Tunisia Di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi

September 28, 2015 by Noureddine Jebnoun

Diterjemahkan oleh: Ahmad Muziru Idham Adnan & Shuhaib Ar Rumy Ismail

 

Kata Pengantar Oleh John. L. Esposito

1.Para1Musim Semi Arab (Revolusi Martabat Tunisia dan Revolusi Medan Tahrir Mesir) pada tahun 2011 menandakan bermulanya sebuah era baru dalam sejarah Timur Tengah. Penularannya ke beberapa buah negara-negara utama (Libya, Syria, dan Bahrain) dalam suatu jangka masa yang singkat, mendedahkan kerapuhan regim autoritarian Mubarak, Ben Ali dan Qaddafi dan menghancurkan mitos sedia ada tentang masyarakat Muslim dan Arab. Tunisia dan Mesir merupakan yang pertama mengadakan pilihan raya demokratis bebas dan terbuka dan telah menyaksikan parti Islami arus perdana, Ennahdhah di Tunisia dan Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party -FJP) Ikwanul Muslimin di Mesir memegang kekuasaan negara. Berbeza dengan Mesir di mana rampasan kuasa yang diketuai oleh tentera telah menggulingkan Presiden Mohammad Morsi, di Tunisia pula, walaupun mengalami banyak konflik dan kesukaran namun tetap mampu meneruskan tumpuan ke arah demokrasi, dan mengesahkan perlembagaan barunya pada 27 Januari 2014.

Sebagai tindak balas terhadap penggulingan Zine el-Abedine Ben Ali, Rachid al-Ghannouchi, pemimpin parti pembangkang Islami Tunisia, Ennahdah (atau Hizb al-Nahdah, Parti Renaisans), menyatakan bahawa, “Diktator telah dijatuhkan tetapi tidak bagi kedidaktoran.”[1] Al-Ghannouchi dan pemimpin-pemimpin lain yang melarikan diri ke England dan Perancis lebih daripada dua dekad sebelum kebangkitan dan turut tidak dapat hadir ketika kebangkitan (Revolusi Martabat – Dignity Revolution) di Tunisia segera kembali untuk melibatkan diri dalam pembentukan semula sebuah Tunisia baharu yang berdasarkan “demokrasi dan keadilan dalam identiti Tunisia.”[2] Dan apa yang mengejutkan ramai pihak, Ennahdah seolah-olah telah dapat menawan sesuatu yang mustahil. Selepas menempuh dekad-dekad buangan di luar negara dan sejumlah penindasan di Tunisia, parti tersebut telah menyapu bersih undi dalam pilihan raya.

Rachid al-Ghannouchi adalah sebuah sosok yang penting dalam memahami pertumbuhan Ennahdah dan pembangunannya sebagai sebuah gerakan Islami, ketrampilan semula juga kejayaannya dalam pilihan raya serta peranannya dalam membina semula sebuah Tunisia baru. Kepentingan Al-Ghannouchi melangkaui Tunisia; beliau secara meluas dianggap sebagai seorang aktivis-intelektual utama, seorang pembaharu yang kreatif yang terlibat dalam isu-isu pembaharuan dan reformasi Islam berkenaan hubungan Islam dengan sekularisme, demokrasi, masyarakat sivil dan hak-hak kewanitaan.

 

Rachid al-Ghannouchi Khriji

Rachid al-Ghannouchi dilahirkan pada 22 Jun 1941 di tenggara Tunisia. Al-Ghannouchi berpendidikan di Zaytouna (sekolah menengah). Zaytouna mengamalkan pendekatan tradisional tanpa kompromi yang berfokus, seperti yang telah dinyatakannya, pada “masalah yang tidak lagi milik kita yang telah dilaksanakan ke atas kita oleh kolonialisme dan telah menjadi status quo.”[3] Selepas menamatkan pengajian, beliau sempat menuntut ilmu di Fakulti Teologi Universiti Zaytouna. Walaubagaimanapun, akibat berbelah bagi antara keadaan tradisionalisme universiti dan masyarakat baru yang berorientasikan Barat di tempat tinggalnya, beliau meninggalkan Zaytouna dan sempat menuntut ilmu pertamanya di Kaherah dan seterusnya di Damsyik, di mana beliau menerima ijazah sarjana mudanya.

2.Para5Al-Ghannouchi ketika berada di Universiti Damsyik (1964-1968) merupakan sebuah titik perubahan yang besar dalam hidupnya. Kesan kekalahan teruk Arab (gabungan tentera Mesir, Syria, dan Jordan oleh ketenteraan Israel) dalam Perang Enam Hari tahun 1967 telah merendahkan nasionalisme Arab. Seperti kebanyakan pemuda-pemuda Arab, al-Ghannouchi kembali kepada Islam, tetapi lebih kepada visi Islamik progresif “sebuah Islam yang hidup”[4] berbanding dengan Zaytouna dan universiti Islam konservatif lain yang beliau kategorikan sebagai “muzium”.[5]

Akhirnya, minda saya yakin benar yang cara nasionalis adalah salah. Sementara hati saya sepenuhnya meyakini Islam, saya menyedari bahawa apa yang saya ikuti bukannya kebenaran Islam tetapi adalah versi tradisional dan primitif daripadanya. Model tradisional adalah tidak berideologi, juga tidak mempamerkan sistem yang komprehensif. Ia adalah sentimen konvensional keagamaan, iaitu sebuah set tradisi, budaya, dan ritual yang tidak mewakili sebuah peradaban atau cara hidup. Saya menyedari bahawa saya bukannya seorang Muslim yang sebenar justeru saya perlu mengambil keputusan untuk memasuki semula Islam.[6]

 

Kelahiran Sebuah Gerakan

Pada tahun 1970, al-Ghannouchi pulang ke Tunisia dan menjadi tenaga pengajar di jabatan falsafah di sekolah menengah dan juga menjadi pendakwah di masjid tempatan. Bersama Sheikh Abdel Fattah Morou, seorang peguam, beliau membina sebuah akar umbi kecil gerakan Islam yang kemudiannya menjadi sebuah kuasa utama dalam kebangkitan Islam di Tunisia yang sekular. Fokus pada mulanya adalah terhadap isu-isu sosial dan budaya, bukannya bermesejkan politik yang jelas, di mana ianya menawarkan sebuah alternatif Islam terhadap budaya Barat: “[Kerja kami] memfokuskan terhadap pembangunan kesedaran ideologi dan terdiri dasarnya daripada sebuah kritikan terhadap konsep-konsep Barat yang mendominasi semangat pemuda.”[7] Sebagai seorang guru dan pemimpin yang popular, beliau menarik ramai anak muda, orang miskin, kelas pekerja, dan pelajar universiti serta sektor-sektor kemasyarakatan yang lain. Kemudiannya mereka bekerjasama dengan Persatuan Pemeliharaan Qurani (Quranic Preservation Society), sebuah organisasi sosial dan budaya yang tidak berpolitik yang menekankan tentang ketakwaan, moraliti dan keimanan terhadap Islam, menjadi tarikan kepada sesiapa yang percaya bahawa masyarakat Tunisia kehilangan identitinya disebabkan oleh terlebih pergantungan terhadap Barat.

3.Para8LowerRightPada tahun 1979, al-Ghannouchi membentuk Jama’at al-Islamiyyah, sebuah persatuan politik (walaupun bukannya parti politik). Perkumpulan tersebut mendekati kelompok kelas bawahan dan pertengahan, menyeru untuk mengakhiri sistem satu parti Habib Bourguiba dan mendukung sebuah visi Islam yang memaparkan permasalahan kontemporari seperti hak-hak pekerja, kemiskinan, gaji, dan penglibatan politik. Pada tahun 1981, Jama’at al-Islamiyyah telah ditukar kepada sebuah parti politik, yang dikenali sebagai Gerakan Berkecenderungan Islam (Islamic Tendency Movement atau MTI).

MTI bukanlah satu-satunya kumpulan politik Islam yang muncul dalam tahun-tahun awal gerakan Islam Tunisia. Walaubagaimanapun, MTI adalah kumpulan yang terutama tetapi berbeza dengan mereka hasil daripada komitmen terbuka al-Ghannouchi terhadap demokrasi sebagai sebuah “cara untuk menghalang sesiapa yang memerintah daripada mengekalkan kuasa mereka selama-lamanya untuk kepentingan diri mereka sendiri.” Dalam erti kata lain, ia “merupakan sebuah sistem pemerintahan yang pemerintahnya dipertanggungjawabkan terhadap segala tindakan-tindakan mereka dalam lapangan awam oleh rakyat, bertindak secara tidak langsung melalui persaingan dan kerjasama perwakilan rakyat mereka.”[8] Beliau bertegas bahawa demokrasi dan Islam adalah tidak bertentangan dan lebih utama untuk tinggal di dalam sebuah negara sekular di mana wujudnya kebebasan berbanding dengan sebuah negara teologis dengan undang-undang Syariah yang tidak wujud kebebasannya:

[Jika] dengan demokrasi bermaksud model kerajaan liberal yang wujud di Barat, sebuah sistem yang berdasarkan kebebasan manusia untuk memilih perwakilan dan pemimpin mereka, dan di mana wujudnya penggiliran kuasa, seperti mana kebebasan dan hak asasi manusia untuk warga awam, maka orang Islam tidak akan menemui sesuatu pun dalam agama mereka untuk menentang demokrasi, dan ia bukan dalam kepentingan mereka untuk melakukannya dalam apa jua cara sekalipun.[9]

Kerajaan menolak lesen MTI untuk beroperasi sebagai sebuah parti politik. Tanpa gentar, MTI membina sebuah gerakan berdasarkan sebuah penekanan terhadap identiti dan nilai-nilai Arab-Islam Tunisia, yang menjadi tarikan dalam kalangan kepelbagaian penduduk: peguam, pegawai bank, pendidik, usahawan, kesatuan pekerja, profesional kelas pertengahan, dan doktor. Ianya berjaya hasil daripada meningkatnya rasa tidak puas hati dan penentangan terhadap penindasan Bourgiba terhadap hak untuk berbeza pendapat dan serangannya terhadap agama.

Habib Bourgiba, seperti pemerintah-pemerintah autokratik lain di dunia Arab yang takut akan Revolusi Islam yang dieksport daripada Iran, merujuknya sebagai ancaman terhadap perkhidmatannya sebagai presiden sepanjang hayat.[10] Bourgiba bertindak keras terhadap MTI, menangkap dan memenjarakan ramai ahlinya termasuk al-Ghannouchi. Peristiwa ini membuktikan sebuah titik perubahan kepada gerakan Islami di Tunisia. Al-Ghannouchi menegaskan bahawa keganasan, revolusi gaya Iran bukanlah sebuah jawapan. Sebaliknya, perubahan akan lebih berjaya sekiranya ianya datang daripada bawah ke atas—sebuah proses perlahan yang secara beransur-ansur merubah masyarakat dan digunakan untuk meningkatkan penglibatan politik dan prinsip-prinsip demokrasi untuk membawa tujuan yang diinginkan iaitu: sebuah negara yang kedua-duanya Islami dan demokratis pada sifatnya.[11]

4.Para13LowerRightTindakan-tindakan keras itu kemududiannya menjadi serangan besar-besaran terhadap para Islamis dan menentang ekspresi beragama di ruang awam. Kerajaan mengharamkan penjawat awam daripada bersolat ketika waktu bekerja dan menutup masjid-masjid yang dibuka sebelum ini untuk mengekang “ekstrimis kiri”.[12] Institusi awam diarahkan untuk tidak menggaji lagi para Islamis yang kehilangan pekerjaan mereka ketika pengurungan pada tahun 1981-1984. Wanita yang memakai hijab dihalang daripada universiti dan tempat kerja. Mahasiswa-mahasiswa Islam dibuang dan dikerah untuk berkhidmat dengan tentera. Pemandu teksi ditangkap kerana menyimpan janggut—simbol umum bagi Islamis—atau mendengar kaset-kaset Islamis, janggut mereka akan dipotong dan lesen-lesen mereka dibatalkan.[13]

Pada bulan Ogos 1987, al-Ghannouchi ditangkap kembali dan diadili di mahkamah keselamatan, menuduhnya menghasut keganasan dan berkonspirasi menentang kerajaan. Apabila mahkamah menghukum al-Ghannouchi penjara seumur hidup berserta kerja keras, Bourgiba berang dan meminta sebuah penghakiman baru dengan segera, mengesahkan syak wasangka bahawa dia mahukan al-Ghannouchi dibuang negeri dan MTI dihapuskan.

Kumpulan Islamis, walaupun dianggap sebagai ancaman, berjaya membuktikan bahawa mereka bukan ancaman besar terhadap pemerintahan Bourgiba. Perdana Menteri Zine el-Abidine Ben Ali, seorang anak didik lama, bekas jeneral dan Menteri Dalaman yang mengepalai tindakan keras kerajaan terhadap kumpulan Islamis, seperti MTI, telah mengadakan kepada rampasan kuasa pada 7 November 1987, mendakwa bahawa “Pejuang Agung” yang berusia 84 tahun itu dan “Presiden seumur hidup” telah nyanyuk dan tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab kenegaraan.”[14]

 

Kepresidenan Ben Ali

Bulan-bulan awal pemerintahan Ben Ali kelihatan menjanjikan perubahan yang demokratis. Beliau menunaikan haji ke Mekah, menerapkan bahasa keagamaan dalam ucapan-ucapannya, dan membuka semula fakulti teologi di Zaytouna. Sebagai tindak balas kepada permintaan Ben Ali bahawa tiada parti politik boleh memonopoli Islam, MTI bersetuju untuk mengubah namanya pada Disember 1988 kepada Ennahdah. Walau bagaimanapun, hingga ke pengakhiran 1988, masyarakat Tunisia lambat-laun menyedari bahawa pemimpin baru mereka dan perubahannya tidak begitu baru sebenarnya.

5.Para17LowerRightPada April 1989, ketika pilihan raya presiden multi parti pertama Tunisia (berbanding parti tunggal), parti pemerintah (Democratic Constitutional Rally yang juga dirujuk kepadanya dalam singkatan bahasa Perancis sebagai RCD) seperti yang dijangkakan, mencapai purata sekitar 1.7 juta undi; kesemua ahlinya yang bertanding telah dipilih. Walau bagaimanapun, yang menakjubkan, meski pada hakikatnya Ennahdah tidak diberikan status sebagai sebuah parti, tempat kedua dipegang oleh calon-calon Bebas, yang disokong oleh Ennahdah, yang menerima lebih 17 peratus undi seluruh negara, dan memenangi lebih 30 peratus di kawasan bandar. Dalam lingkaran elit Ben Ali, sesetengah mereka berhujah bahawa sudah tiba masanya untuk presiden berhenti menggoda para Islamis dan sebaliknya menghancurkan serta melemahkan kesemuanya sekaligus. Lantaran penindasan politik dilihat tidak dapat dielakkan dan khuatir dengan kesudahannya, maka pada bulan Mei 1989, al-Ghannouchi dan penyokongnya melarikan diri daripada Tunisia ke London (yang lain-lain ke Perancis) di mana mereka hidup dalam buangan sendiri (self-exiled) selama dua puluh satu tahun.

Takut akan perang di Teluk (dipercepatkan oleh pencerobohan dan kependudukan Saddam Hussein di Kuwait pada tahun 1990) yang akan memburukkan kestabilan serantau dan menyatukan kembali serpihan-serpihan Ennahdah, Ben Ali terlebih dahulu bergerak untuk menumpaskannya. Pada bulan Februari 1991, pihak berkuasa menuduh Ennahdah menjadi dalang kepada serangan pembakaran dengan sengaja terhadap pejabat parti pemerintah, dan selepas itu, perancangan jahat untuk menjatuhkan kerajaan secara keseluruhan. Pada bulan Mei, pasukan keselamatan bersama dengan tentera mendakwa menemui sebuah gudang senjata yang besar yang puak Islamis sembunyikan sebagai sebahagian daripada rancangan keganasan terhadap Ben Ali. Ennahdah secara rasmi menyangkal serangan tersebut dan kerajaan tidak dapat membuktikan bahawa kumpulan tersebut bertanggungjawab. Organisasi hak asasi manusia mengkritik rejim kerana membuat dakwaan mereka tentang senjata tersembunyi dengan bukti yang rapuh. Dua ratus tujuh puluh sembilan ahli Ennahdah telah dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhi hukuman penjara antara limabelas tahun hingga seumur hidup.

 

Kejatuhan Ben Ali dan Kebangkitan Semula Ennahdah di Tunisia

Meskipun Ben Ali dilihat berkuku besi, pembunuhan-diri Mohamed Bouazizi pada 17 Disember 2010 mencetuskan sebuah gerakan penentangan sivil yang merebak merentasi Tunisia dengan pantas yang mengakibatkan kepada penggulingannya selepas dua puluh tiga tahun dalam kekuasaan pada 14 Januari 2011. Contoh teladan daripada Tunisia menginspirasikan tindakan yang sama di Mesir, Libya, Syria, Bahrain, dan di tempat-tempat lain di dunia Arab. Protes jalanan telah tercetus disebabkan oleh kadar pengangguran yang tinggi, keadaan hidup yang miskin, inflasi makanan, dan korupsi kerajaan. Penunjuk perasaan menuntut kebebasan politik, demokrasi, dan kebebasan bersuara.

 

Di Mana Ennahdah?

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, Ennahdah telah disingkirkan daripada penglibatan sebagai parti politik, dipaksa mejadi gerakan bawah-tanah, dan ramai dikalangan pemimpin gerakan yang berpengaruh, seperti al-Ghannouchi, berada dalam buangan di luar negara. Tetapi jika kesnya sebegitu, “Bagaimana Ennahdah tampil dengan gagahnya dalam pilihan raya?” Bagaimanakah sebuah kumpulan yang terputus ketumbukannya daripada revolusi mampu menyapu bersih undi pada masa-masa yang terakhir?” Penggulingan Ben Ali meninggalkan suatu kekosongan dalam kepiminan. Sebagai sebuah negara parti tunggal, Tunisia kekurangan parti-parti politik alternatif. Ramai yang tergesa-gesa untuk memenuhi kekosongan itu dan mewujudkan sebilangan parti-parti politik yang menakjubkan, tetapi kebanyakannya kekurangan dasar-dasar yang kuat, landasan program politik dan organisasi politik. Ennahdah lantas muncul sebagai parti politik yang utama, mengejutkan ramai orang di Tunisia, Eropah dan Amerika,

6.Para21Walaupun tidak aktif, Ennahdah tidak mati seperti yang disangka-sangka oleh ramai orang. Apabila al-Ghannouchi kembali ke kampung halaman di Tunisia pada bulan Januari 2011, gerakan tersebut mulai muncul kembali. Al-Ghannouchi dan Ennahdah mempunyai sebuah sejarah yang panjang sebagai pembangkang utama terhadap Bourgiba dan Ben Ali dan menanggung bekas luka perjuangan yang memberikan mereka legitimasi popular. Ennahdah mempunyai pemimpin dan simbol yang berkarisma serta barisan pimpinan dan ahli-ahli yang berdedikasi, juga program dan pengikut akar umbi. Dalam ketidakwujudan saingan parti politik yang kuat dan kemunculan terlalu banyak parti-parti politik baru tetapi lemah, mereka mampu menyapu bersih pilihan raya dan dengan mudah mengalahkan pencabar-pencabar utama.

Tahun-tahun al-Ghannouchi dalam buangan memberikannya ruang untuk membaca secara meluas dan bermuhasabah, menghalusi kefahamannya terhadap terhadap demokrasi, kepelbagaiannya, potensi untuk diaplikasikan di dunia Arab dan Tunisia terutamanya, dan untuk kembali ke kampung halaman dengan perasaan untuk memimpin negara ke arah yang diperlukan. Pada pra-pilihan raya beliau menjanjikan bahawa beliau mahupun Ennahda tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden dan berjanji sekiranya Ennahdah menang, ia akan mendekati parti politik yang lain untuk membentuk kerajaan gabungan. Platform Ennahdah mencerminkan kedudukan progresif al-Ghannouchi yang lama, menyokong perubahan politik dan demokrasi, masyarakat sivil yang ditandai dengan kesaksamaan kewarganegaraan, politik pluralisme lagi inklusif, kebebasan pluralisme dan hak-hak asasi manusia. Natijahnya, Ennahdah dapat meraih undi daripada para penyokongnya dan ramai lagi.

Dengan kadar mereka yang keluar mengundih lebih daripada 50 peratus pada pilihan raya Oktober 2011, kemajmukan masyarakat Tunisia—lebih kurang 40 peratus—membuang undi mereka untuk Ennahdah, mengambil 90 daripada 217 kerusi dalam Majlis Perlembagaan Negara yang baru sembilan bulan ditubuhkan selepas penyingkiran diktator. Parti tersebut yang selama ini merupakan yang terkuat dalam badan perundangan dan bersandarkan pada janji-janjinya sebelum pilihan raya, bergerak dengan cepat mendekati tiga parti yang tertinggi untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan; dua daripadanya menerima tawaran tersebut iaitu Kongres Republik dan Ettakatol ataupun Forum Demokrat untuk Buruh dan Kebebasan.

7.Para24Pada tahun 2014, lanskap politik dunia Arab telah menuntut beberapa persoalan sama ada “Musim Semi Arab” telah menjadi “Musim Dingin Arab” di Libya, Bahrain, Syria dan Mesir. Walaupun Tunisia dan Mesir dilihat menunjukkan tanda-tanda kejayaan awal dalam memegang pilihan raya pertama yang benar-benar demokratis dalam sejarah mereka, tetapi hanya Tunisia yang mampu bertahan. Rampasan kuasa oleh tentera pada 3 Julai 2013 di Mesir telah menggulingkan kerajaan Mohammed Morsi yang dilantik melalui pilihan raya demokratis dan seterusnya bergerak dengan pantas untuk mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas. Tunisia, walaupun mengalami kesulitan dan cabaran pendemokrasian pada jalan yang berliku-liku, telah menghasilkan dan mengesahkan perlembagaan barunya pada 27 Januari 2014. Peringkat seterusnya ialah pilihan raya umum yang akan diadakan mungkin pada penghujung 2014.

Peralihan ke demokrasi, walau bagaimanapun, masih merupakan kerja-kerja pembangunan yang memerlukan usaha bersepadu oleh semua pihak yang berkepentingan. Cabaran praktikal untuk menubuhkan sebuah sistem demokrasi yang berfungsi selepas dekad-dekad autoritarianisme adalah lebih sukar disebabkan oleh kepelbagaian dan persaingan antara aktor-aktor dan parti-parti politik, tekanan ideologi, dan konflik antara Ennahdah dan pembangkang sekular serta ekstrimis Salafi, kegawatan ekonomi dan permasalahan sosial yang menjadi punca kepada kebangkitan pada tahun 2011 iaitu: peningkatan pengangguran, ketidakstabilan serantau, dan korupsi.

Wawancara Noureddine Jebnoun yang meluas dan ekstensif ini bakal menjadi sebuah dokumen rujukan yang sangat berharga memandangkan peranan yang dimainkan oleh Rachid al-Ghannouchi dan Ennahdah dalam kelahiran demokrasi yang baru bertumbuh di Tunisia teramat penting. Ia mendedahkan perspektif al-Ghannouchi terhadap Musim Semi Arab, politik Islam di Timur Tengah, refleksinya mengenai asal-usul dan pembangunan Ennahdah, dan hubungannya dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Wawancara ini sedikit sebanyak akan menjelaskan pencapaian-pencapaian mereka dan mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Ennahdah, kumpulan-kumpulan dan parti-parti politik, serta rakyat Tunisia di jalanan dalam menjalin kesatuan kebangsaan dan memajukan sistem demokrasi negara sivil dan sistem pemerintahan.

 

John EspositoJohn L. Esposito
Profesor Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Islam
Pengarah Pengasas Prince Alwaleed Bin Talal
Pusat Kefahaman Muslim-Kristian
Perkhidmatan Luar Edmund A. Walsh School
Georgetown University
Washington, D.C.


Ahmad Muziru Idham and Shuhaib Ar Rumy Ismail adalah Intern dan Felo di Islamic Renaissance Front masing-masing. 


[1] Esam Al-Amin, “The Fall of the West’s Little Dictator,” CounterPunch, 19 January 2011. Boleh didapati di: http://www.counter­punch.org/2011/01/19/the-fall-of-the-west-s-little-dictator/

[2] Graham Usher, “The Reawakening of Nahda in Tunisia,” Middle East Report, 30 April 2011. Boleh didapati di: http://www.merip. org/mero/mero043011

[3] Azzam S. Tamimi, Rachid Ghannouchi: A Democrat within Islamism, Oxford: Oxford University Press, 2001, 11.

[4] John L. Esposito and John O. Voll, Makers of Contemporary Islam, New York: Oxford University Press, 2001, 95.

[5] Ibid.

[6] Azzam S. Tamimi, op. cit, 22.

[7] Mohamed Elkabi Hermassi quoted in Marion Boulby, “The Islamic Challenge: Tunisia since Independence,” Third World Quarterly, Vol. 10, No. 2 (April 1988): 599.

[8] Azzam S. Tamimi, op. cit., 84.

[9] John L. Esposito and John O. Voll, Makers of Contemporary Islam, New York: Oxford University Press, 2001, 114.

[10] John L. Esposito, The Islamic Threat: Myth or Reality? New York: Oxford University Press, 1999, 167 –9.

[11] Ibid, 167.

[12] Linda G. Jones, “Portrait of Rachid al-Ghannouchi,” Middle East Report, Vol. 18, No. 153 (July-August 1988): 22.

[13] Ibid.

[14] L. Carl Brown, “Bourguiba and Bourguibism Revisited: Reflections and Interpretations,” Middle East Journal, Vol. 55, No. 1 (Winter 2001): 43 –4.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/tunisia-di-persimpangan-sebuah-wawancara-bersama-sheikh-rachid-al-ghannouchi/