Hassan Bandung: Fikrah dan Perjuangannya

July 4, 2015 by Dr Ahmad Nabil Amir

1.Para1A.Hassan Bangil atau Bandung (1887-1958), adalah seorang ulama faqih yang telah menegakkan perjuangan dakwah lslam dan mempelopori harakat perubahan yang signifikan di Jawa. Perjuangan ini dibawa dalam jaringan dan pertubuhan Islam yang dipimpinnya seperti Persis (Persatuan Islam) dan dalam aktivisme dan gerak perjuangannya yang lain. Faham dan gagasan perubahan yang diperjuangkannya turut dicerakinkan dalam karya-karyanya yang mengetengahkan idealisme perubahan dan ijtihad seperti buku Soal-Jawab tentang Berbagai Masalah Agama, Al-Burhan, Al-Mazhab, At-Tauhid, Debat Taqlid, Debat Talqin, Halalkah Bermazhab, Hukum Hakam, Tarjamah Bulughul Maram, Tafsir al-Furqan, surat khabar Pembela Islam dan sebagainya.

Dilihat sebagai sosok yang keras dalam mempertahankan pendirian dan harakat yang dipimpinnya, beliau tampil membenahi akar pemikiran kolot dan konservatif, dan merongkai dasar taqlid dan bid‘ah, khurafat dan tahyul yang tak bersandarkan akal yang rasional yang telah mencetuskan pertentangan dan perdebatan yang keras antaranya dengan Kaum Tua. Tulisan ini berusaha melihat perkembangan pemikiran yang berbentur ini di zamannya yang telah mewarnai dan mencorakkan idealisme perjuangannya, dan pengaruhnya dalam manhaj dan mazhab yang diperjuangkannya.

 

Latar kehidupan

Nama asalnya Hassan bin Ahmad, seorang faqih berdarah campuran berasal dari keturunan Indonesia dan India. Dilahirkan di Singapura pada 1887 Hassan membesar dengan pengaruh keagamaan dan keilmuan yang mendalam. Ayahnya Ahmad, atau Sinna Vappu Maricar, adalah seorang penulis yang mahir dalam ilmu Islam dan kesusasteraan Tamil. Hassan pernah menjadi editor majalah Nur al-Islam, dan penulis kitab berbahasa Tamil dan terjemahan dari bahasa Arab. Aktif berpidato dan berdebat beliau turut mengelolakan ruangan tanya jawab dalam surat khabar yang dipimpinnya yang menjadi forum perdebatannya yang awal.

Sejak usianya 7 tahun, beliau telah mempelajari al-Qur’an dan pengetahuan asas agama, dan memasuki sekolah Melayu dan menuntut bahasa Melayu, Arab, Inggeris dan Tamil. Pada usia 12 tahun, sambil berdagang, beliau memperdalam ilmunya dengan menuntut ilmu nahu dan saraf dari Haji Ahmad di Bukittiung dan Muhammad Thaib di Minto Road, selain memperdalami secara otodidak subjek lain seperti Fara’id, Fiqh, Mantiq, Tafsir dan lain-lain.

2.Para5LowerRight.PersisPada 1910, beliau mula mengajar di madrasah, dari peringkat ibtida’iyah hingga tsanawiyah. Pada tahun 1911 beliau bernikah di Singapura, dengan isterinya Maryam, seorang peranakan Tamil-Melayu, dan memperoleh 7 orang anak, Abdul Qadir, Jamilah, Abdul Hakim, Zulaikha, Ahmad, Muhammad Sa‘id, dan Manshur. Pada 1940 beliau berpindah ke Bangil, Pasuruan, Jawa Timur untuk mendirikan Pondok Pesantren Persis - Pesatuan Islam. Dan pada tanggal 10 November 1958, beliau meninggal di rumah sakit Dr. Sutomo Surabaya.

 

Pemikiran

Dari hasil penulisan dan karya-karyanya yang mencapai lebih 80 buah, jelas memperlihatkan cakrawala pemikirannya yang luas. Hal ini mencakupi aspek pemikiran dan disiplin yang substantif yang ditangani tentang teologi, tafsir, hadis, fiqh, dakwah, hukum dan adab. Antara kitabnya yang popular termasuklah Pengajaran Shalat, Kitab Talqin, Risalah Jumaat, Debat Riba, Al-Mukhtar, Soal Jawab, Al-Burhan, Debat Talqin, Risalah Ahmadiyah, Debat Taqlid, Al-Hikam, Al-Madzhab, At-Tauhid, Dosa-Dosa Yesus, Al-Jawahir dan lain-lainnya. Dalam penulisannya, beliau banyak membahas soal-soal dasar tentang hukum, dan pertentangan mazhab bersabit permasalahan furu‘ dan khilafiyah, di mana “ustaz yang kelahiran Singapura ini dan berketurunan Tamil/India banyak sekali mencetak buku-buku di Malaya ketika itu.” [1950 an] (Djamal Tukimin, Teguran Suci, h. 4).

Antara ulama besar yang banyak mencorakkan pemikirannya adalah Faqih Hasyim, seorang pelopor kaum muda dan dikatakan penganut faham wahabi. Ketika konflik antara kaum tua dan kaum muda tercetus, beliau berkunjung ke Surabaya, untuk mengelola toko bapa saudaranya, Abdul Lathif. Di Surabaya beliau menemui K.H. A Wahab Hasbullah, yang di belakang hari menjadi pemimpin Nahdhatul ‘Ulama dan berbincang panjang tentang faham dan aliran pemikiran kaum muda. Pencerahan yang diberikan telah membawanya memutuskan bahawa kaum muda berada di jalan yang benar, lantas menjadi pengikut Faqih Hasyim, pendakwah yang berasal dari Padang. Dari pengaruhnya beliau mengembangkan aliran modernisme, mendobrak benteng taqlid dan menggerakkan perjuangan menuntut pembaharuan.

Pemikiran dan semangat pembaharuan yang diperjuangkannya banyak memberikan pengaruh kepada kaum modernis dalam menggembling kekuatan dan menegakkan aspirasi pembaharuan dan nahdah yang dibawanya. Pemikirannya telah memberikan pengaruh dan impak kepada para pemikir dan politikus penting di Indonesia seperti Mohammad Natsir, K.H.M. Isa Anshory, K.H.E. Abdurrahman, K.H.E. Qamaruddin Shaleh, K.H.M. Rusyad Nurdin, Fakhroeddin al-Khairi, Hasbi asy-Shiddiqy, Kiyai Munawar Khalil, Ir Sukarno, dan lain-lain.

3.Para9.Lower RightPengaruh yang besar yang dibentuknya ini, dan reputasinya sebagai pencetus idealisme pembaharuan dan gagasan islah yang diperjuangkan dalam Persatuan Islam (Persis), dicatatkan oleh Djamal Tukimin “Pada tahun 1923 di Bandung, Jawa Barat muncul pula Persatuan Islam dengan ikon ulama yang cukup melepasi batasan nusantara iaitu ustaz Hassan Ahmad atau lebih terkenal dengan panggilan ustaz Hassan Bandung dengan bukunya yang sudah tersebar sampai ke mana-mana di alam Melayu ini iaitu Soal-Jawab Masalah Agama dalam empat jilid itu. Juga buku-bukunya yang melebihi 100 buah itu.” (Teguran Suci, h. 4)

 

Tafsir al-Furqan

Tafsir Qur’an al-Furqan ini ditulis antara tahun 1928 sehingga 1956 dan diterbitkan dalam empat edisi percetakan dalam perkembangan tahun-tahun tersebut. Cetakan pertama muncul pada 1928, namun masih belum memenuhi keperluan keilmuan asas yang diperlukan oleh umat Islam di Indonesia dan dibutuhkan pembaharuan. Pada 1941 atas desakan anggota Persatuan Islam ia berhasil diterbitkan dalam edisi kedua, sehingga surah Maryam. Pada 1953 dengan biaya seorang pengusaha Sa‘ad Nabhan cetakannya dilanjutkan dalam edisi ketiga sehingga akhirnya pada 1956 ia diterbitkan dalam edisi lengkap 30 juz. Pada 2006 ia dicetak semula oleh Pustaka Mantiq dengan kerjasama Universiti Al-Azhar Indonesia dalam satu jilid.

A. Hassan memberikan pendahuluan kepada tafsirnya yang terdiri dari 34 fasal. Ia menghuraikan tentang latar penulisan tafsirnya, dan kefahaman yang berkait dengan sejarah al-Qur’an, kaedah penterjemahan ayat dalam tafsir, dan istilah-istilah yang digunapakai dengan ilmu tafsir.

4.Para12Tafsir ini memakai manhaj ijmali (umum) atau tarjamah tafsiriyah (tarjamah maknawi) dalam penyampaiannya. Ia mempelopori manhaj tafsir al-ra’y (akli) yang menekankan ijtihad yang kritis yang diilhamkan dari pemikiran Sayid Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida. Kupasannya memberi kefahaman tafsir yang ringkas, dengan aliran moden yang dikembangkan dalam pemahaman teks yang mempertahankan mazhab rasionalisme dan humanisme Islamnya.

Penulisannya dilatari oleh iklim yang mencabar di bawah tindasan penjajah dan tekanan politik yang mengekang kebebasan umat Islam, dan keperitan bergelut dengan perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia. Perjuangan yang getir yang ditempuhnya ini digambarkan dengan tuntas oleh Djamal Tukimin, dalam pengantarnya kepada buku Hamka, Teguran Suci dan Jujur kepada Mufti Johor: “tahun-tahun 1950-an adalah jangka waktu yang hebat dan kronik dihadapi dalam gerakan-gerakan pemurnian ajaran Islam yang dimotori oleh para ulama salafi atau yang sering dikenali sebagai kaum muda ini. Antara tokoh yang menonjol ialah ustaz Hassan Ahmad atau juga dikenali sebagai ustaz Hassan Bandung.” (h. 4)

 

Polemik

Tak lepas dari polemik dan pertikaian hukum dengan ulama konservatif, penafsirannya telah dikritik oleh Mufti Johor ketika itu, Tuan Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad (1884-1962) yang mendakwa beliau mengambil fatwanya daripada kaum Qadiani, menghalalkan daging babi dan mengikut aliran mazhab dan teori Darwin dan Freud, seperti disiarkan dalam akhbar Semenanjung tanggal 5 Mei 1958. Pertentangan ini telah dirakamkan Hamka dalam bukunya Teguran Suci: “Beliau telah menyebut satu berita yang disiarkan oleh “Semenanjung” pada 5 Mei tahun ini yang memberitakan hal sebuah kitab kaum-muda yang bernama “Soal-Jawab” dan Tafsir al-Quran Hassan Bandung. Kitab tersebut menyatakan sucinya daging babi dan tafsirnya, Tafsir Quran Hassan Bandung adalah mengikut mazhab (teori-pengarang) Darwin dan Freud.” (h. 14).

5.Para15.Lower RightPerbenturan pendapat yang tercetus antaranya dengan Mufti Johor ketika itu, telah membawa keributan kerana telah mengkafirkan orang-orang Islam yang ingkar akan kenajisan daging babi. Keributan ini telah dirungkai oleh Hamka yang tampil membela manhaj dan mempertahankan tafsir A Hassan, selain menjawab dan menyelesaikan pertentangan dan pertikaian mazhab yang keras antaranya dengan Mufti Johor:

“Pada saya ada tafsir ‘Al-Furqan’ Almarhum Ahmad Hassan Bandung itu, tebalnya 1256 halaman. Tidak ada satu kalimat pun terdapat di sana bahawa Almarhum Hassan Bandung mengikut teori Darwin dan Freud. Sebagaimana diketahui bahawa teori Darwin adalah mengatakan asal usul manusia adalah daripada kera, saya balik tafsir itu dari awal sampai akhir, terutama dalam hal Adam sebagai asal-usul manusia. Al-marhum Hassan Bandung tidaklah menganut teori Darwin. Dipersilakan pembaca membaca tafsir itu dengan teliti supaya nyata bagaimana fitnah dan bohong yang disebarkan oleh Mufti.” (h. 87).

6.Para17Usaha Hamka menyangkal pandangan Mufti, dan membantah kebohongan yang disebarkannya terhadap A. Hassan, adalah pembelaan yang dirasakannya perlu kerana kenyataan Mufti tak terbantah sebelum ini, walaupun fitnah yang dilemparkan itu tidak berasas. Menurutnya, A. Hassan-lah ulama yang telah mempertahankan aqidah Islam yang dihujat Ahmadiyah, dan mematahkan hujah mereka yang dangkal melalui risalah dan “buku-bukunya yang menentang Ahmadiyah”, serta “mengadakan perdebatan dengan mubaligh Ahmadiyah Qadiani Ahmad Shadiq dengan Abu Bakar Ayub, dan tidaklah ada mujadalah yang sehebat itu baik sebelumnya atau sesudahnya.” Usaha keras A. Hassan membantah fatwa-fatwa Qadiani dan menyangkal hujah mereka inilah yang patut dihargai, “padahal kaum tua Sumatera Barat ketika itu (1923) masih bekerja keras menuduh kaum-muda muktazilah, kaum-muda khawarij, dan lain-lain.” (Teguran Suci, h. 37)

Menurutnya, perkara khilafiyah itu masih dalam ruang lingkup ijtihad dan bukan tiang prinsip dan akidah yang tidak boleh dipertikaikan, dan serangan fitnah yang jahat itu hanya merosakkan dan tidak memberikan penyelesaian.

“Apa yang dihebohkan sekarang? Misalnya daging babi tiada najis disentuh dan haram dimakan atau daging biawak halal dimakan. Dahulu dari kita pun telah ada ulama ikutan kita berfahaman sedemikian. Kita sudah sama-sama membaca yang begitu di dalam kitab-kitab mereka, mengapa lekas sekali menuduh kafir orang yang berkata demikian di zaman sekarang. Tuan tidak usah mengikut fahaman itu, kerana kita tetap bersatu dalam rukun yang 11, berfikir adalah tanda hidup, berlain-lainan pendapat adalah alamat ada kemajuan pada diri kita masing-masing.” (Teguran Suci, h. 43)

 

Maulid

Dalam kitabnya yang terkenal Soal-Jawab tentang Berbagai Masalah Agama dimuatkan persoalan tentang hukum memperingati maulid Nabi. Beliau membahas secara kritis tentang pandangan ulama salaf yang muktabar tentang hukum menyambut maulid Nabi. Pendirian yang jelas yang difatwakannya adalah menolak kebiasaan membaca syair dan puji-pujian dan marhaban tanpa kefahaman dan keinsafan terhadap isi dan riwayat yang dibaca, kerana tertulis dalam bahasa Arab. Yang demikian ini seperti dicatatkannya:

“Membaca riwayat dan babad Nabi itu memang bagus dan baik, karena dengan itu dapat mengetahui hal ihwal, susah dan payahnya Nabi mengembangkan agama. Buat mengetahui riwayat-riwayat tersebut itu perlu mengerti bahasa Arab atau riwayat itu diterjemahkan ke dalam bahasa kita. Adapun yang berlaku sekarang tidak begitu, hanya orang berkumpul beramai-ramai, lantas dibaca kitab maulid atau kitab Barzanji yang tertulis dengan bahasa Arab itu bergilir-gilir dengan lagu-lagu yang pekik, teriak sekuat hati, dan terkadang disertakan dengan rebana (gendang), sesudah itu terus makan-makan.” (h. 371-4)

Beliau berhujah bahawa membaca maulid tanpa mengetahui maksud dan mengerti isinya itu dipandang jelek oleh akal, dan mengiktikadkan ruh Nabi hadir dan diperintah berdiri menghormatinya tanpa suatu keterangan dan pembuktian dalil yang sarih, adalah perbuatan bid‘ah dan jahil. Yang ditekankan adalah kefahaman, kesedaran dan keinsafan tentang perjuangan Rasul bagi memperkuat dan memantapkan keyakinan dan ketahanan dalam perjuangan, seperti ditegaskannya:

7.Para23“Membaca maulid bukanlah perkara sunnah. Membaca satu kitab bahasa Arab dengan tidak tahu artinya itu dijelekkan oleh akal dan dilarang oleh agama, karena kedatangan agama kita ialah untuk menjadikan kita pandai, bukan untuk menjadikan kita lebih bodoh. Membaca maulid seperti tersebut di atas, dengan i‘tiqad seperti itu dan dapat pahala, itu satu bid‘ah, karena mengi‘tiqadkan sesuatu dengan tidak ada keterangan dari agama itu ialah i‘tiqad bid‘ah, dan perbuatan itu perbuatan bid‘ah. Berdiri waktu dibaca riwayat kelahiran Nabi, dengan alasan menghormati Nabi itu bid‘ah lagi, karena tidak ada keterangan yang ruh Nabi hadir waktu itu, dan kalau dikatakan hadir juga, maka cara menghormati Nabi itu bukan dengan berdiri, lantaran Nabi sendiri melarang orang-orang berdiri menghormatinya. Nabi bersabda: Janganlah kamu berdiri menghormati aku sebagaimana orang-orang Ajam, sebagian dari mereka berdiri menghormati sebagian yang lain. (HR. Abu Dawud).” (h. 371-4)

 

Ijtihad dan mazhab 

Dalam perjuangan dakwah dan pembaharuan yang dipeloporinya, beliau terkenal keras dan lantang dalam menentang taqlid, dan kental mempertahankan kekuatan ijtihad dan akal dalam memahami nas. Perkara ini digagaskan dalam usahanya untuk mencetuskan kesedaran, dan kefahaman hukum yang sebenar daripada pencarian akliah yang bebas. Kejahilan dan kebobrokan pemikiran dan sikap yang permisif yang cuba diberantas. Demikian ini ditegaskan dalam kitabnya Risalah al-Mazhab yang menolak amalan bertaqlid secara melulu kepada mazhab tanpa pijakan dalil yang jelas:

“bermazhab sama maknanya dan maksudnya dengan bertaqlid. Kedua-dua itu dilarang oleh Allah, Rasul, Sahabat bahkan oleh imam-imam yang ditaqlidi.” (h. 12)

“keluar dari mazhab itu bukan haram, tetapi wajib. Masuk sesuatu mazhab itu bukan wajib tapi haram.” (h. 23)

Beliau menganjurkan ijtihad, memeriksa hukum dari al-Quran dan sunnah, dan menyarankan guru-guru yang boleh mengajar kitab Fathul Qarib dan Fathul Mu‘in untuk mengerahkan pemikiran dan upaya ijtihad: “guru-guru yang sudah boleh mengajar Fathul Qorib saya tanggung boleh memaham dari Quran dan Hadith dengan mudah. Asal sahaja rajin dan berani buang taqlid yang ditaqlid dia!”

This image was produced by an application from HighWater Designs Limited.Tetapi anjuran ini malangnya tidak memberi kesan kepada perubahan kerana guru-guru lebih mempertahankan pendapat mazhab yang diwarisi dalam tradisi pemikiran tanpa sedia menilai dan mempertimbangkan dengan ijtihad dan kekuatan akliah: “tetapi lantaran takut dikata jadi kaum muda, jadi kaum wahabi lantaran hilang pengaruh maka kiyai-kiyai dan guru-guru tidak mahu berubah daripada mengaku bermazhab Syafi‘e dengan palsu”

 

Kesimpulan

Dalam usahanya untuk mengembangkan idealisme dan faham perubahan yang radikal, pemikiran yang dicetuskan A. Hassan Bandung telah memberikan asas yang penting dalam menggerakkan perjuangan kaum muda dan mewarnai sejarah awal perjuangan kelompok modenis di Indonesia.

Falsafah pembaharuan yang diungkapkan, dan ide-ide dan masalah-masalah baru yang dikupas dan usahanya mencari alasan hukum daripada al-Qur’an dan as-Sunnah telah memberikan pencerahan dan meluaskan ufuk pemikiran dan ijtihad. Dinamisme ini diungkap oleh Hamka dalam bukunya: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan Na‘am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!… (Teguran Suci, 49)

Maka pembaharuan itu menuntut perluasan dan pencarian akliah yang lebih mendalam dan keupayaan dan kesanggupan mencabar tradisi pemikiran dan menetapkan idealisme perubahan yang relevan dengan tuntutan maslahat dan kepentingan umat dan aspirasi pemikiran yang moden dan progresif.

 


Rujukan

A. Hassan. (1931). Soal Jawab tentang Berbagai Masalah Agama. Bandung: Penerbit CV. Diponegoro.

A. Hassan. (1999). Tarjamah Bulughul Maram. Bandung: CV. Diponegoro.

A. Hassan. (1962). Tafsir Qur’an Al-Furqan. Jakarta: Tintamas.

A. Hassan Bandung. (1980). Risalah al-Mazhab. Bangi: Pustaka Abdul Muis.

Akh Minhaji (1997). Ahmad Hassan and Islamic Legal Reform in Indonesia (1887-1958). Disertasi PhD, Institute of Islamic Studies, McGill University, Montreal.

Hamka (2009). Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor. Shah Alam: Pustaka Dini.

Howard M. Federspiel (1966). The Persatuan Islam (Islamic Union). Tesis PhD, Institute of Islamic Studies, McGill University, Montreal.

Najahudin Lateh. 2009. Metodologi Syeikh Idris al-Marbawi dan A. Hasan Bandung dalam Terjemahan Karya Bulugh al-Maram: Suatu Analisa Perbandingan. Kertas kerja dibentangkan dalam Simposium Warisan dan Tamadun Islam, 28-29 Dis, Universiti Malaya.

Nik Yusri Musa. (2006). Pemikiran A. Hassan Bandung: Nasikh Mansukh, al-Am dan al-Khas dalam al-Qur’an. Jurnal Al-Bayan 4: 121-142.

Sheiha Sajieda. (2013). Analisis Pemikiran Ahmad Hassan tentang Pendidikan Islam dan Implementasinya di Lembaga Persatuan Islam (Persis). Skripsi Sarjana, Universitas Pendidikan Indonesia.

 


Dr Ahmad Nabil bin Amir adalah lulusan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan PhD Usuluddin, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/hassan-bandung-fikrah-dan-perjuangannya/