Quo Vadis HIMPUN? (Bahasa Melayu)
October 17, 2011

Pada 22 Oktober 2011, ratusan orang ahli daripada lebih dua belas NGO dijangka berhimpun di Shah Alam untuk menghadiri Himpunan Sejuta Umat (selanjutnya disebut HIMPUN). Perhimpunan ini tampaknya bercorak defensif: Ia berhasrat mempertahankan aqidah(keyakinan) umat Islam di Malaysia daripada ancaman gejala murtad yang semakin meningkat, terutamanya terhadap agama Kristian. Selain itu, ia juga berusaha menekankan kedudukan Islam yang penting dalam perlembagaan Malaysia di samping mengangkat keutamaan perpaduan umat dan peranan yang mustahak dimainkan oleh kerabat Diraja selaku penaung Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

 

Namun ia amat mencurigakan kerana terlalu sedikit informasi yang dizahirkan bagi menyokong keprihatinan tersebut. Kita tidak dimaklumkan berapa banyak pelaku murtad, atau gereja mana atau gereja-gereja yang aktif menggerakkan misi pemurtadan umat Islam, atau hanya Kristian saja di kalangan bukan Islam yang aktif menggerakkan dakyah penginjilan. Kebanyakan cetusan ini hanya bersandarkan gerak hati dan andaian semata.

 

Dalam hal ini terdapat dua kemusykilan yang tinggal yang harus ditanggapi oleh mana jua umat Islam yang ikhlas dan prihatin. Sekiranya benar kasus murtad adalah permasalahan yang serius dan menggugat sebagaimana didakwa, maka kita harus bertanya, bagaimana pula tentang budaya dan pendidikan Islam di Malaysia yang mengakibatkan ramai orang Islam meninggalkan agamanya? Selain itu, apakah yang dapat diusahakan oleh masyarakat Islam di Malaysia sebagai satu jamaah untuk mereformasi budaya tersebut bagi mencerahkan, bukannya mengasingkan, umatnya sendiri?

 

Untuk mengenepikan persoalan ini, dan bertindak balas dengan penuh emosi dan tergesa-gesa, adalah sebenarnya mencuaikan tanggungjawab untuk melakukan muhasabah dan introspeksi yang dituntut Islam daripada umatnya. Dalam keghairahan kita untuk menyalahkan pihak lain, kita terlupa kekhilafan dan kekurangan kita sendiri dalam menangani permasalahan yang sedang kita depani ini.

 

Ia juga suatu kemusykilan kerana belum ada perbincangan yang konstruktif dengan organisasi dan penganut agama lain tentang permasalahan ini. Pesanan yang sering diangkat oleh HIMPUN adalah masalah ini hanya boleh ditangani oleh orang Islam, untuk orang Islam; walaupun kenyataannya Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama di mana keamanan dan keharmonian bergantung pada asas kefahaman dan kemesraan yang tulen antara satu sama lain.

 

Sebagai sebuah organisasi Islam yang komited kepada faham demokrasi, kebebasan dan keadilan, Islamic Renaissance Front (IRF) memandang kebebasan naluri dan agama sebagai nilai Islam yang utama. Kebebasan, iaitu kapasiti untuk melacak ikhtiar dan pilihan kita, adalah tunggak akidah dan etika. Tidak ada perbuatan individu yang boleh dianggap benar atau salah melainkan individu tersebut punyai kebebasan menentukan kehendaknya untuk bertindak terlebih dahulu.

 

Oleh itu kita tidak boleh meletakkan kesalahan terhadap seseorang atas sesuatu yang tidak dibuat atas kerelaannya sendiri. Faham pertanggungjawaban hanya bermakna dan bernilai berasaskan asumpsi bahawa seseorang itu bebas dalam menerimanya. Demikian ini adalah pandangan yang tercantum dalam hujah yang sering diketengahkan bahawa tidak harus ada paksaan dalam urusan agama. [sila rujuk al-Qur’an 2: 256].

 

Islamic Renaissance Front (IRF) turut mengiktiraf artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan jaminan terhadap setiap rakyat Malaysia memenuhi haknya untuk menganut dan mengamalkan agama yang dipilihnya. Bagaimana pun terdapat penghakiman yang diputuskan oleh Artikel 11 (4) daripada Perlembagaan Persekutuan yang memberi mandat negeri untuk mengawal atau menghadkan penyebaran agama di kalangan rakyat yang menganut kepercayaan Islam. Yang lebih penting, hal ini harus dibaca dalam konteks Artikel itu sendiri yang secara fundamental memperuntukkan setiap manusia ruang kebebasan untuk menganut, mengamal dan menyebarkan agamanya.

 

Sementara Selangor mungkin mempunyai enakmen yang melibatkan kawalan terhadap penyebaran agama di kalangan orang Islam, yang diwartakan pada tahun 1988, enakmen ini menuntut reviu yang serius memandangkan kita sekarang berada dalam era yang baru di mana hak kemanusiaan, kebebasan naluri dan kebebasan agama dianggap sebagai isu kebebasan yang fundamental. Enakmen tersebut tidak terpahat secara konkrit di atas batu makanya ia boleh diperdebatkan. Langkah mereviu enakmen tersebut adalah releven dalam masyarakat yang maju yang bercita-cita untuk mengiktiraf kebebasan individu dan asas-asas kebebasan.

 

Salah satu teras penting dalam konsep keadilan Islam adalah prinsip resiprositi. Kita boleh temui banyak perintah dalam al-Qur’an yang menganjurkan pemberian balasan kebaikan dengan kebaikan dan keburukan dengan keburukan. Prinsip resiprositi, yang terpaut kukuh dalam setiap etika agama dan sekular, menunjangi konsep keadilan dalam Islam. Al-Qur’an memuatkan banyak perintah yang menggesa umat Islam membalas kebaikan budi dengan kebaikan dan kejelekan dengan kejelekan.

 

Prinsip ini turut diungkapkan oleh Immanuel Kant, filasuf German, dalam Formula Undang-Undang Universal yang dilakarkan dengan tuntas: “Bertindaklah hanya mengikut dasar tersebut yang mana anda pada waktu yang sama mengharapkan ia menjadi undang-undang universal.”

 

Dalam masyarakat moden, yang berbilang kaum dan agama di mana manusia yang berbeza kepercayaan membina kerukunan hidup bersama, dan bekerjasama di bawah satu sistem undang-undang yang mengiktiraf kesamaan harga diri mereka, perhatian yang wajar harus diberikan terhadap prinsip resiprositi sebagai intipati keadilan. Sebarang percubaan oleh satu komuniti agama untuk menyekat dan mengenakan paksaan ke atas penganutnya yang memilih untuk berpindah pada kumpulan agama yang lain akan meletakkan tanggungjawab moral terhadap kumpulan itu untuk mempertahankan penganut baru yang memilih untuk mendakap kepercayaan mereka.

 

Kami ingin mengulangi bahawa “laungan perang” HIMPUN untuk mempertahankan agama hanya akan menunjukkan watak ganas dan tidak toleran Islam sedangkan ia adalah agama yang sering menyeru pada akal dan hujah. Oleh itu persoalan yang harus dijawab: apakah hasil yang positif diharapkan oleh HIMPUN daripada cetusan yang membakar dan membangkitkan retorik yang berkobar-kobar daripada perhimpunan ini? Quo vadis HIMPUN – ke mana arahmu?

 

Sebagai sebuah badan intelektual yang menfokuskan kepada pemerkasaan golongan muda, Islamic Renaissance Front ingin menegaskan komitmennya terhadap hasrat penyatuan umat Islam. Bagaimanapun harus ditekankan dengan jelas dan tuntas bahawa solidariti ini tidak bermakna sekiranya tidak disandarkan kepada prinsip kebebasan dan demokrasi, hak kemanusiaan dan kesamaan harga diri setiap individu, baik Islam atau bukan Islam; prinsip yang dengan jelas dan konsisten yang senantiasa dipertahankan dalam seluruh perundangan Islam.

 

Dr Ahmad Farouk Musa

Mohd Radziq Jalaluddin

Ahmad Fuad Rahmat

Edry Faizal Eddy Yusuf

Islamic Renaissance Front (IRF)

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022