Melawan Politik Kekerasan

December 8, 2013 by Mohd Syazreen Abdullah

We can never be sure that the opinion we are endeavouring to stifle is a false opinion; and if we were sure, stifling it would be an evil still. [John Stuart Mills, On Liberty]

3385_Main
Budaya pembulian dan sekatan wacana bukanlah perkara baru dalam amalan politik kekuasaan dalam usaha mematikan semangat kebebasan berfikir.

Malahan budaya pengharaman buku dan wacana diskusi ini menjadi asas kepada kelompok kekuasaan untuk memastikan manusia tidak boleh terdedah kepada wacana yang berbeza kefahaman dan kepercayaan. Wacana yang bersifat pembulian ini secara alaminya telah mengkhianati semangat kebebasan warganegara dalam meyakini apa yang mereka percaya dan yakini.

Pengharaman buku Faisal Tehrani oleh pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan turut menimpa sebelum ini buku Irsyad Manji dan Kassim Ahmad seakan-akan mengambarkan bagaimana pihak berkuasa bertindak tidak menghormati kebebasan intelektual dan kepercayaan yang berbeza ini dengan mematikan ide-ide melalui tindakan kekerasan yang sangat cukup tidak beretika. Ia merupakan ketidakadilan dalam mengurus hak kebebasan Individu warganegara.

Kemerdekaan memberi pandangan adalah sebuah bentuk hak yang tidak boleh dicerobohi malah kewajipan warganegara itu bebas dalam memberi pendapatnya melalui ucapan mahupun tulisan. Individu atau manusia sebagai warganegara itu memiliki kebebasan dalam melakukan segala selagi sifatnya itu tidak menceroboh dan merugikan manusia lain.

3385_On-LibertyJohn Stuart Mills melalui karyanya On Liberty dalam perbincangan tentang kebebasan berfikir dan berdiskusi menegaskan bahawa pemikiran yang cuba untuk ditindas oleh pihak berotoriti mungkin adalah pemikiran yang benar. Dan mereka yang cuba menindas pemikiran tersebut semestinya menolak kebanaran tersebut; tetapi mereka sebenarnya bukan manusia yang maksum. Sesungguhnya seseorang itu tiada kuasa untuk menentukan persoalan bagi seluruh manusia. Menolak utuk mendengar sesuatu pandangan semata-mata kerana beranggapan bahawa ia adalah suatu kekeliruan sebenarnya mengira bahawa pegangan dan kefahaman yang telah dipegang itu adalah keyakinan yang benar secara mutlak. Sesungguhnya segala bentuk penindasan terhadap diskusi dan wacana adalah merupakan asumsi atau tanggapan pencapaian makam kemaksuman.

Manifestasi kekerasan atau sifat pembulian ini atas dasar untuk memastikan kekuasaan sebuah wacana atau mempertahankan otoriti rejim politik itu di dalam budaya masyarakat sama sekali tidak dapat membawa persoalan ini kepada sebuah proses pendamaian harmoni. Sebaliknya ia boleh membawa kepada kerosakkan yang yang tidak dapat dijangka kesan akhirnya seperti yang telah diungkapkan oleh Hannah Arendt sebagai unpredictability. Hannah Arendt yang terkenal sebagai political theorist menulis di dalam tulisan pentingnya On Violence sebagai tindakbalasnya terhadap wacana politik pada abad ke-20 yang menjadikan tema kekerasan sebagai alat untuk mempertahankan kekuasaan.

3385_arendt-hannah-the-origins-of-totalitarianism1Tiada demokrasi dan kebebasan warganegara untuk berfikir malahan ia melumpuhkan budaya berfikir dan menyekat sebarang proses emikiran kritikal rakyat supaya kekuasaan penguasa tidak perlu dicabar. Kaedah pembunuhan ide ini telah diungkapkan Arendt didalam buku lainnya The Origin Of Totalitarianism tentang bagaimana suatu ideologi itu dapat dikawal dengan membunuh segala karekter, wacana dan pandangan yang dapat menimbulkan kerisauan pada proses wacana kuasa pihak berotoriti.

Mematikan Diskusi Dan Kehidupan Bersama

Tuhan telah memberikan kemuliaan kepada manusia dengan kurniaan akal dan manusia itu menggerakkan akalnya dengan kekuatan atas perbuatannya supaya dapat melaksanakan fungsi manusia yang tertinggi iaitu untuk menjadi agen yang bertindak pada lapangan politik kehidupan. Dan tiadalah akal itu dipandu kepada penindasan sesama manusia.

Menghidupkan wacana dan peranan akal untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba kepada pembodohan ataupun penganiyaan sama ada bersumberkan manusia ataupun materi. Tetapi sebaliknya yang berlaku ketika ini budaya kekerasan ataupun pembulian ini menjadi tema kepada politik penguasaan untuk mereka mengekalkan kuasanya. Mereka akan mengharamkan segala perkara yang tidak mereka persetujui dan menindas kepada golongan yang sedikit. Maka berlakulah apa yang dinamakan tyranny of the majority.

Pencerobohan dan sifat esklusif penganut agama dan bangsa ini tidak lagi jujur untuk bersama merasakan kewujudan kebersamaan dalam perbezaan pandangan,kepercayaan dan budaya pada ruang publik ini untuk berkongsi minat dan perbedaan yang diuruskan bersama dalam ranah ruang awam ini. Seharusnya ruang publik ini menjadi tempat kepada manusia membentuk wacana politik dan kehidupan bersama tetapi sebaliknya ia bertindak mematikan budaya dan menyerang ruang dan hak kepercayaan peribadi yang berbeda. Inilah penindasan yang membentuk politik kekerasan yang diamalkan pihak berkuasa agama seperti JAKIM dalam usaha mengharamkan segala bentuk aliran dan budaya yang dilihat kononnya membahayakan pemikiran dalam beragama.

3385_Farid-EsackBeban pengalaman sebegini seperti telah dilalui oleh Farid Esack, pemikir Muslim di Afrika Selatan yang dikenali pemikirannya melalui bukunya Qur’an, Liberation and Pluralism, bagaimana kekecewaannya kepada dogma keagamaan yang bersifat menindas dan dijadikan legitimasi. Majmuk agama bukan lagi menjadi tempat melawan projek anti kemanusiaan dan megangkat golongan tertindas sebaliknya menjadi pusat menjatuhkan hukuman dan menceroboh ruang peribadi manusia.

Bagaimana boleh kebebasan itu dilenyapkan dalam ruang komunikasi hidup bersama kerana manusia itu adalah makhluk yang punyai keadaan dan kesedaran dalam tindakannya yang menghubungkan tindakan dan penciptaan atas dasar pilihan yang diambil. Maka itulah kebebasan yang telah secara luar sedar manusia itu menjadi makhluk yang bebas bertindak dan berfikir yang membentuk keputusan politik didalam aktivitinya bersama didalam ruang publik yang bersama.

Maka dengan itu, kelompok yang dianggap berpegang kepada aliran dan pemikiran yang berlainan mestilah diberikan hak kebebasan mereka sebagai warganegara untuk menjalani kehidupan sebagai warganegara. Mereka seharusnya dibenarkan untuk menganuti pemikiran yang meraka yakini dan penyebaran aliran itu menjadi sebuah esensi dalam tujuan pengamalan mereka.

Apakah penyebaran dakyah aliran pemikiran itu dapat dianggap sebagai pencerobohan golongan minoriti kepada majoriti mestilah dilihat esensinya sebagai seorang yang yakin kepada kepercayaan yang dianutinya. Oleh kerana pemikiran dan keyakinan adalah suatu tujuan dalam keadaan tidak sedar yang kemudaiannya membentuk suatu kesedaran, maka ia secara semulajadi mengaruh setiap penganut amalan keyakinan itu untuk disebarkan. Ia juga merupakan suatu fitrah pengamalan dan bukannya satu tindakan pencerobohan. Maka beban yang menjadi ketakutan masyarakat majmuk adalah dengan mengangkat suatu kepercayaan dan menafikan kepercayaan yang lain.

Hal ini jelas bertentangan dalam amalan hidup bersama di dalam ruang publik tetapi keyakinan tertinggi keyakinan anutan peribadi itu mestilah diletakkan pada ruang individu. Penyebaran dan perkongsian dalam ranah publik tidak boleh sama sekali dihalang lantaran ia adalah hak dan kebebasan individu sebagai warganegara yang bebas.

Menghidupkan Semangat Dan Tindakan Pencerahan

Pengamalan budaya dan kebebasan berfikir di Malaysia nampaknya tidak dapat menggerakkan masyarakat yang lebih progresif dalam menjalani kehidupan pelbagai budaya yang rencam. Ketakutan yang menebal di dalam pemikiran yang telah kuat ditanam pada pemikiran orang Melayu khususnya oleh budaya politik pemerintah menjadikan politik kekerasan sebagai jalan penyelesaian untuk menutupi segala ancaman pemikiran dan budaya yang dilihat kononnya membawa kepada rosaknya pemikiran dalam beragama. Budaya kritis dan wacana yang mencorak melawan tradisi pemikiran yang sedia ada dan kepercayaan kuno digambar seakan menjadi suatu wajah suram yang penuh dengan agenda yang merosakkan.

Bersandar kepada semangat pencerahan maka aktiviti berfikir manusia mestilah dibebaskan. Ketidakadilan dalam masyarakat dan pengamalan budaya mengkendaki sikap kritis dan penggunaan akal sebagai alat yang menjadikan pengamalan budaya supaya sebuah pengamalan budaya dan politik itu mestilah dihukumi dengan seadilnya dan bebas daripada kekerasan mahupun kekuasaan yang bersifat otoritarian.

Akan tetapi, pembentukan pengamalan budaya dan politik di Malaysia dilihat lebih bersifat menyekat dan menghalang segala aktiviti yang dianggap berlainan dengan kefahaman dan kepercayaan. Wacana dan buku yang dilabel sebagai membawa kepada “pencemaran akidah” tidak langsung diperdebatkan dengan cara ilmiah dan kritikal. Dan yang lebih parah ialah budaya pendidikan termasuk diperingkat niversiti masih lagi mengamalkan aktiviti yang tidak boleh membawa kepada pemikiran kritis dan kemajuan dalam metologi berfikir.

Demikian juga semangat wacana pencerahan anak muda di negara ini masih lagi bersifat dogmatik dengan mengangkat sesuatu slogan dan memuja tokoh tanpa melalui proses “kerja rumah” dan bacaan yang mendalam yang lebih kritis demi pembangunan masyarakat dan Negara.

3385_KantWacana pluralitas dan kebebasan adalah wacana yang sewajarnya diangkat dan dinobatkan seraya menolak segala wacana kekerasan dalam penindasan. Demikian juga untuk menghidupkan semangat dan tindakan pencerahan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Immanuel Kant di dalam eseinya yang penting Beantwortung der Frage: Was ist Aufklärung? – Menjawab persoalan: Apa itu Pencerahan?

Bahawa penggunaan daya akal itu hendaknya dalam semua perkara dan dengan kata kuncinya kebebasan. Manakala segala aktiviti yang menyekat norma kebebasan hendaklah dilawan kerana penggunaan daya akal seseorang mestilah sentiasa bebas. Kerana yang demikian itu sahaja yang dikatakan Kant dapat membawa pencerahan kepada sekelian insan. Ketidakadilan pengurusan politik, ekonomi dan institusi agama wajiblah diperbaiki dengan semangat perjuangan kebebasan dan keadilan yang bersandarkan semangat pencerahan.

Sapere Aude!


Mohd Syazreen Abdullah adalah mahasiswa Teologi, Yarmouk University dan Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front (IRF)




View original article at: https://irfront.net/post/articles/melawan-politik-kekerasan/