Rachid al-Ghannouchi sebagai Demokrat Islam

October 20, 2016 by Ahmad Nabil Amir


“We consider that a state is more Muslim, more Islamic, the more it has justice in it” – Rachid Ghannouchi

[Kami menganggap sebuah negara lebih Muslim, lebih Islamik, dengan lebih keadilan ditegakkan di dalamnya]

1.Para3Artikel ini cuba merumuskan pandangan Rachid al-Ghannouchi Kheriji (lahir 22 Jun 1941) tentang prinsip demokrasi yang diungkapkan dalam tulisannya seperti Ad-dimuqratiyah fil-Islam (Demokrasi dalam Islam) – diterjemahkan dari syarahan Bennabi, Al-hurriyyah al-‘ammah fi al-dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum Dalam Negara Islam) dan lain-lain yang mengungkapkan pemikirannya tentang prinsip tatakelola, faham kebebasan, pembahagian kuasa, sistem multi-parti, dasar dan falsafah politik Islam (siyasah syar‘iyyah). Pemikirannya tentang politik ini turut digarap daripada karya Dr Azzam Tamimi yang menulis tentang misi dan kareer politiknya Rashid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism dan menyorot peranannya dalam kebangkitan gerakan Islam kontemporari dan pengaruh yang digerakkannya. Ia turut meninjau pandangan dan analisis lain yang mengkritisi falsafah dan gagasan politiknya dan kekuatan idealisme dan aspirasi perjuangan yang diilhamkannya.

 

Mukaddimah

“We are leaving political Islam and entering democratic Islam. We are Muslim democrats who no longer claim to represent political Islam.” – Rachid Ghannouchi

[Kita meninggalkan Islam politik dan memasuki Islam demokratik. Kita adalah demokrat yang tidak lagi mendakwa mewakili Islam politik]

Rachid Ghannouchi merupakan seorang pemikir ulung, intelektual dan politikus Islam yang terkenal sebagai pejuang demokrat dan aktivis dalam gerakan politik Islam kontemporer. Beliau pernah meringkuk dalam penjara sebanyak dua kali di bawah rejim autokratik Habib Bourgiba, dan hidup dalam buangan (self-exiled) di London selama dua-puluh dua tahun. Diiktiraf sebagai antara seratus individu paling berpengaruh di dunia (majalah Times, 2012), penerima anugerah berprestij Chatham House 2012 dari Prince Andrew, Duke of York bersama dengan Presiden Tunisia, Moncef Marzouki, kerana “kompromi yang berjaya yang keduanya capai ketika transisi demokratik Tunisia” (successful compromises each achieved during Tunisia’s democratic transition), dan tersenarai sebagai salah seorang tokoh penentu dan ideolog dalam dunia Islam kontemporer dalam buku Makers of Contemporary Islam, dan antara seratus pemimpin Islam terkemuka di abad ke-20 (100 Great Muslim Leaders of the 20th Century, Mohd Mansoor Alam, et. al., 2005) Ghannouchi dilihat sebagai harapan global bagi merealisasikan aspirasi demokrat Islam seluruh dunia.

Perjuangan politiknya telah membawa kesan yang signifikan dalam menggembling aspirasi kebebasan dan nahdah budaya dan cita-cita demokratik di Tunisia dan dunia Islam. Dasar dan kebijakan politiknya dirangka bagi mempertahankan hasrat kebebasan (al-hurriyyah) dan keadilan (al-‘adl) dan hak-hak manusiawi (huquq al-insan), dan memperjuangkan nilai kebebasan dan prinsip shura dalam struktur kekuasaan.

 

Transisi Demokratis

“Today, we can assure you that it will not turn into a fundamentalist “religious” or “secular” winter but into a democratic spring where all have a place” – Rachid Ghannouchi

[Hari ini, kita dapat memastikan yang ia tidak akan beralih kepada musim dingin fundamentalis “agama” atau “sekular” tetapi kepada musim semi demokrasi di mana kesemua punyai tempat]

2.Para9.RightTransisi demokratis Tunisia dicapai setelah kejatuhan rejim Zine El Abidine Ben Ali pada 14 Januari 2011. Dicetuskan dari gejolak sosial dan politik yang paling dramatik dengan protes massa 2010-2011 dan kemarahan akibat tekanan dan kenaikan harga makanan dan bahan bakar, masalah korupsi, pengangguran, dan kebebasan yang dikekang, Revolusi Tunisia atau Jasmine Revolution ini telah menyaksikan kebangkitan fajar baru bagi sistem multi-parti, pemerintahan demokratik dan pilihanraya pertama yang bebas di republik itu setelah dua puluh tiga tahun ditindas rejim autokratik.

Walaupun menang dengan mandat yang besar, en-Nahdah memilih untuk bekerjasama dengan parti sekular sosial demokrat, dan membentuk muafakat politik (kolisi “Troika”) dengan parti al-Muktamar atau Congres pour la Republique (CPR) yang dipimpin oleh Moncef Marzouq (yang kemudian dipilih sebagai presiden pertama Tunisia paska-revolusi pada 12 December 2011) dan parti al-Takattol atau Democratique pour le Travail et les Libertes (FTDL) yang diterajui oleh Mustapha Ben Jaafar. Kesediaan en-Nahdah berkongsi kuasa dan memilih jalan sekutu ketimbang dari monopoli tunggal, adalah bagi mengelakkan kemungkinan manipulasi kuasa dan keangkuhan kuasa melalui proses semak dan imbang dan mencapai keputusan yang kolektif.

By sharing power with the opposition, we protect ourselves from the temptation of monopolizing power and arrogance of power. At the same time, power-sharing protects us from the threat of being subjected in the future to exclusion, marginalization, and torture.” (Noureddine Jebnoun, 2014)

 

Paradigma politik

“Manakala ruang lingkup agama adalah kepatuhan dan kewajipan, politik adalah lingkungan pemikiran dan ijtihad” (Rachid Ghannouchi, 2012)

Dalam penulisannya yang prolifik tentang ide dan pemikiran politik, Ghannouchi menekankan aspirasi kebebasan dan idealisme maqasid yang meluas. Beliau menegaskan ide kebebasan, konsep negara madani dengan dasar liberal dan pluralisme politik, dan prinsip maslahah dan maqasid syariah yang berakar dari kefahaman yang ideal tentang tuntutan politik yang praktis dan realistik (fiqh al-waqi‘),

“We want a party that talks about everyday problems, and not one that talks about the Last Judgment and Paradise. We want religious activity to be completely independent of political activity”

[Kita mahu parti yang bercakap tentang masalah harian, dan bukan yang bercakap tentang Hari Akhirat dan Syurga. Kita mahu aktiviti agama yang bebas sepenuhnya dari aktiviti politik]

Tanpa memasukkan provisi shariah dalam konstitusi dasar, en-Nahdah disifatkan sebagai “parti politik, demokratik dan sivil” – yang mengilhamkan keterbukaan dan kebebasan dan mempertahankan aspirasi liberal dan prinsip demokrasi dalam masyarakat sivil

“The state should not have anything to do with imposing or telling people what to wear, what to eat and drink, what they believe in, what they should believe in” [Negara tidak ada hak sama sekali untuk mengerah atau memberitahu manusia apa yang harus dipakai, apa yang harus diminum dan dimakan, apa yang mereka imani, apa yang mereka wajib imani).

 

Negara Madani

Ghannouchi is unprecedented within Islamic intellectual circles in his theory that civil society is an Islamic concept and that religion consolidates civil society whereas secularism, especially the model imported to the Muslim world under the guise of modernization, weakens it.” (Azzam S. Tamimi, 2001: 215)

[Ghannouchi tiada taranya dalam lingkaran intelektual Islam dalam teorinya bahawa masyarakat sivil merupakan konsep Islam dan bahawa agama memperkukuhkan masyarakat sivil sementara sekularisme, terutamanya model yang diimport ke dunia Islam di bawah kedok modernisasi, melemahkannya]
Ghannouchi memperjuangkan ideal kebebasan dan negara madani (Daulah Madaniyyah) yang ditegakkan berasaskan konsensus dan ijtihad. Berdepan dengan cabaran realpolitik, beliau menekankan prinsip musyawarah dalam pemerintahan. Aspirasi politik yang diilhamkan daripada tradisi pemikiran Islam dan kerangka episemologinya yang menjunjung prinsip keadilan (al-‘adl), persamaan (musawah), perundingan (musyawarah), menjamin kebebasan (al-hurriyyah), dan memartabatkan hak dan kuasa rakyat (Al-sha‘b masdar al-sultah – rakyat sumber kedaulatan).

3.Para20Visi moral dan ideologi pemikiran dan sumbangannya kepada pergerakan dan aspirasi politik moden dan demokratis yang universal ini dikupas oleh Azzam Tamimi dalam bukunya Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism [Rachid Ghannouchi: Demokrat Muslim] yang melantarkan landas dan khittah perjuangan Ghannouchi dan falsafah politiknya:

The significance of Ghannouchi also emanates from the facts that, unlike other Islamic thinkers who espouse the democratic cause, he is both a thinker and a leader of an Islamic movement. He is a credible authority within Islamic circles at the global level. His thoughts are in no way restricted to an intellectual debate at a time when the Islamic movement has emerged as a major political power in the Muslim world, and when power-sharing or power taking experiments are in process.” (Azzam S. Tamimi, 2001: 215)

[Kepentingan Ghannouchi juga lahir daripada kenyataan bahawa, tidak seperti pemikir Islam yang lain yang mendukung perjuangan demokrasi, beliau juga adalah pemikir dan pemimpin gerakan Islam. Beliau adalah autoriti yang berwibawa dalam lingkaran Islam pada peringkat global. Pemikirannya sama sekali tidak terbatas kepada perdebatan intelektual pada masa ketika gerakan Islam telah bangkit sebagai kuasa politik yang utama di dunia Islam, dan ketika perkongsian-kuasa atau pengalaman pengambilan kuasa sedang dalam proses.]

 

4.Para23.RightPrinsip Kebebasan

Prinsip dan idealisme kebebasan yang diketengahkan Ghannouchi ini berakar daripada prinsip dan manhaj politik yang signifikan yang diuraikan dengan mendalam dalam karya-karyanya seperti Al-dini wal-siyasi fil-Islam (The religious and the political in Islam); Al-‘ilmaniyyah wa al-‘ilaqah al-din bi ad-daulah min manzur harakah al-nahdah (sekularisme dan hubungan antara agama dan politik dari perspektif parti al-Nahdah); Visions for a new Tunisia: How Islam and democracy can support each other (Visi menuju Tunisia yang baru: Bagaimana Islam dan demokrasi dapat mendukung satu sama lain) dan lain-lain.

Dalam rangka menuntut kebebasan dan menegakkan struktur moden dalam konstitusi politik, Ghannouchi menggagaskan sifat neutraliti negara, yakni, negara adalah penjamin kepada semua kebebasan baik agama, politik atau lainnya. Dan negara tidak harus campur tangan memihak pada parti ini atau lainnya.

This is good for politicians because they would no longer be accused of manipulating religion for political means and good for religion because it would not be held hostage to politics”.

Idealisme kebebasan yang menekankan pemisahan agama dan politik ini ditekankan dalam kongres en-Nahdah yang terbaru dalam slogannya “Abandonment of political Islam and separation between politics and practice of preaching” (Penyingkiran politik Islam dan pemisahan antara politik dan praktik dakwah). Hal ini bagi mencapai keharmonian sosial dan mencari suatu neraca yang akan menjamin kebebasan dan hak awam, di mana “untuk mencapai keseimbangan ini, kita harus berpatah balik kepada isu tentang membezakan antara agama dan politik dan menyesuaikan parameter terhadap apa yang tetap dalam agama (al-thawabit) dan apa yang berubah (al-mutaghayyirat).” (Rachid Ghannouchi, 2012).

Beliau turut menjelaskan hubungan antara Islam dengan sekularisme, yang bersifat harmoni dan bertimbal balik, di mana tiada pertentangan atau konflik antara keduanya, “Kita telah menunjukkan bahawa sekularisme bukan falsafah ateis tetapi hanya sekadar satu penetapan set prosedur yang dirangka untuk melindungi kebebasan agama dan fikiran” (Rachid Ghannouchi, 2012).

Menurutnya, tidak ada makna memaksa manusia untuk menjadi Muslim, umat Islam tidak perlukan hipokrit yang mempamerkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran; dan seseorang yang melafazkan dua kalimah syahadah, harus melakukannya dengan berpijak atas kebebasan memilih yang didukung oleh kesedaran dan keyakinan. (Rachid Ghannouchi, 2012)

 

Visi Islam Tunisia

“Tunisia is now a democracy. The 2014 constitution has imposed limits on extreme secularism and extreme religion” – Rached Ghannouchi

[Tunisia kini adalah sebuah demokrasi. Konstitusi 2014 telah membataskan had ke atas sekularisme yang ekstrim dan agama yang ekstrim]

5.Para32Revolusi yang tercetus pada tahun 2010-2011 di Tunisia telah menciptakan kekuatan dan keyakinan baru bagi rakyat Tunisia, yang telah mengembalikan kebebasan dan harga diri mereka, dan telah memicu perubahan penting dalam lanskap politik Tunisia, yang melahirkan semangat perpaduan dan solidariti yang kuat.

In achieving it, Tunisians must come together and thus, the national unity should be our main priority in maintaining the revolution.”

[Dalam mencapainya, rakyat Tunisia harus berganding bahu, dan justeru, perpaduan nasional harus menjadi keutamaan kita dalam mengekalkan revolusi].

Bagaimanapun revolusi politik menuntut perubahan ini hanya sebahagian kecil daripada perjuangan revolusi yang lebih besar – revolusi dan perubahan dalaman sebagai revolusi sebenar, sebagaimana ditekankan Ghannouchi,

Political revolution is only part of the process; however, the real revolution that must take place is the revolution within every people’s life and their attitude. The change of the country’s system is not enough without the change in people’s attitude and their way of thinking. The real revolution must uphold the people’s change within to ensure human dignity (al-karamah al-insaniyah) as the cardinal principle of the society” (Maszlee Malik, 2014).

[Revolusi politik hanya sebahagian dari proses; bagaimanapun revolusi sebenar yang harus berlaku adalah revolusi di dalam kehidupan setiap orang dan sikap mereka. Perubahan sistem negara tidak mencukupi tanpa perubahan dalam sikap manusia dan cara pemikiran mereka. Revolusi yang sebenar harus mendukung perubahan dalaman manusia untuk memastikan kemuliaan insan (al-karamah al-insaniyah) sebagai prinsip tonggak dalam masyarakat]

Transformasi politik dan pembaharuan yang kreatif yang diperkenalkan oleh partai Hizb Harakat En-Nahdah (Parti Renaisans), dan manifesto politiknya yang digembling daripada idealisme dan cita-cita kebebasan telah membawa kestabilan di rantau itu, berkat kekuatan dan kematangan politik Ghannouchi, yang komited memperjuangkan nilai yang inklusif dan plural, dan membawa paradigma moral dan prospek nilai, sebagaimana diungkapkan oleh Anas Altikriti, intelektual Islam British “His vision for the model of an Islamic nation is built heavily on the idea of values” – [Wawasannya bagi model bangsa Islam dibangunkan dengan kuat dari idea tentang nilai].

 

Kesimpulan

Paradigma politik Sheikh Rachid Ghannouchi dan perjuangan demokratik yang digerakkannya yang memperjuangkan politik Islam dan aspirasi pembaharuan telah menyumbang kepada perkembangan gerakan politik yang progresif dan signifikan di dunia Islam. Tradisi dan idealisme perjuangan yang diilhamkan daripada pemikirannya yang substantif berusaha membawa kefahaman Islam yang moderat dan seimbang dan pandangan politik yang luas dan matang dan menegakkan idealisme kebebasan dan ideologi politik moden yang liberal dan demokratik, berlandaskan nilai-nilai syariah yang universal dan identiti budaya dan kemanusiaan sejagat. 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua Umum, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan seorang Sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.


Bibliografi

Azzam S. Tamimi, Rachid Ghannouchi: A Democrat within Islamism (Oxford: Oxford University Press, 2001).

John L. Esposito, John O. Voll, Makers of Contemporary Islam (New York: Oxford University Press, 2001).

Linda G. Jones, “Portrait of Rachid al-Ghannouchi,” Middle East Report, Vol. 18, No. 153 (July-August 1988).

Maszlee Malik, “Tatakelola Kerajaan yang Baik (Good Governance), Gerakan Islam dan Rashid Al Ghannoushi,” dalam Zulkifli Hasan, ed., Rashid Al Ghannoushi Intelektual-Reformis Gerakan Islam (Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia, 2013, 41-62).

Maszlee Malik, “An Interview with Dr. Rashid Ghannouchi,” Kulliyyah Research Bulletin (Volume 5, Number 2, December 2014, 1-3).

Noureddine Jebnoun, “Tunisia at the Crossroads: An Interview with Sheikh Rachid al-Ghannouchi” (ACMU papers, April 2014).

Noureddine Jebnoun (28 September 2015). “Tunisia di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi”. Diterjemahkan oleh Ahmad Muziru Idham Adnan, Shuhaib Ar Rumy Ismail dan Imran Mohd Rasid. http://irfront.net/post/articles/tunisia-di-persimpangan-sebuah-wawancara-bersama-sheikh-rachid-al-ghannouchi/diakses 2 Oktober 2016.

Rachid Al-Ghannouchi, “The Participation of Islamists in a Non-Islamic Government”, John J. Donohue, John L. Esposito, Islam in Transition: Muslim Perspectives (Oxford: Oxford University Press, 1982).

Rachid Al-Ghannouchi, Al-Hurriyat al-‘Ammah fi al-Dawlah al-Islamiyah (Beirut: Arab Unity Studies Center, 1993).

Rachid Al-Ghannouchi, “Secularism in the Arab Maghreb”, dalam Islam and Secularism in the Middle East. Diedit oleh Azzam Tamimi, John L. Esposito (Surabaya: Lembaga Studi Agama dan Demokrasi, 1996).

Rachid Ghannouchi, “Al-‘Ilmaniyyah wa ‘Ilaqah al-Din bi al-Dawlah min Manzur Harakah al-Nahdah” – Sekularisme dan hubungan antara agama dan negara dari perspektif parti al-Nahdah (Ucapan di Centre for the Study of Islam and Democracy, Tunisia, 2 Mac 2012).

Zulkifli Hasan, ed., Rashid Al Ghannoushi Intelektual-Reformis Gerakan Islam (Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia, 2013).