Syed Sheikh al-Hadi dan Ide Pembaharuan – Bahagian II

December 26, 2012 by Dr Ahmad Nabil Amir


‘The Real Cry of Syed Shaykh Al-Hadi’

Al-Ikhwan turut menyerang dengan keras sikap pemuka agama dan mengkritik kebodohan, seperti dilakarkan dalam rencananya yang bertajuk Bukan Sa-kali-kali Agama Islam ini Sebab bagi Kejatuhan Kaum Islam tetapi Hanya-lah sebab Angkara Ketua-Ketua Agama yang mengkritik kelemahan ketua-ketua agama di Baghdad sehingga ditumpaskan oleh kekuatan Tartar seperti dipetik dalam buku The Real Cry of Syed Shaykh Al-Hadi:

“Sungguh telah dibelenggu pemikiran dengan kejahilan dan kebodohan serta berada dalam kegelapan sehingga mereka tidak mampu memahami panggilan indah yang sebenar agama ini.”

Saudara yang diterbitkan pada 1928 banyak menekankan aspirasi progresif untuk memberdaya kekuatan aqliah, dan memperkasa budaya, dan menggembling daya juang untuk meningkatkan pengetahuan dan penguasaan ilmu yang komprehensif, seperti dikemukakan oleh Syeikh Tahir Jalaluddin dalam rencananya yang bertajuk Membetulkan perjalanan ugama dan peraturan-peraturan kaum Islam:

“Bukanlah kita jumlahkan daripada pelajaran-pelajaran yang dikatakan (menurut ilmu Allah) sebagaimana di pondok-pondok dan surau atau di serambi-serambi masjid itu tetapi yang kita maksudkan, iaitu pelajaran yang sebenar-benarnya. Islam menuntut dan memahamkan hukum hakam dan pengetahuan-pengetahuan adab dan ketukangan, kepandaian di dalam perusahaan perniagaan dan pergaulan hidup serta ubat-ubatan jua sebagaimana yang dapat dikenali daripada tawarikh-tawarikh dan kitab-kitab pengetahuan Islam ini semenjak kezahirannya di dalam pimpinan yang dibenarkan dan disukai oleh tuntutan agama yang sebetul-betulnya dahulu dan sekarang.” (Saudara, 21 Mac 1934)

Saudara turut mengetengahkan perbincangan yang meluas tentang semangat perubahan, peningkatan ilmu dan kesedaran dan penekanan terhadap kepentingan pelajaran dan pendidikan yang syumul sebagai syarat mutlak ke arah transformasi dan perubahan struktur, seperti diutarakan dalam rencana yang sama oleh Syeikh Tahir, yang mengambil alih tugas pengarang setelah kewafatan al-Hadi pada 1934.

Katanya: “Bahawasanya hidup sesuatu umat yang sunyi daripada pelajaran adalah ia seperti keadaan gambar yang bergerak yang ditunjukkan dalam wayang gambar, ditengok akan dia berjalan pergi dan mari mundur mara, berkerut kening, masam muka, menangis, meratap, senyum, gelak-gelak, sukaria tetapi gambar itu tiadalah ia kenal keadaan dirinya ada. Apatah lagi akan gerak-gerinya diam tetapnya maka yang demikian ialah perumpamaan hidup sesuatu bangsa atau umat yang tiada baginya pelajaran sama sekali.”

Ugama Islam dan Akal

Buku Ugama Islam dan Akal ini mengupas falsafah pencerahan yang digagaskan oleh Abduh tentang akal dan peranannya yang fundamental dalam agama untuk menggarap kefahaman tentang hukum dan maqasidnya, seperti yang dinyatakan oleh Hamka “Tujuan agama adalah untuk merentangkan jalan, manakala fikiran pula adalah untuk membandingkan dan menimbangkannya”.

Dalam buku yang dicetak semula pada tahun 1965 oleh Percetakan Pustaka Dian, Kota Bharu ini al-Hadi menulis: “Apa, dapatkah lari lagi akal yang menuntut kebenaran, daripada mengaku bahawa sa-benar-benarnya ada Tuhan yang sangat-sangat berkuasa atas tiap-tiap suatu dengan sebab ada segala tanda-tanda kuderat-kuasa-Nya itu di-pandang dan dapat di-rasa serta dapat di-perhati dengan mata kepala dan mata hati yang menggunakan akal.”

Pandangan yang tuntas ini jelas menuntut perubahan dalam kerangka pemikiran dan menzahirkan cetusan hasratnya untuk membawa pencerahan dalam pergerakan Kaum Muda dan memugar tradisi aqliah yang segar. Ia merumuskan falsafah perjuangannya untuk “membebaskan manusia dalam kehidupannya daripada takut dengan kuasa-kuasa lain atau tenaga lain selain daripada sebab-musabab yang dicipta oleh Allah untuk beroperasi dalam dunia ini kerana kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Oleh itu, manusia tidak perlu takut kepada kuasa atau tenaga yang dikaitkan dengan kayu, batu, berhala, kubur, hantu dan syaitan.” (Syed Syeikh al-Hadi, 1965: 70).

Buku ini turut menekankan kepentingan memahami bacaan dalam solat, dan meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian khutbah Jumaat untuk menggerakkan umat, kepentingan zakat untuk membangun asas sosio-ekonomi dan prasarana sosial, dan ikhtiar untuk mengangkat martabat wanita dan menjamin keadilan dan persamaan hak dan status mereka.

Perjuangan Kaum Muda yang dipelopori Al-Hadi menggagas cita-cita Islam yang dinamik dan progresif. Pendirian ini berseberangan dengan pandangan yang bersifat reaksionari dan konservatif yang dipertahankan oleh ulama tradisionalis yang telah menyeretnya ke dalam perdebatan dan perlawanan hujah dengan kaum Tua, seperti dizahirkan dalam rencana yang ditulisnya dalam Al-Ikhwan, yang berkepala Perchayakan Ulama: Pertelingkahan di-antara Kaum Tua dengan Kaum Muda (1929) yang menolak kewenangan bertaqlid kepada pandangan ulama.

“Lantaran itulah Kaum Muda beranggapan bahawa bukan semua pekataan yang diucapkan oleh ulama itu benar dan wajib diterima sepertimana kita menerima apa yang tertulis di dalam al-Qur’an.”

Emansipasi Wanita

“Apabila Shafik Afandi mendengar perkataan kekasehnya yang demikian itu, mengetahuilah ia-nya bahwa kekasehnya ini sa-orang daripada perempuan yang mempunyai perasaan menuntut akan kebebasan perempuan”
[Hikayat Faridah Hanum, 132]

Hikayat Faridah Hanum

Usahanya dalam memperjuangkan kebebasan wanita direalisasikan dengan ketara dalam penulisan, dengan penghasilan 6 buah novel, yang berlatarkan kehidupan Arab moden, iaitu Hikayat Setia ‘Ashek kepada Ma‘shok-nya atau Shafik Afandi dengan Faridah Hanum (1925), Hikayat Taman Chinta Berahi atau Hikayat Mahir Afandi dengan Iqbal Hanom (1928), Hikayat Anak Dara Ghassan atau Hikayat Hendon dengan Hammad (1929), Hikayat Chermin Kehidupan (1929), Hikayat Pembelaan dalam Rahsia atau Kasih Saudara kepada Saudaranya (1929), dan Hikayat Putri Nurul Ain (1929) yang “membawa mesej pembebasan atau emansipasi bagi wanita Islam.

Faridah Hanum menekankan hasrat kemerdekaan daripada cengkaman British, dan ikhtiar untuk menanam keyakinan dan melepaskan bangsa daripada perhambaan seperti diungkapkan oleh wataknya, yang menyesali pandangan cetek pemuka agama.

“Teringatkan kaum dan bangsa dan tanah ayer-nya di dalam pemerintahan bangsa yang lain kerana kebodohan orang-orang besar dan ketua-ketua agama-nya yang telah meninggalkan perkataan Allah dan Rasul-Nya, berpegang kepada segala orang yang tiada diturunkan oleh Tuhan wahyu wajib ia-nya yang telah membawa pechah-belah kaum Islam ini di-dalam perkara ugama dan perkara dunia-nya.” (Faridah Hanum, 1964: 135)

Novelnya memaparkan hasrat yang fundamental untuk menyamataraf kedudukan wanita dan lelaki dan melepaskannya daripada kekangan yang menghambat kebebasan fitri. Ia turut menzahirkan konflik dan ketegangan yang melibatkan perkara harta pusaka, kahwin paksa, dan kenaifan masyarakat sampai membiarkan tanahnya dirompak dan dijajah, sebagaimana diperlihat dalam dialog antara Faridah Hanum dan Shafik Afandi.

“Adapun kita dengan kebodohan dan kesombongan sekalian laki-laki kita dikeluarkan oleh itu dua bahagian daripada perhimpunan kaumnya, iaitulah sebanyak bilangan perempuannya tidak dibenarkan oleh mereka itu sekalian perempuannya masuk bercampur bagi berusaha sama pada mempunyai ikhtiar membantukan kemajuan kaumnya, hanyalah dipaksa oleh mereka itu tinggal selama-lamanya di dalam sifat kuda tunggangannya menunggu dan berhias dengan segala alatan yang menggemarkan menunggangnya sahaja.” (Faridah Hanum, 116-117)

Perjuangan dalam menuntut kebebasan dan persamaan hak wanita ini juga dipimpin oleh majalah al-Huda (1931-1934) yang diterbitkan di Singapura, yang memuatkan rencana tentang perjuangan kaum modernis di Mesir seperti Huda Sha‘rawi, Shaykh Mustafa al-Maraghi, Muhammad Abduh dan Qasim Amin. Terpasak dengan cita-cita kental untuk memperjuangkan idealisme dan dasar agama yang menyamataraf hak wanita dan lelaki dan mengangkat darjat kemanusiaan mereka yang setara, al-Hadi cuba mengungkapkannya dengan mengetengahkan aspirasi modennya dalam al-Ikhwan, seperti yang telah dihuraikan oleh Zaba.

“Al-Ikhwan memuatkan siri komentar oleh editor tentang emansipasi wanita dan gerakan feminis di Mesir, dan kolum yang bersambung daripada rencananya tentang sejarah Islam.”

Qasim Amin

Kesan perjuangan Muhammad Abduh (1849-1905) dan Qasim Amin (1863-1908) telah memberi dampak yang jelas terhadap al-Hadi, yang turut menerbitkan tulisan-tulisan dan fatwa mereka dalam al-Ikhwan, seperti diterangkan oleh Zanariah Noor dalam artikelnya Gender Justice and Islamic Family Law Reform in Malaysia:
“Pengaruh Muhammad Abduh dan Qasim Amin nyata terpancar dalam penulisan reformis Melayu, terutamanya al-Hadi. Beliau mengembangkan ideanya tentang wanita Islam di Malaysia melalui rencananya yang tersiar dalam al-Ikhwan dan novelnya. Keghairahannya dengan idea untuk mencanang status wanita dalam masyarakat Melayu mendorongnya menulis dengan konsisten dalam kolum wanita “Alam Perempuan” dalam al-Ikhwan yang kuat dipengaruhi oleh ide Qasim Amin. Bahkan, hampir separuh daripada tulisannya tentang wanita dalam jurnal ini adalah terjemahan daripada buku Qasim Amin, Tahrir al-Mar’ah iaitu Pembebasan Wanita.”

Menurutnya wanita memainkan peranan penting dalam melanjutkan cita-cita bangsa, dan menjadi katalis kepada perubahan dan perjuangan yang progresif seperti dikupas dalam Al-Ikhwan: “Wanita adalah asas dan fondasi bagi mereka yang ingin membangun bangsa dan watannya” [Al-Ikhwan, 16 November 1926, 63].

Kesimpulan

Daripada perbincangan ringkas tentang gagasan pembaharuan yang dicanangkan oleh Syed Sheikh al-Hadi di atas, kita telah menyingkap aspirasi dan cita-cita perjuangan yang dibawanya dalam mempelopori gerakan dan perjuangan Kaum Muda di Malaya. Tulisan ini telah mempotretkan sejarah perjuangan, idealisme dan kerangka pemikirannya yang radikal dan revolusioner. Perjuangan yang diasaskannya harus dilanjutkan ke arah mengangkat kekuatan dan harakat pemikiran, dan memperbaharui peradaban bangsa.