USRAH: Message of the Qur’an – Surah Al-Burūj

June 6, 2018


Tarikh: Sabtu, 9 Jun 2018
Waktu: 530PM-930PM
Tempat: Graha Pemuda, Sri Hartamas, Kuala Lumpur

Daftar dihttps://www.eventbrite.com/e/usrah-message-of-the-quran-surah-al-buruj-tickets-46803961910

Para ahli tafsir sepakat berpendapat bahawa surah al-Burûj ini diturunkan di Makkah setelah surah asy-Syams. Surah ini membahas dan menekankan masalah aqidah dan penguatan keyakinan tentang hari akhirat. Yang menjadi pokok pembicaraan surah ini ialah peristiwa para pembesar yang menggali parit bagi tujuan menyiksa mereka yang beriman yang dipaksa meninggalkan agama Tawhid. Golongan yang beriman itu dibakar hidup-hidup dihadapan khalayak ramai agar kematian itu dapat disaksikan dengan mata mereka sendiri.

Dan mereka tidak mendendami orang-orang Mu’min itu melainkan semata-mata mereka beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [al-Burūj 84: 8]

Surah ini secara selayang pandang menayangkan satu pemandangan yang ngeri yang benar-benar menyentuh perasaan agar merasakan kedahsyatan peristiwa itu tanpa memberi perincian atau penceritaan yang panjang. Ia secara tidak lansung memperlihatkan kebesaran aqidah yang mengatasi penindasan manusia dan mengatasi hayat itu sendiri. Ia adalah aqidah yang menjulang ke puncak kemuliaan yang memberi kebangaan kepada seluruh generasi manusia. Ia juga mempamirkan kekejian pembunuhan itu yang penuh kezaliman, keganasan dan kerendahan budi. Tetapi sebaliknya ia memperlihatkan keluhuran dan kesucian para Mukmin yang dibakar itu.

Iman yang hidup menyala di dalam hati golongan ini telah berhasil mengalahkan ujian itu. Ia memenangkan pilihan aqidah ke atas pilihan ingin hidup terus di dunia yang fana ini. Hati golongan yang beriman tidak berubah dengan ugutan musuh-musuh dan tidak brganjak menghadapi seksaan yang membawa maut. Tidak rela sama sekali menukarkan prinsip hidup dengan kemusnahan aqidah. Hati mereka telah berhasil membebaskan diri daripada belenggu rasa cita hidup. Hati yang tidak boleh dimainkan oleh bujukan syaitan. Hati yang dengan penuh rela menanti kedatangan maut. Hati yang bebas daripada belenggu keduniaan dan memilih kemenangan aqidah atas segala-galanya.

Mengikut perhitungan duniawi seakan kedurjanaan telah dapat menewaskan keimanan. Seolah-olah keimanan yang begitu tinggi nilainya seakan-akan tiada hitungan markahnya di dalam pertarungan antara keimanan dan kedurjanaan. Tetapi al-Qur’an mengajarkan sesuatu yang lain untuk difahami oleh mereka yang beriman.  Al-Qur’an membongkar suatu hakikat yang lain iaitu hakikat nilai yang menjadi neraca pertimbangan dan hakikat perjuangan yang pasti ditempuh oleh golongan yang beriman.

Kehidupan duniawi yang dibumbui dengan bebagai jenis kelazatan dan keseronokan bukanlah nilai yamg paling mahal dalam neraca pertimbangan. Kemenangan hakiki bukanlah selama-lamanya bererti kemenangan lahiriyah. Kemenangan sebenarnya ialah kemenangan mengatasi godaan-godaan duniawi, kemenangan menghadapi fitnah dan dugaan, kemenangan kehormatan manusia sepanjang zaman. Demikian inilah kemenangan sejati.

Menurut asy-Syahïd Sayyid Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilālil Qur’an, kisah ini perlu dijadikan contoh bgaimana perlunya sikap istiqamah dan ketegasan pendirian memegang iman dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan ini tidak hanya berakhir di sini sahaja; di dunia yang fana ini. Yang pentingnya ialah melakukan tugas dengan bersugguh dan penuh tangggungjawab. Ganjarannya pasti menanti. Cuma bagaimana bentuk dan coraknya akan ditunjukkan Allah apabila tiba masanya. Kita tidak perlu risau akan hasil jihad dan dakwah ini kerana hasilnya ialah urusan pemiliknya, Pemilik Agung Yang Maha Adil.

 

Program
530-545PM: Pembukaan dan baca’an Surah al-Al-Burūj oleh Muhammad Thufail Sayuti
545-645PM: Tafsiran Surah al-Al-Burūj
645-715PM: Diskusi
715-800PM: Iftar dan Solat
800-845PM: Diskusi
845-930PM: Solat dan Tarawih
930PM:         Moreh 

Anjuran: Islamic Renaissance Front