Prolog “Islam Dipersimpangan Jalan” oleh Muhammad Asad

August 26, 2016 by Ahmad Farouk Musa


Ahmad Farouk Musa || 26 August 2016

1.Para1.AsadMuhammad Asad, salah seorang pemikir Islam teragung yang pernah hidup, akan tetapi hampir tidak di kenali di Barat dan suatu misteri bagi kebanyakan orang Islam sendiri. Tetapi, kepada mereka yang mengikuti kehidupannya melalui buku-buku dan penulisannya, pasti mengetahui bahawa tidak ada seorangpun yang lebih banyak memberi sumbangan di dalam zaman ini terhadap kefahaman Islam dan kebangkitan umat Islam, atau berkerja lebih keras untuk membina jambatan diantara Timur dan Barat, melebihi daripada Muhammad Asad.

Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada Julai 2, 1900 di Lviv (Lemberg), Galicia, kini Ukraine, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada jajahan empayar Austria. Pada tahun 1926, beliau memeluk Islam dan menjadi Muhammad Asad. Kisah tahun-tahun sebelum keIslamannya menggambarkan pengembaraan kerohanian seorang manusia yang mencari jalan yang sebenar, seorang manusia yang dilanda keinginan untuk mengembara, yang tidak dapat mententeramkan jiwa yang meronta sehinggalah beliau memeluk Islam.

7895302Muhammad Asad berdiri dengan kekuatan sendiri diantara umat Islam kontemporari kerana keistimewaan persepsi dan sumbangannya kepada Islam. Dengan penguasaan beliau dalam bahasa Inggeris, ilmu beliau dalam Kitab Injil dan sumber-sumber Injil, juga sejarah dan ketamadunan bangsa Yahudi, Muhammad Asad telah mencapai kejayaan yang lebih besar dalam menyampaikan kepada pembaca Islam dan bukan Islam intipati ajaran Islam dalam sejarah dan konteks yang kekal abadi serta tidak terikat pada mana-mana zaman.

Tetapi disebalik perkataan-perkataan dan buku-bukuan, Muhammad Asad ingin melihat tubuh Islam yang hidup dan berkembang dalam dunia moden ini. Walaupun cemas dengan keadaan sedih Umat Islam dan agenda mereka yang kalut, beliau kekal optimis hingga ke akhir hayatnya bahawa generasi baru umat Islam akan bangkit dan melaksanakan impian beliau menjadi realiti. Beliau ingin, terutamanya, melaburkan harapan yang tinggi kepada para pemuda Islam untuk idealisma, kemampuan dan keinginan untuk berfikir dan berhujah.

Muhammad Asad kepada saya; adalah suara nurani kepada umat Islam yang berfikir. Dan buku ini adalah tulisan awalnya dalam merungkai permaslahan umat Islam dan harus dibaca semula oleh para belia abad ini sepertimana ia ditujukan pada belia di zamannya dalam tahun 1934, semasa buku ini ditulis dahulu.


AFMusaDato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengarah di Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang memperjuangkan agenda pembaharuan, islah dan tajdid.