Tunisia Di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi – Bahagian I

October 19, 2015 by Noureddine Jebnoun


Diterjemahkan oleh: Imran Mohd Rasid

 

1.Para1Dr. Noureddine Jebnoun telah menemu ramah Sheikh Rachid Ghannouchi, Ketua Gerakan Ennahdah di Tunisia di rumah beliau di Tunis pada tanggal 9 Januari 2014.

Noureddine Jebnoun: Sheikh yang mulia, selepas hampir dua dekad dibuang negeri dari Tunisia, kini anda telahpun kembali semula ke tanah air anda dan telah tinggal di sini hampir tiga tahun. Bolehkah anda bandingkan perbezaan pengalaman hidup sebagai orang buangan politik oleh kerajaan Tunisia dengan kehidupan anda sekarang sebagai sebahagian daripada masyarakat awam Tunisia yang juga bebas untuk turut serta dalam proses politik—iaitu proses yang berkembang hasil pilihanraya yang diadakan pada 23 Oktober 2011, dan telah membawa kepada penubuhan Majlis Perlembagaan Negara?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Pengalaman yang saya dan Gerakan Ennahdah telah lalui adalah satu pengalaman yang sukar dan penuh cabaran, namun pada akhirnya kami datang kepada kesimpulan yang memberangsangkan dan juga mencapai matlamat yang ditetapkan. Sewaktu Ben Ali mula memegang tampuk kuasa dan mengisytiharkan komitmen beliau pada prinsip demokrasi, dan juga untuk “menamatkan penindasan,” beliau telah menggariskan asas-asas demokrasi yang merangkumi semua pihak. Melalui deklarasi ini, beliau mengatakan bahawa beliau akan mengembalikan kegemilangan identiti Arab-Islam. Mendengar kata-kata beliau itu, kami sepakat untuk menyokong beliau dan memberikan beliau peluang. Pada bulan April 1989, satu pilihanraya legislatif telah diadakan dan ini merupakan ujian pertama buat Ben Ali untuk menunjukkan komitmen beliau bagi mengotakan janji-janji yang beliau kemukakan.

Pihak kami telah mengambil bahagian dalam pilihanraya tersebut dan telah mencapai keputusan yang luar dari jangkaan kami. Kami jangkakan hanya mendapat tidak lebih daripada 20 peratus undi, namun sungguh tak disangka apabila kami memperoleh majoriti undi (melebihi 30 peratus daripada kawasan-kawasan bandar utama). Sungguhpun demikian keputusan pilihan raya tersebut telah dipalsukan pada peringkat nasional. Kami kemudiannya nekad mengisytiharkan bahawa pilihanraya tersebut merupakan satu penipuan besar-besaran, dan telah menjadi satu-satunya parti politik yang berbuat demikian. Ben Ali cukup tidak senang dengan pengisytiharan kami akan pemalsuan pengiraan undi yang berlaku. Kesinambungan daripada itu, beliau memutuskan untuk menghukum para pemenang dengan menghapuskan mereka semua. Dalam sistem demokrasi, pemenang pilihan raya sewajarnya diangkat ke tampuk kuasa, namun dalam sistem diktator, memenangi pilihanraya adalah satu jenayah yang sangat besar yang boleh dihukum dengan hukuman pembasmian politik. Dalam sistem politik Ben Ali: Ennahdah telah dihukum dengan hukuman pembasmian politik secara sistematik selama dua puluh tiga tahun.

Rancangan kami adalah untuk menggantikan rejim Ben Ali dengan rejim demokratik. Kami terus berjuang untuk tujuan tersebut, dan secara tidak sengaja, Ben Ali membantu kami dalam perjuangan kami dengan menyekat semua saluran komunikasi dan dialog. Tindakannya telah menutup segala ruang untuk kami memilih jalan perdamaian. Apa yang Ben Ali lakukan dalam hal ini adalah positif—dan dia harus diberikan penghargaan untuk tindakannya itu. Hal ini kerana akibat daripada kedegilan Ben Ali sendiri, kami bisa menjadi sepakat dalam gerak kerja kami. Oleh kerana dia menolak peluang untuk perdamaian, gerakan kami tidak lagi mengalami perpecahan dalaman antara kelompok yang mahu berdamai dengan rejim, dengan kelompok yang menolak jalan perdamaian.

Akibatnya hal ini memaksa kami untuk kekal bersepakat dalam gerakan kami. Dengan tertutupnya pintu untuk tawar-menawar dalam soal politik, pihak rejim sebenarnya telah membantu pergerakan untuk kekal bersatu. Kemungkinan besar, sekiranya alternatif tawar-menawar wujud maka ia boleh memecah belahkan gerakan serta mengancam perpaduan kami, terutama sekali apabila semua sudah maklum bahawa kesediaan Ben Ali untuk bekerjasama adalah berdasarkan penipuan.

2.Para7Mengikut pengalaman saya bekerja dengan Ben Ali, saya tahu bahawa dia seorang yang tidak jujur, dan akan kekal tidak jujur sampai bila-bila. Tindak laku Ben Ali ke atas gerakan kami membantu mengekalkan perpaduan gerakan; ia juga menjadikan kami lebih radikal dalam menangani rejimnya serta lebih giat bekerja untuk membawa perubahan yang radikal sebagai konsep revolusioner. Secara peribadi, saya sudah pun menyeru akan pendekatan ini secara konsisten dalam tempoh dua puluh tahun yang lalu, walaupun retorik saya kadang-kadang tidak disokong oleh institusi gerakan. Namun begitu, sejak hilangnya kepercayaan ke atas pembaharuan yang di bawakan oleh rejim Ben Ali, pendekatan politik radikal dan perubahan kekal ke atas institusi akhirnya menjadi tema utama dalam gerakan.

Noureddine Jebnoun: Adakah anda mengadakan rundingan dengan Ben Ali?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Kami tidak mengadakan sebarang rundingan. Dalam tempoh dua puluh dua tahun itu, satu-satunya hubungan yang wujud dengan rejim Ben Ali adalah melalui Duta Tunisia ke Switzerland. Saya percaya ini adalah ketika tahun 2004 atau 2005, dan bentuk pertemuan itu berlangsung dengan kehadiran beberapa saudara yang mewakili gerakan dan wakil rejim.

Tiada sebarang rundingan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut; ia hanya satu ungkapan muhibah daripada kedua-dua belah pihak bagi meletakkan asas untuk berdamai. Malangnya, wakil rejim telah meninggalkan mesyuarat itu dan tidak kembali lagi. Sebarang susulan mesyuarat juga tidak diadakan.

Pada hemat kami mesyuarat tersebut adalah mesyuarat yang tempang dan hal ini membuatkan kami mula meragui keseriusan rejim dalam usaha untuk menjalinkan hubungan baharu dengan pergerakan kami. Tiada apa-apa yang berhasil daripada mesyuarat ini.

Ia merupakan satu tindakan yang tidak mempunyai makna, kerana sebaik sahaja pihak rejim memulakan usaha komunikasi selang beberapa ketika mereka terus menutup semula sebarang saluran komunikasi tanpa memberikan sebarang alasan.

Selepas mesyuarat itu, rejim banyak kali cuba untuk menghubungi kami. Namun usaha-usaha untuk berkomunikasi tersebut hanya berlegar sekitar isu-isu keselamatan dan hanya untuk kepentingan diri mereka sahaja.

Dari masa ke semasa, tujuan mereka berkomunikasi dengan pihak kami jelas menunjukkan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk menarik beberapa ahli gerakan untuk kembali ke Tunisia bagi melemahkan gerakan kami, serta mengawal suara-suara kritikan daripada sekumpulan kecil yang terpinggir di luar negara setelah mereka ditindas di dalam Negara sendiri melalui penindasan keselamatan. Dalam hal ini, rejim menggunakan polisi “pemuliharaan diri sendiri” ke atas beberapa ahli-ahli gerakan itu, di mana sebahagian mereka dibenarkan untuk mempunyai paspot Tunisia, serta diberi ruang untuk menyelesaikan masalah peribadi, dan hal ini menarik mereka untuk kembali ke Tunisia. Sebagai balasan, individu-individu ini akan keluar dan mengkritik gerakan asal mereka sebagai gerakan pengganas.

3.Para15 LowerRightHubungan antara rejim Ben Ali dengan gerakan kami boleh disifatkan sebagai sikap untuk langsung enggan dalam melakukan sebarang urusan politik dengan Ennahdah dan cuba melemahkannya melalui dasar “pemuliharaan diri sendiri,” yang bertujuan untuk memusnahkan gerakan kami. Tindakan keselamatan itu dikenakan bertujuan untuk menghapuskan sisa-sisa gerakan yang masih wujud selepas pihak rejim berjaya menyekat pengaruh gerakan di seluruh negara.

Selama dua puluh tiga tahun pemerintahan Ben Ali, ahli-ahli gerakan kebanyakannya berpecah-pecah dan sebahagiannya masuk ke dua puluh tujuh penjara di Tunisia dan sebahagian lain lari ke lima puluh negeri di luar negara. Namun di sebalik semua penindasan yang dikenakan ke atas gerakan, kami masih berjaya mengekalkan tahap kerjasama kami. Hal ini berkat kewujudan institusi-institusi yang dirangka oleh kelompok Ennahdah luar negara yang terus menerus bekerja untuk menentang kelaziman penjara dan penindasan yang dilaksanakan oleh Rejim Ben Ali. Misi gerakan di luar negara tidak terhad hanya untuk meminta bantuan kemanusiaan, tetapi juga dilanjutkan untuk mengekalkan momentum perjuangan menentang autokrasi secara aman serta untuk memastikan misi keadilan ini kekal berjalan.

4.Para17 LowerRightKami percaya isu yang kami bawa adalah isu politik, iaitu isu penindasan. Namun rejim Ben Ali tetap terus menggambarkan Ennahdah sebagai sebuah organisasi pengganas dengan cuba meyakinkan dunia, terutama negeri-negeri yang memberi suaka politik kepada ahli-ahli gerakan kami, bahawa kami mempunya agenda keganasan dan bukannya pejuang politik secara aman. Ben Ali mengambil sikap tidak mengakui kepelbagaian dan perbezaan yang wujud dalam gerakan-gerakan Islam. Dia menganggap kesemua gerakan terdiri daripada kelompok radikal atau golongan sederhana dan reformis yang bekerjasam dengan pengganas. Ben Ali yakin bahawa Islam adalah benar, dan yang bersalah sebenarnya adalah kelompok pengganas yang radikal ini. Malah selepas tragedi September 2001, Ben Ali lebih giat lagi untuk menghapuskan gerakan kami dengan menjadikan usaha penentangan ke atas kami sebahagian daripada agenda “Memerangi Pengganas Global.” Beliau menghantar salinan-salinan rekod palsu kepada agensi-agensi penyelidikan seluruh dunia bagi membolehkan kami tersenarai sebagai pertubuhan yang membawa agenda pengganas .

Walau bagaimanapun, dia tetap gagal. Ahli-ahli gerakan yang mendapat perlindungan di beberapa negara Arab, telah ditendang keluar dan menjadi pelarian di Eropah, dan di Amerika Utara serta Selatan. Ramai juga daripada kalangan mereka yang mendapatkan status pelarian yang sah di sisi undang-undang; dan sebahagian lain pula ada yang mendapat hak kewarganegaraan. Di kalangan mereka ada yang meneruskan pengajian dan melakukan perniagaan di negara yang mereka duduki namun dalam masa yang sama masih mengekalkan kesetiaan kepada gerakan, serta masih terus memperjuangkan hak mereka, yang mereka percaya pada dasarnya merupakan satu perjuangan politik yang bertujuan untuk mewujudkan rejim demokratik bagi menggantikan sistem diktator.

Dalam masa yang sama Ennahdah berjaya menghubungi pihak pembangkang Tunisia—yang mana Ben Ali, semasa dekad pemerintahan beliau (1990s) telah merosakkan minda mereka dengan propaganda rejim. Beliau telah berjaya meyakinkan majoriti modenis dalam kalangan pembangkang, terutama mereka yang telah dikelirukan akan khabar bahawa rejim sedang melawan pihak pengganas, justeru perlunya untuk menyokong rejim bagi memerangi bahaya yang ditimbulkan oleh Islam politik yang memberi kesan pada masyarakat sivil, arus pemodenan dan manfaatnya, dan juga kepada demokrasi sendiri sebagai satu konsep dan amalan. Oleh sebab itu, ahli-ahli pembangkang mula menyertai Ben Ali dalam projek pembasmian beliau. Tetapi dalam sepuluh tahun terakhir rejim Ben Ali, kami berjaya berkomunikasi dengan pembangkang Tunisia. Dialog antara gerakan dan pihak pembangkang bermula dalam keadaan syak wasangka dan nihil komunikasi, namun kini menuju ke arah keadaan yang berasaskan kepercayaan bersama, seperti yang terkandung dalam perjanjian 18 November 2005 itu. Perjanjian itu bertindak sebagai asas untuk tertubuhnya Troika yang kini mentadbir negara.

5.Para20 LowerRightNoureddine Jebnoun: Mengapa, setiap kali anda merujuk kepada pakatan bertiga parti yang diketuai Ennahdah anda akan menggunakan istilah “Troika”? Demikian ini adalah perkataan Rusia dan digunakan buat pertama kali semasa pemerintahan Stalin yang mempunyai makna khusus merujuk kepada satu jawatankuasa tiga hakim yang berkaitan dengan badan perisikan, dipanggil sebagai “Cheka” dan berubah kemudian menjadi “NKVD”. Hakim-hakim tersebut sering menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya terhadap orang yang tidak bersalah semasa kempen pembersihan yang dilaksanakan antara tahun 1934 dan 1939. Selepas itu, makna istilah ini telah diperluaskan untuk meliputi jawatan dalam pemerintahan Nikita Khrushchev, apabila kerajaan telah dikendalikan oleh Troika yang terdiri daripada Leonid Brezhnev, Nokolai Podgorny, dan Alexei Kosygin.

Jadi mengapa wujudnya keperluan (dalam pakatan yang diketuai Ennahdah) untuk menggunakan istilah ini yang tentunya dibayangi sejarah totalitarianisme dan kediktatoran dalam konteks negara yang dianggap telah bebas daripada autoritarian serta dalam proses untuk membina sebuah sistem politik yang ditadbir oleh institusi dan kedaulatan undang-undang?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Istilah ini sebenarnya digunakan tanpa memikirkan sebarang implikasi. Ada kemungkinan bahawa individu yang mula menggunakan istilah ini tidak memberi perhatian kepada latar belakang istilah tersebut dan sekadar mahu memberi nama pendek untuk “pakatan tiga parti.”

Walaupun saya bersetuju dengan anda bahawa istilah tersebut bercanggah dengan hala tuju demokratik yang Tunisia sedang tuju, saya memberi jaminan kepada anda bahawa Tunisia sedang dikendalikan secara bersama oleh pakatan tiga parti, bukan oleh tiga individu.

Ahli-ahli politik mendapati istilah tersebut mudah untuk digunakan sehingga kemudiannya ia digunakan secara meluas tanpa ada usaha memeriksa makna asalnya.


Imran RasidImran Mohd Rasid adalah graduan University of Manchester dalam bidang Politik, Filosofi dan Ekonomi yang juga merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Felo di Islamic Renaissance Front. Wawancara ini diterbitkan oleh Al Waleed bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding, (ACMCU), Georgetown University pada April 2014.