Keadilan untuk Hamza Kashgari: Hari yang Menyedihkan bagi Rakyat Malaysia dan Umat Muslim

February 14, 2012


 

Islamic Renaissance Front mengecam keras pengusiran Hamza Kashgari atas tuduhan twitnya yang berunsur ofensif.

Disebabkan tindakan pengecut dan tak bertanggungjawab kerajaan Malaysia yang merelakan pengusiran tersebut, Kashragi kini berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman mati di negara asalnya Arab Saudi hanya kerana menuntut untuk menyempurnakan hak kemanusiaannya yang paling asas – kebebasan bersuara dan kebebasan nurani (conscience).

Memandangkan Kanun Syari‘ah yang diamalkan di Saudi – sepertimana negara-negara Islam yang lain yang mempraktikkan Syari‘ah – tertakluk kepada budi bicara dan tafsiran para ulama’, dan Saudi memang dikenali mencatat rekod yang buruk dalam menjamin pendakwaan yang adil serta diperkukuh dengan sejarah penafian hak terhadap peguam dan klien; kami tidak merasakan Hamza Kashgari akan mendapat pembicaraan yang adil.

Apa yang lebih penting, Kashgari telah memadamkan twitnya dan meminta maaf atas kenyataannya. Kami percaya tiada hukuman lanjut yang wajar diambil setelah trauma yang terpaksa dilaluinya sebagai pelarian hanya kerana tindakan yang tidak membahayakan sesiapa apatah pula berhadapan dengan risiko dijatuhkan hukuman mati.

Dalam hal ini, kami ingin mengingatkan umat Islam tentang kepentingan prinsip pengampunan dalam Islam. Kepentingan yang diberikan kepada nilai kemaafan dalam Islam berkait rapat dengan nilai kunci yang lain dalam agama (deen) yakni kebebasan bersuara dan kebebasan nurani. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam ayat 256 daripada surah Al-Baqarah yang menyatakan bahawa “Tidak harus ada paksaan dalam hal melibatkan keyakinan. Telah nyata perbezaan antara yang benar dari [jalan] yang salah…”

Manusia dicipta dengan dianugerahkan kebebasan, yang dikurniakan oleh Tuhan dengan keupayaan rasional yang diperlukan untuk membolehkan mereka menentukan apa yang benar dan salah berdasarkan pilihan sendiri tanpa diancam atau dikerah oleh kekuatan eksternal. Pemacuan karakter bergantung kepada kesanggupan kita untuk menempuh liku perjalanan itu ke arah kebaikan dalam upaya yang dapat kita nyatakan dan fahami.

Demikian inilah sistem etika yang mendasar di mana pilihan yang bermakna dan amalan yang baik hanya bererti jika didasari dengan kehendak yang bebas. Kerana jika paksaan adalah apa yang diperlukan untuk memastikan sikap yang baik, maka kefahaman tentang cinta, perpaduan, kepercayaan yang ikhlas akan luput dan hilang maknanya.

Dalam menuntut layanan manusiawi terhadap Hamza Kashgari, Islamic Renaissance Front sekali lagi menekankan ciri penting daripada nilai kebebasan, keadilan dan demokrasi di Malaysia

Kami juga sangat kecewa dengan peranan kerajaan Malaysia yang mengalah kepada tekanan untuk menghantar pulang Hamza Kashragi. Sebagai anggota Badan Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu, Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk menjadi contoh kepada rantau ini, jika bukan kepada seantero dunia Islam, tentang apakah sebenarnya kerajaan yang bertanggungjawab dengan perjuangan hak kemanusiaan dapat lakukan.

Sebaliknya, dengan tanpa merujuk pandangan dhamirnya walaupun sejenak, kerajaan Malaysia dengan terburu mengusir seseorang yang dituduh bersalah kerana dianggap jenayah menyatakan pandangannya.

Islamic Renaissance Front mengusulkan supaya kerajaan Malaysia berundur daripada menganggotai Badan Hak Asasi agar dunia tidak lagi terheret untuk percaya bahawa Malaysia memperjuangkan sesuatu yang tidak didukungnya secara hakiki. Realitinya adalah di sebalik pencapaian pembinaan gedung dan bangunan pencakar langit, kita masih mempunyai pentadbiran yang tidak memahami nilai asas daripada perasaan simpati dan keinsanan.

Sesungguhnya ini akan menjimatkan masa setiap orang.

Pengusiran Hamza Kashgari walau telah dihalang dengan perintah Mahkamah Tinggi, jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati dan merupakan suatu pelanggaran dan penghinaan ke atas institusi mahkamah. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein harus dipertanggungjawabkan dengan tindakan salah dan tidak bermoral ini. Mengambil kira bahawa Malaysia tidak pernah mengikat perjanjian ekstradisi dengan Arab Saudi, pengusiran ini jelas tidak beradab dan melanggar tatasusila dan keluhuran undang-undang antarabangsa.

Tiada apa yang dapat dibanggakan untuk menjadi sebahagian daripada Gerakan Muslim Moderat yang dicanangkan. Ia hanyalah manipulasi lain yang dizahirkan untuk menekan demokrasi dan hak asasi.

Hari ini sesungguhnya adalah hari yang cukup menyedihkan bagi rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya.


Dr Ahmad Farouk Musa

Ahmad Fuad Rahmat

Edry Faizal Eddy Yusuf

Muhammad Nazreen Jaafar

Islamic Renaissance Front