Tafsir Reformis: Membentuk Masyarakat Agama yang Pluralis – Bahagian II
June 15, 2014

Tafsir Reformasi atas Wacana Humanisme

Setelah menghuraikan secara ringkas keterikatan wacana pluralisma agama di dalam al-Qur’an adalah perkara yang asas dalam teks Quran yang dianjurkan, tetapi penafsiran umum ayat-ayat inklusif telah dimatikan menjadi ayat-ayat ekslusif oleh sebahagian golongan tradisionalis .Polemik ini telah menimbulkan kekacauan kefahaman untuk dilaksanakan dalam bentuk praktis kerana kesan mematikan ayat keselamatan itu diangkat menjadi ayat seruan perang, bukan seruan pendamaian.

PluralismMenurut Sachedina bahawa pluralisma agama menuntut kepada adanya keterlibatan aktif. Beliau berkata:

Pluralisme agama mengajak kepada keterlibatan dengan agama lain bukan semata untuk bersifat toleran, tapi untuk memahami”.

Ia bukan sekadar masalah toleransi, tetapi kesediaan untuk menerima kaum lain dalam usaha mencari Tuhan. Persoalan penting harus dirujuk kepada kaum monoteis – Yahudi, Kristian dan Islam – bahawa adakah mereka bersedia mengakui diri mereka satu sama lain sebagai jalan spiritual dengan masing-masing memiliki jalan penyelamatannya sendiri. Pengakuan ini juga menurut Sachedina sebagai menghormati antara agama membangun suatu tatanan politik demokrasi bukan sahaja tidak mendominasi wacana penindasan, malah ia mengangkat wacana yang berbentuk ransangan tumbuhnya keragaman ekspresi spiritual.

Seperti yang telah diungkapkan sebelum ini, bahawa Abduh sangat menekankan pada tumpuan tafsirnya kepada islah masyarakat dan pembaharuan pemikiran. Al-Qur’an telah membuktikan akan peri-pentingnya konsep universal bagi kemanusiaan. Visi ini merujuk kepada pemusatan kepada masyarakat dalam bentuk penyatuan solidariti sosial dan menepikan perbezaan ikatan kesukuan. Dalam konsep ini, harus difokuskan bahawa sesungguhnya setiap individu diberikan kebebasan peribadi dan martabat dalam mengangkat sebuah wacana  kemanusiaan.

Secara alamiah, kebebasan dalam beragama dan penyatuan di dalam hal-hal kebajikan bersama antaragama mampu mengarahkan kepada koeksitensi dalam hidup damai dan keadilan.

mohamed-arkounWacana pluralitas keberagamaan dan kebersamaan ini mestilah dijadikan fokus  humanisme  Islam sebagai keutamaan di dalam dunia yang semakin kompleks. Seperti yang telah diungkapkan oleh Muhammad Arkoun melalui kajian penulis Baedhowi di dalam bukunya tentang kajian terhadap pemikiran Arkoun, bahawasanya  di dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya saat ini, wacana agama masih dijadikan atau dimonopolikan sebagai ‘’ the truth claim’’ atas sikap tindakan ekstrimis agama. Ia menjadi ketakutan ketika ini, apabila wacana yang dihasilkan bukan pada alasan pembebasan dan pencerahan kemanusiaan, malah sebaliknya menyingkirkan kebenaran yang ada dalam aliran agama-agama atau budaya lain. Arkoun menambah lagi, sesungguhnya eksklusif teologi seperti ini akan menimbulkan sistem budaya yang saling menyingkirkan (systems culturels d’eclusion).

Permasalahan ini bukan sahaja akan menimbulkan ketegangan dalam suasana pelbagai agama, malah menjadikan ia sebagai dogma dalam kepercayaan yang dianggap final dan ekslusif. Hal ini merujuk kepada bagaimana ekslusif teologi ini mampu menjadikan sikap yang prejudis terhadap agama lain malah meletakkan agama selainnya ditempat yang salah dan mesti dimusuhi. Perkara ini akan menjadikan sebuah konflik dalam masyarakat yang disebut Arkoun sebagai kehidupan yang saling mengasingkan satu sama lain (the reciprocal exclusion of systems).

Maka pentingnya para intelektual Muslim waktu ini melihat pemasalahan ini secara mendasar yang membentuk ke dalam kehidupan masyarakat bagi menyampaikan pesan-pesan humanism yang terkandung dalam teks-teks suci (Taurat, Injil dan Qur’an) yang datangnya dari Tuhan sebagai dasar sebuah masyarakat monoteis yang sama-sama datang dari bapa agama yang sama iaitu hanif.

‘’Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.’’-[Al-Baqarah 2: 62]

Ayat di atas secara keseluruhan menunjukkan dasar pluralisma yang menjadikan manusia sebagai satu umat dan bangsa tanpa mengecualikan perbezaan. Di sini menuntut adanya pluralism teologis yang menunutut adanya kesetaraan hak yang diberikan Tuhan kepada semua manusia.

Wacana humanisme seperti yang dicanangkan oleh Arkoun adalah usaha untuk kritik epistemologi yang bersumberkan kepada nalar  humanisme  literal yang bersumberkan kepada logosentrisme yang telah dianggap oleh pemikiran umat islam sebagai pemikiran yang sudah sempurna dan tidak perlu lagi dipertikaikan keaslian sumber ke atas teks-teks tersebut. Usaha Arkoun ini adalah sebahagian usahanya untuk mendialogkan kembali teks-teks yang dianggap baku dengan cara rekonstruksinya untuk membebaskan teks menjadi sifatnya yang kritis, historis dan humanis. Usaha ini menurut Arkoun adalah sebuah jalan untuk membentuk sikap yang penuh keterbukaan, toleransi dan inklusif terhadap ragam agama yang berbeza dan jauh meninggalkan sifat keangkuhan dan monopoli kebenaran yang merendahkan kebenaran pihak lain.

Malaysia dan Fundamentalis Islam

Melalui definisi yang menurut Sachedina, istilah Fundamentalis Islam itu diadaptasikan kepada dua strategi, pertama memperkenalkan reformasi sosial politik untuk mencegah kerosakan internal kehidupan agama islam, dan kedua iaitu melawan pengaruh intelektual dan budaya asing dalam masyarakat islam.

Islam adalah solusiBaginya kepada kefahaman ciri pertama ini adalah ia perlu dikembalikan kepada seruan ajaran murni Islam dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Golongan ini meletakkan keberhasilan generasi awal Muslim daripada kepatuhan penuh mereka kepada keimanan yang sejati akan dasar-dasar Islam. Mereka harus kembali kepada kemurnian praktik masa lampau dalam segala bidang kehidupan termasuk pemerintahan. Bagi mereka, slogan seperti seruan ‘”al-Islam huwa al-hal” atau ’Islam adalah Solusi ‘’ adalah jalan paling benar dalam mencapai cita-cita politik. Muncul gerakan-gerakan yang berpaksikan jalur ini mendakwa sebagai representasi terbaik sebagai penyelesaian masalah di dalam masyarakat ataupun kehidupan politik.

Dalam masyarakat plural seperti Malaysia, di dalam hubungan antara-agama sering terjadi suatu polemik yang mencetuskan ketegangan antara-agama, bangsa dan budaya yang seringkali ditimbulkan daripada golongan fundamentalis Islam yang mendakwa kebenaran adalah milik mereka dan tiada ruang keselamatan bagi agama lain selain agamanya yang paling benar.

Sebaliknya, tidak ada institusi buatan manusia boleh mengklaim dirinya mewakili kepentingan Tuhan di muka bumi atas dasar pemerintahan dan autoriti agama. Sesungguhnya hubungan antara manusia berada dalam institusi yang didasarkan pada konsensus politik atas tujuan keadilan dan kesetaraan sosial bukan autoriti agama. Kebebasan individu dan pluralisme mesti dipertahankan daripada ancaman tirani. Hanya dengan kebebasan dan ragam manusia sahajalah kita bisa menuju kesempurnaan diri.

Kebebasan beragama bersifat mutlak dan harus dijamin kerana ia merupakan anugerah Tuhan. Manusia tidak boleh menyekat dan merampas anugerah itu. Menjadikan agama urusan peribadi dan masyarakat bukan negara tidak bermaksud ia menjadi mundur sebaliknya dikembangkan oleh peribadi dan masyarakat. Negara seharusnya neutral terhadap agama dan bersifat sekular dalam erti memberi ruang kepada semua agama. Tanpa hal ini, adalah amat sulit untuk berlaku adil dalam masyarakt yang plural.

Para fundamentalis Islam yang gagal meletakkan dirinya di dalam kehidupan plural ini, membuka wacana api perkauman antara-agama yang sudah tentu berlawanan dengan semangat pluralisma agama.

ijtihadAnti-pluralis ini cuba menghidupkan balik dimensi  yang pernah diusahakan oleh beberapa Yahudi Madinah seperti Syisy ibn Qays yang menghidupkan api tribalisme dahulunya yang sering membakar perkauman masyarakat Arab pra-Islam. Mereka ini adalah orang-orang yang mendahulukan semangat rasisme yang sering menimbulkan pergaduhan antara kaum ketika itu. Sebaliknya, Muslim progresif adalah orang-orang yang komited mempersatukan semua warga Muslim yang terpisah daripada Muslim, Kristian daripada Kristian dan Muslim daripada Kristian. Perkara inilah yang disentuh Farid Esack di dalam tulisannya tentang wilayah kaum lain.

Untuk membangun Malaysia yang damai daripada segala polemik yang membawa kepada ketegangan kaum dan agama, para Intelektual Muslim seharusnya membuka wacana yang mengangkat pengertian kesatuan yang sama diantara-agama, kaum dan budaya. Tafsir teks agama yang bersifat ekslusif yang cenderung mendiskriminasi terhadap agama lain mestilah dihapuskan dan mengangkat kembali ketulenan inklusif ayat-ayat al-Qur’an yang telah dimatikan sifatnya oleh para pentafsir tradisionalis yang terdahulu ya.ng hidup di zaman kekuasaan Empayar Islam.


Mohd Syazreen Abdullah adalah Felo Penyelidik, Abduh Study Group, IRF dan mahasiswa pengajian Sarjana Muda Usuluddin di University of Yarmouk

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022