Pendidikan Kritis: Islah Masyarakat dan Tindakan Politik – III
September 30, 2013

Oleh: Mohd Syazreen Abdullah

3202_Main-2Dialog adalah sebuah hak yang menemukan manusia yang ingin mencorak dunia dan tidak boleh ditemukan sebaliknya dan juga tertolak hukumnya apabila berlakunya penafian hak manusia lain dan menafikan sifat-sifat kemanusiaan. Ia ditemukan dengan titik untuk mencapai tindakan daripada refleksi dialog. Pendidikan kritis adalah proses dialog yang dibangunkan atas dasar membela hak kemanusiaan dan mengangkat kesedaran kasih dan cintakan kebenaran dalam usaha menolak sebuah ideologi yang menguasai sebuah masyarakat.

Akhirnya Paolo Freire menyifatkan dialog yang sebenar tidak akan wujud melainkan jika ia melibatkan pemikiran kritis dimana pemikiran yang mengamati realiti sebagai proses dan transformasi, tidak berlaku statik sebaliknya pemikiran yang tidak memisahkan dirinya daripada tindakan. Ia bukanlah sebuah model tindakan manusia bersendirian yang membentuk manusia lain dalam kandungannya tetapi ianya sebuah tindakan bersama jauh sekali sebuah indoktrinasi pemikiran, fisik mahupun jurang.

3202_Paolo-FreireDalam membina sebuah masyarakat kritis, budaya ini mesti disuburkan bukan sahaja diperingkat ruang awam tetapi di dalam sektor institusi dan pendidikan kritis ini adalah sebuah modal yang mesti dikukuhkan. Pendidikan kritis adalah proses membuang projek dehumanisasi dan mengangkat humanisasi bermula pada peringkat sekolah dan suasana media yang rosak perlu dibebaskan.

Budaya adalah hasil bagaimana masyarakat itu mencipta struktur dasarnya melalui sosiologi yang terkandung didalamnya. Sekolah atau universiti mesti dibebaskan daripada menjadi pusat pragmatis mencapai pasaran sebaliknya pembinaan individu yang kritis yang mampu bertindak potensinya sebagai khalifah.

Tindakan cerobohan budaya mestilah dihilangkan dalam ruang awam sebaliknya pembebasan budaya itu seharusnya diangkat. Tindakan anti-dialog seperti usaha memisahkan kuasa, usaha penaklukan dalam konteks mencerobohi budaya kumpulan yang berlainan tanpa menghormati keupayaan mereka, menyekat kretiviti dan ucapan manusia lain adalah sebuah pencerobohan budaya yang boleh membawa kepada usaha dehumanisasi. Ketidakseimbangan dalam mengatur masyarakat kritis bermula apabila ada ketidakadilan hukuman dan wacana yang bergerak dalam menangani sesuatu masalah.

Pembebasan budaya juga harus berlaku ke dalam sistem pedagogi pindidikan Islam. Bagaimana proses mencipta individu berfikir mesti dibebaskan melalui proses pedagogi pendidikan kritis yang bermula dengan persoalan dan penelitian semula teks-teks klasik yang sepatutnya dibaca mengikut peredaran zaman.

Dogma pemikiran pendidikan Islam yang dianggap sudah sempurna tanpa dikritik tidak mampu untuk menjadikan proses dialog yang baik dalam sebuah budaya. Konsep pendidikan mestilah dilihat bukan sekadar bersifat normatif atau abstrak tetapi yang yang lebih praktikal, empiris lagi sosiologikal sifatnya.

Islah masyarakat dan tindakan politik

“Education as the practice of freedom—as opposed to education as the practice of domination”

“Pendidikan sebagai suatu praktis kebebasan – berbanding dengan pendidkan sebagai praktis dominasi”

Dalam konsep penciptaan, manusia adalah makhluk yang diangkat ketinggiannya sebagai khalifah yang membuat kebaikan dimuka bumi. Ia adalah makhluk hasil praxis yang berbeza dengan haiwan yang tidak punya peranan mengubah realitI dunia sebaliknya manusia dikurniakan akal untuk melihat objektif dan memahami isi dunia ini dan dirobah untuk memenuhi maslahah mereka.

Proses pendidikan menjadikan manusia itu menumpukan kesedaran kritis dalam dirinya dan bertindak atas situasi mereka sendiri hingga mencabar tindakan untuk menjadi kritikal tentang kewujudannya. Manusia yang menjalani pendidikan kritis bukanlah ia bersifat abstrak, atau teori semata tetapi mampu mencapai pembebasan dalam dirinya dan merdeka daripada segala unsur penaklukan dan dominasi kuasa atau ideologi yang mampu memberi keuntungan pihak penindas.

3202_EducationMereka perlu sedar bahawa kewujudan mereka adalah didalam ruang yang bersama, maka konsep tindakbalas terhadap cabaran dengan tindakan realiti yang diarahkan untuk menafi dan mengatasi, bukan menerima secara pasif pemberian tersebut.

Perkara ini yang sentiasa diangkat oleh Paulo Freire dalam menegaskan tindakan melihat manusia kepada realiti. Dalam bab sebelumnya, telah dihuraikan tentang tujuan pendidikan itu sememangnya bermatlamatkan manusia yang ideal yang lengkap kesedaran metafizika dan refleksinya. Proses hasil pendidikan bukan lagi dilihat hanya kepada proses jangka masa panjang semata-mata, tetapi harus juga dilihat perkembangan dalam proses jangka pendek yang sememangnya melibatkan kaum tertindas dan masyarakat yang dizalimi.

Usaha membentuk metodologi sosial juga perlu dilihat cara penyampaianya dan yang demikian itu telah diulas dalam pendekatan Bourdieu dalam melihat konsep masyarakat yang harus dilihat bentuknya. Pendidikan kritis punya pedagogi yang pasti asasnya adalah tumpuan kepada kewujudan kesedaran manusia yang bebas dalam ranah hidupnya dalam melakukan tindakan politik.

Pendidikan kritis tidak boleh memisahkan hubungan manusia dengan hubungan politik sekelilingnya. Mereka bukan manusia yang hanya mencapai tujuan pendidikan dengan kejayaan pasaran semata dan kesenangan materinya namun lebih jauh lagi mereka punyai peranan khalifah dimuka bumi ini untuk mengislahkan masyarakatnya dan menjatuhkan kezaliman yang terjadi dalam dunia ini.

Pendidikan kritis, bukan melahirkan manusia yang bisu kepada kebenaran, sebaliknya manusia yang sentiasa progresif membaiki kelemahan dirinya dan masyarakatnya daripada tindakan kezaliman.

Proses ini menuntut daripada kekuasan dominasi ideologi dalam mengawal minoriti dan pada masa yang sama mencegah critical community. Tindakan pendidikan dialog mampu menjadikan proses kesefahaman itu dalam ranah ruang awam membentuk menjadi sebuah masyarakat yang saling lengkap melengkapi kelemahan dan bersama dalam proses kebaikan ataupun islah.

Wacana pencerahan dan dialog pencerdasan rakyat mestilah digigihkan sehingga mampu membentuk masyarakat yang berfikir kritis dan tidak membenarkan penguasaan kezaliman dalam bentuk hak, pemikiran dan tindakan tehadap mereka.


Mohd Syazreen Abdullah adalah seorang mahasiswa di University of Yarmouk. Beliau juga merupakan Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan krew Universiti Terbuka Anak Muda, suatu platform bagi wacana intelektual dikalangan mahasiswa.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022