Seminar Pemikiran Reformis – Siri VIII: Mohammad Natsir
July 2, 2017

final SPRVIII

Hari: Ahad, 23 Julai 2017
Waktu: 10AM – 5PM
Tempat: Banquet Hall, Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
Daftar dihttps://www.eventbrite.com/e/seminar-pemikiran-reformis-siri-viii-mohammad-natsir-tickets-35368221302

 

Ucaptama:
Senator Dr. Muhammad Nur Manuty
Mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Pegawai Dasar Agama, Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Panelis:
Prof. Dr. Thohir Luth
Ketua Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur
Dosen Ilmu Hukum Islam, Fakultas Hukum, Universitas Brawijaya, Jakarta

Dr Sohirin Mohammad Solihin
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Azhar Ibrahim,
National University of Singapore

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Anjuran:
Islamic Renaissance Front

Mohammad Natsir (1908-1993) adalah tokoh penting Masyumi yang telah melakarkan faham kebangsaan Islam yang utuh, yang merangkul kekuatan demokrasi, pancasila dan konstituante yang inklusif, berteraskan nilai-nilai ketuhanan, kemanusiaan, persatuan, musyawarah, dan keadilan sosial.

Natsir dilahirkan di Alahan Panjang, Lembah Gumanti, sekitar 30 batu ke selatan Solok, Sumatera Barat pada 17 Julai 1908 dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga asal keturunan Minangkabau. Semasa mudanya, beliau aktif mendukung gerakan pembaharuan yang dibawa oleh Persatuan Islam, sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh Ahmad Hassan, seorang penggerak dan pelopor kaum muda di Bandung, yang menyaksikan keterlibatan Natsir yang tangkas.

Pak Natsir telah menulis dan menghasilkan karya-karya yang produktif sepanjang kareernya. Karyanya menumpu kepada perbincangan politik yang persuasif dan menggarap idealisme Islam yang moderat dan memperlihatkan corak perbahasan yang segar, yang diperkukuh dengan hujah dan pandangan yang rasional. Beliau menghasilkan karya yang prolifik dalam pemikiran dakwah, aqidah, akhlak, siasah, hadith, tafsir, sirah, biografi, budaya dan kesenian Islam. Tulisannya mencetus api perjuangan dan membangkitkan semangat dan keyakinan baru dengan suara ”terompet yang memanggil kepada jihad yang suci”, “yang berirama dan bersemangat.”

Pendekatan da’wah yang diangkat adalah bersifat moderat dan menjadi rujukan terpenting dalam harakat Islam. Dalil dan fikrah mazhab yang rajih dibentangkan dengan perbahasan yang segar dan meyakinkan. Penyampaian Pak Natsir sangat klasik dengan keberkesanan hujah yang digarap, dan kekuatan ruh da‘wah yang dibicarakan. Kefahaman dakwah yang signifikan diperlihatkan dalam perbincangan tentang idealisme gerakan dan prinsip perjuangan serta fiqh syariat.

Natsir menampilkan perbahasan yang signifikan tentang kekuatan risalah untuk membina pribadi dan membentuk ummat. Dan tempat bertolaknya adalah tauhid dan ibadah, sebagai benteng pertahanan ummah dalam perjuangan yang digerakkan dari masjid sebagai lembaga risalah, lembaga penyusunan jama‘ah mukminin dan medan persiapan mubaligh. Ideanya diilhamkan dari uslub dan thariqah al-Qur’an, yang menetapkan kebebasan akal, kemerdekaan i‘tiqad, dan ketinggian akhlak serta hikmah dalam melaksanakan kegiatan dakwah.

Pemikirannya yang instrumental dalam menggerakkan upaya dakwah telah menyebar dan memberi landas yang jelas dalam gerakan. Ia melahirkan pola pandang yang realistik dan menyeluruh tentang latar perkembangan dakwah Islam, yang berasas dan bertolak dari kalimatin sawa’, sebagai kefahaman universal yang berakar dalam perjuangan. Pak Natsir merupakan aktivis dan tokoh Islam legendaris yang berkembang dalam pergulatan sejarah yang rencam. Sumbangannya yang penting kepada ummat dan usahanya yang gigih untuk melakarkan faham politik yang inklusif, mendobrak benteng taqlid, memugar kefahaman dan dakwah salafiyah, menggariskan prinsip maqasid, dan mengembangkan tradisi ilmu telah mengukir namanya dalam sejarah politik, dakwah dan fiqh kontemporis.

Maka karena itu, seminar ini bertujuan untuk meninjau semula sosok sang mujahid yang tulen lagi disegani ini, seorang demokrat dan nasionalis yang tangkas memproklamir idealisme bangsa yang digembling dalam perjuangannya, yang telah menzahirkan keperibadiannya sebagai pemikir dan penyelamat umat di wilayah Nusantara ini.

 

Program:

0930-1000:     Pendaftaran dan minum pagi

1000-1005:     Ucapan oleh Pengerusi majlis, Shuhaib Ar Rumy Ismail

1005-1015:      Bacaan al-Qur’an oleh Thufail Sayuti. Surah at-Taubah: 119-122

1015-1055:      Ucaptama oleh Senator Dr. Muhammad Nur Manuty

1055-1100:      Ucapan pengenalan oleh moderator, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa

1100-1200:      Pembentang I: Prof. Dr. Thohir Luth

Mohammad Natsir Tokoh Pemikir Sosial yang Langka

1200-1245:      Perbincangan dan soal jawab

1245-1415:      Makan tengahari dan solat

1415-1500:      Pembentang II: Dr Sohirin Mohammad Solihin

Pemikiran Agama dan Politik Mohammad Natsir

1500-1545:      Pembentang III: Dr Azhar Ibrahim

Bila Memimpin Pandai Menaksir: Pembaharuan Yang Berilmu Dari Sosok Mohammad Natsir

1545-1700:      Perbincangan dan soal jawab

1700:               Minum petang dan bersurai

 

Biografi ringkas para pembentang:

Senator Dr Muhammad Nur Manuty adalah Senator bagi Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau adalah Mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga pernah menjawat sebagai Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Sebelum beliau memasuki lapangan politik, Dr Manuty pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Jabatan Usuluddin Dan Perbandingan Agama, UIAM (1995-99). Beliau juga pernah menjawat sebagai Perunding Pendidikan Islam, Darul Arqam, Singapura; Pengarah, CESMACS, Kuala Lumpur; pensyarah sambilan di Kolej Darul Hikmah, Kajang; dan juga pensyarah pelawat Markfield Institute of Higher Education, Leicester, UK. Kini, beliau adalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pegawai Dasar Agama bagi Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor. Beliau juga merupakan bekas Ketua Penerangan PKR. Beliau pernah membentangkan kertas kerja bertajuk “Bapak Mohammad Natsir: Sosok Peribadi Da‘i Teladan” dalam “Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahlawan Nasional Bapak Mohammad Natsir” pada tahun 2009.

Prof. Dr. Thohir Luth adalah Guru Besar ilmu Hukum Islam Universitas Brawijaya Malang Jawa Timur Indonesia. Beliau juga merupakan Ketua Majlis Ulama Indonesia Jawa Timur. Beliau pernah menjawat sebagai Ketua Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur periode tahun 2010-2015. Beliau juga adalah penulis buku M.Natsir, Dakwah dan Pemikirannya. Buku-buku penting lain yang ditulisnya: Masyarakat Madani, Solusi Damaib Dalam Perbedaan, Targedi Ukhuwah, Merajut Ukhuwah Islamiyah Yang Kian Punah, dan Syariat Islam, Siapa Takut? dan lain-lain.

Prof. Madya Dr. Sohirin Muhammad Solihin, adalah pensyarah di Jabatan Qur’an dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga pernah menjadi pengurus Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah (PCIM) Malaysia. Belau adalah lepasan Al-Azhar Mesir dan telah mendapat M.A. daripada Markfield, dan Ph.D. daripada University of Birmingham. Di UK, beliau pernah bekerja di Yayasan Islam, Leicester, dalam unit khusus Christian-Muslim Relations. Antara buku yang dikarang belau adalah Copts and Muslims in Egypt: A Study on Harmony and Hostility (1991) Studies on Sayyid Qutb’s Fi Zilal Al-Qur’an (1999), Hermeneutics as New Method of Qur’anic Exegesis Critical Views on the Approach of Liberal Muslim Scholars (2005), Islam and Politics: Emergence of Reformative Movement in Indonesia (2006). Beliau juga adalah pengarang buku Mohammad Natsir: Islamic Intellectualism and Activism in the Modern Age (2013).

Dr Azhar Ibrahim adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima PhD, MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Disertasi beliau bertumpu pada hal humanisme dan intelektualisme dalam kesusasteraan ilmuwan Melayu manakala tesis MA beliau adalah berkenaan kajian orientasi keagamaan seperti yang tercermin dalam masyarakat feudal Melayu dan penerusannya hingga ke hari ini. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Temple University, USA (2010/2011). Kajian beliau berfokus pada Teologi Sosial dalam Muslim Asia Tenggara: Trend dan Cabaran, dan Teologi Dialog dalam. Masyarakat Melayu-Indonesia: Prospek dan Halangan. Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga antarabangsa.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022