Syed Sheikh al-Hadi dan Ide Pembaharuan – Bahagian I

December 10, 2012 by Dr Ahmad Nabil Amir


“Tiada syak lagi sekalian penjaja-penjaja agama dan penjual-penjual azimat atau penjinjit tasbih atau pemusing akal perempuan dan segala pengikutnya akan mengatakan saya dengan sebab karangan saya ini seberapa daya upayanya daripada segala perkataan yang jahat-jahat, tetapi tiada saya endah akan perkataan mereka itu selama saya menyeru dengan seruan Qur’an. Kepada Allah jua saya bergantung” [Syed Sheikh al-Hadi, Saudara, 27 Oktober 1928]

Syed Sheikh bin Ahmad Hasan al-Hadi

Sayid Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Redha merupakan tokoh mujaddid yang besar dan tiga kekuatan yang ideal yang telah menggerakkan perubahan yang signifikan di dunia Islam pada abad ke 19-20 Masihi. Perjuangan islah itu dilanjutkan di Malaya oleh seorang ulama dari kalangan elit Hadhrami, Syed Sheikh al-Hadi (1867-1934), yang telah mencetuskan pemikiran baru dengan mengapungkan faham pembaharuan dan reformasi Islam yang telah dicanangkan oleh Abduh di Mesir.

Al-Hadi menggagaskan perubahan yang substantif dengan menterjemahkan Tafsir al-Manar yang ditulis oleh Rashid Redha daripada pengajaran Muhammad Abduh dan mengembangkan pemikiran dan karyanya seperti dalam buku Ugama Islam dan Akal. Beliau turut menyebarkan faham pembaharuan ini lewat majalah al-Imam, al-Ikhwan dan Saudara yang meniupkan semangat perubahan dan kebangkitan dan mencetuskan gagasan pembaharuan dan penentangan terhadap penjajah yang menjadi pemangkin kepada perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu, pada awal tahun 1920-30 an.

Al-Hadi turut mendirikan Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah di Singapura, Madrasah al-Hadi di Melaka dan Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang untuk mencetak kader bagi mewarisi perjuangan dan meneruskan cita-cita pembaharuannya, dan mengusahakan percetakannya sendiri, Jelutong Press yang berpusat di Pulau Pinang. Beliau berhijrah dari Melaka ke Pulau Pinang setelah idenya yang radikal dan revolusioner ditentang oleh masyarakat dan mengalihkan dapur perjuangannya ke Pulau Pinang melihat kepada kedudukannya yang strategik dan terbuka dan sebagai kota pelabuhan dan kosmopolitan yang kondusif untuk melancarkan reformasi dan menggerakkan perubahan.

Biografi

Syed Sheikh bin Ahmad Hasan al-Hadi dilahirkan pada 25 Disember 1864 di Hulu Melaka. Beliau berdarah Arab-Melayu yang berasal dari Hadhramawt, Yaman. Al-Hadi mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Melaka, dan di sekolah pondok di Kuala Terengganu. Setelah berhijrah mengikuti keluarganya ke Pulau Penyengat, Riau, beliau melanjutkan pengajiannya di sana dengan mendalami ilmu agama, sastera dan budaya dari bapa angkatnya, Raja Haji Ali Kelana bin Yang Dipertuan Muda Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Empayar Riau-Lingga pada masa itu merupakan kota kesultanan dan pusat kebudayaan yang agung yang telah membentuk kerangka pemikiran dan pandangan dunianya yang luas.

Syed Sheikh al-Hadi

Corak pemikirannya adalah berasas kepada pandangan yang kritis dan mendalam, yang mengilhamkan kesedarannya untuk meneliti dan menyelidik kitab-kitab mazhab dan turath, seperti dicatatkan oleh puteranya, Syed Alwi dalam surat persendiriannya: “Selain daripada menuntut ilmu dengan berguru, almarhum itu lebih gemar meluaskan pengetahuannya dengan banyak membaca kitab-kitab, buku-buku, majalah-majalah dan surat khabar Melayu dan Arab, walaupun semasa itu ia belum lagi cukup pengetahuannya dalam bahasa Arab.”

Terkesan dengan semangat perubahan dan fikrah Pan Islamisme atau Ittihad al-Islam yang diilhamkan dari jurnal al-‘Urwat al-Wuthqa dan al-Manar, beliau melanjutkan perjuangan islah itu dengan menerbitkan majalah al-Imam (1906), al-Ikhwan (1926) dan Saudara (1928), dan berusaha memperkenal sistem pengajian Islam moden dengan mendirikan Madrasah al-Iqbal al-Islamiyyah di Singapura (1907), Madrasah al-Hadi di Bandar Kaba, Melaka (1915) dan Madrasah al-Mashoor al-Islamiyyah di Pulau Pinang (1919), yang dipimpinnya sehingga 1926. Al-Mashoor adalah percubaannya yang berhasil, dalam menerapkan pandangannya yang progresif dan moden, yang turut didukung oleh ulama dari angkatan muda seperti Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Maghribi yang merupakan penggeraknya yang penting.

 

Dalam kerjayanya sebagai pengarang, beliau telah menghasilkan tulisan dan karya yang prolifik yang telah mencetuskan pemikiran baru dalam literasi melayu, khususnya novel. Antaranya termasuklah kitab al-Tarikh al-Islami (1922), Alam Perempuan (1930), Tafsir Juz Amma (1927), Tafsir al-Fatihah (1928), dan novelnya yang berlatarbelakang kehidupan moden di Timur Tengah, seperti Hikayat Setia ‘Ashek kepada Ma‘shok-nya atau Shafik Afandi dengan Faridah Hanum dan siri cerita mata-mata gelap Rokambul (7 jilid).

Dalam perjuangannya yang getir itu, beliau telah meninggalkan legasi yang penting dan pengaruh yang besar kepada anak watan yang lebih mengenalinya sebagai wartawan, dan pengarang walaupun telah menjadi ulama, peguam syariah, saudagar, dan pendakwah, dan penerbit seperti diungkap oleh William Roff dalam The Origins of Malay Nationalism: “Walaupun dalam kerjayanya yang panjang dan rencam, beliau (al-Hadi) telah menjadi peguam syar‘i, pendidik, saudagar dan penerbit, ianya dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan yang beliau menyerlah dan dengan mana sosoknya dikenang hari ini.”

Perjuangan dan Pemikiran

Syeikh Muhammad Abduh

Falsafah pemikirannya dipengaruhi secara langsung dari pengaruh al-Manar dan gagasan Pan Islamisme yang dicetuskan oleh al-Afghani dan Abduh di Mesir. Ia memperjuangkan aspirasi pembaharuan yang diilhamkan oleh Ibn Taimiyah dan muridnya Ibn Qayyim al-Jawziyah pada kurun ke 7H.

Pemikiran yang dilakarkan oleh Abduh telah memangkin perubahan dan menggerakkan perjuangan islah yang berkesan di Mesir. Melalui tulisannya dalam Tafsir al-Manar, Risalat al-Tauhid, Tafsir Juz ‘Amma, Sharh Nahj al-Balaghah, al-‘Urwa al-Wuthqa dan Majallat al-Manar Abduh telah melantarkan pijakan yang jelas tentang aspirasi islah yang diperjuangkannya. Pemikiran Abduh yang menzahirkan aspirasi pembaharuan yang kental dan inspiratif itu mengilhamkan al-Hadi untuk meneruskan cita-cita perjuangan yang revolusioner itu di Tanah Melayu. Beliau menggembling kekuatan baru di rantau ini dengan memimpin perjuangan islah di Singapura pada 1907. Dan kegiatannya berpuncak di Pulau Pinang pada 1918, yang menjadi benteng pertahanannya yang ideal dan instrumental untuk mengasak dan merealisasikan cita-cita islah.

Falsafah pemikirannya yang progresif dan faham pembaharuannya yang radikal ini dizahirkan dalam jurnal bulanan Al-Ikhwan, sebagai “suara yang terbit daripada seorang ikhwan yang berteriak akan sekalian ikhwannya” yang telah mencetuskan pengaruh dan dampak yang jelas dalam membawa perubahan yang desisif.

“Wahai sekalian ikhwan timur yang sedang lenyak di dalam tidurnya, wahai sekalian saudara kami yang sedang lena bersedap-sedap di dalam keelokan mimpinya. Memadalah. memadalah. Memadalah tidurmu itu kerana telah melampaui sangatlah sudah daripada sempadan mengambil kesenangan badan dan hampir-hampirlah pula masuk kamu kepada bilangan pingsan atau orang mati yang bernafas. Bangunlah segera. Sapulah mata daripada bekas tidur yang membunuh itu.” (Al-Ikhwan, penggal 1, jil. 1, 16 september 1926)

Faham perubahan yang progresif dan idealisme salaf yang diperjuangkannya bertujuan untuk memperbaiki dan memurnikan Islam daripada unsur-unsur khurafat, bid‘ah dan jumud dan mengangkat harakat pemikiran dan memperjuangkan cita-cita pembaharuan atau tajdid, seperti yang sering diungkapkannya dalam Al-Ikhwan.

“Sedarlah daripada lalai kamu wahai sekalian saudara. Sanya telah kelamlah tipu daya kebodohan dan terbit cahaya pengetahuan. Tengok. Lihat. Dan perhatikan. Apakah yang telah diperbuat oleh kaum bangsa yang jaga itu? Meruntuhkan bukit yang besar-besar, membangunkan bangunan di padang yang rata, menjadikan lautan itu daratan, dan daratan itu lautan…maka mana-mana bangsa yang berpengetahuan serta bekerja ianya nescaya menjadi penghulu-lah ianya. Dan mana-mana kaum yang bodoh dan pemalas nescaya fana’lah ianya…leburkan diri kamu ke dalam kawah pengetahuan dan bantingkan tulang kamu ke atas landasan pekerjaan; kemudian peliharalah olehmu akan anak-anak kamu atas gemarkan keduanya daripada kecilnya.” (Al-Ikhwan, penggal 1, jil. 1, 16 september 1926)

Pengaruh Muhammad Abduh

Perjuangan dan pergerakan Islam moden yang diasaskan oleh Syaikh Muhammad Abduh di Mesir telah memberi impak yang besar kepada fikrah al-Hadi. Terkesan dengan pengaruh dan gagasan islah-nya, beliau berusaha meluaskan ide progresifnya dengan menterjemah kebanyakan karya Abduh seperti Tafsir Juz ‘Amma (1927), Tafsir al-Fatihah (1928), Kitab Alam Perempuan (diterjemah daripada tulisan Qasim Amin Bek), Ugama Islam dan ‘Akal (1931), Agama Islam, Iktikad dan Ibadah (1931), dan Hadiah Kenangan (1933) (kumpulan empat esei Syeikh Muhammad Abduh dan Za‘aba).

Sayid Muhammad Rashid Redha

Kekuatan pengaruh ini dimungkinkan daripada kesan pertemuannya dengan Abduh pada tahun 1895 di Mesir, bermula dari pelayarannya ke Timur Tengah mengiringi keluarga diraja Riau pada akhir abad ke 19, yang mendedahkannya dengan perkembangan dunia Islam dan perjuangan kaum modernis di sana.

Demikian seperti yang dicatatkan oleh puteranya, Syed Alwi al-Hadi (1893-1970): “telah berulang kalilah almarhum berulang alik ke Mesir dan ke Tanah Suchi dan pada tiap-tiap kalinya, almarhum terpaksa duduk tinggal beberapa bulan lamanya bersama-sama dengan anak-anak raja yang diiringi…dengan demikian, maka dapatlah digunakan oleh almarhum peluang yang keemasan ini baginya menambahkan pengetahuan berkenal-kenalan dengan pujangga dan alim ulama di dalam kedua-dua negeri itu terutamanya di Mesir, almarhum telah dapat peluang berkenal dan berdamping dengan almarhum Syeikh Muhammad Abduh, mufti Mesir yang termashor dan almarhum Sayyid Muhammad Rashid Redha, pengarang majalah al-Manar dan di Mekah dengan almarhum Syed Abdullah Zamawi yang termashor dikenali dan dihormati oleh umat Melayu kita.”

Beliau mempertahankan mazhab salafiyah yang diperjuangkan oleh Abduh dan melanjutkan usahanya dalam mencanangkan fikrah pembaharuan dan tajdid, mendobrak benteng taqlid, merangkul tradisi moden dan mendakyahkan ijtihad. Lantaran demi menegakkan perjuangan inilah beliau telah dilabel sebagai kafir, anti Islam, Muktazilah dan kaum al-Manar.

Gagasan Pembaharuan

Syeikh Tahir Jalaluddin

Antara sumbangannya yang penting dalam sejarah moden adalah cetusan ide Pan Islamisme dan pemikiran islah yang dilakarkannya. Beliau menggagaskan hasrat perubahan yang radikal ke arah pembaikan dan mempelopori perjuangan yang getir untuk mengangkat darjat dan harakat bangsa. Aspirasi perubahan dan perjuangan yang digerakkannya membawa mesej perubahan dan tajdid yang berusaha menggilap idealisme dan memperbaharui agama dan memperkukuh kedudukan dan peranan umat dalam peradaban dunia.

Dalam perjuangannya menggerakkan perubahan, beliau banyak menumpu kepada penulisan sebagai wahana perjuangannya yang utama. Majalahnya yang pertama, Al-Imam diterbitkan di Singapura pada 1906 bersama Sheikh Mohammad Salim al-Kalali, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Falaki, Syed Muhammad Aqil, Syed Awad Saidan dan Haji Abbas bin Muhammad Taha (1885-1946) yang menyelenggarakannya sejak dikeluarkan pada 23 Julai 1906 hingga Disember 1908. Al-Imam merupakan sebuah “majalah pelajaran, pengetahuan perkhabaran” yang diterbitkan dalam tulisan jawi, mengandungi 32 halaman dan dijual dengan harga 25 sen British senaskhah.

Ia meniupkan semangat nasionalisme dan pembaharuan, menyeru kepada perjuangan untuk “menuntut ketinggian akan anak-anak negeri” dan menzahirkan aspirasi moden. Al-Imam turut mengetengahkan polemik agama yang intens yang mengangkat kefahaman baru tentang mazhab, ijtihad, maqasid syari’ah, qada’ dan qadar dan membahas punca kejatuhan dan kemunduran umat, serta menangani isu politik dan sosial yang berbangkit.

Sumbangan al-Hadi yang produktif dalam mempelopori perjuangan al-Imam ini diungkap oleh William Roff dalam bukunya The Origins of Malay Nationalism dengan kata-kata: “Peranannya dalam membentuk polisi al-Imam mungkin telah ditanggapi dengan berlebihan, melihat kepada reputasinya yang kemudian sebagai seorang penulis, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa banyak artikel yang menggugat dan lantang dalam kolum itu datang dari penanya.”

Majalah al-Ikhwan 1926-1931

Melanjutkan perjuangan al-Imam, beliau menerbitkan majalah al-Ikhwan (1926-1931) dan Saudara (1928-1941) di Pulau Pinang yang dikeluarkan oleh syarikat percetakannya sendiri, Jelutong Press. Kedua-duanya menggerakkan perjuangan yang lebih berkesan dalam meniupkan angin perubahan dan menggembling kekuatan umat di Timur, seperti dizahirkannya dengan lantang dalam keluaran yang awal:

“Tidakkah menjagakan kamu bunyi taufan yang berdengung ini? Dan tidakkah membangunkan kamu goncang segala pohon kayu dan bangunan-bangunan yang dipalu oleh tiupan ini? Sehingga putus asalah sama sekali hati orang yang mengharapi akan jaga kita yang hendak memberi peringatan akan kita?…atau akal kita ini telah terkena penyakit sebar tidak terasa dan tidak memberi bekas kepadanya apa-apa pandangan dan pendengaran?” (Al-Ikhwan, jil. 2, 16 Oktober 1926).