Berhujah Untuk Kesamarataan – Bahagian I

August 5, 2015 by Hazman Baharom

1.Para1Perbahasan tentang keadilan vis-à-vis bagaimana sewajarnya seorang individu memperoleh sesuatu materi atau hak merupakan hal yang mendesak sejak awal kewujudan manusia rasional lagi. Sebagai makhluk primat yang paling maju, kita memiliki kebolehan dan kemampuan menggunakan segala sumber alam dan sumber asli, lantas mengubah sifat serta fungsi bahan-bahan itu kepada sumber kehidupan[1] (resources) bagi manfaat manusia seluruhnya. Dalam hierarki makhluk bernyawa, hanya manusia (dan beberapa makhluk lain, secara terbatas) yang mampu mencapai kemajuan sebegini.

Salah satu pencapaian kognitif manusia ialah satu kesedaran bahawa semua manusia yang memiliki jasad, akal dan roh sewajarnya dilayan dan dilihat sebagai setara antara satu sama lain. Adalah tidak wajar untuk melihat seorang individu lebih “rendah” atau “tinggi” martabatnya daripada manusia lain hanya disebabkan kelahirannya dalam keluarga tertentu atau di tempat tertentu semata-mata. Manusia, sepanjang perjalanan sejarah, mula belajar bahawa keutamaan melihat manusia daripada ketinggian budi insan (human excellence) dan kebaikan perbuatan-pekerjaan sebagai penanda aras kedudukan seseorang dalam sebuah masyarakat adalah lebih bermakna daripada pertimbangan patrimonial zaman bahari. Islam, antara lain melalui doktrin monoteisme, telah pun menjadi yang terawal menggariskan dasar-dasar kesamarataan sosial dalam kalangan manusia yang menjadi tonggak fabrik sosial.

2.Para3.Right lowerDalam hampir semua pengalaman sejarah kemanusiaan, kita mampu melihat pelbagai contoh diskriminasi dan pembezaan berstruktur atas alasan keturunan atau perkumpulan yang tidak memiliki asas moral yang kukuh. Sebagai contoh, hak terhadap keadilan jenayah dalam kalangan bangsawan, keluarga diraja dan rakyat biasa adalah berbeza dalam Kod Undang-undang Hammurabi, antara kod undang-undang yang tertua di dunia. Begitu juga dalam masyarakat silam India yang memiliki kasta, kedudukan dalam kasta juga mendefinisikan tempat sekali gus hak serta peluang kehidupan mereka dalam masyarakat tersebut.

Kedatangan Islam, selain membawa mesej spiritual, ia juga membawa mesej sosial yang jelas dan revolusionari ketika itu. Pada masa masyarakat Arab masih hidup berpuak-puak yang terpasak semangat patrimonial, mesej egalitarianisme bahawa semua individu adalah setara dan memiliki peluang yang sama di sisi Tuhan adalah salah sesuatu yang, selain mengubah keadaan masyarakat, juga menjadi daya penarik terhadap kepercayaan baru itu.

Ketidaksamarataan dalam kepemilikan sumber, keadaan iklim serta persekitaran yang mendesak, serta persengketaan akibat prejudis sesama puak menghasilkan masyarakat Arab yang saling berperang, dan kekuasaan diperturun secara kepuakan semata-mata[2]. Kesemua faktor ini, secara kumulatif, menjadikan mereka masyarakat yang menjunjung ketidaksamarataan dan diskriminasi akibat paradigma “yang asing” (the other) dipaksakan secara konstruk sosial sejak lahir lagi. Disebabkan itulah, kebanyakan pengalaman manusia melihat mereka yang asing sebagai “berbahaya” hanya disebabkan perbezaan leluhur adalah konstruk sosial hasil produk sejarah, bukannya merupakan sesuatu yang tabii dalam kesedaran setiap manusia[3].

Tuhan telah berfirman;

3.Para7Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa agar kamu saling mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.”[4]

Pesanan Tuhan ini menganjurkan kepada kita semua bahawa setiap manusia, baik lelaki mahupun perempuan, mana-mana bangsa, keturunan atau puak, semuanya adalah sama di sisi Tuhan. Tuhan hanya akan memandang kepada kebaikan yang dilakukan manusia dan bagaimana ia memanfaatkan kehidupan yang telah dikurniakan ini. Bermakna, dari satu sudut, Tuhan telah pun mengingatkan kita bahawa kesetaraan manusia atas dasar moral, yakni atas dasar kesamarataan harga diri semua manusia adalah sesuatu yang perlu dalam sesebuah masyarakat. Hanya mutu dan kualiti perbuatan-pekerjaan serta kebaikan yang dilakukan akan meletakkan seseorang itu di atas atau di bawah dalam tangga sosial masyarakat.

Dalam kaitan ini, kita menyaksikan kemungkinan berlakunya keadaan seperti ketaksamarataan dalam penghargaan hasil kerja seseorang individu hanya kerana identiti dirinya—“siapa individu itu”—walaupun hasil kerja itu cemerlang sekali. Hal ini selalu berlaku semasa konflik antara dua puak (dan sekali lagi, kepuakan ini hanya konstruk sosial).

Sebagai contoh, ketika Perang Dunia Pertama, ide fizikawan ulung Albert Einstein telah mula-mula ditolak oleh institusi terkemuka seperti Cambridge atas dasar ide beliau ialah “sains Jerman”, bukannya “sains Inggeris”. Tentunya sikap sebegini tiada asas dalam penilaian keilmuan, tetapi dari sini kita boleh melihat, hatta ilmu sains tabii tentang alam semesta yang dihuni semua manusia ini pun, didiskriminasi atas dasar “siapa yang menemukannya”. Jika bukan kerana jasa sarjana Cambridge, Arthur Eddington yang membuktikan teori kenisbian am (general relativity) Einstein melalui pemerhatian beliau ketika gerhana matahari di Principe itu, pastinya hanya selepas perang sahajalah Cambridge akan menerima ide Einstein dan mungkin sahaja bidang fizik teori di situ akan lebih terbantut perkembangannya.

 

Di sini, dapat kita lihat bahawa kemungkinan untuk wujudnya diskriminasi atas dasar identiti merupakan sesuatu yang buruk dan wajar ditangani. Justeru, wujudnya keperluan untuk satu bentuk kesamarataan dijamin, agar manusia dilihat sebagai “manusia”, dan adalah salah untuk mendiskriminasi sesuatu hasil kerja hanya kerana seseorang individu yang melakukannya adalah daripada mereka “yang asing”.

4.Para11.Middle

Pada hari ini, sekurang-kurangnya dalam ruang awam, persoalan tentang kesamarataan selalu sahaja dibahaskan dari dimensi negatif, iaitu keburukan ketaksamarataan (inequality). Dari sudut pandang ekonomi, dimensi ini adalah sangat popular seperti yang terangkum melalui tulisan ekonomikawan Joseph Stiglitz, The Price of Inequality atau mungkin di Malaysia, yang terbaru setakat ini ialah tulisan Muhammed Abdul Khalid, The Colour of Inequality. Jika kita amati secara mendalam, tanggapan daripada ahli ekonomi akan kebanyakannya berkisar kepada bagaimana pengagihan sumber materi adalah tidak setara, lantas menjadikannya tidak adil dalam kalangan rakyat sesebuah negara[5]. Tetapi, kebanyakan perbahasan ini tidak mengangkat ide kesamarataan itu secara zatnya sendiri (in itself) dan membahaskannya. Hal ini sewajarnya menimbulkan persoalan dalam benak kita, jika kita melihat (beberapa bentuk) ketaksamarataan sebagai sesuatu yang “buruk”, maka apakah pula yang ada dalam kesamarataan itu yang “baik” untuk masyarakat? Lebih mendasar lagi, mengapakah kita begitu menghargai kesamarataan?

Makalah ini akan cuba menyumbang kepada perbahasan ini. Kesamarataan, jika dilihat secara spesifik dan mendasar, ia akan menimbulkan beberapa masalah, berkait takrif dan konteks, dalam penghujahan kita. Sebagai contoh, apakah yang mahu kita samaratakan? Adakah sifat manusia yang terbina dalam daerah biologinya, atau perbuatan manusia, atau hasil yang akan didapat daripada setiap perbuatan manusia? Jika dua, tiga atau lebih individu bersaing untuk sesuatu, adakah peluang setiap individu itu memperoleh sesuatu yang dihajat itu sifatnya sama rata, atau ada seorang individu memiliki peluang yang lebih besar hanya kerana ia lahir dalam keluarga bangsawan, contohnya? Mengikut urutan logik ini pula, jika kita tidak boleh menentukan di mana kita bakal lahir, dan bagaimana keadaan kelahiran kita, adakah kelahiran dengan kekurangan fizikal (cacat anggota, contohnya) dikira sebagai tidak sama rata, lantas tidak adil?

Maka, makalah ini akan menawarkan tanggapan kepada persoalan-persoalan tadi. Saya akan bermula dengan menelusuri apakah skop kesamarataan dan batasnya, dan dari situ kita akan mampu melihat apakah asas yang menjadi tiang seri ide ini. Dari situ, saya akan menyimpulkan pula bahawa kesamarataan moral sesama manusia, sekurang-kurangnya, terhadap hak asasi merupakan satu keperluan untuk mencapai keadilan sosial. Akhir sekali, dengan terbinanya hujah-hujah tadi, kita akan menjadi jelas bahawa ide kesamarataan adalah perlu dipertahankan dalam zatnya sendiri, menjangkaui dan melebihi kesedaran kita bahawa ketaksamarataan, sewajarnya, adalah sesuatu yang buruk dan tidak diingini (undesirable).

Kesamarataan dan Ideal Keadilan

Semua orang akan bersetuju bahawa keadilan, secara ipso facto, tidak membawa maksud kesamarataan. Dan sememangnya tuntutan keadilan, yakni meletakkan semua perkara pada tempatnya mengikut hak masing-masing, adalah bukan menuntut semua perkara dibahagikan secara sama rata. Pun begitu, saya akan berhujah bahawa demi mencapai keadilan, sesuatu yang penting dalam kalangan manusia perlu disamaratakan, atau dengan kata lain, sesuatu perlu disamaratakan sebagai jalan menuju ke arah keadilan. Dari sini, dengan menemui ‘sesuatu’ itu, barulah dapat kita mengatakan dengan yakin bahawa segala yang didapat—baik wang, pangkat, kejayaan—dalam kalangan manusia diperoleh dengan adil dan selayaknya.

Tugas kita kini adalah untuk mencari ‘sesuatu’ itu. Segala dimensi kehidupan manusia wajar dilihat dan ditimbang tara demi menganalisa perkara ini. Sebagai contoh, dalam ekonomi, jika kita membiarkan pasaran sebebasnya, adakah ketaksamarataan yang terhasil adalah adil mengikut hak masing-masing yang munasabah? Di ruang politik pula, adakah partisipasi masyarakat mengikut statistik sedia ada dalam pilihan raya benar-benar menunjukkan “suara rakyat”, atau masih wujud segregasi yang serius?

5.Para16Titik permulaan yang bersifat egalitarian ini sendiri merupakan semangat daripada al-Qur’an yang wajar kita renungi dalam menanggapi hubungan sosial yang adil sesama manusia. Tuhan telah banyak memerikan lewat ayat-ayat-Nya dalam al-Qur’an bahawa sesiapa sahaja, lelaki dan wanita yang ikhlas beribadah kepada-Nya akan menerima balasan baik yang setimpal dengan amalan masing-masing. Kita juga tahu bahawa Tuhan akan menerima doa sesiapa sahaja hamba-hamba-Nya yang meminta dengan penuh pengharapan, dan kita penuh yakin bahawa Tuhan yang Maha Adil akan memberi rezeki-Nya kepada semua makhluk tanpa mengecualikan sesiapa dan apa pun di langit dan di bumi. Kesemua ini sesungguhnya wujud dalam satu latar yang sama, bahawa terdapat sesuatu yang setara dan sama rata antara semua makhluk, iaitu peluang di hadapan Tuhan bagi memperoleh rezeki, pengampunan, dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Jika kita tinjau pula perjalanan sejarah dan pengalaman agama-agama di dunia, Islam merupakan antara agama yang paling menitik beratkan soal titik permulaan yang egalitarian sifatnya. Agama-agama yang telah wujud sejak zaman purba, yang kemudiannya hidup bersama-sama dengan elit kekuasaan kebanyakannya akan menjadi anti-egalitarian selepas itu dengan mewujudkan kelas-kelas dan kasta-kasta yang membezakan manusia dari sudut peluang mencapai Tuhan, malah peluang untuk hak asasi terhadap kehidupan juga akan terpalit sama. Perkara ini boleh dilihat melalui agama-agama Timur purba seperti Hindu yang asalnya memiliki perbezaan kasta (pun begitu, ide egalitarian sebenarnya ada juga dikembangkan pemikir-pemikir Hindu kontemporari seperti Arvind Sharma dalam bukunya Hindu Egalitarianism), dan juga Kristian Katolik terutamanya semasa zaman pertengahan Eropah. Peristiwa-peristiwa yang banyak diketahui melalui catatan sejarah-lah yang mengajar kita bahawa salah satu tarikan awal terhadap Islam ialah semangat egalitarianisme yang berakar kukuh, menjangkaui struktur sosial tipikal masyarakat pada zaman awal perkembangannya.

6.Para18.LowerDilihat dengan lebih mendalam, doktrin Tauhid yang menjadi tonggak paling asas agama Islam itu sendiri berdiri atas dasar egalitarianisme sesama makhluk. Tuhan adalah kewujudan tunggal yang tiada sekutu, dan hanya kepada Dia sahaja semua makhluk-Nya berserah. Monoteisme radikal yang mewarnai mesej zaman-berzaman para Nabi ini merupakan sesuatu yang penting untuk dilihat secara mendalam, bagaimana implikasinya membawa sebuah ide bahawa semua manusia adalah setara dan sama rata dalam pandangan Tuhan yang Maha Adil. Tauhid-lah yang membentuk kesedaran bahawa semua daripada kita memiliki Tuhan yang satu, yang akan mendengar keluhan kita dan mengadili permasalahan kita ketika Hari Akhirat nanti. Semua manusia, akan dilihat secara setara dan sama rata, yang membezakan kita semua hanyalah amalan dan ketakwaan.

Monoteisme yang sebegini, yang dirumuskan oleh mesej Nabi Muhammad melalui agama Islam, adalah radikal dari sudut ia memaksa kita semua kembali kepada akar dan dasar kewujudan sebagai manusia, sebagai makhluk yang wujud fizikal, roh, dan akal setara antara satu dengan yang lain, bukannya dibezakan hak terhadap sesuatu rezeki, kekayaan, atau pangkat berdasarkan kelahiran, puak, atau keturunan lagi.

Dalam kaitan ini, adalah penting pula untuk kita membentuk sebuah ideal keadilan melalui kesamarataan dalam ruang politik. Hal ini kerana, setiap manusia yang hidup dalam realiti komuniti pada hari ini semuanya wujud dalam satu kompleks kepolitikan yang akan mempengaruhi peluang masa depan, prospek kehidupan, serta kedudukan sosial dalam strata masyarakat tersebut. Di sinilah, kita tidak dapat menafikan bahawa struktur politik sedia ada akan kemudiannya menentukan masa depan dan hasil yang akan setiap manusia dapat, dan dari sudut ini, adalah dangkal untuk kita merumuskan dengan mudah bahawa “setiap yang kaya itu rajin berusaha, dan setiap yang miskin itu pastinya malas!”.

7.Para21Filasuf Iris Young, melalui buku terakhir beliau, Responsibility for Justice telah membahaskan mengenai pemahaman terhadap struktur masyarakat sebagai subjek keadilan. Jika terdapat sesuatu yang mahu diubah supaya keadilan dikecapi masyarakat, itulah struktur yang sedang meliputi kita semua. Memanjangkan hujahan Rawls dalam adikarya beliau, A Theory of Justice, Young telah pergi lebih jauh dengan menghuraikan bagaimana struktur ini terbentuk dan apakah sifatnya yang perlu difahami melalui analogi kisah Sandy yang terhimpit di tengah-tengah kemiskinan kota[6]. Struktur masyarakat ini, yang ditandai melalui bentuk transaksi ekonomi, orientasi institusi politik, serta norma dan nilai yang terpapar dalam hubungan sehari-harian bukan sahaja dibentuk dan diperkukuh melalui perlakuan setiap individu, tetapi juga memiliki kesan yang tidak terjangka (unintended consequences) sebagai kesan kepada perbuatan individu. Kesan-kesan yang tidak terjangka inilah, melalui perbuatan individu yang wujud dalam struktur ini, akan kemudiannya membawa kepada ketidakadilan tanpa sedar yang kita lihat dalam masyarakat, yang secara sekali pandang kelihatan tidak seperti ketidakadilan.

Sebagai contoh, bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia, tekanan undang-undang terutamanya regulasi pasaran oleh kerajaan ke atas syarikat-syarikat lebih lemah jika dibandingkan seperti di pasaran Eropah yang sudah maju. Sebagai contoh, penguatkuasaan undang-undang seperti gaji minimum dan Akta Pencatutan (Anti-Trust Law) adalah tidak setegas seperti di Eropah (walaupun boleh dihujahkan bahawa wujud juga kompromi dalam pelaksanaan di sana). Keadaan ini akan menyebabkan (1) gaji yang dibayar kepada pekerja adalah tidak setimpal dengan tekanan ekonomi seperti inflasi dan kadar cukai semasa, dan (2) kuasa wewenang yang lebih kuat boleh digunapakai oleh badan korporat ini bagi menghalang kemasukan pengusaha baru ke dalam pasaran. Implikasi pertama dapat dilihat dengan jelas, tetapi yang kedua itu lebih halus dan tersembunyi kerana ia tidak dilakukan secara langsung dan terang-terangan, dan itulah yang lebih menjadi kerisauan kita.

Mengikut logik pasaran, adalah rasional untuk sebuah syarikat agam menjalankan dasar harga pemangsa (predatory pricing) untuk memenangi hati pelanggan dan menakluk pasaran, sekali gus menghalang pengusaha-pengusaha baharu. Namun, adakah dalam keadaan seperti ini, dan dalam keadaan ketidaksamarataan membarah (terutamanya melalui pekali Gini di negara-negara membangun), adakah adil untuk membiarkan syarikat-syarikat gergasi yang dikuasai sebilangan kecil rakyat untuk menutup peluang sebahagian besar rakyat yang lain? Walhasilnya, sebuah struktur yang berlandaskan ketidakadilan sebagai titik asal dan juga kesan akhir akan terbentuk.

8.Para24Di sinilah, dapat kita lihat bahawa biarpun perkara itu menepati logik pasaran, tetapi terdapat sesuatu yang perlu diusahakan supaya titik permulaan persaingan adalah sama rata, dan tidak ada satu pihak pun yang memiliki keupayaan mengubah padang persaingan demi kepentingan sendiri hanya disebabkan memiliki kelebihan tertentu seperti modal yang lebih besar. Saya akan berhujah, bahawa kepentingan kesamarataan di sini adalah untuk menjamin peluang yang adil untuk semua.

Lantas, bagaimana dapat kita meletakkan satu titik permulaan yang sama rata, yang kemudiannya mampu menjadi pembuka jalan menuju keadilan? Saya kira hujahan ini sudah pun jelas, bahawa kesamarataan yang kita ingin gariskan adalah pada titik mula sebelum sesuatu perlakuan yang melibatkan hubungan sosial dijalankan, dan apa jua pengagihan kekayaan dan kuasa selepas itu, kita tahu ia paling menghampiri ideal keadilan.

Dalam sebuah komuniti politik, semua orang akan berhubung dengan semua orang dan membentuk struktur masyarakat. Jadi, di sini perlu pula kita lihat, di titik mula itu, apakah pula skop kesamarataan yang perlu digunapakai. Dalam kaitan ini, saya berhujah bahawa kesamarataan peluang dan hak asasi manusia wajar menjadi sentral dalam perbahasan kita.

Perbahasan keadilan dan kesamarataan yang menjadi fokus kita akan berkisar kepada hubungan perekonomian yang menjadi tonggak kepada pengagihan material dalam sesebuah komuniti politik. Maka, bagi menghuraikan mengapa peluang dan hak asasi manusia wajar menjadi sentral, saya kira kita perlu meninjau terlebih dahulu bagaimana struktur kapitalisme itu sendiri telah mempengaruhi hubungan sosial dan, sekali gus, keadilan.

 


 

Hazman Baharom adalah graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial di University of Manchester, UK. Beliau juga merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) dan Fellow di Islamic Renaissance Front (IRF).

 


 

[1] Perkataan ‘resources’ dalam Bahasa Inggeris ini saya terjemahkan sebagai “sumber kehidupan”, yakni membawa makna sumber yang berguna untuk perkembangan hidup manusia (human flourishing). Ia termasuklah, tetapi tidak boleh disamaertikan secara mutlak dengan; sumber asli, wang, cinta, keamanan, kebebasan, bakat, nasib dan perkara-perkara lain. Untuk perbahasan lanjut mengenai konteks istilah ini, lihat Michael Walzer (1983), Spheres of Justice: A Defense of Pluralism and Equality; New York: Basic Books.

[2] Lihat Karen Armstrong, Muhammad: A History of the Prophet dan Francis Fukuyama, The Origins of Political Order.

[3] Lihat Fathi Osman, The Other.

[4] Lihat Quran, 49: 13

[5] Dalam kaitan ini, saya perlu mencatat di sini bahawa ekonomikawan penerima Nobel Amartya Sen mengambil pendekatan yang sedikit berbeza melalui “pendekatan keberdayaan” (capability approach) dalam menilai ketaksamarataan. Lihat, antara lain, Development as Freedom; The Idea of Justice; Inequality Reexamined; dan Poverty and Famine: An Essay on Entitlement and Deprivation.

[6] Lihat Iris M. Young (2011), Responsibility for Justice; h. 43-47. New York: Oxford University Press.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/berhujah-untuk-kesamarataan-bahagian-i/