Penganjur: Pihak atasan agensi agama ‘halang’ forum hak wanita

April 8, 2012

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Penganjur Forum on Future of Islamic Feminism mendakwa berhadapan dengan siri tekanan termasuk daripada pihak berkuasa agama yang seolah-olah mahu menggagalkan dan menghalang program itu daripada diadakan semalam.

Selain arahan “pihak atasan” minggu lalu agar forum itu dibatalkan sama sekali, semalam penganjur menerima panggilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) — sejam sebelum program bermula — untuk memaksa menyertakan pegawainya sebagai anggota panel.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Islamic Renaissance Front (IRF) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (Istac).

Pengerusi IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata, Jakim yang tidak diundang untuk menghantar wakilnya sebagai panelis telah menghubungi mereka untuk menyertai bersama sebagai anggota panel perbincangan.

“Memang kami tidak pernah mengundang Jakim sebagai anggota panel. Tetapi mereka menghubungi saat-saat akhir, kira-kira sejam sebelum program, mengatakan bahawa mereka juga mahu menyertai bersama anggota panel,” kata Ahmad Farouk kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata pihaknya kecewa kerana usaha sedemikian digunakan untuk menghalang mereka daripada forum yang membincangkan isu berkaitan dengan hak kaum wanita dari sudut Islam.

“Kami berpandangan bahawa ini satu cara mahu menghalang program kami, selepas minggu lalu kami diminta membatalkan program ini kerana tidak bersetuju dengan kehadiran (Prof Madya) Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai anggota panel,” kata beliau.

Ahmad Farouk berkata ada pihak atasan dari agensi agama cuba menggunakan kuasa dan autoriti mereka untuk menghalang usaha-usaha seperti ini.

Isu hak wanita menurut perspektif Islam seringkali menjadi bahan polemik dan kontroversi. Asri sendiri dilihat sebagai golongan yang memihak kepada perjuangan hak-hak wanita menurut pandangan Islam.

“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, kami kecewa kerana ada usaha mahu menghalang program membincangkan isu-isu wanita secara intelek dan terbuka, cuba menghalang kebebasan membincangkan isu-isu ini,” kata beliau lagi.

Ahmad Farouk berkata pihaknya telah diminta membatalkan forum itu minggu lalu apabila mendapati salah seorang anggota panel adalah Asri iaitu bekas mufti Perlis.

Permintaan agar membatalkan forum itu, hanya kerana kehadiran Asri, dikatakan dikeluarkan oleh pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Istac merupakan institusi penyelidikan pengajian pascaijazah UIA.

“Tetapi saya berkompromi agar forum ini diteruskan dengan nama Dr Asri digugurkan dan digantikan oleh (Felo Istac) Dr Muhammad Uthman El Muhammady dan Md Asham Ahmad,” katanya sambil menambah, IRF dan Istac sudah lama menjalin hubungan dan kerjasama yang baik.

Md Asham merupakan felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) tetapi tidak hadir semalam kerana dikatakan kurang sihat.

Forum yang diadakan di Istac semalam dijayakan oleh Zainah Anwar, Muhammad Uthman dan Dr Farish A. Noor dengan Ahmad Farouk menjadi moderator.

Ahmad Farouk menjelaskan pihaknya terpaksa menolak permintaan Jakim untuk menghantar wakilnya kerana tidak mahu mengganggu kelancaran dan fokus forum yang dianjurkan dalam bahasa Inggeris.

“Selepas kami menolak permintaan Jakim, pihak Jakim menghantar kakitangan mereka untuk merakamkan keseluruhan perjalanan forum, tetapi kami tidak mahu membesar-besarkan isu ini dan juga tidak berhasrat menulis surat bantahan rasmi kepada kerajaan,” kata beliau ketika ditanya mengenai tindakan susulan.

Source: The Malaysian Insider




View original article at: https://irfront.net/post/news/penganjur-pihak-atasan-agensi-agama-halang-forum-hak-wanita/