Book Dissection: “Islam, Secularism, and Liberal Democracy” by Nader Hashemi (Part IV – Final)

December 10, 2015


NADER HASHEMI_4

Date: Ahad, 13 Disember 2015
Time: 200 – 400 PM
Venue: Graha Pemuda, Sri Hartamas

Registration: https://www.eventbrite.com/e/book-dissection-islam-secularism-and-liberal-democracy-part-iv-final-tickets-19919515808

Presenter:
Hazman Baharom
Fellow, Islamic Renaissance Front (IRF)

Melalui buku ini, Hashemi berhujah di peringkat teori politik tentang bagaimana umat Islam, khususnya di negara-negara majoriti Muslim, mampu membina teori politik sendiri berpandukan tradisi Muslim. Hal ini penting disebabkan cabaran yang dihadapi umat Islam kini bukan sahaja dari sudut material seperti ketenteraan dan ekonomi, tetapi juga bagaimana dapat umat ini memikirkan tentang suasana politik moden secara lestari.

Bagi melakukan projek ini, Hashemi telah memulakan buku ini dengan tinjauan ke atas hakikat sosiologi umat Islam pasca-kolonialisasi, dan apakah penyebab dasar kepada kebuntuan umat ini dalam menanggapi modenisasi yang membawa bersamanya demokrasi serta beberapa bentuk sekularisme. Kemudian, beliau membawa pula kepada tinjauan perbahasan John Locke dengan Robert Filmer berkenaan hubungan agama dengan autoriti kekuasaan di bab ke-2. Seterusnya, di bab ke-3, Hashemi menyajikan pula dengan analisis ringkas ke atas anatomi sekularisme sepertimana yang difahami oleh para ilmuwan zaman ini.

Sesi ulasan buku bahagian akhir ini akan meneliti hujahan Hashemi di bahagian akhir bab ke-3, dan kemudian akan menelusuri bab ke-4, yakni usaha beliau membina dasar supaya sekularisme politik serta demokrasi liberal boleh diperibumikan dalam masyarakat Muslim. Dalam kaitan ini, beliau cuba membawa kerangka Alfred Stepan yang menjelaskan berkenaan Toleransi Berkembar (Twin Tolerations) sebagai penimbangtara sempadan minimum antara ruang autoriti kekuasaan dengan ruang autoriti agama. Pendekatan ini sebenarnya sedikit berbeza dengan kebanyakan pendekatan pemikir politik yang terus mendefinisikan sempadan di antara keduanya, bilamana kerangka ini menyediakan ruang yang lebih fleksibel dan tidak parokial bagi masyarakat Muslim yang kebanyakannya sedang membangun. Di samping itu, persoalan ini adalah menarik terutamanya dalam bidang falsafah politik, apabila kita dipaksa untuk meninjau kembali definisi serta kerangka sekularisme untuk memahami hujahan ini. Hashemi telah membuka ruang baharu perbahasan dengan melontarkan kerangka Stepan ke dalam polemik ini.

Di bab ke-4, beliau cuba meneliti beberapa gerakan serta kesedaran sosial di dunia Muslim sendiri yang sebenarnya positif dalam proses pembentukan sebuah masyarakat demokratik. Di sini, gerakan-gerakan intelektual dan politik yang dipaparkan beliau tertumpu kepada Turki dan Indonesia, serta beberapa tempat lain di dunia Muslim. Seperkara menarik yang beliau cuba buktikan melalui bab ini ialah, sekali lagi, gerakan Islamis bukanlah merupakan ancaman terhadap demokrasi, tetapi mereka ialah salah satu daya penolak menuju demokrasi. Apabila wujud pergerakan sesebuah masyarakat itu menuju demokrasi atau sekularisme politik, seharusnya satu teori politik daripada tradisi sendiri juga dibina bagi menyediakan kerangka normatif yang mendefinisikan ruang kepolitikan vis-à-vis identiti Muslim mereka. Kerangka inilah, selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah serta kebangkitan negara-bangsa moden, masih miskin dalam kalangan umat Islam; sebahagiannya disebabkan kecetekan pengetahuan, trauma yang masih dihadapi akibat pemodenan, dan kemunculan rejim-rejim autoritarian.

Kesimpulan buku ini ialah, sekalipun ide sekularisme dan demokrasi liberal—dalam pemahaman moden—itu tunasnya tumbuh di dunia Barat, tetapi masyarakat Muslim juga mampu mencapai kerangka mereka sendiri dalam membentuk ide-ide ini, dengan syarat kita benar-benar memahami penyebab kemunduran umat serta bagaimanakah pemikiran politik Muslim dapat disegarkan kembali. Buku ini seharusnya menjadi bahan bacaan semua individu yang menginginkan perbahasan di peringkat teori politik normatif, bukan sekadar penelitian sosiologi atau antropologi, tentang masyarakat beragama serta upaya mereka menyegarkan pemikiran politik umat.

 

Program:

1400-1415:         Ucapan Pengerusi majlis, Imran Mohd Rasid

1415-1515:         Pembentangan bedah buku oleh Hazman Baharom

1515-1600:         Perbincangan dan soal jawab

1600:                    Jamuan ringan