Agama Dan Politik Dalam Wacana Perdebatan Islam Kontemporari – Bahagian I

August 7, 2015 by Dr Azzam Tamimi

Diterjemahkan oleh: Ahmad Muziru Idham dan Shuhaib Ar Rumy Ismail

Abstrak

Penentangan terhadap demokrasi yang berlaku dalam kelompok Islamis adalah disebabkan oleh mereka mendasarkan pertentangan mereka kepada dakwaan bahawa Islam dan demokrasi adalah sesuatu yang bertentangan antara satu sama lain. Dalam membuktikan bahawa dakwaan yang ditimbulkan oleh mereka tersebut adalah tidak tepat, Islamis demokrat seperti Rachid Ghannouchi berusaha untuk menunjukkan bahawa kurangnya kefahaman sama ada terhadap demokrasi mahupun Islam, atau mungkin terhadap kedua-duanya, adalah merupakan penyebab kepada penentangan mereka terhadap demokrasi tiba kepada kesimpulan yang salah. Makalah ini berusaha untuk menerangkan tentang teori bahawa Islam adalah terdiri daripada dua bulatan, iaitu (i) Teras kecil dalaman yang dipanggil sebagai ad-Dini (Agama); dan (ii) Kerangka besar luaran yang dipanggil sebagai as-Siyasi (Politik). Seperti yang akan diperhujahkan, ianya adalah sifat Islam yang membolehkan Nabi, Khulafa’ ar-Rashidin, para sarjana Islam dan ahli teori politik sepanjang sejarah untuk merangka ijtihad bagi menjawab segala persoalan, menyelesaikan masalah, dan menangani situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Halangan islamis ke arah demokrasi

Penentangan atau permusuhan terhadap demokrasi secara berterusan dipamerkan oleh sesetengah golongan Islamis, sama ada dalam kelompoknya mahupun dalam kalangan ahli akademik. Dasar kepada penentangan ini berlaku ialah daripada pertimbangan bahawa demokrasi adalah bercanggahan dengan Islam di mana ia dilihat sebagai sebuah reka bentuk daripada Barat yang bertentangan dengan Islam. Pertikaian terhadap demokrasi dalam lingkaran kelompok Islamis adalah merupakan sesuatu yang telah membawa kesan yang serius. Konflik antara kelompok Islamis dalam banyak sebab telah dikaitkan dengan ketidaksetujuan antara mereka pada pendirian terhadap demokrasi, atau secara umumnya terhadap persoalan yang berkaitan tentang pemerintahan.

1.Para3Rachid Ghannouchi, sebagai seorang Islamis yang mendukung demokrasi, menganggap bahawa sikap kelompok penentang tersebut terhadap demokrasi merupakan suatu halangan yang melemahkan perjuangan gerakan Islam itu sendiri, seperti EnNahdhah dan Ikhwanul Muslimin dalam membawa reformasi politik yang aman di rantau Arab. Makalah ini akan memaparkan pandangan daripada beberapa penentang demokrasi dan selepas itu akan membincangkan tentang pandangan balas daripada Rachid Ghannouchi terhadap mereka.

Hujah pihak penentang

Ayman Az-Zawahiri, seorang pemikir bagi kelompok jihadi di Mesir, mempercayai bahawa demokrasi adalah merupakan shirk billah (mempersekutukan Allah).[1] Dia memahami bahawa tawhid (kepercayaan Allah yang esa) mensyaratkan perundangan pemerintahan sebagai hak istimewa Allah manakala demokrasi, seperti yang difahaminya, sebagai pemerintahan daripada manusia kepada manusia. Menurut kefahamannya, penggubal undang-undang dalam sistem demokrasi ialah manusia, manakala dalam tawhid Tuhanlah penggubal undang-undang. Oleh sebab itu, demokrasi adalah shirk (keberhalaan) kerana ianya mengambil hak pemerintahan daripada Allah dan memberikan hak tersebut kepada manusia.[2]

2.Para5.Sayyid QutbAz-Zawahiri yang mendakwa mendasarkan kesimpulannya berdasarkan penulisan-penulisan Mawdudi [Abul Ala Mawdudi] dan Qutb [Sayyid Qutb], mengecam dan menuduh demokrasi sebagai sebuah agama baru yang mendewa-dewakan manusia dengan memberikan kepada manusia hak menggubal undang-undang yang tidak terikat dengan autoriti kekuasaan Tuhan. Keseluruhan wacananya adalah berdasarkan kepada penghujahan bahawa disebabkan demokrasi mengiktiraf kedaulatan manusia, hal ini bermakna bahawa ia adalah sebuah penolakan terhadap kedaulatan Allah. Seterusnya, sesiapa yang mempercayai demokrasi, seperti Ikhwanul Muslimin pasca Qutb, dengan menerima ‘pemerintahan’ daripada manusia berbanding ‘pemerintahan Allah’, adalah dibandingkan persamaannya dengan golongan yang menyekutukan Allah. Berikutan daripada itu, ahli-ahli dalam perhimpunan rakyat (parlimen) dianggap sebagai patung-patung berhala, dan sesiapa yang telah terlibat dalam pengundian terhadap mereka, oleh itu, dianggap sebagai telah melakukan dosa syirik. Makanya, penglibatan dalam proses demokrasi dalam apa jua cara sekalipun adalah haram dan pelaksananya dikira sebagai murtad dan kafir.[3]

Sebagai penambahan kepada al-jama’at al-jihadiyyah (kumpulan-kumpulan jihadi) yang mempercayai bahawa kerajaan yang sedia ada perlu dilawan dan dihapuskan dengan kekerasan, Hizb al-Tahrir (Parti Pembebasan) mempercayai bahawa demokrasi ialah nizam al-kufr (sistem yang kafir) yang telah ‘dipasarkan’ dalam negara-negara Muslim oleh Barat yang kufur.[4] Bukan sahaja demokrasi dikatakan tidak ada perkaitan langsung dengan Islam, malahan secara keseluruhannya ia dikatakan bertentangan kanunnya dalam semua isu sama ada besar ataupun kecil. Ia dikatakan bercanggahan dengan Islam terhadap sumbernya, asal-usul ideologinya, asas-asas yang menjadi sandarannya dan ide serta sistem yang datang bersama-samanya. Oleh sebab itu, adalah haram untuk orang Islam menerima pakai sistem demokrasi, melaksanakannya, atau menyeru untuk ke arahnya.[5] Sebagai penambahan dalam memberi penekanan bahawa demokrasi berasal daripada ideologi yang tidak boleh diterima kerana memisahkan agama daripada kehidupan awam dan memberikan kedaulatan kepada manusia, Hizbut al-Tahrir (HT) pergi lebih jauh dengan berhujahkan bahawa demokrasi akhirnya tidak mencapai apa yang dituntut oleh penyokongnya. Dalam hal ini, mereka menekankan tentang penyakit demokrasi dan kesan-kesan negatifnya terhadap masyarakat yang menerima pakai sistem tersebut

Di Barat, seperti dalam kes Amerika dan Britain, dinyatakan bahawa ahli parlimen yang dipilih melalui pilihan raya tidak mewakili majoriti masyarakat tetapi mewakili kepentingan ahli-ahli perniagaan. Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang mengelirukan dan suatu bentuk kepalsuan untuk mendakwa bahawa parlimen dalam negara-negara demokratik adalah mewakili suara majoriti orang awam. Hal ini ditambah pula dengan penegasan bahawa pemerintahan secara suara majoriti dianggap sebagai tidak Islamik kerana ia akan membawa kepada penghalalan perkara-perkara yang diharamkan seperti riba dan liwat, sebagaimana yang berlaku di Barat. Konsep kebebasan awam didakwa sebagai perkara paling teruk yang datang bersama-sama sistem demokratik; ianya mengubah sebuah komuniti manusia kepada kawanan-kawanan haiwan. Contoh-contoh kehidupan masyarakat di Barat dipetik untuk membuktikan bahawa demokrasi akhirnya membawa kepada keruntuhan moral dan ekploitasi golongan minoriti ke atas majoriti, seperti individualisme, perpecahan dalam keluarga, pergaulan bebas, homoseksualiti, kapitalisme dan eksploitasi yang menjadi elemen penting dalam wacana penentangan ini.[6]

Walaupun dengan pendirian yang dogmatik sebegitu, namun ahli-ahli HT di Jordan tetap melibatkan diri dalam pilihan raya demokratik selama beberapa kali pada masa yang lalu. Dengan melakukan perkara tersebut, mereka sepenuhnya menerima syarat-syarat ‘permainan politik rejim yang tidak Islamik’ jika menurut piawai yang ditetapakan oleh mereka. Pada tahun 1951, pengasas HT sendiri iaitu Taqiyyuddin An-Nabahani mencalonkan dirinya sendiri dalam pilihan raya tetapi tewas dengan penentangnya iaitu Abdullah Na’was daripada Parti Ba’th. Pada tahun 1954, HT melibatkan diri dalam pilihan raya dengan meletakkan lima orang calon di Tebing Barat yang ketika itu sedang berada di bawah kekuasaan Jordan. Dawud Hamdan telah dicalonkan di bandar Al-Quds; Abdul Qadim Zallum, As’ad Tamimi dan Abdulqadir Al-Khatib di Al-Khalil; dan Ahmad Ad-Da’ur di Tolkarm. Daripada kesemua calon tersebut, hanya Ad-Da’ur memenangi pilihan raya tersebut kerana dia telah mengadakan suatu rencana bersama-sama dengan Ikhwanul Muslimin. Seperti setiap calon yang lain, Ad-Da’ur mengangkat sumpah persetiaan, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan, kepada raja dan tanah air tetapi menambahnya dengan frasa “dan kepada Allah”.

3.Para9Pada tahun 1956, HT sekali lagi melibatkan diri dalam pilihan raya yang bertanding di kerusi-kerusi Al-Quds, Al-Khalil, Jenin dan Tolkarm di mana kali ini juga hanya Ad-Da’ur yang menang.[7] Tidak dapat dipastikan sama ada HT pada tahun 50-an masih belum lagi menentang sistem demokrasi atau penglibatannya dalam pilihan raya Jordan adalah sebuah pengkhianatan terhadap doktrinnya sendiri. Tetapi yang pastinya, parti tersebut pada hari ini ialah kelompok Islamis yang paling memusuhi demokrasi. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila pemikir HT, Mahmud Abdulkarim Hassan telah melakukan kecaman hebat ke atas Ghannouchi terhadap idenya, iaitu al-Hurriyyat al-‘Ammah fi’l-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Awam dalam Negara Islam).[8]

Ghannouchi dituduh sebagai seorang yang telah ditewaskan oleh peradaban Barat, seperti mana berjuta-juta umat Islam yang lain yang tersesat, di mana beliau sampai pada tahap tidak lagi mampu untuk berfikir kecuali menuruti sahaja prinsip utilitarian dalam peradaban ini. Ghannouchi telah “didiagnosis” oleh Hassan sebagai seorang yang telah menghidapi kelemahan fikiran terhadap kefahaman Islam, suatu penyakit rumit daripada kemunduran dan keberahian yang besar pada peradaban Barat serta ketidakseimbangan yang mendorong sesetengah orang untuk mendamaikan ide-ide Islam dengan ide-ide dari tamadun Barat. Kaedah analisis Ghannouchi diperjelaskan olehnya sebagai inbitahi (daripada kata akar bataha, yang membawa maksud sujud atau merendahkan); sebuah kaedah yang cenderung datang dengan nama dan perjanjian baharu untuk membenarkan penyimpangan seseorang dan untuk menyesatkan umat Islam.[9]

4.Para11.ShatibiFokus kritikan HT terhadap ide Ghannouchi iaitu Kebebasan Awam adalah pada konsep maslahah (keperluan). Ghannouchi dituduh memalsukan dan memanipulasikan ijtihad klasik, seperti daripada al- ­– dalam mempertahankan usaha yang diambil oleh Hassan untuk menghentam Ghannouchi – yang disifatkan sebagai usaha menjungkir balikkan Islam.[10] Pemikir HT tersebut menyimpulkan bahawa buku Ghannouchi, yang dirujuknya sebagai ‘hasil kerja ini’, datang dengan kaedah berfikir yang baharu atau penggubalan undang-undang yang berdasarkan kepada maslahah, adalah sebuah kaedah palsu yang disandarkan kepada ash-Shatibi bertujuan memberikan legitimasi kepada wacana yang tidak sah. Ghannouchi dikatakan ‘memaparkan secara jelas konsep Barat yang bersifat asing daripada Islam, seperti demokrasi dan kebebasan awam, yang demi memfaedahkan Barat dia mengubah konsep Islam seterusnya mendakwa bahawa Islam adalah fleksibel dan dapat diubah suai setiap kali kita mahu bergantung kepada kepentingan kita atau mengikut acuan pemikiran kita sendiri’.[11]

Ghannouchi dihentam oleh kedua-dua pihak, sama ada jihadi mahupun Tahriri, sebagai mubtadi’ (pembaharu) dan i’tidhari (apologis). Tuduhan yang serupa juga ditujukan kepadanya oleh kelompok Islamis yang lain sama ada secara individu atau berkumpulan yang tidak bersetuju dengan pendekatannya dalam berurusan dengan kedua-dua warisan Islam dan peradaban Barat. Sesetengah kumpulan salafi di United Kingdom, misalnya, telah berulang kali berusaha untuk menghalang persatuan-persatuan Islam di universiti untuk menjemputnya memberi ceramah kepada mahasiswa atau kepada ahli komuniti Muslim yang lain.[12] Beliau telah dianggap sebagai lebih teruk berbanding kafir oleh sesetengah golongan pelampau.[13] Ghannouchi juga bahkan telah dituduh berkhidmat menjalankan rencana Barat.

5.Para13.Middle.AbdKarim.SoroushAbdul Rashid Moten, seorang pensyarah di Jabatan Sains Politk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang keanggotaan politiknya agak kabur, berhujah di dalam kertas kerja terbarunya bahawa demokrasi adalah merupakan konspirasi daripada Barat.[14] Barat dikatakan berusaha untuk menyebarkan nilai-nilai ini yang dikatakan tidak sesuai dengan Islam di negara-negara orang Islam sebagai sebahagian daripada dasar penjajahan kebudayaan. Ia diikuti, kemudiannya, dengan pemikir-pemikir Islam yang berada pada jalan demokrasi dalam dunia Muslim berkhidmat untuk kepentingan Barat. Kertas kerja Moten berkisar kepada tanggapan bahawa Islam telah mempunyai sistem pentadbiran yang lebih baik dan tinggi berbanding demokrasi. Kerahan pemikir-pemikir Islam yang telah dibaratkan, yang telah disenarai namakannya, seperti Abdul Karim Soroush dan Rachid Ghannouchi sebaris dengan Afghani (Jamaluddin al-Afghani) dan Abduh (Muhammad Abduh), dalam merangka sebuah teori Demokrasi Islam atau membuktikan keserasian Islam dan demokrasi telah dikatakan membawa kepada kepercayaan palsu dalam memuliakan sistem demokrasi. Pemikir-pemikir Islam yang kebaratan itu, dakwa beliau, telah meremehkan prinsip asas dalam sistem politik Islam: iaitu amalan syura, yang membawa makna penglibatan masyarakat dalam pengurusan pentadbiran, telah ditukar kepada sistem demokrasi berparlimen; Ijma’ yang merupakan persepakatan Ummah atau ‘ulama’ terkemuka dalam hal undang-undang telah dianggap bersamaan dengan pendapat awam (public opinion); dan maslahah yang merujuk kepada pertimbangan yang terbaik dalam komuniti masyarakat, telah berkembang menjadi konsep kebergunaan menurut tanggapan liberal.[15]

Moten terus mendakwa bahawa, walaupun mereka mendapat sokongan penuh daripada masyarakat, pemikir-pemikir kebaratan seperti mereka tidak pernah diiktiraf sebagai berstatus ‘alim (orang yang mahir dalam ilmu agama) dan ide-ide mereka tidak pernah dianggap oleh orang-orang Islam sebagai respon Islam yang tulen terhadap serangan-serangan Barat. ‘Liberalisme Islam merupakan suatu fenomena elit kota dan kekal terhad kepada segelintir elit yang berpendidikan Barat.’[16]

 


 

Ahmad Muziru Idham and Shuhaib Ar Rumy Ismail adalah Intern dan Felo di Islamic Renaissance Front masing-masing.


 

[1] Ayman Az-Zawahiri, al-hasad al-murr, al-ikhwan al-muslimun fi sittin ‘aman, p.8. Tiada tempat atau tarikh diberikan, tetapi secara jelasnya diterbitkan antara tahun 1991 dan 1992. Penerbitan ini dilabelkan pada kulit depan buku tersebut sebagai Penerbitan Jihad Berkumpulan. Dokumen tersebut yang wajar dibaca dalam Bahasa Inggeris, iaitu The Bitter Harvest, The Muslim Brotherhood In Sixty Years, adalah bertujuan untuk menyokong tuntutan kumpulan tersebut bahawa Ikhwanul Muslimin telah sesat daripada jalan petunjuk.

[2] Ibid.

[3] Ibid., pp. 11-13

[4] Hizb al-Tahrir, ad-dimuqratiya nizam kufr (Demokrasi adalah sebuah sistem yang kufur)

[5] Tiada tarikh atau tempat penerbitan diberikan.

[6] Ibid.

[7] Musa Zayd Al-Kilani, al-harakat al-islamiya fil-‘urdun (Gerakan Islam Di Jordan), (Amman, 1991)

[8] Mahmud Abdulkarim Hasan, ‘radd iftira’at ‘ala al-Imam ash-Shatibi’ (Menyangkal Tuduhan Palsu Yang Disebabkan Oleh ash-Shatibi) di Al-Wa’y (Ogos 1994), pp. 21-30. Al-Wa’y adalah penerbitan rasmi HT di Lubnan.

[9] Ibid

[10] Ibid

[11] Ibid

[12] Satu percubaan itu dibuat apabila Ghannouchi telah dijemput pada bulan Januari 1997 untuk bercakap dengan orang-orang Islam di Swansea. Golongan salafi telah gagal dalam percubaan mereka.

[13] Seorang mualaf dari Caribbean yang bernama Sheikh Faisal, yang menganggap dirinya sebagai pemimpin kepada budaya jihadi di UK, memberitahu pelajar-pelajar Islam di Swansea pada Mac 1997 bahawa orang-orang yang beriman kepada demokrasi seperti Rachid Ghannouchi adalah lebih buruk daripada orang Kristian dan Hindu.

[14] Abdul Rashid Moten, ‘Democratic and Shura-Based Systems: A Comparative Analysis’, in Encounters, Vol. 3, No. 1 (Mac 1997), The Islamic Foundation, Leicester, UK

[15] Ibid

[16] Ibid




View original article at: https://irfront.net/post/articles/agama-dan-politik-dalam-wacana-perdebatan-islam-kontemporari-bahagian-i/