Meninjau Semula Hubungan Kuasa dan Institusi Agama - I

September 28, 2013

Hazman Baharom

3181_MainPerbahasan mengenai politik-kekuasaan dan pengamalan kuasa politik bersangkut kewujudan serta fungsi institusi agama masih kurang di Malaysia. Kita selalu sahaja menerima apa adanya - take for granted - akan struktur kekuasaan serta bagaimana setiap urusan dijalankan tanpa mempersoal apakah limitasi serta fungsi yang sah setiap institusi yang negara kita miliki.

Salah satu institusi yang berperanan besar di Malaysia ialah institusi agama, atau secara spesifik, pertubuhan agama Islam yang bernaung di bawah kekuasaan politik. Institusi yang saya maksudkan ini termasuklah JAKIM, Jabatan Agama Islam setiap negeri, serta Majlis Fatwa Kebangsaan. Kesemua ini merupakan institusi yang selalu kita dengar ‘bertindak’ terhadap isu-isu seputar agama dan umat Islam.

Selain bertindak sebagai badan penerangan mengenai agama Islam, mereka juga selalu sahaja, terutamanya kebelakangan ini, menjadi badan yang bertanggungjawab menghalang ‘anasir-anasir yang merosakkan Islam’ - seperti kata mereka. Kebiasaannya, institusi agama ini akan disokong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan apa-apa tindakan penguatkuasaan yang mereka rasa perlu.

Namun, hal ini masih merunsingkan kita, apabila tindakan institusi agama dalam isu-isu kebelakangan ini seolah-olah memberi gambaran yang salah tentang Islam. Sebagai contoh, dalam isu Syiah yang sedang hangat di Malaysia kini. Walaupun kita sedia maklum bahawa mazhab Syiah telah difatwakan sebagai “tidak menepati ajaran Islam” oleh sesetengah ulama dalam tradisi Sunni, namun hakikat ini tidak pernah membenarkan penindasan ke atas manusia yang bermazhab Syiah.

Kerancuan yang berlaku di Malaysia ialah; apabila isu Syiah ini dibesar-besarkan - mungkin dengan tujuan mengaut keuntungan politik - tindakan yang diambil selepasnya juga merupakan kezaliman ke atas manusia yang dijustifikasikan atas nama agama.

Oleh itu, kita memerlukan satu wacana yang segar demi mendefinisikan semula had serta peranan institusi agama serta kekuasaan politik supaya kebebasan individu - kebebasan berfikir, bersuara, serta berpersatuan - tidak dicabuli atas nama agama. Dan di titik inilah, kita di Malaysia masih belum mewacanakannya secara serius.

3181_Isiah-BerlinPersoalan Kebebasan Individu dan Autoriti Kekuasaan
Perbahasan soal kebebasan individu boleh dikesani seawal zaman Pencerahan lagi. Pemikir seperti John Locke dan Immanuel Kant sudah pun berusaha mengklasifikasikan jenis-jenis kebebasan yang sewajarnya dijamin untuk setiap individu. Kesemua ini kemudiannya dirumus secara mendalam oleh filasuf kontemporari Isaiah Berlin menerusi konsep “kebebasan negative” - negative liberty - dan “kebebasan positif” - positive liberty.

Menerusi syarahannya yang terkenal “Two Concepts of Liberty, Berlin menegaskan bahawa sebuah masyarakat mesti jelas mengenai kedua-dua jenis kebebasan ini supaya hak kebebasan individu tidak dicabul sesuka hati oleh pihak berkuasa.

Secara mudah, “kebebasan negatif” bermaksud bebas daripada halangan untuk seseorang individu melakukan sesuatu yang disukainya - freedom from coercion. Halangan di sini termasuklah daripada individu lain, pihak berautoriti dan sebagainya. “Kebebasan positif” pula membawa maksud kebebasan membuat pilihan untuk melakukan sesuatu bukan atas suruhan atau paksaan sesiapa. Dalam makalah ini, kita akan berfokus kepada “kebebasan negatif”, kerana kebebasan jenis inilah yang berkait secara langsung dengan hubungan seseorang individu terhadap sesebuah institusi agama dalam banyak kes di Malaysia.

Ide “kebebasan negative” ini penting untuk kita mendefinisikan secara jelas ruang awam dan ruang peribadi. Hal ini kerana, pencabulan kebebasan individu yang saya maksudkan di sini akan berfokus kepada pencabulan kebebasan dalam ruang peribadi seseorang individu untuk melakukan sesuatu yang dikehendakinya.

3181_On_LibertyJohn Stuart Mill menerusi adikarya beliau “On Liberty” telah menjelaskan akan ruang individu yang sewajarnya tidak dicerobohi oleh entiti kekuasaan bagi menjamin kebebasan individu. Ruang inilah yang sepatutnya dikendalikan sebebasnya oleh individu terbabit, biarpun untuk melakukan dosa sekalipun—yakni dosa yang tidak berkait dengan hak manusia lain seperti mencuri, merogol dan sebagainya.

Jika kita lihat kepada cara pengendalian autoriti agama menerusi institusi - bersama campur tangan kuasa - pada hari ini, kita dapat lihat beberapa contoh pencabulan ruang peribadi yang serius. Sebagai contoh, kita selalu sahaja mendengar penyerbuan dilakukan terhadap pasangan yang disyaki berkhalwat oleh Jabatan Agama negeri-negeri. Hal ini merupakan satu pencerobohan terhadap ruang peribadi pasangan tersebut, seandainya mereka melakukannya dengan kerelaan sesama sendiri. Saya tidaklah mengatakan bahawa berkhalwat dan berzina itu betul, bahkan saya beriman bahawa zina ialah satu dosa besar dalam Islam. Namun, untuk mencerobohi ruang peribadi orang yang melakukan satu dosa yang berkait dengan hubungan dirinya dengan Tuhan, saya katakan itu bukannya hak kita.

Dalam rentetan sejarah Islam, kita pernah diceritakan satu kisah mengenai Saiyidina Umar al-Khattab yang telah menceroboh rumah seorang pemuda yang sedang minum arak. Meminum arak - seperti zina - juga merupakan satu dosa besar dalam Islam. Namun, Saiyidina Umar telah dimarahi oleh lelaki tersebut kerana tiga perkara:

Selepas itu, Umar tidak memarahi atau mengatakan lelaki tersebut salah, malah Umar memohon maaf dan mengaku kesalahannya pula. Maka, bukankah kisah ini membuktikan bahawa tradisi Islam sendiri mengiktiraf hak individu untuk melakukan sesuatu dalam ruang peribadinya?

Jika apa yang dilakukannya ialah satu dosa, maka ia akan bertanggungjawab terhadap dosa tersebut di hadapan Tuhan nanti, tetapi bukanlah hak kita untuk menghukum perbuatannya itu. Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa perkara yang haram di sisi agama tidak semestinya wajar diharamkan di sisi undang-undang negara.

Maka di sinilah kita perlu mempersoalkan had serta sempadan bidang kuasa institusi agama untuk “mencegah maksiat” - seperti retorik yang selalu diulang-ulang. Pertama, seperti yang telah saya sebutkan tadi, kita perlu jelas akan pemisahan ruang awam dan ruang peribadi, dan di sinilah analisis boleh bermula. Seterunya, kita tahu bahawa menerusi pengajaran kisah Saiyidina Umar, adalah satu kesalahan untuk mencabuli hak seseorang untuk melakukan sesuatu dalam ruang peribadinya. Jadi, jelaslah bahawa penguatkuasaan institusi agama mestilah hanya berkisarkan ruang awam semata-mata.

Isu kedua yang selalu kita perhatikan di Malaysia, terutamanya kebelakangan ini ialah kebebasan berfikir. Mill sendiri menerusi “On Liberty” mengakui bahawa perkara ini adalah mustahil dihalang dan disekat, kerana ia melibatkan fakulti akal manusia yang sepenuhnya dikawal individu tersebut. Oleh itu, saya akan fokus kepada apakah proksi, atau gantian, yang boleh kita ambil untuk menunjukkan proses berfikir yang sedang berjalan.

Ketika mencari bukti mengenai tarikh sebenar manusia belajar berfikir, Prof. Randall White, salah seorang profesor Antropologi di New York University yang menekuni kesenian zaman Paleolitik berpandangan bahawa antara proksi yang penting untuk melihat tahap pemikiran manusia ialah bahasa dan kesenian.

Tarikh manusia belajar berbahasa dengan teratur serta mengekspresikan sesuatu pemikiran menerusi seni menunjukkan bahawa fakulti akal manusia sudah terbentuk dengan sempurna, menandakan bermulanya era manusia moden. Dalam zaman ini, antara medium untuk manusia meluahkan pandangan berdasarkan pola pemikiran mereka ialah tulisan.

Kebelakangan ini, kita mendengar banyak berita bahawa tulisan-tulisan tertentu diharamkan untuk dijual dan dibaca atas alasan “merosakkan akidah” atau membawa agenda “liberal” dan sebagainya. Kebanyakan pengharaman ini datangnya daripada institusi agama seperti JAIS, JAKIM dan berbagai-bagai lagi.

3181_Irsyad-ManjiSebagai contoh, pengharaman buku tulisan Irshad Manji yang dikatakan “menyesatkan” jelas menunjukkan pencabulan ke atas kebebasan berfikir dan bersuara. Sepatutnya dalam isu sebegini, institusi agama haruslah memainkan peranan untuk menjawab buku tersebut dengan cara yang betul dan berhikmah, mungkin menerusi wacana-wacana serta tulisan balas jika benar mereka mahu membuktikan “kesesatan” buku tersebut dan bukannya menggunakan kuasa untuk menyekatnya.

Dalam sebuah demokrasi yang matang, ruang berhujah dan membalas hujah wajar dibuka seluasnya, bukannya ditutup dengan alasan yang dijustifikasikan atas nama agama. Dengan menutup ruang kebebasan berhujah, bukan sahaja usaha mematangkan demokrasi akan terbantut, malah pembangunan pemikiran rakyat yang mampu dijana menerusi wacana intelektual yang bersifat terbuka juga semakin terencat.


Hazman Baharom adalah mahasiswa Economics and Social Studies di University of Manchester, UK. Beliau juga merupakan Intern di Islamic Renaissance Front.

[1] Lihat tulisan Prof. Mohsen Kadivar, “An Introduction to The Public and Private Debate in Islam”. Juga syarahan Dr. Abd. Razzak Mukri, ‘Comment on the Statement by the Carnegie Endowment Scholars’.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/meninjau-semula-hubungan-kuasa-dan-institusi-agama-i/