Renungan Ke Atas Kesamarataan Peluang Yang Adil – Bahagian II
October 9, 2014

Rawls, Institusi dan Egalitarianisme

Cabaran yang perlu kita hadapi dalam konteks institusi hari ini adalah bagaimana untuk memastikan keadilan terhadap anggota masyarakat yang pelbagai. Dalam kaitan ini, Rawls telah pun menggariskan ide beliau yang terkenal dengan nama kesamarataan peluang yang adil (fair equality of opportunity). Ia cuba menanggapi permasalahan nasib (luck) yang menyebabkan sebahagian anggota masyarakat kurang mampu bersaing secara sama rata dengan orang lain, seperti cacat sejak kelahiran umpamanya.

Seperti yang telah saya sebutkan di awal makalah, institusi negara moden adalah sesuatu yang ekstensif dan besar implikasinya bagi kehidupan individu. Pada hari ini, semua individu bersama hampir keseluruhan hidup mereka akan berkait dengan institusi politik, dan atas dasar inilah Rawls mengajukan teori beliau yang amat bersifat institusional. Bagi Rawls, untuk menilai keadilan dalam masyarakat, kita harus melihat bagaimana institusi merespons kepada ketidakadilan yang wujud akibat nasib, seperti seorang yang dilahirkan cacat fizikal atau berada dalam status masyarakat bawahan. Memetik perkataan Rawls:

The primary subject of justice, as I have emphasized, is the basic structure of society. The reason for this is that its effects are so profound and pervasive, and present from birth. This structure favors some starting places over others in the division of benefits of social cooperation.”[1]

1.Para4 (1)Rawls membina teorinya dengan membahas perihal masyarakat terlebih dahulu, dan pada Rawls, masyarakat ialah satu usaha kerjasama untuk manfaat bersama. Tetapi, disebabkan institusi yang ada kini tidak merespons terhadap keadaan tabii yang menimpa manusia yang kurang bernasib baik dengan cermat, sesuatu perlu dilakukan terhadap ide keadilan sedia ada. Dari situ, lahirlah ide egalitarianisme nasib (luck egalitarianism) yang juga dipelopori Rawls. Beliau menyambung:

The natural distribution is neither just nor unjust; nor is it unjust that persons are born into society at some particular position. These are simply natural facts. What is just and unjust is the way that institutions deal with these facts. Aristocratic and caste societies are unjust because they make these contingencies the ascriptive basis for belonging to more or less enclosed and privileged social classes. The basic structure of these societies incorporates the arbitrariness found in nature.”[2]

Maka bagi Rawls, adalah penting untuk melihat bagaimana respons institusi terhadap mereka yang tidak bernasib baik agar benar-benar wujud kesamarataan peluang yang adil. Perkara ini akan memastikan partisipasi yang lebih menyeluruh dalam kalangan anggota masyarakat.

Dalam kaitan ini, saya kira Malaysia yang sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi ini perlu melihat semula polisi-polisinya. Kita seolah-olah meninggalkan sisi keadilan sosial dan kesamarataan peluang dengan hanya mengikut logik pasaran dan tidak melihat masalah kesenjangan yang berlaku dengan teliti. Sebagai contoh, OKU yang sejak lahir tidak mempunyai sepasang kaki untuk berjalan, setakat ini masih belum ada program sokongan yang benar-benar membantunya untuk jangka panjang. Saya akui, ada program kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi program-program ini hanya membantu mereka melakukan kerja-kerja seperti menganyam tikar, menjahit dan melakukan kerja-kerja kecil, kemudian memasarkannya. Mereka ini, disebabkan sejak kecil tidak diperkasakan untuk memasuki pendidikan formal dan bersaing secara sihat, menyebabkan ketika dewasa, mereka tidak mampu bekerja dan memasuki pasaran kerja yang lebih besar selain kerja-kerja kecil yang disebutkan tadi. Nah, di sini jelas sekali kita sudah mengetepikan sekelompok tenaga kerja yang berpotensi daripada arus kemajuan ekonomi kita. Kes sebegini juga berlaku kepada masyarakat orang asli.

2.Para8 (1)Masyarakat OKU dengan kekurangan mereka tidak boleh dianalisis secara selapis sahaja, iaitu cukup sekadar membantu mereka dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka punyai keresahan (anxiety) yang jauh melangkaui apa yang difikirkan orang lain, seperti melunaskan perkara asas kehidupan. Sebagai contoh, bayangkan saja seorang tua yang tidak memiliki sepasang kaki dan tidak mampu bekerja secara normal seperti orang lain. Ia tidak mampu memikirkan hal-hal lebih besar, umpamanya politik dan ekonomi, seperti orang lain kerana mereka terbeban dengan terpaksa berfikir mengenai keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewujudan keperluan material asasi yang mendesak sebegini akan menyebabkan seluruh tenaganya terarah kepada melunaskan keperluan-keperluan itu, dan akhirnya bukan setakat menghalangnya melakukan hal-hal lain, tetapi juga berpotensi menyekat potensinya dalam bidang-bidang lain. Potensi ini akan gagal dimanfaatkan kerana ia tidak punya peluang untuk membangunkannya dek kerana sibuk dengan menyediakan keperluan asas hidup. Penafian keunggulan hidup (human flourishing) seperti hiburan, berseronok bersama rakan-rakan, dan masa lapang, ke atas kelompok ini bukanlah dilakukan secara sengaja oleh sesiapa, tetapi jelas sekali, ia merupakan hasil institusi yang gagal merespons terhadap keperluan golongan ini.

Maka, dalam hubungan ini, bagi memastikan keberdayaan mereka dijamin dan sekali gus mewujudkan kesamarataan peluang yang adil, salah satu caranya ialah memastikan bantuan kepada OKU lebih bersifat menyeluruh serta mewujudkan pengangkutan awam yang mesra OKU. Pendidikan awal untuk mereka juga haruslah diperkasakan, agar orang buta dan tuli mampu bersaing secara sihat dengan orang lain apabila keluar dari sekolah. Boleh jadi mereka tidak keluar bersuara dan menyatakan keresahan mereka di ruang awam kerana kesusahan bergerak bebas di luar, selain dibebankan dengan keperluan asas hidup yang lain. Pendek kata, hak kebebasan asasi memang sudah tersedia, tetapi mereka tidak mampu menggunakannya.

3.Para10Usaha memberi suara kepada anggota masyarakat yang marjinal agar mereka mampu berpartisipasi dan menikmati hak kebebasan sama seperti orang lain sesungguhnya sudah terpancar daripada sejarah kepimpinan Rasulullah, apabila baginda mengundang wakil semua kaum termasuklah daripada wanita Madinah untuk merangka Piagam Madinah yang terkenal itu. Kita semua tahu, orientasi institusi ketika itu amatlah mengetepikan suara wanita dan amat patriarki sifatnya, tetapi Rasulullah telah melakukan sesuatu yang besar dengan menjamin suara wanita agar wujud dalam pertemuan itu dan membahaskan masa depan Madinah secara sama rata dengan wakil-wakil lain. Hal ini amatlah revolusioner, dan penting untuk kita perhatikan bagaimana usaha Rasulullah memberi suara secara proaktif kepada mereka, bukan sekadar memberi hak kebebasan bersuara sahaja—mereka dijamin untuk berada di situ dan berbahas. Keberdayaan yang dijamin sebeginilah yang akan mewujudkan partisipasi masyarakat yang lebih aktif bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam kemampuan bersaing dalam ekonomi.

Jika kita lihat contoh yang telah wujud di negara maju, saya cenderung untuk mengangkat model negara kebajikan Eropah, walaupun Rawls tidak bersetuju dengan model tersebut[3]. Tetapi, setakat ini mungkin itulah model terbaik yang mampu kita jana dengan bentuk institusi sedia ada. Lihat saja bagaimana Stephen Hawking, salah seorang fizikawan terbaik dunia hari ini diberdayakan oleh institusinya. Beliau mengalami lumpuh sejak remajanya dan kemudian semakin melarat sehingga seluruh badannya tidak dapat bergerak, tetapi atas bantuan dan jaminan keperluan asas yang diterima, beliau mampu merealisasikan kemampuan dan potensinya itu. Akhirnya, ia mampu memaksimakan bakat dan tenaga fikirannya untuk bersyarah dan menulis buku-buku yang menjadi rujukan seluruh dunia. Ya, bukan semua masyarakat di Eropah dijamin sebegini atas sebab birokrasi dan limitasi lain, tetapi saya kira contoh yang satu ini cukup untuk membanding bezakan peranan institusi di sana dengan di Malaysia. Di sinilah, kita wajar memikirkan bagaimana sebenarnya sikap kita terhadap orang yang kurang bernasib baik, adakah kita sedang benar-benar membantunya atau kita hanya berilusi membantu sahaja.

Maka, di titik inilah, saya kira kita wajar merenung dengan bersungguh-sungguh tantangan kontemporari yang sedang kita hadapi bersama ide-ide seperti kesamarataan peluang yang adil dan pendekatan keberdayaan ini[4]. Rawls, sebagai seorang liberal dan egalitarian, mengimpikan sebuah masyarakat yang benar-benar bebas dan sama rata (free and equal), yang bersaing di atas satah yang sama tanpa dicemari dengan ketidaksamarataan secara nasib. Hal inilah juga yang diajar lewat pesan-pesan egalitarian dalam Islam, salah satunya ketika permuafakatan Piagam Madinah yang telah kita tinjau tadi.

4.Para13Kesimpulan

Ayat daripada kalam Tuhan yang telah saya petik di awal makalah itu sememangnya membawa mesej yang amat besar. Apabila Tuhan berpesan supaya memberi amanah kepada yang layak, perkara ini memberi amaran kepada kita, bahawa jangan kita membiarkan mana-mana anggota masyarakat daripada tercicir yang kemudiannya menghalangnya daripada bersaing secara sama rata dengan orang lain untuk memperoleh sesuatu jawatan. Mereka mungkin punyai potensi besar, seperti Hawking yang telah saya sebutkan tadi, tetapi tidak mampu merealisasikannya disebabkan kekangan nasib yang menimpa sejak lahir. Oleh itu, untuk memberi amanah kepada yang paling layak dengan kapasiti tuntutan amanah tersebut, kita mestilah memastikan wujudnya kesamarataan peluang yang adil.

Perbahasan seputar keadilan kepengagihan dalam kalangan masyarakat moden ialah sesuatu yang berselirat dan kompleks, sebahagiannya disebabkan kompleksiti masyarakat itu sendiri. Tidak boleh kita berselindung lagi dengan retorik-retorik yang menjadikan kita selesa, tetapi kita sebagai umat Islam dengan tradisi intelektual yang panjang, ditambah dengan pengalaman kita sepanjang sejarah berinteraksi dengan idea-idea peradaban lain, saya kira kita perlu pula memanfaatkan perbahasan yang dicetuskan pemikir Barat tentang idea keadilan menurut tantangan zaman kini.


Hazman (1)Hazman Baharom adalah graduan Pengajian Ekonomi dan Sosial di University of Manchester, UK dan calon MA Pengajian Asia Tenggara, University of Washington. Beliau juga merupakan pengasas- bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Intern di Islamic Renaissance Front.

 

 

[1] Lihat John Rawls, A Theory of Justice; m/s 82

[2] Ibid, m/s 87

[3] Lihat John Rawls, Justice as Fairness: A Restatement

[4] Untuk penilaian hubungan antara kesamarataan peluang yang adil Rawls dan pendekatan keberdayaan, lihat Jay Carlson, Rawls and the Capabilities Approach: A Response to Sen and Nussbaum.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022