Sekularisme Sebagaimana Ditanggapi di Kepulauan Nusantara: Penentangan dan Respon Balasnya yang Meredam dalam Lapangan Diskursif dan Awam – Bahagian I
September 5, 2016

1.Para1

Sekularisme bermaksud dunia waktu, dunia sejarah, dan atas segalanya suatu yang dibikin oleh manusia, yang dapat difahami kerana ia dibikin oleh manusia.” [Edward Said]

Di rantau Islam Asia Tenggara (yakni Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei) untuk bercakap tentang sekularisme adalah lazimnya menunjukkan kepada keduniaan ini, tidak-Islamik, tidak bertuhan, atau senangnya sesat atau kufur bagi mana-mana penganut agama samawi ini. Terdapat pada umumnya keasyikan tentang subjek sekularisme, bukan kerana untuk membelanya, tetapi sebaliknya suatu penolakan dan penyingkiran langsung. Ungkapan itu sendiri menjadi perkataan buruk yang total bagi segala yang menyalahi atau bertentangan dengan Islam, sistem Islam, tasawwur Islam, atau politi Islam, sebagaimana yang diperjuangkan oleh puak Islamis politik dan kultur.

Terdapat kecenderungan untuk menggabungkan antara sekularisme dan negara sekular, dan sering masalah yang dibangkitkan yang berasas pada dua konsep yang bergabung ini adalah berlandaskan kepada konsep buku-teks, dengan sebahagian tuntutan semantik, tanpa sebarang persangkaan untuk mengaitkannya kepada realiti yang dihadapi atau di rantau. Tambahan lagi tidak jarang masalah sekularisme yang berlaku di tempat lain, baik dari Timur Tengah atau dari Amerika-Eropah, dibayangkan sebagai mempunyai persamaan dan kesan yang selari dengan konteks tempatan.

Sekularisme juga dikaitkan dengan negativisme yang mutlak, produk daripada apa yang didakwa sebagai ateisme dan relativisme Barat, atau paling tidaknya, nyah tatasusila. Ia juga dianggap sebagai sumber yang akan menggasir Islam, jika bukan membuangnya sekaligus. Perbezaan antara agama (baca: Islam) dan sekular tentunya sangat sulit sekali. Poin yang dibuat oleh Abdullahi an-Naim adalah relevan di sini, kerana ia mempunyai persamaannya dalam persepsi wacana Malaysia-Indonesia tentang sekularisme itu sendiri:

“Pembahagian antara wacana agama dan sekular seharusnya berpunca daripada perbezaan dalam bingkai rujukan, metodologi, dan natijah mereka masing-masing, Ia biasanya dianggap bahawa memandangkan yang agama berasal daripada autoriti kitab atau sumber agama yang lain sekular didasarkan atas keunggulan akal dan pengalaman manusia, maka kedua-dua jenis wacana harus juga berbeza dalam proses dan kesimpulannya. Tanpa menyangkal kewujudan sebahagian perbezaan antara dua jenis wacana ini, ia tampak jelas pada saya bahawa ia saling bertindih dan berinteraksi sehingga adalah keliru untuk mempertahankan dikotomi yang tajam antara keduanya…Bahaya daripada dikotomi yang ketat ini adalah ia dapat dimanipulasi sama ada untuk mengeluarkan sebahagian manusia daripada perbincangan atau untuk memberi bobot dan autoriti yang tak sepantasnya kepada pandangan yang lain kerana anggapan kelayakan atau status ‘istimewa’ mereka dalam ‘urusan agama.’”[1]

Dalam istilah yang dominan, sekularisme sebagai ideologi atau cara berfikir hampir tidak dapat dibezakan daripada proses sekularisasi atau sebagai bahagian daripada kemodenan. Tiada bayangan daripada sekulariti atau sekularisme yang ditolerer, sementara dengan mudah menyamaratakan laisisme Perancis dan sekularisme Ataturk, dengan sekularisme yang didapati di Eropah, Amerika dan Asia. Di kalangan pendukung agama garis keras, pemerintah sekarang dan sistem kehakimannya dilihat sebagai sekular, bukan Islam yang tulen, maka kerana itu wajar untuk digantikan dengan yang Islamik.

Kecenderungan untuk mengecam sekularisme telah sampai ke titik di mana pengecam hampir berkhutbah dalam istilah yang muktamad, menyingkirkan sekularis sebagai liberal atau mudahnya Muslim yang tersesat yang kedudukan ideologinya harus diperbetulkan, atau jika perlu dihapuskan terus. Justeru ia tidak mengherankan bahawa tiada diskusi menarik untuk “berdialog” dengan yang didakwa puak sekularis, kerana untuk bermula, hampir tidak ada sebarang kumpulan yang secara terbuka menggelarkan diri mereka sebagai sekularis.[2] Apabila disiasat lebih lanjut dengan bertanya siapakah golongan sekularis, adalah mencabar bagi pengecam ini untuk menamakan yang didakwanya sebagai musuh sekularis. Dengan perkataan lain sementara mereka dengan taksub mengecam sekularisme, mereka tidak dapat menamakan atau mengenalpasti secara konkrit kelompok sekularis, berdasarkan kepada sifat dan definisi yang mereka sendiri telah berikan kepada kalangan yang didakwa sebagai sekularis itu.

 

Sumber Penentangan

2.Para8Sumber dari penentangan ini, dan rentetan resepsinya yang meredam dapat dikesan kepada sejumlah faktor. Antara lain, (a) ia timbul daripada persepsi negatif tentang model negara dan pemerintahan Barat; (b) persepsi tentang sekularisme Turki yang dianggap sebagai penghancuran terhadap Islam, selain daripada kecenderungan sekularis Arab daripada parti Baath; (c) penyebaran wacana Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir, dan Jamaat-i-Islami Maududi di Selatan Asia; (d) penulisan ahli fiqh semasa yang terkenal Sheikh Yusuf Qaradawi; (e) resepsi yang meluas terhadap penulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas, sarjana yang cukup ternama di Malaysia; (e) perbantahan terhadap tesis Nurcholish Madjid tentang desekularisasi; dan (f) kebangkitan Islamisme politik dan kultur yang menyeru kepada penegakan orde Islam (Negara Islam) di mana semua aturan yang ada disasarkan sebagai sekular dan justeru tidak-Islamik.

Terdapat berbagai tulisan yang terang-terang mengecam sekularisme, sering mengulangi apa yang telah diungkapkan lebih awal, tetapi dengan kekerasan yang lebih ganas terhadapnya, ia telah menjadi suatu titik di mana ramai melihatnya sebagai puncak dilema umat Islam pada masa ini. Untuk mengesan sumber tentang bagaimana sekularisme telah menembusi dengan mendalam adalah harus kerana ia menjadi salah satu perhatian diskursif kita.

 

Kekerasan Yang Dimanifestasi

Kekerasan terhadap sekularisme ini dimanifestasi dalam pelbagai lapangan, bermula dari agama dan politik kepada budaya dan literatur. Hal ini adalah garis penyelidikan yang lain yang perlu dipertimbangkan sebelum kita dapat mewarasinya. Sebahagian dalam bidang kesarjanaan akademik; sebahagian dalam jaringan sosio-kultural, sebahagian ternyata dalam wacana agama, dan tentunya dalam artikulasi politik. Kesalahfahaman yang melulu tentang sekularisme ini diperburuk oleh kenyataan bahawa hampir tiada perbincangan balas. Mereka dalam kem “liberal” hampir bungkam kerana untuk bercakap bagi mendukung sekularisme, mereka langsung akan dilabel sebagai gerombolan yang di luar batas Islam. Justeru sekularisme di dalam versi Islamis, tradisionalis dan revivalis mendominasi diskursif, menjadikannya, sebagai salah satu konsep yang diimport dari Barat yang mempunyai pengaliran yang terbesar dalam diskusi tempatan, dan dimanfaatkan secara meluas bagi alasan yang salah.

Aspek yang menarik di Malaysia, sebagai contoh, adalah tentang berleluasanya serangan dan penolakan terhadap sekularisme. Setelah mendesak lebih lanjut, dan apabila ditanya siapakah sekularis dalam konteks Malaysia (atau malah Indonesia), ia bukanlah suatu yang mudah untuk dikenalpasti. Sementara dalam konteks Afrika Utara atau Asia Barat seseorang dapat menamakan dengan mudah kem atau sosok sekularis, tetapi itu bukanlah kesnya dalam kes Melayu Indonesia. Dalam kes kita, seseorang hampir tidak dapat menunjukkan kepada mana-mana rejim sekularis yang menghalang atau menafikan agama wujud dalam ruang awam atau menjadi sebahagian daripada pertimbangan pembuat dasar. Jelas masalah sekularisme sebagaimana dibincangkan dan diulangi adalah suatu yang dicirikan oleh peminjaman atau pengimportan semberono idea-idea di tempat lain, dengan anggapan bahawa masalah tersebut mempunyai kesamaannya dalam konteks tempatan. Maka seringkali sekularisme, yang entah bagaimana dihubungkan kepada liberalisme, dilihat sebagai ancaman kepada Islam dan kesejahteraan umat Islam.[3]

 

Idealog anti-sekularisme

3.Para12RightHantu daripada sekularisme dalam wacana Melayu bermula sejak syarahan dan penerbitan buku Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism.[4] Kecaman dan penolakan terhadap sekularisme ini yang dibuat berhadap-hadapan dengan perbincangan tentang pendekatan Islam yang tulen menjadi semakin popular, dan kemudian, diulangi dengan diteruskan oleh ramai pengarang dan sarjana, terutamanya dalam diskusi Islam di dalam konteks Malaysia-Singapura-Brunei.

Oleh kerana terdapat hubungan budaya dan intelektual yang dekat antara masyarakat Melayu-Islam ini, maka amat mengejutkan bahawa sekularisme menjadi sasaran utama di kalangan puak revivalis, walaupun secara teorinya fahaman al-Attas lebih bersifat tradisionalis daripada pendirian dan maksud puak revivalis. Sekularisme menjadi antitesis kepada Islam yang tulen, yang dianggap sebagai sistem yang holistik atau cara hidup yang dapat menjadi penawar kepada semua kelemahan dan keterlaluan moden. Ianya menarik untuk memperhatikan bahawa sementara perbincangan al-Attas tentang sekularisme adalah perhatian epistemik, ideanya telah digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik mereka sendiri bagi penubuhan negara Islam; walaupun hampir cukup jelas bahawa Al-Attas tidak membuat sebarang rujukan kepada penubuhan entiti politik Islam.

Serangan fatal yang lain ke atas sekularisme dibuat dalam tesis kedoktoran Muhammad Kamal Hassan yang pada dasarnya menyasarkan kepada desekularisasi Nurcholish Madjid,[5] yang mempunyai konsekuen yang besar pada tidak hanya pembaca Malaysia yang menghindar untuk membaca penulisan liberal Nurcholish, tetapi juga membawa persepsi yang umum bahawa wacana Islam Indonesia sebagai terlalu liberal dan menyimpang dalam banyak cara, dan kerana itu harus dijauhi. Hari ini terdapat banyak penulisan yang sarat dengan pendirian anti-sekular, mengulangi sepenuhnya apa yang telah dibuat oleh SM Naguib al-Attas dan Muhammad Kamal Hasaan. Dalam banyak pengertian, kritikan terhadap sekularisme dan malah negara sekular telah menjadi salah satu daripada jalan yang mudah untuk memproyeksikan keaslian Islam seseorang, di mana kecaman terhadap sekularisme (termasuk Barat) akan mudah dihubungkan dengan keunggulan Islam ke atas semua ciptaan manusia yang lain yang tidak sempurna. Dalam sebahagian lingkaran akademik di Malaysia, sikap anti-sekularisme ini telah menjadi senarai akademik arus utama, bersama dengan projek Islamisasi ilmu.[6] Demikian itu, dalam wacana yang popular, retorik anti-sekularisme bukanlah sesuatu yang luar biasa.[7]

4.Para15Seruan kepada Islamisasi yang lebih besar, baik dalam lapangan budaya dan sosio-politik, terutamanya dalam kes Malaysia, menzahirkan penentangan terhadap sekularisme. Maka tidak mengherankan apabila Islamis politik memukul gendang tentang kebejatan sistem sekular, ini lanjut berurat dan berakar dengan keresahan dalam mengislamkan masyarakat (dari segi budaya, pendidikan, ekonomi, atau malah riadah), walaupun penganjur bagi Islamisasi budaya mungkin tidak pasti tentang subjek untuk menciptakan negara Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islamis politik. Tetapi satu ciri yang umum adalah dengan keghairahan tersebut kepada Islamisasi, tapak diskursif telah memberi ruang yang amat sempit bagi isu dan kepentingan demokrasi, hak-hak asasi dan kebebasan awam untuk diperbincangkan.

Ringkasnya, kajian tentang Islamisasi dalam konteks Malaysia masih belum diberi peninjauan yang kritis, walaupun sebahagian kajian tentang kebangkitan lingkaran revivalis dan Islamis dapat menunjukkan kepada sejumlah rujukan yang berguna. Pemahaman kita tentang sentimen anti-sekularisme di Malaysia, atau di rantau ini, tidak dapat disempurnakan kecuali kita menyiasat dengan kritikal tentang keghairahan kepada Islamisasi yang muncul pada akhir tujuh puluhan, dan hampir tidak pudar walaupun dalam dekad masakini.

 

Keghaiban dan Pelenyapan Diskusi yang Kritikal tentang Islam Kontemporer 

Keghaiban yang relatif tentang kesarjanaan yang kritis mengenai Islam oleh kelompok reformis Indonesia dalam diskusi Muslim Malaysia adalah sangat menyolok, menunjukkan cengkaman yang kuat daripada pendirian kaum revivalis dan konservatif dalam diskusi Islam di Malaysia. Sementara wacana Islam yang kritis bangkit di Indonesia hal yang sama tidak dapat dikatakan di Malaysia, dan malah sekiranya ia wujud, ia pada umumnya sengap dan dipinggirkan. Terjemahan karya-karya yang kritis oleh sarjana dan pemikir Islam kontemporer yang lazimnya ditemui di Indonesia tidak pernah ada persamaannya di Malaysia, terutamanya dalam wacana dengan medium-Melayu. Karya-karya Fazlur Rahman, Mohamed Arkoun, Bassam Tibi, Abdullahi an-Naim, Jabed al-Jaberi, Muhammad Syahrur, Khaled Abou el-Fadl, Nasr Hamid Abu-Zayd, Sami Zubaida, Asghar Ali Engineer, Nader Hashemi dan beberapa yang lain[8] hampir tidak diketahui atau idea-idea mereka disorot dalam wacana yang dominan.

 

Ketiadaan Sains Sosial yang Kritis

5.Para18RightTambahan lagi dalam keghaiban yang relatif daripada diskusi sains sosial yang kritis di Malaysia, perbincangan tentang konsep sekulariti, sekularisme, kemodenan, demokrasi dan seumpamanya hampir tidak menyumbang untuk mengketengahkan tabiat dan dinamika daripada sekularisme. Terdapat ahli sains sosial di Malaysia yang telah menganalisa subjek ini, tetapi kedudukan mereka kekal di dalam lapangan akademik,[9] hampir tidak memberikan impak dalam wacana awam Muslim yang dengan taksub mengecam sekularisme, atau karya-karya yang agak apologetik kepada posisi Islamis dalam mengecam sekularisme.

Sebaliknya kita mendapati pengulangan yang tak terhitung daripada serangan al-Attas terhadap sekularisme ke tahap di mana dengan hanya menolaknya, seseorang dapat secara automatis mengidentifikasi dirinya sebagai membawa posisi Islam yang tulen. Dalam pemikiran ini, adalah penting bahawa alternatif Islam yang berlandas kepada pandangan alam (tasawwur) “Islam yang autentik” mengambil pendirian terhadap kesan sekularisme yang merosakkan. Ujaran seperti itu dapat dikutip di sini:

pemikiran sekular boleh dihinggapi oleh mereka yang bergelar Muslim jika konsep dan tasawwur Islam yang betul tidak diterapkan kepada mereka. Hal ini juga adalah kerana ummat Islam, semenjak zaman penjajahan telah pun terdedah kepada sistem pendidikan dualistik. Kesyumulan Islam seolah-olah tidak diakui dalam pendidikan umum, walaupun kebebasan beragama diakui secara dasarnya.”[10]

Justeru adalah tidak mengherankan di mana wujud ketidakupayaan yang total untuk membezakan antara proses sekularisasi dalam masyarakat dengan sekularisme sebagai pandangan sosio-politik.[11] Perbezaan dikotomi antara agama dan sekular tidak hanya dari segi intelektualnya bermasalah tetapi ia juga menimbulkan kebimbangan psikologi, kerana fenomena sekular dianggap sebagai semestinya tidak beragama atau dapat menggasir agama itu sendiri. Untuk menerima atau mentolerer institusi dan sistem sekular, seakan kelihatan mencadangkan bahawa dia tidak mengambil Islam secara holistik. Lantaran itu sistem sekarang, yang merupakan bikinan daripada sekular Barat, adalah justeru sebuah antitesis kepada Islam.[12]


Dr AzharDr Azhar Ibrahim adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Tulisan ni diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir daripada esei asal yang bettajuk “Secularism as Imagined in the Malay-Indonesian World: Resistance and its Muted Counter Responses in the Discursive and Public Realms.”


 [1] Abdullahi An-Naim, “The Dichotomy between Religious and Secular Discourse in Islamic Societies,” [Dikotomi antara Wacana Agama dan Sekular dalam Masyarakat Islam] h. 412

[2] Hal ini tidak seperti kes di Mesir di mana kelompok Islamis sebagai penentang sekularisme telah bertarung dengan sengit dalam pertandingan dan ‘dialog’ dengan musuh sekularis mereka, atau kalangan yang mereka anggap sebagai sekularis. Lihat, Fauzi M Najjar, “The debate on Islam and secularism in Egypt” [Perdebatan tentang Islam dan sekularisme di Mesir] Arab Studies Quarterly, 18,2, Spring 1996, hh. 1-19.

[3] Abd Karim Ali & Mohd Roslan Mohd Nor, “Agenda Sekularisasi di Sebalik Pemikiran Anti-Hadis dan Islam Liberal: Suatu Kupasan Epistemologikal” dalam Azmil bin Zainal Abidin, Islam Liberal: Isu dan Cabaran. (Selangor: Persatuan Ulama’ Malaysia, 2009)

[4] Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Islam and Secularism. (Kuala Lumpur: ABIM, 1978)

[5] Nurcholish Madjid, “Sekularisasi Ditinjau Kembali” Islam Kemodernan Dan Keindonesiaan. (Jakarta: Mizan Media Utama, 1987)

[6] Haslinda Binti Hasan, Sekularisme: sejarah kelahiran dan kesannya terhadap peradaban Islam dengan penumpuan terhadap serangan pemikiran. Tesis M.A.–Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya, 2000; Mohd Abd Basir Bin Alias Pemikiran politik sekular di Malaysia: suatu kajian terhadap respon pemikiran Islam semasa. Tesis (Sarjana Usuluddin)–Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2000; Abdul Basir Alias, Ancaman Nasionalis Sekular Ekstrim di Malaysia. (Bangi: As-Syabab Media, 2002)

[7] Dari kesedaran menuju kebangkitan: Islam vs sekularisme. Penyusun, Nizamuddin Isemaail As-Sudani, Majmaa Abu Nour, Syria. (Kuala Lumpur : Maktabah Nizam, 2012)

[8] Walaupun dalam sesetengah lingkaran Indonesia topik tersebut telah mendapat banyak perhatian. Penerbitan karya-karya Mohamed Arkoun dapat mengesahkan ini. Baca buku Mohamed Arkoun Islam Agama Sekuler: Penelurusan Sekularisme dalam Agama-agama di Dunia. (Yogjakarta: Belukar, 2003).

[9] A. Halim Ali, “Secularization: An Inevitable Path for Social Change in Muslim Society” [Sekularisasi: Jalan yang tak dapat tidak bagi Perubahan Sosial dalam Masyarakat Islam] Jurnal Antropologi dan Sosiologi. No. 20, 1993, pp. 91-107

[10] PERGAS. “Cabaran Sekularisasi dan Globalisasi Barat kepada Harakah Islamiyah Nusantara: Perspektif Singapura,” Risalah, Bil.4, July-Sept 2001.

[11] Bassam Tibi, Islam and the Cultural Accommodation of Social Change. [Islam dan Penyesuaian Budaya dari Perubahan Sosial] Trans. Clare Krojzl. ( Boulder: Westview Press, 1990)

[12] Ainon Muhammad. “Sekularisme Pentadbiran Negara Dijalankan Terkeluar dari Hukum Agama,” Dewan Masyarakat, Jil. XXIII, Bil, II.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022