Prakata kepada Wacana Pemikiran Reformis Jilid II oleh Dr Azmi Sharom
January 17, 2014

Dalam bukunya The Great Transformation: The World in the Time of Buddha, Socrates, Confucius and Jeremiah (2006), Karen Armstrong menekankan bahawa agama adalah faktor yang tidak boleh diketepikan dalam wacana awam. Penekanan ini terutamanya benar dalam apa yang disebut “Dunia Islam”.

Jika kita mengambil “Dunia Islam” dengan maksud negara-negara dimana majoriti penduduknya Islam – dengan tidak terheret ke dalam perdebatan “Negara Islam” – apa yang jelas adalah kelompok bangsa ini pada umumnya merudum di belakang negara dunia yang lain dari sudut ekonomi, sosial dan pembangunan intelek.

Sebagaimana Richard Dawkins nyatakan dengan tepat, meskipun dengan caranya yang agak kejam, bahawa Trinity College di Cambridge memiliki lebih ramai penerima anugerah Nobel jika dibanding dengan seluruh umat Islam di dunia. Untuk berlaku adil kepada sosok peninju Ateisme ini, beliau turut menambah bahawa umat Islam telah melakukan hal yang menakjubkan pada Zaman Pertengahan.

Dawkins ternyata cuba untuk menzahirkan bahawa agama adalah penghadang kepada kemajuan dan pembangunan. Namun pengakuannya bahawa umat Islam membikin “perkara yang menakjubkan” pada Zaman Pertengahan menggasir teorinya sendiri. Kerana tentunya agama, dan dalam misal sekarang ini, Islam, mempunyai peranan yang masif untuk dimainkan dalam masyarakat Islam Zaman Pertengahan, sebagaimana ia lakukan, seperti Armstrong nyatakan, dalam masyarakat sekarang.

Apakah justeru perbedaan antara dua rangka period ini?

Saya akan sarankan bahawa bukanlah agama yang menghambat kemajuan tetapi sikap seseorang kepada agama. Sebarang ideologi sama ada sepenuhnya sekular atau yang berbentuk keagamaan akan menjadi batu penghalang kepada pertumbuhan dan kemajuan manusia. Ambil contoh pemerintahan Mao di China. Versi komunismenya tidak mengizinkan sedikitpun ruang kepada agama, tetapi polisinya secara praktikal mengheret bangsa yang terpadat di dunia ini kepada period kebiadapan sosial (Revolusi Budaya) dan kemunduran ekonomi (percubaan yang gagal untuk mencipta industri keluli dengan membuatkan manusia mencairkan peralatan memasak mereka).

Hal ini sama sekali bukan suatu serangan ke atas Komunisme, atau pembelaan yang kerdil terhadap agama, akan tetapi ia hanya suatu perumusan bahawa begitulah seseorang menggunakan dan memaksakan ideologi, apa pun jua, yang sama ada dapat mengangkat masyarakat, atau membenamkannya ke dalam tanah.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa agama mempunyai resonan emosi yang kuat di mana ia dapat lebih mudah digunakan untuk memanipulasi masyarakat berbanding dengan ideologi yang lebih sekular. Sekiranya saya mendakwa dalam pertemuan World Trade Organization bahawa saya adalah seorang sosialis dan saya menolak kapitalisme; hal ini tidak akan sesekali membangkitkan reaksi yang sama jika saya berdiri ketika solat Jumaat dan mengatakan bahawa saya menolak Islam.

Ia menjadi lebih runcing lantaran kerana itu wujud penghormatan yang mengakar terhadap intelektualisme dalam masyarakat; khususnya masyarakat yang membuat tuntutan kearah keagamaan. Sebarang kekurangan akan membawa kepada masyarakat yang dipimpin oleh kuasa reaksionari, fanatik dan tirani. Mungkin penghormatan terhadap pemikiran dan diskusi intelek inilah yang telah menciptakan “Zaman Keemasan Islam’, sebagaimana penolakan yang membelakangi intelektualisme yang mewarnai Dunia Islam hari ini.

Kita tidak boleh mengenepikan agama, namun kita harus mendamaikan keperluan bagi kepuasan spiritual dengan bentuk keterbukaan dan kebebasan intelektual masyarakat demi untuk menggerakkan daya momentum ke hadapan dalam pembangunan manusia keseluruhannya. Ke arah maksud ini, buku ini adalah penerbitan yang sangat penting sebenarnya. Gugatannya terhadap bentuk amalan anti-intelektualisme dan anti-demokratis yang sering ditemui di dunia Islam dalam apa yang nyata – setidak-tidaknya kepada saya – hanyalah penggunaan agama secara sinis dan mesum sebagai kaedah untuk mempertahankan kuasa; adalah sesuatu yang tepat pada waktunya dan amat dibutuhkan.

Prakata ini, dan saya percaya, buku ini juga, bukanlah suatu dentuman nyaring kepada seantero umat di planet yang terbentang luas sebaliknya suatu harapan kepada sebuah dunia di mana tiada seseorang yang terikat oleh tahyul, eksklusiviti, fanatik dan kezaliman dengan mengorbankan daya penemuan, inklusiviti, kemanusiaan dan kasih sayang.


Dr Azmi Sharom adalah seorang ahli akademik di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022