Seminar Pemikiran Reformis – Siri XI: Kiyai Haji Ahmad Dahlan
February 28, 2018

Tarikh: Sabtu, 3 Mac 2018
Masa: 10AM – 530PM
Tempat: Concorde V, Concorde Hotel, Kuala Lumpur
Daftar dihttps://www.eventbrite.com/e/seminar-pemikiran-reformis-siri-xi-kiyai-haji-ahmad-dahlan-tickets-43638500931

 

Ucaptama oleh Al-Fādhil Ustaz Zainal Abidin Zamzam Martapura
Muhammadiyah, Pulau Pinang

Panelis:
Dr Sohirin Mohammad Solihin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Dr Pradana Boy ZTF, Universitas Muhammadiyah Malang, Indonesia
Dr Azhar Ibrahim, National University of Singapore

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa, Islamic Renaissance Front

Anjuran:
Islamic Renaissance Front

 

Kiyai Haji Ahmad Dahlan adalah seorang ulama pembaharu dan pemikir penting yang telah mencetuskan revolusi perjuangan yang besar dalam rangka pembaharuan di Indonesia.  Dahlan dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dengan latar agama dan sosial, dan mempunyai pengaruh yang kuat di daerah Kauman, dalam gerak perjuangan dan dakwahnya. Berbeza dengan kebiasaan dan cara pemikiran masyarakat dalam lingkungannya, Dahlan menzahirkan pandangan hidup yang luas dan ufuk pemikiran yang jauh. Kesempatan mempelajari ilmu qira’at, tafsir, hadis, tauhid, fiqh, tasawwuf, dan falak di Makkah, dan kecenderungan menelaah karya-karya Shaykh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida telah memberikan pengaruh yang besar dalam mencorakkan fikrah pembaharuan dalam jiwanya. Sebaik pulang ke Tanah Jawa, Muhammad Darwish menukar namanya kepada Haji Ahmad Dahlan. 

Dahlan dikenal sebagai faqih dan ulama besar yang mempunyai kefahaman dan ijtihad fiqh yang tersendiri. Beliau merupakan sang pencerah yang berhasil mengetengahkan idealisme dakwah dan pembaharuan yang digagaskan oleh Imam Muhammad Abduh ke Tanah Jawa. Usahanya menerapkan mazhab pemikiran Abduh dan revolusi pemikiran yang dibawanya telah menghasilkan pencerahan yang bermakna di daerahnya. Perjuangan Kiyai Dahlan bertolak dari cita-cita besar untuk menggerakkan revolusi, mencetuskan perubahan dan reformasi, dan membawa modernisasi Islam ke Indonesia. Hal ini diperlihatkan dalam perjuangannya bersama organisasi Islam seperti Budi Utomo dan Serikat Islam bagi menghapuskan bid‘ah, membanteras kepercayaan khurafat dan syirik, membungkam faham mistik dan tahyul dari warisan Hindhu-Buddha, menumpaskan feudalisme, dan mengusir kaum penjajah.

Dalam memimpin perubahan, dan merealisasikan idea-idea pembaharuannya, beliau tampil ke garis depan, memberi arahan dan “mempelopori perjuangan yang dahsyat itu” dengan meniupkan api perjuangan dan nahdah dan membangkitkan kesedaran ijtihad, dan menggerakkan aktivisme dan kegiatan rakyat dalam program keagamaan dan pendidikan, yang berhasil melenyapkan autoriti aparat agama dan membenamkan taqlid yang telah menyebabkan kemunduran pemikiran. Beliau membangun organisasi dakwah yang besar dengan mendirikan Muhammadiyah sebagai platform perjuangannya yang sah untuk membawa perubahan dan idealisme pemikiran yang segar di zamannya yang masih berkekalan hingga ke hari ini.

Program:
0930-1000:   Pendaftaran dan minum pagi
1000-1005:   Ucapan oleh Pengerusi majlis
1005-1015:   Bacaan al-Qur’an oleh Thufail Sayuti. Surah al-Balad: 1-20
1015-1045:   Ucaptama oleh Al-Fādhil Ustaz Zainal Abidin Zamzam Martapura
1045-1100:    Ucapan pengenalan oleh moderator, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
1100-1200:   Pembentang I: Dr Sohirin Mohammad Solihin “Cakrawala Pemikiran Tajdid K.H. Ahmad Dahlan.
1200-1245:   Perbincangan dan soal jawab
1245-1415:   Makan tengahari dan solat
1415-1515:   Pembentang II: Dr Pradana Boy ZTF “Pengaruh Ahmad Dahlan terhadap Reformasi islam di Indonesia
1515-1615:   Pembentang III: Dr Azhar Ibrahim “Teladan Kiyai Ahmad Dahlan: Teologi Al-Māün dan Pemberdayaan
1615-1730:   Perbincangan dan soal jawab
1730:             Minum petang dan bersurai

Profil Para Pembicara
Ustaz Zainal Abidin Zamzam adalah seorang tokoh pendakwah yang banyak berbakti kepada gerakan Sunnah di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang. Beliau antara penggerak Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang yang bergerak sejak zaman 50’an. Ustaz Zainal Abidin Zamzam perbah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Muhammadiyah al-Islamiyyah di Kampung Baru, Ayer Itam, yang telah ditubuhkan oleh Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang pada tahun 1954. Guru-guru yang mengajar pada ketika itu termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Pawanchik dan Haji Ibrahim Aqibi. Ustaz Zainal Abidin Zamzam bersama ahli-ahli Muhammadiyah adalah diantara penganjur Muzakarah Alim Ulama’ SeMalaya di Sekolah Chung Ling, Air Itam, di mana Al-Ustaz A. Hassan Bandung telah hadir untuk berdebat dengan Syeikh Fadlullah Suhaimi dari Singapura yang merupakan tokoh Kaum Tua pada ketika itu.

Prof. Madya Dr. Sohirin Muhammad Solihin adalah pensyarah di Jabatan Qur’an dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga pernah menjadi pengurus Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah (PCIM) Malaysia. Belau adalah lepasan Al-Azhar Mesir dan telah mendapat M.A. daripada Markfield, dan Ph.D. daripada University of Birmingham. Di UK, beliau pernah bekerja di Yayasan Islam, Leicester, dalam unit khusus Christian-Muslim Relations. Antara buku yang dikarang belau adalah Copts and Muslims in Egypt: A Study on Harmony and Hostility (1991) Studies on Sayyid Qutb’s Fi Zilal Al-Qur’an (1999), Hermeneutics as New Method of Qur’anic Exegesis Critical Views on the Approach of Liberal Muslim Scholars (2005), Islam and Politics: Emergence of Reformative Movement in Indonesia (2006). Beliau juga adalah pengarang buku Mohammad Natsir: Islamic Intellectualism and Activism in the Modern Age (2013).

Dr Pradana Boy ZTF adalah Ketua Pusat Studi Islam dan Filsafat (PSIF) Universitas Muhammadiyah Malang, Indonesia. Beliau adalah senior di Jaringan Intelektual Muda Muhammadiyah, dan Duta Perdamaian Agama Dunia (International Fellow in Interreligious Dialogue) daripada King Abdullah bin Abdulaziz International Center for Interreligious and Intercultural Dialogue (KAICIID) yang berpusat di Vienna, Austria. Kepakaran beliau adalah dalam bidang pemikiran dan teori perundangan Islam, juga pemikiran Islam kontemporari. Selain itu beliau juga berminat dalam bidang sejarah dan falsafah Islam, serta pengajian keagamaan. Beliau telah menyelesaikan ijazah Perundangan Islam di Universiti Muhammadiyah Malang dan telah berjaya mendapatkan kelulusan Sarjana dalam bidang pemikiran dan gerakan Islam daripada Australian National University. Pada 2015, beliau berjaya menyiapkan PhD beliau di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Sepanjang karier akademiknya, Pradana telah terlibat secara langsung dalam pelbagai kegiatan dialog antara-agama dan dalam-agama lebih daripada 15 tahun melalui upaya penulisan, dialog, forum dan ceramah. Beliau kini ialah ahli bagi Forum Pemimpin-pemimpin Antara-agama di Batu, Jawa Timur, Indonesia yang mengadakan pertemuan antara pemimpin-pemimpin agama pada setiap bulan. Beliau juga adalah Pengerusi Pemuda Muhammadiyah Jawa Timur. Antara karya beliau adalah Fatwa in Indonesia: An Analysis of Dominant Legal Ideas of Fatwa-Making Agencies and their Implication in the Post-New Order Period (Amsterdam University Press, 2017).

Dr Azhar Ibrahim adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima PhD, MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Disertasi beliau bertumpu pada hal humanisme dan intelektualisme dalam kesusasteraan ilmuwan Melayu manakala tesis MA beliau adalah berkenaan kajian orientasi keagamaan seperti yang tercermin dalam masyarakat feudal Melayu dan penerusannya hingga ke hari ini. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Temple University, USA (2010/2011). Kajian beliau berfokus pada Teologi Sosial dalam Muslim Asia Tenggara: Trend dan Cabaran, dan Teologi Dialog dalam. Masyarakat Melayu-Indonesia: Prospek dan Halangan. Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga antarabangsa.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022