaksakan otoriti agama dan keseragaman dalam beragama.

—–

Kertaskerja ini dibentangkan di Competing Visions in the Muslim World Conference: Rebuilding States and Reinvigorating Civil SocietiesKonferens tentang Persaingan Pandangan dalam Dunia Islam: Membina semula Negara dan Menguatkan semula Masyarakat Madani pada 14 Ogos 2013 di Universiti of Sydney, Australia.