Tafsir Reformis: Membentuk Masyarakat Agama yang Pluralis – Bahagian I
June 10, 2014

Sachedina’Without restoring the principle of coexistence, Muslims will not be able to recapture the spirit of early civil society under the prophet. The principle of equals in creation can serve as a cornerstone of a Muslim civil society’’

[Abdulaziz Sachedina: The Islamic Roots of Democratic Pluralism]

Masalah yang berlaku  dalam dunia global antara hubungan agama dan manusia seringkali menjadi sesuatu yang rumit bagi para sarjana Muslim moden dan para reformis Muslim abad ini. Kesulitan ini adalah upaya penafsiran atas  sebuah wacana  yang dinamik lewat masyarakat yang membentuk  pengakuan demokrasi dalam masyarakat yang pluralis.

Hal ini menjadi lebih sulit apabila wacana ini berlaku dalam sebuah politik hubungan wilayah masyarakat dan agama dimana  identitinya bersifat keatas penafsiran yang merujuk kepada teks-teks klasik autoriti agama berdasarkan dakwaan penyelamatan ekslusif dalam tradisi beragama. Yang demikian ini berlawan dengan semangat global demokrasi yang muncul lewat masyarakat pluralis yang rentas agama, budaya dan bangsa.

Perkara ini menjadikan para reformis Muslim bergelut dalam wacana keatas polemik kitab suci bagi menafsirkan teks yang seharusnya mesti didiskusikan secara jujur tentang sebuah fakta dan polemik yang berlaku khususnya pada ayat-ayat tentang hubungan antara agama dan ayat-ayat keselamatan dalam setiap agama. Perkara  mengenai hubungan antara  tuhan dengan manusia dan hubungan antara manusia dengan manusia seringkali gagal menjelaskan hubungan antara wilayah politik manusia dan wilayah ilahi iaitu merujuk kepada penafsiran kebanyakan tradisi Islam tradisional.

Hal ini sepertimana yang telah diungkapkan oleh Sachedina bahawasanya sumber-sumber tekstual normatif dianggap sebagai hal yang abadi dan suci, dan bukannya dianggap sebagai sesuatu yang merujuk pada konteks historis tertentu. Maka akibat kegagalan penafsiran teks polemik ini dalam bentuk pembaharuan akan menemukan kebuntuan dalam membentuk hubungannya dengan praktis.

Persoalan yang utama dalam pergelutan ini adalah bagaimana tafsir al-Qur’an difahami dalam konsep kekinian dan pembaharuan ke atas realiti moden kini. Makalah ringkas ini akan menunjukkan ayat-ayat yang dipertahankan kefahaman kekinian oleh para reformis dan usahanya membuang pemahaman teks klasik atau para pentafsir terdahulu memahami  teks dalam nalar yang seringkali menunjukkan kepada kita wajah yang berbentuk kekerasan, ekslusif dan tiada ruang keselamatan kepada agama selain Islam.

Sesungguhnya polemik teks al-Qur’an hendaklah dibaca dalam tema inklusif dengan fakta polemik yg jujur dan upaya mengatasi sektarianisme yg memunculkan fanatisme. Kebekuan pentafsiran teks Qur’an mestilah menjadi fokus kepada para reformis untuk bersifat kritis terhadap sumber klasik supaya membawa kepada penterjemahan tafsiran  yang kini. Perlu di ingati bahawasanya , para mufassir terdahulu bukanlah sebuah pemikiran yang ‘’final ‘’ tetapi hanya sebuah dalil bagi pandangan tertentu pada teks yang terbuka bagi lebih daripada satu makna.

Gerakan Pembaharuan Pemikiran Islam

Al-Qur’an dibaca meskipun teks yang sama akan menemui makna yang baru yang tidak ia dapati pada bacaan sebelumnya kerana konteks dan kondisi yang berubah.

Perkara ini telah menimbulkan golongan para reformis yang bergelumit dalam penafsiran teks wacana ide yang lebih dinamik. Para sarjana khususnya para intelektual muslim harus mengkaji teks-teks klasik untuk dikembangkan dalam bentuk tuntutan dunia yang lebih moden dan akhirnya memberi kemajuan kepada masyarakat.

scriptural-polemicsHal inilah disentuh oleh Mun’im Sirry didalam bukunya  ‘’Scriptural Polemics The Qur’an and Other Religions’’ bahawasanya polemik di dalam Qur’an hal berkaitan fakta Yahudi dan Kristian mestilah dibaca dalam pentafsiran yang jujur kerana polemik tersebut melibatkan banyak persoalan kontroversi tentang interaksi antara agama dimana kajian itu merujuk Qur’an yang bersifat pada pandangan yang tampak ekslusif terhadap agama lain. Akan tetapi penulisan makalah ringkas ini tidak akan mengulas pendebatan polemik yang terjadi tentu sekali di dalam hal-hal berkaitan pendebatan teologi tentang Yesus dan trinitas.

Sebelum itu, harus diingatkan bahawasanya, pendebatan para pentafsir Qur’an bukanlah perkara yang baru dalam sejarah tradisi sejarah Islam. Hal ini harus dilhat sepanjang sejarah tafsir melalui zaman tuntutan awal selepas kewafatan  Rasulullah  seperti perkembangan tafsir dikalangan para sahabat, tabi’in sehingga melalui period perkembangan tafsir bi’ al-ma’thur sehinggalah kepada pentafsiran bi al-ra’y.

Perkara ini merujuk didalam kitab Tafsir wal-Mufassirun karangan Muhammad Hussein az-Zahabi. Proses pendebatan dan ijtihad berlaku selepas kewafatan Rasul dan diteruskan tradisi itu dalam dunia intelektual tradisi Islam walaupun berlakunya pendebatan dikalangan para ulama tentang kaedah pentafsiran samada tafsir bil-ma’qul (tafsir yang bersandarkan ijtihad dan aqal) ataupun tafsir bil-ma’thur (tafsir yang bersandarkan riwayat yang sahih daripada sunnah).

al-zamakhsyariBermula dari sumber tradisionalis sehingga rasional, para sarjana Muslim bermula dengan pentafsiran klasik melalui pendekatan tradisionalis daripada at-Tabari sehingga kepada ra’y oleh al-Zamakhsyari. Pendekatan ijtihad tidak terhenti malah ia diteruskan oleh para reformis Islam.

Usaha pengembangan ini diteruskan oleh para reformis seperti Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Mustafa Maraghi, Abul Kalam Azad, Muhammad Asad, Fazlur Rahman serta malahan dikalangan Syiah kontemporari seperti Tabataba’i.  Menelaah kandungan kebanyakkan tafsir moden tidak terlalu bersandarkan kepada sumber-sumber asal klasik bahkan ianya mengkritik tafsir terdahulu membuktikan bahawa kebenaran yang dihasilkan pada penafsiran para mufasir klasik tidaklah menjadi sesuati yang paling tepat tafsirannya mengikut kehendak zaman.

Semisalnya kita boleh meneliti telaah Rasyid Ridha didalam tafsirnya al-Manar iaitu sebuah tafsir yang dikatakan telah disempurnakan oleh Ridha daripada gurunya Muhammad Abduh. Beliau mengatakan bahawa tafsir-tafsir klasik ini bukannya membantu orang memahami pesan Qur’an dengan baik tetapi menjadi selubung tebal yang menutupi pesan Qur’an yang sebenarnya.

Kenyataan ini boleh merujuk didalam halaman pendahuluan tulisan Mun’in Sirry dalam karyanya ’Scriptural Polemics The Qur’an and Other Religions’’. Rasyid Redha menambah di awal kata pengantar Tafsir al-Manar bahawa kebanyakkan tafsir Qur’an telah menyimpang daripada tujuan agung iaitu tafsir ini telah menjauhkan orang dari Qur’an lewat diskusi mereka dari segi interpretasi, argumentasi skolastik, tata bahasa dan deduksi hukum.

Hal ini tidaklah perkara baharu dalam pemikiran reformis seperti yang diutarakan gurunya Abduh, sesungguhnya penggunaan keutamaan aqal dan usaha pembaharuan islah masyarakat merupakan agenda terbesar didalam tafsirnya ataupun disebut madrasah al-ra’y.

Pluralisme Manifestasi al-Qur’an

Tujuan utama penumpuan makalah ini adalah tumpuan kita untuk memahami permasalahan yang mendasar di dalam hubungan antara-agama dan usaha mengembalikan kembali diskusi-diskusi yang tidak dikembangkan kerana telah terjadinya dakwaan bentuk autorititatif kefahaman Islam yang tulen dan sudah sempurna seperti telah terjadi ayat-ayat yang dikategorikan sebagai ayat nasakh yang telah mematikan ayat-ayat inklusif hakikat Qur’an yang sebenar.

Konflik inilah yang telah kita sebutkan di awal penulisan bahawasanya ia merupakan satu kesulitan bagi para reformis untuk mengembalikan semula wacana yang telah dianggap sempurna. Maka kita akan menelaah ringkas beberapa ayat-ayat yang menjadi dasar penutupan keselamatan bagi agama yang lain. Sesungguhnya al-Qur’an telah difahami secara umum yang mendokong sejenis teologi yang bersifat ekslusif yang tidak toleran seperti ayat :

Sesungguhnya agama  (ad-din) di sisi Allah hanyalah al-Islam [3: 19]

Pada hari ini telah kusempurnakan untuk kamu agamu, dan telah kucukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah ku redhai al-Islam sebagai agama [5: 3]

Dalam konteks kefahaman umum, al-Islam itu sudah difahami pada kefahaman ad-din iaitu diertikan sebagai agama. Maka pentafsiran klasik biasanya akan membuat penyimpulan bahawa Islam adalah agama yang satu-satunya diterima  dan menjadikan ia sahaja jalan keselamatan kebenaran yang bersifat ekslusif terhadapa agama lain. Konsep ini telah berkembang di berbagai umat beragama sebagai dakwaan bahawa ‘’hanya agama saya sahaja yang benar’’

Menurut Abdulaziz Sachedina di dalam bukunya The Islamic Roots of Democratic Pluralism bahawasanya argumen seperti ini meletakkan di dalam pelbagai kelompok agama bahawa hanya ada satu agama yang benar dan tradisi agama lain salah dan tidak berharga. Lebih sulit lagi, sesungguhnya dakwaan sebegini muncul ditengah kenyataan adanya perbezaan agama manusia. Dengan kata lain, tiada ruang bagi pluralisma agama kerana baginya kepercayaan agama selainya yang tidak mengikuti kebenaran wahyu yang dipercayai adalah dianggap tidak bernilai malah lebih kritikal apabila ia mendakwa bahawa agama lain itu perlu diperangi.

Menurut reformis seperti Rasyid Redha, ayat ‘’inna-ddina ‘inda Allahil-Islam’’ (Sesungguhnya agama (ad-din) di sisi Allah hanyalah al-Islam) itu merujuk makna ad-din bererti kepatuhan dan ketundukan, iaitu dikaitkan dengan perintah Tuhan (al-takalif)  dengan para hamba  (al-‘ibad) dan tafsiran Islam itu pada kata aslama yang bererti tunduk dan berserah diri.

Disimpulkan bahawa penyebutan al-Qur’an secara khusus tentang (ad-din) disisi Allah adalah al-Islam iaitu meliputi semua millah (ajaran) yang dibawa oleh para Nabi. Al-Qur’an membahas persoalan ini asasnya adalah nilai ketundukan atau kepatuhan manusa dengan tuhan tidak bermaksud mengatakan bahawa agama lain tidak memiliki nilai intrinsic dalam beragama. Maka orang-orang yang benar di antara kaum agama monoteistik secara asasnya mempunyai keselamatan di akhirat jaminanya di hadapan Tuhan, maka tiada hak bagi kaum muslimin atau membuat pentafsiran umum memutuskan bahawa jalan keselamatan adalah hanya Islam.

Al-Qur’an segala jelas menunjukkan komitmen kepada hamba-Nya tentang ketuhanan yang universal dan inklusivistik. Al-Qur’an melarang segala bentuk konsep penindasan dan kekeliruan dalam hal keimanan.

quran-liberation-and-pluralismHal ini seperti diungkapkan oleh Farid Esack didalam bukunya  “Qur’an, Liberation and Pluralism” yang mengatakan bahawa teks-teks yang terjadi di dalam period Madaniyah yang mencela kaum yahudi dan Nasrani berlaku atas keimanan yang keliru dengan eksploitasi sosial ekonomi terhadap orang lain. Begitu juga al-Qur’an dengan tegas mencela ekslusivisme agama yang sempit sepertimana yang digambarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani yang dijumpai Nabi Muhammad di Hjjaz. Al-Qur’an mengutuk kekerasan sifat angkuh tokoh keagamaan Yahudi  kerana menganggap sebagai umat pilihan tuhan, kerana mereka percaya bahawa mereka tidak seperti orang-orang lain yang diciptakan Tuhan.

Farid Esack merumuskan bahawa al-Qur’an bersifat mengakui keabsahan semua agama wahyu dan penerimaan atas pluralisma agama dalam dua hal iaitu menerima keberadaan kehidupan beragama komuniti lain, menghormati hukum-hukum, norma-norma sosial dan praktik keagamaan mereka dan keduanya penerimaan al-Qur’an atas pluralism agama tidak hanya dari sisi penerimaan kaum lain sebagai komuniti sosio agama yang sah, malah menerima juga kehidupan spiritual mereka dan keselamatan melalui jalan yang berbeza.

Al-Qur’an menyebut:

‘’Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) ‘’ [Al-Hujurat 49: 13]


Mohd Syazreen Abdullah adalah Felo Penyelidik Abduh Study Group, IRF dan mahasiswa pengajian Sarjana Muda Usuluddin di University of Yarmouk

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022