Wacana Pemikiran Reformis II – Khalid Jaafar

November 26, 2013


WPR-II-338x244Jiwa umat ketika ini melalui pergolakan yang getir. Pelbagai cabaran datang daripada luar, politik ekonomi dan juga ketenteraan. Namun dunia Islam tidak dapat menggunakan paradigma lama, misalnya dunia Islam lawan dunia Barat. Dunia Islam hanya satu konsep yang tidak mempunyai penterjemahan politik, ekonomi atau ketenteraan. Semua dunia Islam hidup dalam realiti negara-bangsa. Umat Islam tidak boleh memisahkan dirinya daripada segala pergolakan ini kerana globalisasi dan tata kehidupan masyarakat antarabangsa telah mengikat dunia Islam sebagai sebahagian daripada warga kemanusiaan sedunia.

Dari segi pemikiran dan kebudayaan sempadan luar dan dalam sudah hampir kehilangan makna. Dan perubahan yang pesat dalam dunia menuntut sikap baru umat terhadap dunia. Satu abad dunia Islam berhadapan dengan Barat yang lahir daripada Nahdah atau Renaissance dan Pencerahan. Pertembungan tersebut yang dimulakan oleh al-Afghani dan Abduh, belum berakhir dan belum merumuskan apa-apa natijah yang jelas.

Dunia Islam sekarang, sementara meneruskan dialog dengan Barat, perlu membuat persediaan untuk memulakan dialog dengan kuasa-kuasa kebudayaan Asia yang diperkasakan oleh ketakjuban ekonomi Cina dan India. Saya terkesan dengan riak-riak pemikiran generasi muda Malaysia berdepan dengan suasana rencam ini. Rencana-rencana dalam Wacana Pemikiran Reformis Jilid Kedua ini mencermin renungan diri terhadap susuk pergolakan pemikiran dan rohani umat. Suara-suara kritis tersebut ibarat bibit-bibit zaman. Sebahagian besarnya melawan arus pemikiran dominan yang semakin konservatif dan melemaskan.

Saya rasa mereka adalah harapan umat.


Khalid Jaafar

Khalid Jaafar adalah Pengarah Eksekutif di Institut Kajian Dasar