Muhammad Asad dan Terjemahan Sahih al-Bukhari: Suatu Analisis Awal – Bahagian II

February 9, 2015 by Dr Ahmad Nabil Amir

Pengantar Cetakan Pertama (1938) 

1.Para1KARYA yang kini dikemukakan kepada khalayak ini merakamkan bab-bab sejarah dari sebuah kompilasi hadith yang terpenting, Kitab al-Jami‘ al-Sahih oleh Imam Muhammad ibn Isma‘il al-Bukhari, dan memaparkan permulaan wahyu kerasulan dan tahun-tahun terawal Islam hingga dan termasuk detik penentu dalam sejarah Islam tersebut, peperangan Badr. Lima bahagian yang mana jilid ini rangkumkan akan diikuti dalam aliran waktu, dengan izin Tuhan, dengan tiga puluh lima lagi bahagian yang mengandungi terjemahan, dan komentar saya ke atas seluruh kitab Sahih al-Bukhari.

Ide untuk menterjemahkan kitab Sahih ke dalam bahasa Inggeris – tugas yang belum pernah dicuba sebelumnya – tercetus sewaktu saya berkelana selama lima tahun di Madinah, ketika mempelajari ilmu hadith di Masjid Nabawi. Dalam iklim yang tenteram itu, keperluan untuk menemukan sekali lagi hubungan langsung dengan semangat Islam yang asli hadir dengan kekuatan yang luar biasa kepada saya. Sesungguhnya adalah tidak memadai, saya sedar, untuk mengetahui apa pemikiran orang yang hebat itu tentang hal itu dan hal ini yang bersifat Islami; maka adalah tidak memadai untuk hidup di bawah bayangan pemikiran yang telah difikirkan pada zaman yang begitu jauh dari kita yang hampir tiada persamaan dengan kehidupan kita sekarang. Apa yang sangat mendesak yang kita perlukan hari ini adalah kefahaman baru dan penghargaan langsung terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Untuk mencapai ini kita harus sekali lagi menjadikan riil suara Nabi Islam – begitu riil, seakan-akan Baginda berbicara langsung dengan kita dan untuk kita: dan di dalam hadithlah suara Baginda dapat didengar dengan paling jelas sekali.

Istilah hadith (jamak ahadith) terutamanya menunjukkan suatu naratif atau khabar; dalam pemakaian teologi Islam ia bermaksud rakaman perkataan dan perbuatan Nabi Muhammad, dan justeru diterjemahkan sebagai “Tradisi”.

2.Para5Para sahabat Rasulullah mengambil urusan kepercayaan dan tatacara perlakuan mereka daripada contoh yang ditunjukkan Nabi sebagaimana mereka mengambil daripada al-Qur’an. Bagi generasi Muslim yang terkemudian, yang tidak lagi melihat kehidupan Nabi terpampang di hadapan mata mereka, pengetahuan yang pasti tentang rakaman yang mengabadikan ajaran Baginda menjadi keperluan yang lebih besar: maka manusia mula mengumpulkan dan menulis Hadith yang disampaikan kepada mereka melalui para Sahabat dan tabi‘in. Daya ingatan yang luar biasa masyarakat Arab, yang cukup banyak dibuktikan dalam sejarah, adalah kelebihan yang besar untuk pemeliharaan yang sebenar terhadap Hadith. Tambahan pula, semasa kehidupan Nabi sebahagian kecil daripada kalangan sahabat Baginda seperti ‘Abdullah ibn ‘Amr lazim mencatat dan menuliskan khabar ini; maka dalam kejauhan yang makin bersengkang daripada zaman Nabi, usaha sedemikian ini amatlah mendesak.

Bagaimanapun, sehingga permulaan abad ketiga Hijrah, tidak ada sistem dalam pengumpulan ini, dan hadith-hadith itu jarang yang disaring dengan kritis secara idividu. Kesannya, banyak materi yang tidak dapat disandarkan bercampur dengan yang tulen; dan sebagai reaksi kepada fenomena ini, penelitian hadith yang kritikal dilakukan dan dengan pantas berkembang menjadi suatu disiplin ilmu.

Dalam kes sebarang dokumen sejarah bersabit dengan masa sebelum penyusunannya, maka cara untuk mengesahkan adalah, pertama; sokongan dalil yang dikemukakan dalam dokumen yang didatangkan oleh sumber lain, yang bersifat independen; dan, kedua, penyiasatan yang terperinci tentang kebolehpercayaan autoriti – ataupun rantaian autoriti – yang bertanggungjawab terhadap pemindahan fakta sejarah yang mendasari dokumen tersebut.

3.Para8(isnad)Prinsip ini secara beransur, dan dengan peningkatan yang meyakinkan, digunapakai kepada ilmu Hadith. Catatan yang berbeza mengenai satu insiden atau perkataan yang sama dibandingkan dengan kritis, dan setiap rantaian perawi (dipanggil isnad) tertakluk kepada penilaian yang intens. Bagi sesuatu Hadith untuk dikenal sebagai “kuat” (sahih), semua fakta tentang kehidupan perawinya, bermula dengan sahabat Nabi atau sahabat-sahabat yang pertama meriwayatkannya, harus diketahui dan ditegakkan dalam sejarah, termasuk fakta tentang jalur para perawi yang bersambung, dan bukti yang positif bahawa setiap seorang daripada mereka mempunyai hubungan langsung dengan autoritinya, iaitu, orang yang mengkhabarkan kepadanya hadith yang dibicarakan.

Setiap seorang daripada perawi haruslah dikenali sebagai lurus, bertaqwa, adil dan mempunyai ingatan yang sempurna – sejauh bahawa sebarang cabaran yang dapat dibuktikan (ta‘n) pada mana-mana perkara ini secara automatik melucutkan perawi tersebut daripada senarai autoriti yang terpercaya (thiqat). Dan, akhirnya, jika dua orang atau lebih yang sebaliknya dapat dianggap sebagai terpecaya meriwayatkan Hadith dalam subjek yang sama yang secara intrinsik berbentur, maka mereka hilang kewibawaan dan posisi mereka sebagai autoriti yang tak dipersoalkan, dengan hasil bahawa tiada Hadith yang diriwayatkan oleh mereka (iaitu, tanpa diperkuatkan oleh jalur perawi yang lain) dapat dengan sendirinya diklasifikasi sebagai sahih.

Hal ini tidak bermaksud untuk melakarkan di sini metodologi hadith yang penuh; bait bait di atas hanya sekadar menghuraikan satu daripada alasan terhadap penghormatan luar biasa yang diberikan kepada Kitab al-Jami‘ as-Sahih oleh Al-Bukhari di seluruh dunia Islam. Penghargaan ini adalah kerana rasa intelektual dan tanggungjawab moral yang tinggi dan persyaratan yang ekstrim ketat di mana penulisnya - yang hidup dalam separuh pertama daripada abad ketiga Hijrah (bersamaan dengan abad kesembilan Masihi) – mendekati permasalahan hadith. Standard pemeriksaan dan penelitiannya adalah jauh lebih menyeluruh daripada mana-mana Muhaddith sebelum atau setelahnya; dan dengan aman dapat dikatakan bahawa pada hari ini, ia berupaya menjawab tuntutan yang paling rewel daripada kritikan sejarah.

Kesedaran kita bahawa Hadith yang dianggap sahih oleh sosok yang paling teliti dari kalangan Muhaddith ini secara historis dapat diandalkan adalah sangat penting kepada masa depan ideologi Islam: kerana ianya di dalam sunnah – cara hidup - Nabi Terakhir bahawa semangat Islam menemui pengucapannya yang autentik, konkrit; dan ianya melalui ahadith sahaja bahawa sunnah Nabi disampaikan dengan sepenuhnya kepada kita. Dengan perkataan lain, pengetahuan kita tentang hadith adalah kunci yang krusial kepada pemahaman yang sempurna tentang Sunnah dan, dengan itu, tentang Islam.

Keperluan bagi seorang Muslim, untuk mengikuti sunnah Nabi adalah tertegak dengan kukuh dalam al-Qur’an sendiri. Tetapi seseorang dapat bertanya: Mengandaikan bahawa Hadith sepertinya adalah tulen dan boleh dipercayai, adakah kondisi dunia dan masyarakat hari ini membenarkan aplikasi sunnah yang sepenuhnya dalam kehidupan praktikal umat Islam, atau adakah aplikasi yang sepertinya – sebagaimana sebahagian dakwa – mengakibatkan kepada kebekuan sosial yang total, dan lantaran itu menjadi halangan yang kekal kepada kemungkinan rencam budaya daripada dunia Islam?

Terhadap soalan ini kita punyai jawapan yang definit: Sekiranya, walaupun dengan pengarahan al-Qur’an yang jelas berkait dengan sunnah Nabi, bahawa sunnah tidak dapat dipraktik pada waktu ini atau masa-masa yang lain, maka satu-satunya kesimpulan yang mungkin diambil adalah perntah al-Qur’an yang berkaitan adalah, dengan sendirinya, tidak membawa apa-apa makna dan tidak praktikal. Maka bagi seorang Muslim, yang memandang al-Qur’an sebagai Kalam Tuhan, usul ini ternyata tidak dapat diterima. Al hasil, sekiranya kita punyai sebab untuk meyakini bahawa sumber dari mana kita menarik pengetahuan kita tentang sunnah – yakni, ahadith – adalah secara historik dapat diandalkan, maka sunnah ini, jika difahami dengan tepat, haruslah dapat dipraktikkan pada setiap ketika dan tidak menjadi halangan kepada kehidupan Muslim.

Tetapi apakah maksud ayat “sunnah ini, jika difahami dengan tepat”? Adakah interpretasinya – malahan, interpretasi al-Qur’an sendiri – telah ditetapkan kepada kita, secara definitif, pada suatu period yang jauh pada masa lalu? Hal ini malangnya, kelihatan menjadi sikap majoriti yang besar dari umat Islam. Sejak berabad lamanya mereka telah berhenti untuk berfikir secara bebas tentang ajaran Islam dan berpada dengan diri mereka dengan hanya mengulangi ide dan konsep yang dibentuk tidak lewat daripada abad keempat Hijrah, dan sering mencerminkan simpang siur falsafah Neo-Platonik yang menguasai begitu besar pemikiran kebanyakan ulama Islam dari kurun kedua selanjutnya: ide dan konsep yang tidak dalam setiap kes, sejajar dengan tujuan Nabi Terakhir dan para Sahabatnya.

Pendeknya, ia adalah kebekuan pemikiran Muslim abad pertengahan tentang ajaran Nabi dan bukan yang disangka “kebekuan sunnah” sepertinya yang tanpa ragu adalah salah satu daripada punca utama kelunturan budaya di dunia Islam. Sudah pasti, tiada yang dapat berpura-pura menyangka bahawa karya-karya generasi Muslim terawal dapat dikesampingkan dalam zaman kita; malahan ia adalah suatu kebutuhan kepada kita sebagaimana ianya menjadi kebutuhan kepada pendahulu kita. Tetapi adakah kita harus menganggap bahawa semua kemungkinan dari pengetahuan agama telah kering dilacak oleh karya-karya awal itu, dan bahawa tidak ada yang berbaki untuk kita kecuali untuk mengikut mereka secara semberono, tanpa hak untuk merongkai dan menginterpretasinya dalam kerangka yang baru?

4.Para16Jelas, ia tidak mungkin begitu. Hakikat kebesaran al-Qur’an – dan, selanjutnya, sunnah Nabi – terdiri dalam kenyataan bahawa apabila meningkatnya pengetahuan dunia kita, lebih banyak makna yang baru dan yang sebelumnya tersembunyi terserlah di dalamnya. Ketaqwaan dan komitmen keagamaan umat Islam mungkin lebih rendah pada zaman kita berbanding pada abad-abad terawal Islam; tetapi pastinya tidak cara pemahaman kita. Interpretasi yang diberikan kepada ajaran Islam oleh Nabi Terakhir akan selamanya terus mengikat kepada orang Islam; tetapi melangkaui hal ini, dia adalah bebas – malah, dituntut – untuk menggunakan daya intelek dan suara dhamirnya sendiri.

Hal ini, dan tidak yang lain, adalah sikap pemikir Islam yang besar yang kita sifatkan sebagai imam (“pemimpin”). Mereka tidak pernah berpura-pura sebagai ma‘sum; mereka adalah manusia terpelajar yang mengabdi untuk mencari kebenaran, dan mereka arif bahawa tugas berfikir tidak akan pernah lenyap daripada menjadi tugas manusia. Ia adalah tugas kepada Abu Hanifah dan juga kepada Ibn Hazm atau Ibn Rushd; kepada Al-Ghazali dan juga kepada Ibn Taymiyyah atau kepada Shah Waliyullah; dan ia adalah tugas kepada saudara dan kepada saya.

Kebangkitan Islam yang tulen adalah mustahil tanpa pencarian yang intensif terhadap semangatnya yang asli. Kita harus membina lebih lanjut dan tinggi daripada landasan yang diasaskan oleh generasi ulama dan pemikir yang lepas. Kita tidak boleh menerima ide bahawa ajaran Islam akan sesekali menyusut kering dalam segala kedalamannya; dan tiada perkataan seseorang di bawah Nabi dapat sama sekali dipertimbangkan sebagai kata-putus dan muktamad: kesemua kita yang membanting usaha untuk meraih pemahaman yang lebih baik terhadap Kalam Tuhan dan contoh daripada Nabinya adalah pengembara yang mengarah kepada penemuan baru dalam medan spiritual.

Dan dalam usaha kita ini kita tidak dapat menemui penolong dan pendamping yang lebih baik dari Sahih al-Bukhari yang abadi.

Dalam menterjemahkan kitab Sahih, saya telah cuba untuk menyampaikan maknanya secara literal yang mungkin - kadangkala, saya khuatir, dengan mengesampingkan bahasa Inggeris. Apa jua yang saya sendiri harus katakan telah dibataskan kepada nota penjelas, dan setiap kali suatu tambahan tidak dapat dielakkan di dalam teks itu sendiri bagi tujuan kejelasan, saya telah menggunakan kurungan untuk menunjukkan penambahan yang dibuat. Setiap Hadith telah dibahagikan, melalui jenis ukuran yang berbeza, kepada dua: bukti dokumenter tentang transmisi (isnad) dan isi teks (matn). Keterangan penjelas Al-Bukhari (tarajim al-abwab) yang mendahului sebahagian dari bab dicetak dalam huruf condong (italics). Huruf T di hadapan sebahagian daripada isnad menunjukkan bahawa Hadithnya adalah ta‘liq (isnad “tergantung”) disebabkan jalur penyambung yang terputus dalam rantaian perawi. Huruf h menunjukkan tahwil (“perpindahan”) kepada mata rantai perawi yang lain.

5.Para21Sebahagian daripada rakan saya telah mempersoalkan keperluan memasukkan isnad yang penuh – kemasukan yang, menurut mereka, adalah tidak bersangkut kepada pemahaman hadith tersebut, dan kerana itu tiada kepentingan kepada pembaca umum. Hal ini, saya percaya, adalah sepenuhnya pandangan yang keliru. Isnad adalah bahagian yang penting daripada setiap hadith - sepertimana pentingnya rangka pada tubuh setiap haiwan yang lebih tinggi, termasuk manusia: kerana dengan isnadlah keabsahan suatu Hadith itu berdiri atau runtuh. Tanpa isnad, suatu Hadith tidak lebih daripada khabar angin, untuk diterima dengan semberono atau ditolak dengan mentah; dengan isnad di hadapannya, sebaliknya, pembaca akan berupaya melihat dengan dirinya ketelitian dan perhatian yang bagaimana diberikan kepada pendetilan dan keaslian setiap Hadith sahih yang direkodkan: dan justeru penerimaannya terhadap Hadith dikurniakan dengan kesedaran dan tidak lagi secara semberono.

Dan sekarang adalah pernyataan tentang cetakan teks Arab sebelah menyebelah dengan terjemahan. Di negara-negara Islam, sistem ini telah diterima dengan baik, kerana ia memungkinkan pembaca untuk membandingkan, pada setiap langkah, terjemahan dengan yang asal. Tetapi sebahagian sarjana Eropah telah menunjukkan kepada saya bahawa perkara ini tanpa keperluan, menambah ketebalan jilid karya dan, akibatnya, penambahan kos pengeluaran; dan bahawa pelajar bisa mendapatkan baginya mana-mana salinan kitab Sahih apabila dia merasakan keperluan kepada penelitian yang bebas.

Saya tidak dapat menerima sangkalan ini sebagai absah. Cara yang lama di mana kompilasi Hadith ini dan yang lainnya dicetak menjadikannya, dalam kebanyakan kes, begitu sukar untuk memisahkan interpolasi yang lazim daripada perawi dengan isi teks (matn) Hadith, dan kadangkala malah membawa kepada kerancuan tentang pengucapan daripada orang-orang yang berlainan dengan pernyataan perawi tentang fakta yang terkandung di dalam matn.

Justeru, teks Arab dalam edisi ini – disusun sebagaimana adanya dengan prinsip yang sama sepertimana terjemahan Inggeris – mempersembahkan kitab Sahih untuk pertama kali dalam bentuk yang mudah dibaca yang, tambahan lagi, memuatkan setiap penambahbaikan teks yang diperoleh daripada kumpulan naskhah-naskhah yang paling dapat diandalkan.

Terjemahan saya ini adalah berdasarkan kepada naskhah yang paling akurat yang ada, yakni, yang dicetak dengan mandat Sultan ‘Abd al-Hamid di Al-Matba‘ah al-Amiriyyah, Kaherah, 1313 H. Naskhah-naskhah lain yang terkenal telah, tentunya, saban kali dirujuk.

6.Para25

 

 

 

MUHAMMAD ASAD
Lahore, Muharram 1357 H. bersamaan Mac 1938.

 

Bibliografi

Al-‘Asqalani, Ahmad b. ‘Ali ibn Muhammad ibn Hajar. (t.t.). Hady al-Sari Muqaddimah Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari. Kaherah: Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah.

Al-Bukhari, Muhammad b. Isma‘il al-Ju‘fi. (t.t.). Sahih al-Bukhari. Mustafa Dib al-Bugho (tahqiq). Beirut: Dar Ibn Kathir.

Arif Chasanul Muna, Khadher Ahmad. (2013). Pemikiran Kritis terhadap Shahih al-Bukhari: Studi atas Dinamika dan Respon Kontemporer. Dalam Khadher Ahmad, Fauzi Deraman, Mohd Hasbullah Salim (ed.), Sunnah Nabawiyyah Survival dan Cabaran. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Asad, Muhammad. (2002). Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.

Asad, Muhammad. (2003). Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.

Asad, Muhammad. (2008). The Message of the Qur’an. Watsonville, CA: The Book Foundation.

Khaleel Mohammed. (2005). “Assessing English Translations of the Qur’an”, Middle East Quarterly, xii (2): 58-71.

Muhammad Muhsin Khan. (1997). The Translation of the Meanings of Sahih Al-Bukhari. Riyadh, Saudi Arabia: Darussalam Publishers and Distributors.

Muzaffar Iqbal. (1998). “Muhammad Asad: A Biography”. Islamic Studies, 37 (3): 411-414.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah sarjana kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya. Beliau adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/muhammad-asad-dan-terjemahan-sahih-al-bukhari-suatu-analisis-awal-bahagian-ii/