Prakata Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan
December 25, 2017

Sebelumnya buku ini saya baca dalam versi bahasa Inggeris, yakni ketika versi bahasa Malaysia yang bakal diterbitkan masih belum siap naskahnya. Buku Reformasi Radikal ini adalah antara buah fikiran penting buat saya. Ia memberi nuansa rasional berteraskan prinsip Islam dalam mengendali tuntutan reformasi atau islah, untuk memperbaiki dimensi politik serta sosioekonomi rakyat.

Dalam hampir dua dasawarsa menyorot perjuangan Reformasi di Malaysia, saya percaya seperti yang dianjur oleh Tariq Ramadan, bahawa perlunya ritual proses reformasi yang bersifat radikal tetapi masih terangkum di bawah apa yang dibenarkan – mutaghayyirāt (berubah-ubah), bukannya yang sudah tetap sifatnya.

Reformasi radikal adalah satu panggilan untuk menimbangkan sumber-sumber agama dan menyelaraskannya dengan keperluan dunia. Tekad reformasi merupakan proses ijtihad yang memerlukan pelaksanaan mengikut keperluan mana-mana haraki untuk memastikan gerakan kekal relevan. Namun, terma radikalisasi yang digunapakai oleh Tariq Ramadan adalah terma yang masih belum diterima baik dalam nilai-nilai keMelayuan dan adat ketimuran.

Mujurlah, penulis mengambil pendekatan akomodatif yang turut selari dengan pendirian ilmuwan tempatan seperti Siddiq Fadil yakni uslub Al-Muwāṭinūn. Berkait ahlul-dzimmah dan kewarganegaraan pula, Tariq Ramadan telah menulis tentang konsep al-muwāṭanah yang kini merupakan istilah yang diterima umum, walaupun sesetengah fuqaha literalis atau tradisionalis ragu-ragu untuk menggunakannya atau menolaknya secara keseluruhan hanya kerana ia bukan sebahagian daripada istilah klasik Islam.

Hal ini jelas menunjukkan masyarakat yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan masyarakat masih lagi mampu mengangkat sebuah gagasan idea kerana ia bersifat al- mutaghayyirāt dalam hal-hal berkaitan politik dan kenegaraan, dan tidak menggugat persoalan akidah dan ibadah. Tambahan pula, prinsip dan ketetapan agama yang bersifat at-thawābit (tetap) telah membantu saya menyelusuri selok-belok kehidupan dengan penyelesaian Islam yang tuntas lagi pragmatis.

Perjuangan idealisme reformasi di Malaysia bukanlah sebuah perjuangan yang tersekat di fasa wacana dan idea semata-mata. Bahkan rakyat telahpun mula melaungkannya di jalanan dan beberapa dasar yang terpakai di bawah negeri-negeri naungan. Cabaran utama adalah reformasi pendidikan, ekonomi, sosial yang radikal mengikut eligibiliti pemimpin dan rakyat dalam garisan demokrasi dan tidak dibawa secara ekstrem.

Tanpa reformasi secara beretika, kita tidak akan mampu untuk meraih sebuah perubahan sistem yang bermakna meskipun ia dilakukan secara radikal. Kesediaan membawa keberlangsungan dakwah dan reformasi ini juga wajar mempunyai satu pelan tindakan dan rangka masa yang jelas.

Bahkan, ini semua dipersetujui oleh ilmuwan Barat hinggalah ke Timur, daripada idealisme Sheikh Muhammad Abduh sehinggalah kepada Pak Natsir. Pengupayaan daya memerlukan sinergi antara ahli akademik, para intelektual, aktivis serta ahli politik supaya setiap ijtihad dan intipati kependidikan reformasi radikal ini diterima pakai melangkaui perbincangan teks semata-mata. Ia mestilah memenuhi objektif keruhanian dan menjuarai keperluan masyarakat Malaysia serta diagendakan sebagai penggerak generasi reformasi di seluruh dunia.

 


Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden Keadilan. Buku Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan ini akan diluncurkan pada hari Sabtu, 6 January di Spices, Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022