Wacana Pemikiran Reformis II – Saari Sungib

November 15, 2013


3350_Main2Persoalan Islam, negara dan demokrasi sering mendambakan pencerahan dan pemahaman dengan nafas baru yang bertenaga. Terdapat kecenderungan keterlaluan untuk mensakralkan kitab turath – yang walaupun diakui amat monumental – namun masih kurang mampu memberi pencerahan yang segar terhadap beberapa persoalan fiqh ad-daulah masakini khususnya dalam konteks demokrasi dengan pelbagai ramifikasinya.

Bahkan dalam wacana pemikiran yang berorientasikan reformis, persoalan islah mahupun tajdid – yang pada dasarnya mesti disandarkan pemahaman serta tuntutannya daripada nass – hampir pasti memerlukan pencerahan dalam ertikata maksud dan tuntutannya lewat prasarana aqidah-ideologi secara tuntas dan sistematik.

Islah yang bersumber daripada Al-Quran menegaskan proses pembaharuan berterusan menuju maslahah yang seluasnya. Manakala tajdid yang bersumber daripada kalimah hadith pula menegaskan azam dan strategi pembaharuan yang berhubung rapat dengan pemimpin dan segala sifat kepimpinannya yang unggul.

Apabila digabungkan sekali islah dan tajdid, maka ia menampilkan satu pembaharuan berlandaskan kerangka fikir, proses, keazaman serta kepimpinan menuju perubahan bagi membangun dan mengekalkan ide, tradisi dan peradaban baru. Hal ini bermakna, pengertian dan tuntutan islah dan tajdid masakini memerlukan concept, percept dan precept yang utuh sepadan dengan konteks yang digarap oleh pembaharuan itu sendiri.

Aktivis gerakan Islam yang meniti prasarana demokrasi kini mendepani satu dilema dan paradoks yang tidak berkesudahan. Demikian ini disebabkan dalam keadaan tetap setia berpegang kepada ide-ide monumental yang klasik, mereka terus terperangkap dengan rasa curiga terhadap ide-ide baru lantas melabelkannya sebagai tidak asalah bahkan inhiraf. Akibat daripada percept seperti ini, pencerahan ide ke arah gerakerja reformis yang unggul sering meleset dan tersasar.

Esei-esei dalam Wacana Pemikiran Reformis II ini dengan begitu berani menganalisis serta mengemukakan tesis baru bagi menjawab persoalan berkenaan gerakan dan gerakerja reformis. Hasil experiment dan ijtihad tokoh-tokoh besar reformis dunia Islam dan alam Melayu-Nusantara ditampilkan dengan begitu meyakinkan sekali.

Pemikiran serta ide-ide pencerahan Muhammad Asad, Iqbal, Mawdudi, Hamka, Hasbi Shiddieqy, Muhammad Natsir, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi dan Burhanuddin Al-Helmy serta tidak ketinggalan Ahmad Wahib, Za’ba dan Boestamam dikupas dengan tekun, teliti dan penuh dedikasi.

Himpunan esei dalam buku ini adalah testimoni kepada kesegaran ide-ide islah dan tajdid tokoh-tokoh tersebut. Merekalah reformis sejati. Reformis sepanjang zaman.

3350_Saari-SungibSaari Sungib
Ahli Dewan Negeri Selangor
Kawasan Hulu Kelang