Undang-undang Negara dan Paksaan Agama – Bahagian II
October 24, 2014

Negara dan Pelaksanaan Undang-undang

“Covenants, without the Sword, are but Words, and
of no strength to secure a man at all”[1]
[Thomas Hobbes dalam Leviathan]

1.Para 2Pelaksanaan undang-undang dan proses pemerintahan negara adalah proses paksaan, sekurang-kurangnya secara prinsipnya. Tanpa wujud paksaan dan sekatan beberapa kebebasan tertentu, proses-proses ini tidak dapat berjalan dengan jayanya. Bagi menjalankan undang-undang serta memupuk doktrin ke atas rakyat supaya mereka memahami lantas mentaati undang-undang negara, radas-radas kekuasaan (state apparatus) akan digunakan.

Setelah kita meninjau apakah justifikasi kewujudan sesebuah autoriti kekuasaan dan, menurutinya, batas dan limitasi kekuasaan, adalah penting pula untuk kita melihat secara jitu apakah proses yang terlibat dalam pelaksanaan undang-undang negara. Di bahagian ini, kita akan fokuskan kepada proses dan perjalanan sesebuah institusi kepolitikan yang memiliki autoriti.

Apa sahaja gerakan atau tindakan yang dilakukan oleh institusi kepolitikan, ia pasti akan menggunakan dana awam yang diperolehnya daripada percukaian, terutamanya dalam negara moden. Di sini muncul persoalan, bahawa jika radas-radas kekuasaan seperti institusi polis dan penjara menggunakan oleh dana awam, bagaimana pula untuk menjustifikasi perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan? Kita tidak boleh mengandaikan, bahawa dengan hanya memegang kuasa politik, terus bererti kita wajar melakukan apa sahaja yang kita yakini benar, kerana radas kekuasaan dalam negara moden, bersama kuasa sekatan hak yang dimiliki negara dan institusinya, adalah mustahil akan bergerak tanpa dana awam.[2]

Kodifikasi undang-undang pula, memberi implikasi bahawa undang-undang itu berhak ke atas penggunaan dana ini bagi melaksanakannya. Maka, pertimbangan kewajaran penggunaan kuasa di peringkat ini hendaklah melihat kepada perkara ini.

Dari sinilah, munculnya satu pagi persoalan penting, iaitu adakah pelaksanaan itu memiliki legitimasi (legitimate) atau tidak (illegitimate)?[3] Adakah radas-radas yang didanai masyarakat berbilang bangsa dan agama (dalam konteks Malaysia) itu diberi kerelaan untuk digunakan bagi tujuan menegakkan pemahaman agama monolitik sepihak sahaja? Kita selalu sahaja membuat andaian bahawa apabila masyarakat sudah mengundi suatu pihak untuk berkuasa, pihak tersebut berhak melakukan apa sahaja. Malah, selagi tiada penentangan secara nyata daripada rakyat, maka kita juga mengandaikan bahawa rakyat merelakannya.

Tetapi persolannya lagi, wujudkah saluran untuk rakyat menyatakan rasa tidak bersetuju mereka atas pelaksanaan sesuatu undang-undang, jika kita mahu menyimpulkan sebegitu? Jadi, penggunaan radas kekuasaan bagi menjalankan perkara sebegini yang didanai daripada cukai masyarakat semua agama tidak boleh dijustifikasi.

Maka, persoalan-persoalan di atas, saya kira, menunjukkan bahawa sesebuah negara itu hanya wajar melaksanakan undang-undang yang memelihara keadilan masyarakat secara umum – dengan makna memelihara keselamatan rakyat dan memastikan keadilan sosial – dan tidak boleh dijustifikasi untuk melakukan lebih daripada itu, apatah lagi dalam perkara keagamaan. Di Malaysia, pembayar cukai bukan Muslim membayar cukai melebihi mereka yang Muslim, maka untuk melaksanakan hukuman ke atas perkara keagamaan dengan radas negara, saya kira negara tidak memiliki legitimasi, apatah lagi cukai itu sendiri pun dikutip dengan kuasa sekatan hak (coercion) yang dimiliki negara.

Selain itu, saya kira kita perlu jelas di manakah letak duduk undang-undang jenayah bagi melihat dengan lebih jelas perkara yang wajar dan tidak wajar. Saya berhujah, bahawa undang-undang jenayah tujuannya adalah untuk membaiki fabrik sosial (social fabric)3.Para 9.Social fabric yang tercarik akibat pencabulan hak yang dilakukan seorang individu/kumpulan ke atas individu/kumpulan yang lain. Sebagai contoh, bayangkan situasi seorang pencuri yang mencuri barang kepunyaan seorang pelajar. Maka, pencuri ini telah mencabuli hak pelajar tersebut ke atas barang kepunyaannya sendiri, dan perkara ini menyebabkan orde sosial (social order) terganggu dan tercalar. Jadi, autoriti kekuasaan akan melaksanakan undang-undang menghukum pencuri itu bagi memastikan (1) hak pelajar yang dicabul tadi terbela dan (2) memberi pengajaran kepada orang lain.

Dengan kefahaman ini, saya berhujah, undang-undang jenayah bukanlah untuk membentuk orde sosial yang baik atau tersusun, tetapi hanya sebagai kuasa pencegah dan pemulih jika terdapat pihak-pihak yang mengancam orde sosial itu[4].

Justeru, dalam perkara keagamaan yang tidak melibatkan kebajikan masyarakat secara langsung, seperti tidak hadir solat Jumaat umpamanya, tidak memiliki justifikasi untuk dihukum di bawah kekuasaan negara. Orde sosial yang wujud ini, dengan daya politik-ekonominya tidak akan terancam langsung jika ada individu yang sengaja meninggalkan solat, sebagai contohnya. Sebab itulah, dosa sebegini adalah sifatnya eskatologi di peringkat metafizik, dan hanya Tuhan yang maha mengetahui hakikatnya, apatah lagi berhak menghukumnya.

Negara dan Perkara Agama

Dalam sebuah negara moden, penginstitusian akan memberi beberapa implikasi penting, seperti pemusatan kuasa dan sifat keumuman (generality)[5]. Di Malaysia dan kebanyakan negara umat Islam, agama juga diinstitusikan yang mana telah memberi banyak kesan yang, kebanyakannya, negatif. Pihak yang memonopoli kekuasaan akan bertindak mengikut apa yang ia fikirkan wajar, lantas institusi inilah yang akan memberi kesan ke atas masyarakat.

4.Para 13Di bahagian ini, saya akan berhujah bahawa limitasi institusi negara untuk mengetahui hal-hal eskatologi, dan masalah dalam penginstitusian akan menyah-absahkan hak mereka untuk menghukum orang yang melakukan dosa keagamaan, seperti meninggalkan solat. Dengan menyatakan hal ini, saya tidak memberi implikasi bahawa meninggalkan solat tidak berdosa, tetapi ia bukanlah hak autoriti kekuasaan untuk menghukum dosa tersebut.

Pertama sekali, limitasi dalam pengetahuan autoriti kekuasaan. Sesiapa pun tidak boleh, dan tidak mampu, mengetahui secara pasti apakah yang terkandung dalam sanubari seseorang, dan bagaimanakah hubungan sakral individu tersebut dengan Tuhannya. Perkara ini sahaja, saya kira menafikan hak institusi negara untuk menghukum dosa keagamaan. Sebagai contoh, dalam undang-undang menghukum mereka yang meninggalkan solat tanpa keuzuran, senarai keuzuran itu juga akan diinstitusikan dan institusi agamalah juga yang akan mengesahkan keuzuran seseorang itu terpakai atau tidak. Masalah timbul apabila keuzuran (biar apa pun ia) yang dialami seseorang tidak difahami sebagai keuzuran dari sudut pandang institusi negara, pastinya individu ini akan dihukum secara zalim.

Selain itu, contoh lain adalah jika hal yang lebih mendasar berlaku, seperti individu itu tidak solat kerana ia sudah tidak yakin dengan kebenaran Islam. Perkara ini tidak boleh ditangani dengan autoriti kuasa, tetapi dengan pendidikan secara berhikmah. Bahkan, jika kita pergi lebih jauh, jika individu itu nekad dan sudah membuat keputusan muktamad untuk murtad tetapi institusi negara menghalangnya murtad, di sini juga timbulnya masalah. Di Malaysia, seseorang yang beragama Islam tidak boleh murtad kerana institusi negara kita tidak mengiktiraf seperti yang dihadapi dalam kes Lina Joy. Akhirnya, perkara yang berlaku adalah keputusan untuk murtad itu diambil secara diam-diam tanpa pengetahuan sesiapa kecuali individu terdekat, dan pastinya institusi negara tidak mengetahuinya. Apabila individu yang murtad tanpa pengetahuan institusi ini meninggalkan solat Jumaat umpamanya, ia akan dihukum pula kerana “tidak solat Jumaat”, walhal individu itu tidak lagi yakin dengan kebenaran Islam.

Kodifikasi dan penginstitusian sebegini akan menghalalkan hukuman secara pukal, malah berpotensi menghalang proses penyampaian secara lebih berhikmah. Penyampaian yang berhikmah hanya akan mampu dilakukan jika individu itu dikenali rapat, seperti oleh keluarga atau komuniti sekelilingnya, bukan oleh negara. Tindakan autoriti kekuasaan sebegini, saya kira, adalah satu ketidakadilan. Ia bertitik tolak daripada kemustahilan mengetahui hal-hal sakral antara manusia dan Tuhan oleh institusi negara, sehinggalah kepada mustahilnya autoriti kekuasaan untuk berlaku adil dalam menghukum kesalahan agama.

5.Para 17Kedua, dengan menyatakan hal di atas, saya tidak menafikan kewajipan umat Islam dalam amar ma’ruf nahi munkar. Perkara ini juga perlu diperhalusi, kerana tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar itu adalah luas, mencapah dan beragam bentuknya. Sebagai contoh, untuk menghapuskan kemungkaran daripada kegiatan kecurian atau rompakan, maka (seperti yang telah kita lihat tadi) bolehlah dijustifikasikan bahawa ia merupakan hak negara melakukannya, kerana ia mempunyai kesan ke atas orde sosial. Tetapi, sekalipun dosa meninggalkan solat juga merupakan satu kemungkaran, namun disebabkan kekangan-kekangan yang telah saya sebutkan tadi, tidak boleh dijustifikasi untuk sebuah autoriti kekuasaan menghukum dosa sebegini. Ada kemungkaran yang mesti ditangani keluarga, ada juga oleh masyarakat, dan ada juga oleh autoriti kekuasaan negara. Adalah tidak wajar untuk melonggokkan semua ini di pundak negara sehingga akhirnya berlaku kezaliman atas nama agama.

Dalam tradisi pengajaran yang diwarisi daripada kebudayaan kita, terdapat hadith yang memperkatakan bagaimana anak-anak wajib diajar untuk solat, dan jika mencapai tahap tertentu, ibu bapa boleh memukul (tanpa mencederakan) anak-anak mereka – walaupun Sunnah tidak pernah membuktikan bahawa Nabi pernah memukul anak-anak maupun isterinya – untuk mengajar bersolat[6]. Di sini dapat kita lihat, bahawa tanggungjawab menghukum perlakuan ini telah Rasulullah letakkan di bahu keluarga, bukan masyarakat terbanyak, dan bukannya institusi negara. Autoriti kekuasaan negara bukanlah ibu bapa kita, apatah lagi untuk mengetahui hakikat dosa dan pahala seseorang individu dengan Tuhannya.

Malah, jika kita lihat bagaimana ketika Rasulullah dipersoal para sahabat, seperti dengan soalan “apakah amalan yang paling utama?”, baginda menjawab, antaranya “solat tepat pada waktunya”[7]. Tambahan lagi, pada zaman Rasulullah pun, tidak ada mana-mana pihak dihukum kerana tidak solat Juma’at, umpamanya. Pendidikan berhikmah seperti ini, saya berhujah, akan gagal dilakukan jika paksaan daripada autoriti kekuasaan yang melakukan semuanya.

Maka, saya kira hak untuk negara menjalankan hukuman ke atas perkara keagamaan tidak mempunyai justifikasi yang kukuh, baik secara epistemik, teoritis atau praksis. Maka, ia tidak mewujudkan hak (generate rights) untuk autoriti kekuasaan menghukumnya. Pertama, negara tidak memiliki pengetahuan tentang dosa dan pahala; kedua, kewujudan negara itu sendiri dijustifikasi untuk melindungi beberapa perkara penting dan kuasa autoriti negara wajib mempunyai batas yang jelas; dan ketiga, hukuman sebegitu berkecenderungan untuk menzalimi masyarakat terbanyak atas nama agama.

Kesimpulan

Umat Islam zaman ini sedang menghadapi keresahan yang memuncak. Krisis identiti, politik dan sosio-ekonomi banyak sekali berlaku dalam kalangan umat Islam. Ramai Islamis meletakkan kesalahan ini pada jatuhnya khilafah, ketiadaan satu autoriti agung yang menaungi umat seluruh dunia sebagai punca kemurungan umat kini. Lantas, wacana Islamisme dengan rencana politik dicanangkan di hampir semua negara umat Islam bagi mengisi vakum kekuasaan yang wujud.

Namun, obsesi dengan kuasa ini akhirnya mengaburi mata sesetengah daripada mereka terhadap pertimbangan betul dan salah, wajar dan tidak wajar dalam mengemudi autoriti kepolitikan. Adalah satu andaian yang salah untuk menghukum semua jenis kemungkaran dengan kuasa undang-undang, tanpa kita melihat secara terperinci dahulu bagaimana letak duduk kesalahan itu dan adakah berhak autoriti politik menghukumnya. Jika matlamat kita betul untuk menghapuskan kemungkaran tetapi cara kita, yakni dengan menggunakan undang-undang akhirnya membawa kezaliman pula, ia tetap menatijahkan hasil yang cacat. Matlamat, terutamanya yang bersifat kepolitikan, tidak menghalalkan cara.


Hazman Baharom adalah graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial di University of Manchester, UK dan calon Sarjana bagi Pengajian Asia Tenggara di University of Washington, US. Beliau juga merupakan Intern di Islamic Renaissance Front.

 

 

[1] Thomas Hobbes, Leviathan, ed. Richard Tuck (Cambridge: Cambridge University Press)

[2] Lihat Friedrich Hayek, The Road to Serfdom

[3] Lihat William Connolly (1984), ‘The Dilemma of Legitimacy’, Legitimacy and The State, ed. William Connolly.

[4] Saya berhujah, bahawa keadilan kepengagihan akan membantu membentuk orde sosial, tetapi keadilan jenayah hanya akan bertindak sebagai mekanisme pencegah dan pemulih sekiranya orde itu diganggu. Dalam kaitan ini, saya bersetuju dengan Rawls yang meletakkan keadilan kepengagihan dalam pertimbangan ex ante masyarakat, iaitu sebelum orde masyarakat bergerak.

[5] Lihat Francis Fukuyama, The Origins of Political Order

[6] Daripada hadis sahih riwayat Abu Daud: “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun”

[7] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022