Za’ba tentang Idealisme Bangsa dan Falsafah Takdir – Bahagian I
August 26, 2012

“Betapa perlunya kita berusaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dalam menyempurnakan amalan dan pekerjaan sehari-hari” – Za’ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Pemikiran Za’ba (1895-1973) tentang falsafah, sejarah, agama, etika, nahu dan sastera cukup signifikan dalam perjuangannya memperbaharui nilai dan kefahaman budaya dan memugar harakah pemikiran dan membela nasib dan maruah bangsa. Tulisannya yang ideal, Falsafah Takdir (1932) mengemukakan polemik yang hebat dan intens tentang faham mazhab mengenai konsep qada’ dan qadar, dan hubungannya dengan tuntutan syari’at ke arah penyempurnaan ikhtiar dan tawakal dan pengisbatan keyakinan, aqidah dan tauhid yang mantap.

Buku yang dilakarkannya ini penting untuk merungkai belenggu kenaifan dan sikap permisif di kalangan masyarakat. Beliau membantah sikap penyerahan dan kepasrahan yang fatal, dan menolak budaya bobrok dan jumud yang mengikat dan membelenggu daya kefahaman dan menghalang pembangunan masyarakat. Diperlihatkannya dinamisme dan ketangkasan yang dituntut oleh Islam dalam masalah taqdir untuk bertambah cekal menghadapi cabaran hidup dan menggilap kekuatan dan keyakinan dan memugar ruh dan semangat perjuangan.

Ia menzahirkan percubaannya untuk merobah kerangka fikir ke arah pemikiran yang progresif dan mapan dan memperkukuh iltizam perjuangan dan daya tahan dan keberanian. Kupasannya diperkuat dengan hujah aqliah yang meyakinkan dan diperkukuh dengan tafsiran nas yang muktabar yang mengungkapkan dasar pemikiran menyangkut permasalahan taqdir dari rangka falsafah dan syari’ah yang luas. Semangat pembaharuan yang ditanam dan dicanangkannya ini penting dalam usahanya membawa pembaharuan yang radikal dan positif dan membanteras budaya kolot dan bobrok dan menyingkirkan nilai permisif yang bankrap dalam masyarakat.

Latar Kehidupan

Tan Sri Dr Zainal Abidin Ahmad (1895-1973) adalah seorang pemikir, dan intelek yang telah bergelut dalam perjuangan bangsa sejak akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan pada 16 September 1895. Bapanya, Ahmad Ibrahim adalah seorang ahli ugama yang alim dan warak. Sejak kecil Za’ba telah dilatih menghafal al-Qur’an, berzanji, memahirkan rukun sembahyang dan menelaah matan hukum. Kelaziman ini telah mengasah kepintaran dan kealimannya dan mengangkat martabat keilmuannya dan menempa sejarah gemilang di hari muka dalam menyemadikan peribadinya sebagai sosok pejuang dan pendita yang agung.

Beliau memasuki persekolahan tinggi pada tahun 1907 di Sekolah Menengah Linggi, dan pada waktu yang sama, menuntut bahasa Arab pada sebelah petang. Setelah lulus, beliau meneruskan pengajiannya di St. Paul’s Institution, Seremban pada 1910 dan memperoleh Senior Cambridge pada 1915.

Setelah tamat menempuh bangku persekolahan, beliau menceburkan diri dalam profesion keguruan dan dilantik sebagai guru bahasa Melayu di English College, Johor Bharu pada 1916. Selanjutnya beliau bertugas sebagai Ketua Penterjemah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1953, beliau menjawat Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura.

Dalam perjuangan dan pergerakannya yang lantang dan radikal, beliau dilihat sebagai ancaman kepada misi penjajah untuk terus memperbodohkan rakyat. Justeru Inggeris telah menawarkannya pangkat dan jawatan untuk menjinakkannya. Namun usaha itu tidak berhasil membeli dan menafikan suara Za’ba yang terus berada di tengah gelanggang masyarakat.

Beliau dianugerahkan gelar Pendeta pada 1956 oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, kerana jasanya mengangkat tamadun pemikiran dan intelek, dan di atas sumbangan dan perjuangannya memartabatkan bahasa, beliau telah dikurniakan ijazah persuratan daripada Universiti Malaya, Singapura, pada 1959. Pada 1973 Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkannya ijazah kehormatan yang sama bagi mengenang sumbangannya sebagai pejuang bahasa.

Hasil Karya

“Sesungguhnya tulisan-tulisan Za’ba banyak merangsangkan pemikiran masyarakat Melayu supaya menyedari keadaan mereka yang sebenarnya” – Zaini Ujang, Dewan Budaya, Oktober, 1989

Kegiatannya dalam bidang penulisan telah digerakkan sejak tahun1917 dengan penghasilan rencana dan tulisan yang disiarkan dalam majalah dan akhbar tempatan seperti Lembaga Melayu, Pengasuh dan al-Ikhwan.

Dari tulisannya yang prolifik itu, terserlahlah pandangan, dan ketrampilan idenya yang jauh melangkaui dan mengatasi zamannya, mengasak dan mendobrak benteng pemisah yang sekian lama membelenggu pemikiran bangsa, dengan wacana-wacananya yang segar, dalam menyuguhkan fikrahnya yang kritis dan falsafah pemikirannya yang luas, seperti diungkapkannya tentang perjuangan tajdid: “kita mahu pemulihan dan pembaharuan, bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut daripada tujuan asalnya dan bukannya hendak berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku menjadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan” dan seperti dirakamkan oleh Zaini Ujang tentang kelebihan pena yang digoreskannya: “gaya penulisannya yang sangat menarik dengan sindiran-sindiran yang tajam membuatkan tulisan-tulisan Za’ba begitu diminati dan seringkali pula mengundang polemik”.

Karya-karya bahasa dan perkamusan yang diusahakannya memperlihatkan gagasan pembaharuan yang besar. Ia tuntas menangani isu-isu praktikal dalam agama, merangka teori-teori bahasa dan membina dan melakarkan prinsip-prinsip nahu dan tatabahasa. Beliau menggagaskan idelisme dan dasar pemikiran yang komprehensif dan berkesan yang dirangka untuk memartabat bahasa dan budaya.

Tulisannya banyak meneliti dan menukil pandangan falsafah daripada karya-karya nahu yang besar, menggarap teori-teori bahasa yang dicanang di dunia timur dan barat. Analisisnya tentang bahasa dikemukakan dengan jitu dan menampilkan tahap pemikiran dan wacana yang tinggi. Karyanya tidak sedikit mengundang kontroversi dan perlawanan dari pelbagai pihak, khususnya pendukung aliran konservatif. Namun ini tidak sekali dapat menafikan sumbangannya yang signifikan dalam membangunkan korpus bahasa.

Za’ba telah menyumbangkan pemikiran dan metodologi yang unggul dalam pengajian bahasa, dan usahanya memartabat bahasa melayu terlihat dari kegigihannya menyusun Kamus Za’ba, Pelita Bahasa Melayu – 3 jilid (1941), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Ilmu Mengarang Melayu (1934), Ilmu Bahasa Melayu (penggal I dan II), Daftar Ejaan Melayu Jawi/Rumi, Panduan Mengarang II, di samping karya falsafah dan akhlak seperti Falsafah Takdir (1934), Malay Festivals and some Aspects of Malay Religious Life (1949), Pendapatan Perbahasan Ulama Pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (Berkenaan dengan Qada’ dan Qadar), diterjemahkan oleh Za’ba, dan disunting oleh al-Syaikh Muhammad Tahir Jalal al-Din (Jelutong Press, 1934), Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri (DBP, 2009), Asuhan Budi menerusi Islam (1958), Dewa Derma Dewa, Dewi Derma Dewi dan Kalung Bunga.

Ilmu Mengarang Melayu merupakan karya agung yang mengemukakan pemikiran bahasa yang signifikan dan gagasan pentingnya tentang Bahasa Melayu, sistem nahu, “peraturan karang-mengarang, pokok-pokok besar dalam latihan kepengarangan dan cabang-cabangnya yang tinggi, termasuk bunga bahasa, peribahasa, dan bahasa sindiran dan bahan-bahan daripada sumber fikiran. Hal ini dinyatakannya dalam menerangkan hakikat suatu karangan: “yang dikatakan karangan sebenar-benarnya ialah yang tersusun daripada beberapa ayat dengan betul.” Buku ini ditulis dalam huruf jawi pada 1934 dan diulang cetak sebanyak enam kali dan diterbitkan semula dalam edisi rumi pada 2002 dan disunting oleh Profesor Dr Asmah Haji Omar.

Pelita Bahasa Melayu, adalah teras dan rujukan kepada tatabahasa Melayu moden hari ini. Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebutkan ketinggiannya dalam pidato umum pengurniaan ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Za’ba di Universiti Kebangsaan Malaysia, tahun 1973: “Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini.” Dari kemantapan dan ketinggian falsafah pemikiran yang dizahirkan dalam Pelita Bahasa Melayu, Za’ba diangkat sebagai “sarjana Melayu pertama yang membikin huraian nahu bahasa Melayu yang lengkap dan mendalam.”

Sepanjang kariernya Za’ba telah merintis dan menghasilkan berpuluh makalah dalam pemikiran nahu dan sastera, yang memperlihatkan peranannya yang aktif dalam perkembangan bahasa dan linguistik sejak awal dekad 20an, dalam usahanya “memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem ejaan jawi dan rumi, tatabahasa dan retorik”. Za’ba diangkat sebagai “Bapa Tata Bahasa Tradisional Melayu Malaysia” oleh Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana, setanding dengan Sasrasoeganda yang dianggap sebagai Bapa Tata Bahasa Tradisional Indonesia. Pengangkatan ini berdasar kepada pengaruh tatabahasa yang disusun dan dampaknya dalam falsafah pengajian bahasa yang berkesinambungan.

Tulisan-tulisannya banyak menzahirkan falsafah pembaharuan yang tulen yang membicarakan tentang aspirasi reform untuk mengangkat harakat bangsa dan membentuk keyakinan, sifat berani dan sanggup berjuang dan berdikari. Beliau merangka pemikiran baru yang menekankan cita-cita kebangkitan, gerakan pembaharuan dan pemberdayaan, keyakinan agama yang kukuh dan bersendiri pada ilmu dan amalan.

Hal ini seperti yang diungkapkan dalam bukunya Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri: “Tiap-tiap seorang itu mestilah bersendiri pada tiap-tiap kerja ibadat yang disuruh ke atasnya dan bertanggungjawab di hadapan penghakiman Tuhan di akhirat kelak. Ia tidak dikehendaki berharap kepada pertolongan orang”. Hujah Ini diperkukuh dengan ayat al-Qur’an yang dikutipnya untuk memperkuatkan hujah perbahasan: “Iaitu disebutkan di sana bahawa sesuatu diri tiada memikul bebanan diri yang lain. Dan bahawa manusia tidak akan mendapat selain daripada apa yang ia usahakan sendiri. Dan bahawa (buah) usahanya itu segera juga akan dilihat (diperlihatkan). Kemudian ia akan diberi balas kerananya dengan balasan yang sempurnanya.” [53: 39-40]

Karyanya menekankan kepentingan ikhtiar dan pergantungan atas usaha sendiri bersandarkan firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2: “Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana ia hendak menguji, mencuba kamu, siapakah dari kamu yang terlebih baik kerjanya” [67: 2].

Ayat ini menangani soal perjuangan, yang menurut tafsirnya yang ringkas: “Hidup kita di dunia beramal dan berkerja. Berjuang dan berlawanan seperti di dalam perlumbaan. Beliau turut menukil ayat 1-2 dari surah al-‘Asr, “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan yang beriman dan beramal soleh.” [103: 1-2] yang difahaminya daripada rangka perspektif yang luas: “beriman itu sendiri meletakkan kepada diri individu itu sendiri untuk beriman atau percaya terhadap apa yang di seru agama.”

 

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022