Di Tengah Ribut Fobia-Shiah, Ulama Iran Datang, Lihat dan Pergi

August 28, 2013 by Abdar Rahman Koya

prof-kardivar-372891Ulama Iran yang terkenal telah melahirkan rasa terkejut dengan pendirian yang diambil oleh birokrat agama tentang Shia, dan mengingatkan mereka tentang fatwa yang masyhur pada 1959 oleh Mahmud Shaltut dari Universiti al-Azhar Mesir, fatwa yang jelas mengiktiraf Shiah sebagai mazhab Islam yang kelima.

“Adakah pemimpin Islam Malaysia sedar tentang fatwa ini?” bertanya Profesor Mohsen Kadivar dengan nada kesal. Prof Kadivar adalah seorang filasuf Iran yang dilatih dalam madrasah agama di Universiti Qom di Iran dan kini menjawat profesor pelawat di Universiti Duke yang berprestij di Amerika, setelah mengetahui bahawa pihak berkuasa tidak senang dengan kehadirannya.

“Ia adalah pilihan umat Islam, bukan percaturan kerajaan,” katanya, tanpa berbasa basi ketika berpidato dalam sebuah forum di Pulau Pinang pada 23 Ogos, yang dianjurkan bersama oleh badan pemikir Penang Institute dan kumpulan muda Islam yang vokal Islamic Renaissance Front.

Pihak penganjur telah terlebih awal ditekan oleh aparat rasmi Islam di negeri itu untuk membatalkan syarahan. Sebagai kompromi, majlis dipindahkan daripada Wawasan Open University ke Northam Hotel di Georgetown, dengan otomatis menjadikannya sebagai sesi-tetutup.

Keputusan tersebut hampir sama dengan apa yang berlaku sebelumnya di mana satu sesi perbicangan tertutup yang dianjur lebih awal yang dimaksud untuk warga akademik di Universiti Islam Antarabangsa, telah dibatalkan oleh aparat Universiti pada saat saat akhir.

Resepsi yang diberikan kepada Kadivar ini adalah difahami. Beliau tidak pantas datang ke Malaysia pada waktu yang buruk, ketika media dan masjid yang dikuasai kerajaan, didukung oleh para pendakwah agama, telah melancarkan kempen anti-Shiah bertemakan “bahaya Shiah”.

Ulama yang berusia 54 tahun itu adalah penganjur yang kuat terhadap Revolusi Islam Iran pada 1979, dan dipenjara ketika zaman tirani Shah. Beliau tidak rela membiarkan aparat pasca-Revolusi hanya tinggal menuai kemenangan mereka, dan sebagai akibatnya, beliau kini dalam buangan di Amerika setelah pandangannya – lebih tentang agama dari mengenai politik tempatan – menimbulkan kemarahan ulama di Iran.

Pesan tentang kesatuan
Namun mesej Kadivar terfokus pada taqrib, atau “perdamaian antara Sunni dan Shii,” dan menyingkapkan layanan dingin yang diterimanya dari yang dikatakan lingkaran intelektuil di Malaysia.

Sebagai contoh, beliau bersetuju bahawa kaum ekstremis dari kedua belah pihak telah merumitkan usaha untuk membawa kedua belah pihak lebih dekat, dan menyeru ulama mereka untuk memerintah pengikut mereka, termasuk kalangan daripada kelompok Shiah yang masih menerus upaya untuk mencela sebahagian Sahabat Nabi Muhammad.

“Ia adalah tidak wajar sama-sekali untuk memaki mana-mana Sahabat Nabi. Para Imam (Shiah) telah melarang pengikut-pengikut mereka daripada mencela Sahabat-Sahabat Nabi, di mana kesemua umat Islam harus menghormatinya.” Demikian tegas Kadivar, yang setelah menyebut sosok para sahabat seperti Abu Bakr al-Siddiq dan Umar ibn al-Khattab, menambah ungkapan doa radiyallahu anhum, atau “semoga Allah meredai mereka.”

Shiah secara umumnya percaya bahawa Ali ibn Abi Talib, khalifah Islam yang keempat, yang juga menantu kepada Nabi, adalah pewaris yang sah kepada kepimpinan umat Islam setelah kewafatan Nabi, menyatakan bahawa ini kerana latihan peribadi yang diterima Ali secara khusus, sebagai anggota keluarga Nabi - Ahl al-Bayt.

Tetapi Kadivar menambah bahawa tiga sosok lain yang lebih awal – Abu Bakr, Umar dan Uthman bin Affan – juga merupakan sebahagian daripada anggota keluarga Nabi, dua yang pertama adalah bapa mertuanya dan ketiga adalah menantunya.

“Saya harus menghormati bapa mertua Nabi Muhammad, dan saya harus menghormati menantu Nabi Muhammad” katanya, sementara menambah bahawa mengkritik perbuatan mereka harus dilakukan dengan penuh hormat kerana hubungan mereka yang rapat dengan perjuangan Nabi.

“Anda tidak diizinkan untuk mencela, tetapi anda boleh mengkritik dengan hormat.”

Kejahilan, mitos
Menurut Kadivar, kebanyakan sikap sekte ini adalah disebabkan kejahilan, dan beliau memetik hasil daripada kajian tahun lepas oleh Pew Research Centre yang berpusat di Washington yang menemui bahawa toleransi terhadap Shiah dalam negara majoriti Sunni adalah segandeng dengan ukuran penduduk Shiah dalam populasi mereka.

Pew-Research-Center-Logo

Sebagai contoh, terdapat lebih banyak Sunni di Iraq dan Lubnan yang bersetuju bahawa Shiah adalah rakan Muslim, berbanding dengan sebahagian negara-negara Teluk, di mana Shiah adalah minoriti yang tersisih.

Kadivar juga berusaha untuk menghilangkan hiruk pikuk mitos yang diperagakan oleh para nujum anti-Shiah, termasuk dakwaan bahawa Shiah mengikut al-Qur’an yang berlainan daripada Sunni, atau mengagungkan peribadi Ali lebih daripada Nabi.

“Tiada al-Qur’an yang lain di kalangan Shiah. Jika kalian mendengar hal seperti itu, ia ternyata salah,” tegasnya, menyebut kalangan yang mendakwa penghapusan sebahagian al-Qur’an daripada bentuknya yang sekarang adalah kaum minoriti daripada kedua-dua kelompok Sunni dan Shiah yang tidak diiktiraf oleh ulama-ulama mereka daripada arus utama.

Beliau memadamkan dakwaan bahawa Shiah melebihkan Ali daripada Nabi Muhammad, dan mengutip sepotong hadith dari Usul al-Kafi, kompilasi Shiah yang autoritatif, yang memetik Ali sebagai berkata, “Aku adalah khadam daripada khadam-khadam Nabi Muhammad.”

Kadivar menunjukkan bahawa kajian yang lebih teliti tentang kedua mazhab akan memperlihatkan keduanya bersetuju terhadap 90% daripada korpus pengajaran Islam. Malah, beliau berpendapat bahawa seseorang dapat menemui kemungkinan lebih banyak pertentangan di kalangan mazhab Sunni Islam.

“Pertentangan antara Hanafi dan Hanbali, atau antara Maliki dan Shafi‘i, adalah lebih ketara daripada pertentangan antara Sunni dan Shii” kata Kadivar.

Beliau menjelaskan bahawa satu perbezaan yang utama terletak pada sumber ketiga daripada ajaran Sunni dan Shiah, setelah al-Qur’an dan Hadith.

Bagi Sunni, perkataan dan kefahaman para Sahabat membentuk sumber ketiga ini, manakala bagi Shiah, hadith daripada ahli keluarga Nabi dan para Imam yang dirujuk.

Bukan Tugas Mudah
Kadivar mengakui bahawa iklim sekarang penuh dengan kesulitan, dan menghadapi elemen sekte adalah tidak mudah. Beliau berkata sementara ulama Shiah tidak mempunyai kesulitan dalam mengada perbincangan dengan ulama sunni tradisional, itu bukan kenyataannya ketika berhadapan dengan Wahabi.

“Dengan Wahabi, hamper kesemua umat Islam menghadapi masalah. Mereka tidak percaya dengan perdebatan, dialog atau penyelidikan. Mereka menyamaratakan setiap sesuatu dan membaca teks di luar konteksnya,” beliau berkata.

Beliau mempertahankan bahawa dunia Islam masih dibendung dengan sistem yang opresif, dan mengatakan bahawa dialog yang sebenar antara Sunni dan Shiah hanya dapat berlaku dalam persekitaran intelek yang bebas di mana semua pihak dapat memperjelaskan hujah mereka.

Penjarakkan Agama dan negara
Dan inilah juga mengapa Kadivar, ketika ditanya oleh sidang audien, cenderung menimbangkan pemisahan antara kerajaan daripada urusan agama dan institusi, tanpa menganjurkan sekularisme yang tegar.

Beliau berkata sekularisme sendiri tidak buruk, bergantung kepada versinya. Kadivar sendiri cenderung kepada model India, di mana agama dilayani dengan saksama, berbanding dengan model Perancis atau Amerika, di mana agama sama ada dihapuskan dari ruang awam atau dilampiaskan sebagai tidak releven.

Beliau menambahkan keterangan bahawa dalam jangka waktu yang lebih panjang, agama seperti Islam akan meraih faedah daripada pemisahan tersebut, mengutip pengalaman Turki sebagai contoh berbanding dengan negaranya, Iran, di mana campurtangan kerajaan dalam urusan agama telah mengakibatkan keagamaan yang lebih luntur di kalangan populasi Islam.

Sebagai contoh, dengan tidak membiayai institusi agama, Kadivar berhujah bahawa kepimpinan agama akan lebih merdeka dan tidak tunduk kepada rejim yang berkuasa.

Hal ini katanya dizahirkan di Iran sebelum Revolusi Islam, di mana ulama telah memperlihatkan kepimpinan yang berwibawa dalam membela umat, yang diganyang oleh rejim autokratik Shah. Sama juga, beliau membandingkan pemerintahan Turki dan Iran hari ini, satu diperintah oleh sistem ‘sekular’ dan yang lain oleh sistem agama, dan merumuskan bahawa keagamaan yang secara penuh kerelaan dapat lebih dirasai di Turki.

Jika bukan kerana penghadang tembok yang ghaib daripada komuniti Islam di Malaysia, lawatan Mohsen Kadivar dapat dimanfaatkan dengan lebih produktif, terutamanya dalam memberi sebahagian kewarasan dalam iklim kemazhaban sekarang. Sayangnya, ketika beberapa ekor anjing bisa menyemarakkan api amarah kuasa tertinggi birokrasi Islam di negara ini, nampaknya hal ini seakan-akan suatu pengharapan yang terlalu tinggi.
___________________________________

Artikel ini diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir daripada artikel asal berjudul "Amid official Shiaphobia, Iranian cleric came, saw and left".
Abdar Rahman Koya adalah Editor di Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, www.ibtbooks.com




View original article at: https://irfront.net/post/articles/di-tengah-ribut-fobia-shiah-ulama-iran-datang-lihat-dan-pergi/