Tafsiran Dakwah Teungku Muhammad Hasbi ash-Shiddieqy – Bahagian I

January 6, 2013

Dr Ahmad Nabil Amir
Abduh Study Group, IRF

Profesor Teungku Muhammad Hasbi ash-Shiddieqy

Profesor Teungku Muhammad Hasbi ash-Shiddieqy adalah seorang pemikir dakwah yang besar dan telah menghasilkan dua buah karya tafsir yang fenomenal, Tafsir al-Quran al-Majid yang juga dikenali sebagaiTafsir al-Nur dan Tafsir al-Bayan. Artikel ini berusaha meninjau pemikiran TM Hasbi dalam kedua tafsirnya ini, dengan menfokuskan kepada fikrah dan kefahaman dakwah atau fiqh da‘wah yang dilontarkan oleh TM Hasbi dalam analisisnya terhadap ayat-ayat al-Qur’an yang menyentuh tentang asas dan kerangka dakwah yang kritis. Tafsir ini banyak menekankan aspirasi Islam berkait dengan perjuangan dakwah dan melakarkan khittah yang jelas tentang sifat dan manhaj dakwah yang ideal di abad kontemporer.

Mukaddimah

Kajian tentang Tafsir al-Quran al-Majid atau Tafsir an-Nur, dan Tafsir an-Bayan oleh TM Hasbi secara mendalam dan terperinci masih belum giat dizahirkan kecuali dalam tesis peringkat kedoktoran, dan ini perlu diperluaskan kerana tafsir yang ditulis oleh TM Hasbi ini berhasil mewarnai dan mencorakkan pemikiran umat Islam yang moderat di Nusantara.

Tulisan ini cuba menggarap idealisme dan mengupas pemikiran dakwah TM Hasbi ash-Shiddieqy dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Majid atau Tafsir an-Nur, yang menzahirkan aspirasi dakwah yang tuntas dan meyakinkan. Tafsir ini mencantumkan pandangan dakwah TM Hasbi yang digariskan dengan jelas dalam analisisnya terhadap ayat-ayat dakwah yang konklusif. Hal ini merangkumi perbincangan seputar maudu‘ al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar, al-targhib dan al-tarhib, dan al-ahkam al-Nabawiyyah.

Pemikiran dakwah yang menarik diangkat daripada kupasan ayat-ayat al-Qur’an yang berkait dengan tafsiran hukum, kalam dan aqidah Islamiyyah dengan nukilan yang tuntas daripada sumber-sumber tafsir yang autoritatif, seperti kitab Tafsir al-Maraghi, Tafsir al-Manar, Al-Iklil fi Istinbat al-Tanzil, Tanwir al-Miqbas, Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil ay al-Qur’an, Tafsir al-Kabir, al-Kashshaf, Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Al-Dur al-Manthur, dan sebagainya.

Ia memberikan perbandingan yang menarik tentang mazhab dakwah yang digagaskan oleh ulama’ dan fuqaha yang besar. Artikel ini akan menghuraikan pemikiran dakwah yang substantif yang diungkapkan oleh TM Hasbi dalam karya tafsirnya dan merumuskan kefahaman yang digarap daripada lontaran pemikirannya tentang karakteristik dan pemikiran dakwah Islam yang dinamis.

Latar belakang

Teungku Muhammad Hasbi ash-Shiddiqiey (1904-1975) dilahirkan pada 10 Mac 1904 di Lhok Seumawe, Acheh Utara dan membesar di tengah-tengah keluarga yang mewarisi akar budaya dan semangat keagamaan yang kuat. Ayahnya, Teungku Qadhi Chik Maharaja Mangkubumi Husien ibn Muhammad Su‘ud, adalah seorang ulama’ dan kadi yang menjawat kedudukan penting dalam pentadbiran negara. Ibunya, Teungku Amrah binti Teungku Chik Maharaja Mangkubumi Abdul Aziz, adalah puteri kepada Qadi kesultanan Acheh ketika itu. Jalur keluarganya berasal daripada keturunan Khalifah Islam yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq, dan Pak Hasbi merupakan generasi yang ke 37, yang mengabadikan gelar ash-Shiddieqy pada akhir namanya.

Beliau mula menuntut di pesantren bapanya, dengan meraih pendidikan awal, sebelum mencari pengalaman baru dengan merantau ke pondok-pondok pengajian yang terkenal di kota-kota besar selama 20 tahun. Beliau lebih dikenal sebagai seorang otodidak iaitu belajar sendiri, di samping menuntut dengan ulama’ yang berkaliber, seperti Syaikh Muhammad ibn Salim al-Kalali, seorang ulama’ besar berbangsa Arab yang mengajarnya ilmu bahasa Arab.

Pada tahun 1926, TM Hasbi mendaftar di Madrasah al-Irsyad, Surabaya yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Soorkati (1874-1943), dan mengikuti takhassus dalam disiplin pendidikan selama dua tahun. Pemikiran moden yang digerakkan di al-Irsyad, mempengaruhi corak pemikiran dan pandangan dunianya yang rasional yang menyalahi aliran konservatif dan taqlid yang berkembang dalam masyarakat. TM Hasbi juga pernah belajar di Timur Tengah, dan pergaulannya yang luas telah memungkinkannya untuk mencetuskan gagasan pencerahan yang kontroversial dan menggerakkan perjuangan menentang arus pemikiran tradisional dan fanatik dan “mendobrak benteng taqlid”

Benturan yang tajam antaranya dengan kaum tradisionalis mendesaknya untuk berhijrah dari Lhok Seumawe ke Kutaraja, di mana ia menghasilkan buku Kriteria antara Sunnah dan Bid‘ah, yang menzahirkan pengaruh salafiyyah dan pemikiran islah-nya. Sepanjang kareernya, Hasbi telah menghasilkan lebih 73 buah buku, yang terdiri dari 142 jilid dan 50 artikel, yang sebahagian besarnya adalah karya-karya fiqh sebanyak 36 judul.

Penghasilan yang prolifik dalam bidang hadith, terserlah daripada karya-karya substantif yang dikemukakannya dalam pemikiran hadith al-dirayah, al-riwayah, dan al-sharh, seperti kitab Pokok-Pokok Ilmu Dirayah hadith; Beberapa Rangkuman Hadits, Sejarah dan Pengantar Ilmu Hadits; Mutiara Hadits; Koleksi Hadith-Hadith Hukum; Problematika Hadits Sebagai Dasar Pembinaan Hukum Islam; Rijalul Hadith: Biografi 7 Sahabi dan 18 Tabi‘in yang Terkemuka dalam Lapangan Hadith; Mukhtarat min Ahadith al-Ahkam; Kuliyah Hadith: Syarahan Hadith-Hadith Tasyri‘ Ibadah; Sejarah Perkembangan Hadits dan Ahkam al-Nabawiyyah yang dikatakan setanding dengan kitab fiqh Nayl al-Awtar karya Imam asy-Syaukani.

Dalam hal ini, Ramli Abdul Wahid, ulama’ hadith daripada Medan, Sumatera Utara mengulas: “Jika ada yang paling berjasa merintis penulisan literatur ilmu hadith di IAIN – Institut Agama Islam Negeri-, maka orangnya adalah TM Hasbi ash-Shiddieqy. Walaupun karya-karyanya di bidang ini banyak mendapat kritikan sebagai karya saduran, tetapi usahanya menulis ilmu hadith sangat bermakna bagi pengembangan dan pengetahuan masyarakat akademis di Indonesia khususnya di IAIN. Oleh sebab itu, ketika mengkaji pemikiran hadith di Indonesia tanpa mengikut sertakan tokoh ini, tentu akan menanggalkan mata rantai sejarah ilmu itu sendiri”

Hasbi turut menghasilkan karya-karya besar dalam subjek aqidah, yang terdiri daripada 5 judul, dan beberapa tema umum yang lain, dalam pemikiran hukum, politik, dakwah dan falsafah seperti Pedoman Solat; Pedoman Haji; Pelajaran Tauhid: Pokok-Pokok ‘Aqa’id Islam; Pengantar Fiqih Mu‘amalah; Pengantar Ilmu Perbandingan Madzhab; Kelengkapan Dasar-Dasar Fiqih Islam: Pengantar Ushul Fiqih; Dasar-Dasar Kehakiman dalam Pemerintahan Islam; Hukum Perang Dalam Islam; Mu‘djizat al-Qur’an; Tuntutan Qurban; Dasar-Dasar Ideologi Islam; Poligami Menurut Hukum Islam; Biografi Pelopor-Pelopor Pahlawan Islam; Ruang Lingkup Ijtihad para Ulama’ dalam Membina Hukum Islam; Lembaga Peribadi; Fakta-Fakta Keagungan Syariat Islam; Kursus Sembahyang dan Do‘a; Lapangan Perjuangan Wanita Islam; Fiqhul Mawaris: Hukum-Hukum Warisan dalam Syariat Islam; Fiqh Islam; Hakikat Islam dan Unsur-Unsur Agama; Ikhtisar Tuntutan Zakah dan Fithrah; Sejarah Peradilan Islam; Ideologi Islam dan Qaedah Pemerintahan; Islam dan HAM (Hak Asasi Manusia) dan lain-lainnya.

Karya-karya tafsirnya yang besar, yang menyumbangkan fikrah dan metodologi tafsir yang strategis dan menzahirkan analisis yang terbaik dalam kerangka usul al-tafsir termasuklah kitab Tafsir al-Qur’an al-Madjied atau dikenali sebagai Tafsir al-Nur, Tafsir al-Bayaan, Ilmu-Ilmu al-Qur’an: Media-Media Pokok dalam Menafsirkan al-Qur’an, dan Sejarah dan Pengantar Ilmu al-Qur’an/Tafsir.

Dalam sejarah pemikiran Islam di Indonesia, Hasbi terkenal dengan usahanya memperkenalkan fiqh ke-Indonesiaan, yang mengangkat pemahaman “fiqh baru dan hukum Islam ala Indonesia” hasil refleksi historisnya atas pemikiran hukum dan kearifan tentang prinsip syari’at dan kesadaran hukum masyarakat. Gagasan ini dilahirkan berasaskan keyakinannya bahawa “prinsip-prinsip hukum Islam sebenarnya memberikan ruang gerak yang lebar bagi pengembangan dan ijtihad-ijtihad baru”.

Ia dicetuskan daripada orientasi doktrin, tradisi, dan politik hukum nasional dan “dinamika pembaharuan hukum Islam di Indonesia”. Berangkat dari kenyataan sosial dan politik -waqi‘ al-hal - dan kepekaan terhadap kebaikan dan maslahah, Hasbi menggagaskan fiqh Indonesia, iaitu “fikih yang ditetapkan sesuai dengan tabiat dan watak Indonesia” sebagai alternatif fiqh baru ke atas situasi dan kondisi masyarakat yang dihadapinya, dan yang “lebih mencerminkan pelurusan pemahaman umat dan proses adaptasinya ke dalam perubahan sosial.

Tafsier al-Qur’anul Madjied - Tafsir al-Nur

Kitab Tafsir al-Nur ini merupakan antara karya tafsir yang monumental di Indonesia yang menyerlahkan sosok TM Hasbi sebagai pentafsir besar dan ulama terulung di abad ke-20. Ia ditulis dengan lakaran teks yang jelas dalam mengupas kefahaman ayat dan menghuraikan maqasid dakwah dan risalah yang tuntas. Karya ini dihasilkan mengikut manhaj tafsir yang strategis yang menggarap makna-makna ringkas seputar ayat dan surah, seperti dinyatakannya pada mukaddimah Tafsir al-Nur:

“Di dalam menerjemahkan ayat dalam Tafsir “an-Nur”, saya menempuh jalan cepat, jalan yang lazim ditempuh oleh penterjemah-penterjemah lain. Karenanya terjemahan ayat-ayat dalam tafsir “an-Nur”, tidak menerjemahkan seluruh lafazh, apalagi lafaz-lafaz yang harus diungkapkan”.
Tafsir al-Nur adalah antara karyanya yang fenomenal, yang dikemukakan dalam 30 juzuk, dan diangkat sebagai rujukan klasik kerana “tidak banyak ulama Indonesia yang mampu menghasilkan karya tafsir semacam itu”. Kitab ini mempunyai kekuatan dan pengaruh yang cukup luas dalam tradisi tafsir di Indonesia, setanding dengan kitab Tafsir al-Azhar oleh Hamka, Tafsir al-Qur’an al-Karim oleh al-Ustaz H. Abdul Halim Hasan, H. Zainal Arifin Abbas dan Abdur Rahim Haitami, Tafsir al-Qur’an oleh Zainuddin Hamidi, Tafsir al-Furqan oleh Hasan Bandung, Tafsir al-Qur’an al-Karim oleh Prof. Mahmud Yunus, dan Tafsir al-Tibyaan dan Tafsir Juz ‘Amma oleh Muhammad Said.

Tafsir al-Nur ini memuatkan perbahasan dakwah yang substantif, yang mengupas kefahamannya dari sudut pemikiran usul dan maqasid syari‘i, seperti yang terlakar pada tafsiran ayat 104, surah Ali ‘Imran:

“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dalam huraiannya terhadap kefahaman ayat ini, TM Hasbi menyebut: “Hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang menyelesaikan urusan dakwah, menyuruh ma‘ruf (segala yang dipandang baik oleh syara‘ dan akal) dan mencegah yang munkar (segala yang dipandang tidak baik oleh syara‘ dan akal) mereka itulah orang yang beruntung”.

Kerangka besar Tafsir ini melakarkan falsafah tajdid dan perjuangan menuntut islah, yang terkesan daripada mazhab pemikiran moden yang menyebar di Indonesia hasil dakwah kaum muda Turki dan Azhar. TM Hasbi terkesan dengan ide pembaharuan dan nahdah yang berkembang di Mesir, dan ini diperkukuh dengan penglibatannya dalam gerakan kebangkitan di Indonesia. Menurut H. Kusdar dalam artikelnya ‘Dinamika Fiqh di Indonesia’:

“Hasbi Ash Shiddieqy merupakan salah satu tokoh yang ikut mendukung gerakan kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah sebagai bentuk perlawanan terhadap pengekangan hukum Islam yang didominasi hukum adat.”
Tafsir al-Nur ini menzahirkan kefahaman teks yang signifikan, yang disandarkan kepada tafsiran para ulama yang muktabar seperti Al-Maraghi, - Tafsir al-Maraghi, Muhammad Abduh dan Rashid Rida - Tafsir al-Manar, al-Baydawi - Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, Sayyid Qutb - Fi Zilal al-Qur’an, Abi Su‘ud - Tafsir Abi Su‘ud, Al-Suyuti - al-Iklil fi Istinbat al-Tanzil dan al-Qurtubi.

Pak Hasbi mendedikasikan tulisannya “keharibaan pendukung-pendukung masyarakat yang menghendaki bersinarnya wahyu Ilahi (al-Qur’an) di alam Indonesia.”

Tafsir Syaikh Mustafa Maraghi adalah rujukannya yang komprehensif yang disandarkan secara khusus, seperti dinyatakan pada mukaddimah tafsirnya: “Tafsir “an-Nur” ini disusun berdasarkan Tafsir “al-Maraghi” susunan Mustafa al-Maraghi, juga berpedoman dengan kitab-kitab lainnya yang sudah kami cantumkan pada halaman 8 jilid 1” (Hasbi, 1964: 113).

Ia turut merujuk kepada pemikiran Shaykh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida dalam Tafsir al-Manar, yang mengangkat idealisme dan pemikiran tafsir yang jelas bersandarkan kepada mazhab tajdid, yang memperjuangkan manhaj al-ma’thur dan al-ra’y dalam tafsir.

Syaikh Muhammad Abduh

Gagasan pembaharuan Syaikh Muhammad Abduh memberikan impak yang siginifikan dalam penafsirannya. Hal ini diungkapkan dengan konklusif dalam hujahnya tentang akal dan fikrah pembaharuan dan idealisme tafsir yang impresif yang dicanang oleh Abduh.

Perbahasannya diperkukuh dengan hujah dan keterangan sahabat dan tabi‘in dan athar yang sahih. Ia mengemukakan pandangan ijma‘ yang sarih dan mengutip pendapat dan fatwa fiqh yang rajih. Manhaj ini ditempuhnya secara konsisten dalam perbincangan teks dan pentarjihan hukum dan nas al-Qur’an dan al-hadith.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/tafsiran-dakwah-teungku-muhammad-hasbi-ash-shiddieqy-bahagian-i/