Muhammad Asad dan Terjemahan Sahih al-Bukhari: Suatu Analisis Awal – Bahagian I

February 2, 2015 by Dr Ahmad Nabil Amir

1.Fisrt Para

Tulisan ini menganalisa usaha dan sumbangan al-‘Allamah Muhammad Asad (1900-1992) dalam menterjemah dan mensyarah kitab Sahih al-Bukhari oleh Imam Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Isma‘il ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Bardizbah al-Ju‘fi al-Bukhari (194-256/810-870). Karya ini telah diterbitkan pada tahun 1938 oleh Arafat Publications, Lahore. Buku Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam (Sahih al-Bukhari: Tahun-Tahun Terawal Islam) (hh. viii + 306) ini merupakan sumbangannya yang penting dalam mengupas kefahaman hadith dalam pemahaman moden.

Demikian juga kupasannya yang lain dalam makalah hadith yang ringkas seperti Social and Cultural Realities of the Sunnah (dimuatkan dalam buku Hadith and Sunnah Ideals and Realities ed. P.K. Koya, [hh. 233-250] Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 2003). Di akhir penulisan ini, dimuatkan terjemahan kepada pengantar yang ditulis oleh Muhammad Asad terhadap buku ini (edisi 1938), bagi memperlihatkan latar sejarah tentang usaha terjemahan dan komentarnya yang terperinci terhadap kompilasi kitab Sahih al-Bukhari ini.

 

Menerokai pengalaman Muhammad Asad dalam penterjemahan Sahih al-Bukhari

Sesungguhnya ide untuk menterjemahkan kitab Sahih ke dalam bahasa Inggeris yang merupakan sesuatu yang belum pernah diusahakan sebelumnya, tercetus sewaktu beliau berkelana selama lima tahun di Madinah. Ketika mempelajari ilmu hadith di Masjid Nabawi, suasana yang tenteram itu memberikan semangat Islam yang luar biasa kepadanya. Maka adalah menjadi matlamat utama Asad untuk melahirkan pemahaman yang baru akan teks yang berusia ribuan tahun yang lantas sewajarnya akan memberikan penghargaan langsung terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Muhammad Asad menetap di kedua kota suci Makkah dan Madinah, dan pertemuannya dengan Putera Faysal di perpustakaan Masjidil Haram membuahkan pertemuannya dengan Raja Abdul Aziz al-Sa’ud yang merupakan pengasas Arab Saudi yang moden. Pertemuan ini menjadi semakin kerap malahan merupakan hampir rutin harian yang menyebabkan Raja Abdul Aziz sangat-sangat menghargai akan ilmu pengetahuan, kepintaran pemikiran dan kekuatan ruh dan semangat Muhammad Asad.

2.Fifth ParaPengkajian dan pembelajaran di kota Makkah dan Madinah itu membawa Asad kepada satu keyakinan yang mendalam, sebagai suatu fenomena sosial dan spiritual, bahawa Islam, dalam segala kepincangan akibat daripada kekurangan yang ada pada sekian Muslim, masih merupakan kuasa terkuat yang pernah dirasai para manusiawi. Bermula dari itulah hingga ke akhir hayatnya, minatnya berkisar disekitar masalah yang perlu dihadapi dalam menghidupkan semula Islam.

Pengetahuan akademiknya tentang bahasa Arab klasik – yang dimudahkan dengan pemahamnnya terhadap bahasa Hebrew dan Aramaic yang merupakan bahasa Semitic juga – dipertingkatkan dengan pengembaraannya dan perhubungannya dengan puak-puak Badwi di semenanjung Arab.

Setelah lebih lima tahun di kota Makkah dan Madinah, Asad terus mengembara dan meneroka semenanjung tanah Arab dari bahagian utara ke selatan sehingga pada tahun 1932, debu-debu India menggantikan udara segar padang pasir tanah Arab.

Semasa di India, beliau menghabiskan usahanya dalam menterjemah dan menghuraikan Sahih al-Bukhari dalam Bahasa Inggeris, suatu tugas yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana sarjana Islam pada ketika itu. Sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Muhammad Asad, ide tentang menghuraikan Sahih Bukhari itu telah tersemat di jiwanya ketika beliau berada di Madinah selama lima tahun, mempelajari ilmu berkaitan ‘ulum al-hadith.

Sahih al-Bukhari keseluruhannya sempat diterjemahkan dan disyarahkan oleh Asad. Penerbitan pertamanya bermula pada tahun 1935 dan jilid pertama yang mengandungi lima bahagian sempat diterbitkan sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Kelima-lima bahagian itu sepatutnya dituruti oleh tiga puluh lima bahagian lagi yang telahpun siap diterjemah dan disyarahkan. Namun segala hajatnya tergendala akibat perang tersebut.

Ketika Perang Dunia ke-2 tercetus, Asad yang berada di India di masa itu bersahabat dengan Muhammad Iqbal, yang mencetuskan ide pemisahan Pakistan. Iqbal memujuk Asad agar meninggalkan rancangannya untuk mengembara ke utara Turkistan, negeri Cina dan Indonesia sebaliknya “membantu menyedia dan menjelaskan premis intelektualisme bagi masa depan negara Islam”.

Tetapi, Asad berada di bawah tahanan Inggeris di India pada akhir Perang Dunia. Apabila berakhir perang, Asad berhasrat meneruskan usahanya menerbitkan Sahih al-Bukhari yang tergendala. Telah ditakdirkan, tercetus pula kekacauan antara kaum pada ketika itu yang mengakibatkan terbentuknya negara Pakistan. Sejak perang berakhir, Asad menetap di daerah Punjab. Namun rusuhan yang berlaku pada ketika itu telah memusnahkan segala terjemahan dan huraian Sahih al-Bukhari yang telah beliau siapkan.

Menurut Asad beliau melihat dengan matanya sendiri bagaimana helain-helain manuskripnya terapung di atas aliran Sungai Ravi di celah helain kitab-kitab Arab yang dikoyak bersama tinggalan perpustakaannya. Demikianlah kesudahannya kepada usaha lebih sepuluh tahun dalam menyiapkan manuskrip tersebut.

Namun Asad tidak berputus asa. Beliau mendapat keazaman baru bahawa segala usahanya tersebut tidak akan hilang begitu sahaja tetapi merupakan persediaan baginya dalam suatu usaha yang lebih agung iaitu menterjemah dan menghuraikan al-Qur’an di dalam Bahasa Inggeris berdasarkan prinsip bahawa pintu ijtihad tidak akan dan tidak pernah tertutup kepada daya pencarian intelek manusia.

 

Sahih al-Bukhari

Sahih al-Bukhari atau al-Jami‘ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah (saw) wa Sunanihi wa Ayyamihi (saw) merupakan kitab hadith yang disusun oleh Imam Muhammad b. Isma‘il b. al-Mughirah al-Bukhari yang memuatkan 7,275 hadith (yang berulang) atau 2,602 hadith (tanpa ulangan).

3.Para15Hadith yang dikeluarkan dalam kitab Sahih ini diseleksi dari sekitar 300,000 hadith yang dikumpulkannya dalam upaya pencarian hadith yang dikerah dengan keras di Mekah, Madinah, Basrah, Kufa, Baghdad, Mesir dan Syam. Kitab ini menghimpunkan hadith mengikut bab-bab fiqh, yang merangkumi 97 kitab dan 3450 bab. Ia memuatkan tema-tema pokok dalam syariat meliputi tema adab, manaqib, tafsir, aqidah, hukum, al-maghazi wa’l-siyar, al-syama’il, al-tarikh, al-raqa’iq, dan al-fitan.

Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim, menjelaskan bahawa kitab Sahih ini mengandungi 2,602 hadith mawsul, 1,341 hadith mu‘allaq, dan 344 hadith mutaba‘at.

Shaykh al-Islam Abu al-Fadl Shihab al-Din Ahmad b. ‘Ali ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Hady al-Sari Muqaddamah Fath al-Bari menjelaskan tentang kerangka dan struktur kitab al-Jami‘ al-Sahih ini dan ketinggian fiqh dan manhaj yang dilakarkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitabnya yang diiktiraf ulama secara ijma‘: “dan saya telah melihat al-Imam Abu ‘Abd Allah al-Bukhari dalam kitab Jami‘ Sahihnya telah berusaha untuk memetik cahaya dari keduanya (al-Qur’an dan as-Sunnah) dengan jalan taqrir dan istinbat… dan dilimpahkan kurnia rezeki dengan ketulusan niatnya yang baik dari apa yang dikumpul sehingga tunduk kepadanya kalangan yang menentang dan menyetujuinya, dan diterima perkataannya dalam pentashihan dengan akur kalangan yang bersepakat dan menyelisihinya.” (hlm. 3)

Ibn al-Salah dalam Muqaddimahnya mencatatkan: “yang pertama menulis kitab Sahih adalah Bukhari, Abu ‘Abdillah Muhammad ibn Isma‘il al-Ju‘fi, diikuti oleh Abu al-Husayn Muslim ibn al-Hajjaj al-Naysaburi al-Qushayri, yang merupakan muridnya, berkongsi banyak dari mashayikh yang sama. Kedua kitab ini adalah yang paling sahih setelah al-Qur’an.”

Kitab Sahih ini telah melakar pengaruh yang meluas dalam tradisi syarah, dengan lebih 82 kitab syarah yang dihasilkan terhadapnya. Manhajnya telah mendapat penelitian dan perbahasan yang hebat di kalangan ulama dan diangkat sebagai kitab yang paling sahih setelah Kitabullah. Ia menjadi rujukan penting ulama hadith dalam membangunkan disiplin dan metodologi hadith yang substantif merangkumi kefahaman al-dirayah dan al-riwayah al-hadith seperti ilmu al-jarh wa ta‘dil, asma’ al-rijal, mustalah al-hadith, shuruh al-hadith dan lain-lain.

Antara kitab-kitab syarah yang muktabar yang memberikan komentar yang ekstensif terhadap Sahih al-Bukhari termasuklah kitab I‘lam al-Sunan oleh Abu Sulayman Hamd b. Muhammad b. Ibrahim b. Khitab al-Busti al-Khattabi (w. 388/931-996), Tafsir al-Gharib ma fi al-Sahihayn oleh al-Humaydi (w. 1095 M), Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal (w. 449), Kashf al-Mushkil oleh Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman ibn ‘Ali ibn al-Jawzi (w. 597), al-Talkhis oleh Imam al-Nawawi (w. 1277 M), al-Kawakib al-Darari oleh al-Kirmani (w. 786), Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ahmad ibn ‘Ali ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852/1372-1449), Fath al-Bari oleh Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795), ‘Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Badr al-Din Mahmud ibn Ahmad al-‘Ayni (w. 855/1361-1451), al-Tawdih li Sharh al-Jami‘ al-Sahih oleh Ibn al-Mulaqqin (w. 804), al-Talwih fi Sharh Jami‘ al-Sahih oleh Jalal al-Din al-Suyuti (w. 911), Irshad al-Sari li Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ahmad ibn Muhammad al-Qastalani (w. 923/1447-1517), Tuhfat al-Bari oleh Zakariyya ibn Muhammad al-Ansari (1423-1520), Lami‘ al-Darari Ta‘liq Sharh al-Bukhari oleh Shaykh al-Hadith Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi (1898-1982), Fayd al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Muhammad Anwarshah al-Kashmiri al-Hanafi (1875-1933), Minhat al-Bari fi Khidmat Sahih al-Bukhari oleh Mustafa Dib al-Bugho dan lain-lain.

Kitab ini turut diringkaskan oleh para mashayikh hadith yang besar seperti kitab al-Tajrid al-Sarih oleh al-Zubaydi, Mukhtasar Sahih al-Bukhari oleh Muhammad Nasir al-Din al-Albani, Mukhtasar Ibn Abi Jamrah atau Jam‘ al-Nihayah fi Bad’i al-Khayr wa’l-Ghayah oleh ‘Abd Allah ibn Abi Jamrah (w. 1300) dan sebagainya.

Di Arkipelago Melayu, kitab ini telah dibahaskan dengan meluas dan telah memberikan pengaruh yang signifikan kepada kebangkitan karya-karya syarah hadith yang besar yang dihasilkan oleh ulama dan muhaddith dan fuqaha tempatan seperti kitab Ilham al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Al-Ustadh Hj. ‘Abdul Halim b. Hj. Noh b. Hj. ‘Abdul Hadi b. Mayan Terona (w. 1981 M), Sharh Tarajum Abwab al-Bukhari oleh Abu ‘Abdullah Sayyid Hassan b. Nur Hassan (Tok Khurasan) (1875-1944), dan lain-lain.

 

Sahih al-Bukhari : The Early Years of Islam

4.Para23Sahih al-Bukhari : The Early Years of Islam (Sahih al-Bukhari: Tahun-Tahun Terawal Islam), merupakan lakaran penting tentang manhaj dan idealisme hadith yang dirakamkan dalam kitab Sahih al-Bukhari. Ia menjelaskan ruh dan intipati dan maqasid hadith dan maksudnya yang mendasar, di samping menganalisis ketinggian dan kekuatan riwayat yang disampaikan dalam penyusunan kitab Sahih. Sumbangan besar ini dizahirkan dalam penulisan kitab syarah ini yang memberikan kupasan dan huraian yang ekstensif terhadap jalur isnad dan matannya.

Kitab ini diusahakan pada tahun 1932, ketika Muhammad Asad berada di India setelah meninggalkan kehidupan padang pasir dan mengenali akar budaya dan sejarah bangsa Arab dan tamadunnya dan menguasai lenggok bahasa dan tradisi pemikiran dan kehidupan badawi yang dijalaninya di tanah Arab.

Di wilayah India inilah beliau memulakan terjemahan dan komentarnya yang meluas terhadap Sahih al-Bukhari. Ia mengemukakan rakaman sejarah yang dicatatkan dalam kompilasi hadith yang terpenting, Kitab al-Jami‘ al-Sahih oleh Imam al-Bukhari yang menampilkan detik permulaan wahyu kerasulan, keutamaan para Sahabat Rasulullah, dan hari-hari terawal Islam hingga dan termasuk ke suatu detik penentu dalam sejarah Islam, peperangan Badar.

Usaha yang monumental ini diselesaikan dalam tempoh sepuluh tahun, ketika memuncaknya perang dunia kedua dan peralihan kuasa kolonialisme yang mencengkam dan mengalahkan dunia Timur. Sebenarnya ide untuk menguraikan kitab Sahih ini tercetus sewaktu beliau menuntut ‘ulum al-hadith di Masjid al-Nabawi. Keberadaannya di Madinah menghadapi warisan dan tradisi hadith yang historis itu mengilhamkan semangat dan kesedaran Islam yang tinggi kepadanya untuk mengemukakan sebuah tafsiran dan terjemahan moden dalam bahasa Inggeris terhadap Kitab Sahih, bagi menghidupkan semula warisan Nabawi yang tulen seperti yang dirasakan di zaman terawal Islam.

Dalam perencanaannya yang awal beliau merancang untuk menerbitkannya secara bertahap sebanyak empat puluh jilid. Jilid pertama yang mengandungi lima bahagian dari kitab ini sempat diterbitkan pada tahun 1938 sebelum meletusnya perang dunia kedua. Tiga puluh lima bahagian lain yang telah diterjemah dan disyarah musnah dalam rusuhan kaum di Punjab, dan manuskrip-manuskrip berharga dan lembaran kertas-kertas yang terhimpun dalam perpustakaannya hanyut dalam arus garang sungai Ravi.

Serpihan-serpihan yang tinggal dari kesan pemusnahan yang barbarik itu telah diedit dan diulang cetak pada tahun 1981 dan 1993 oleh Dar al-Andalus, Gibraltar dan Islamic Book Trust pada 2002. Menurut Muhammad Asad, penghasilan kitab syarah dalam bentuk yang baru dan lebih bermaruah adalah mendesak kerana manuskrip-manuskrip klasik yang tersebar sukar dibaca kerana catatannya kacau-balau dan tulisannya bercampur-baur yang menjadikannya sulit untuk diteliti dan dibezakan dengan matan yang asli. Lantaran itu kitab ini dirangka dalam bentuk moden dan sistematik, dalam bentuk nota kaki (hashiyah) yang ekstensif. Hal ini memberikan pembahagian yang lebih jelas antara teks [matan hadith dan syarah] yang merupakan pembaharuan yang signifikan dalam penulisan syarah di abad moden.

Melihat kepada analisa dan perbahasan hadith yang ditampilkan dalam kitab The Early Years of Islam ini, dapatlah kita memahami bagaimana kefahaman dan keberkesanan ide dan pandangan yang dizahirkan oleh Muhammad Asad dalam mengupas dan menghuraikan nas hadith. Karyanya mengungkapkan kefahaman hadith yang tuntas yang merangkul kefahaman bab (fiqh al-bab), dalil, pentarjihan fiqh dan mazhab, asbab al-wurud (latar hadith), fiqh al-hadith dan maqasidnya dan fawa’id al-nas (faedah-faedah yang dikutip daripada nas hadith).

Muhammad Asad, dengan penulisannya ini, telah memberikan analisis hadith yang terbaik dan pentafsiran sirah yang berkesan yang menjadi pelantar dan landasan dalam memahami hukum dan maqasid hadith dan nas.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah sarjana kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya. Beliau adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/muhammad-asad-dan-terjemahan-sahih-al-bukhari-suatu-analisis-awal-bahagian-i/